أحكام متنوعة

AL-KAFI #1061: RAHSIA PENAMAAN SURAH AL-IKHLAS

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan · فتوى رقم ٢٥٬٠٩٢

الجواب

Soalan: Assalamualaikum. Boleh SS Dato’ Seri Mufti terangkan, kenapa surah al-Ikhlas dinamakan sedemikian, sedangkan tiada perkataan ikhlas didapati padanya?

Jawapan: Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (4)

Surah al-Ikhlas (1-4)

Imam Fakhruddin al-Razi menukilkan bahawa sebenarnya terdapat sembilan belas lagi nama lain bagi surah ini selain surah al-Ikhlas:

Al-Tafrid

Al-Tajrid

Al-Tauhid

An-Najat, kerana ia menyelamatkan daripada kekufuran di dunia dan azab di akhirat

Al-Wilayah, kerana seseiapa yang mengarifi keesaan Allah SWT, maka dia termasuk daripada wali-wali-Nya

Al-Nisbah

Al-Ma’rifah, surah ini dipenuhi dengan sifat-sifat Allah SWT yang perlu diketahui bagi menyempurnakan ma’rifatullah

Al-Jamal, kerana ia menghimpunkan sifat-sifat Allah SWT yang merupakan sesempurna seindah-indah sifat

Al-Muqasyqisyah(المُقَشْقِشَة) , kerana ia membersihkan dan menyucikan orang beriman daripada syirik

Al-Mu’awwizah, iaitu penyembuh atau pelindung

Al-Somad, kerana surah ini menjadi tumpuan dalam isu aqidah

Al-Asas, kerana ia asas aqidah

Al-Mani’ah, kerana ia mampu menghalang daripada azab kubur dan neraka

Al-Mahdhar, kerana para malaikat hadir untuk mendengarnya tatkala ia dibaca

Al-Munaffirah, kerana syaitan lari daripadanya tatkala dibaca

Al-Barra’ah, kerana ia berlepas diri daripada syirik

Al-Muzakkirah, kerana ia mengingatkan tentang

Al-Nur, dimana terdapat riwayat dimana Rasulullah SAW menyebut surah ini sebagai cahaya

Al-Aman, kerana siapa yang membacanya akan selamat daripada azab

Namun ia lebih dikenali dengan nama Surah al-Ikhlas, dan ia dinamakan demikian kerana orang yang meyakini isi kandungannya akan menjadi ikhlas dalam menjalankan agama Allah SWT, dan orang yang mati dengan ikhlas, akan dijauhkan daripada api neraka. (Rujuk Tafsir Mafatih al-Ghaib karangan Imam Fakhruddin ar-Razi, 32/161)

Menurut Syeikh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur pula, nama al-Ikhlas lebih masyhur kerana ia menghimpunkan ma’na-ma’na surah ini, dimana ia mengajar manusia sifat ikhlas dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, yakni aqidah yang bebas daripada mensyirikkan Allah SWT dalam ketuhanan. (Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/609-610)

Penjelasan para ulama ini konsisten dengan firman Allah SWT yang lain yang menjelaskan makna konsep ikhlas:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya: Pada hal mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.

Surah al-Bayyinah (5)

Wallahu a’lam.

المصدر: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan· رقم kafi-3043

٠ مشاهدة

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص