Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Derma Walkathon

Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan Majlis Ugama Islam telah menerima memorandum Bil: PKSJT/SMUI/290595 bertarikh 29hb. Dzulhijjah, 1415 bersamaan 29hb. Mei, 1995 daripada Pengarah Telekom, Kementerian Perhubungan, Negara Brunei Darussalam berhubung dengan mengutip derma melalui “WALKATHON”.

Sebahagian daripada hasil kutipan ini akan disumbangkan kepada tabung “MASJID PEGAWAI KERAJAAN”.

Sehubungan dengan itu diminta kerjasama daripada pihak tuan mengenai perkara di atas adalah sangat-sangat diharapkan.

Jawapan: Berderma atau mengumpulkan derma atau berwaqaf kerana membina masjid atau lain-lain tujuan yang mulia sangat digalakkan di dalam Islam, kerana mendirikan masjid adalah suatu amal jariah yang berkekalan pahalanya, walaupun penderma atau pewaqaf telah meninggal dunia, selagi bangunan yang didirikan itu dapat dirasai faedahnya oleh orang ramai.

Hendaklah diingat derma atau sedekah yang hendak diberikan mestilah dari sumber harta yang halal supaya menepati tujuannya untuk mendapatkan keredhaan Allah jua, tidak kerana yang lain-lain.

Hukum haram dalam syariat Islam tidak akan berubah sekalipun niat penderma baik. Yang haram tetap dinilai sebagai haram, betapa pun baik dan mulianya niat dan tujuannya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu baik, tidak akan menerima melainkan yang baik.” (Hadits riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Barangsiapa mengumpulkan harta dari jalan yang haram kemudian dia mensedekahkan harta itu, sama sekali dia tidak akan beroleh pahala, bahkan dosanya akan menimpa ke atasnya.” (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Berdasarkan kaedah di atas, menderma melalui walkathon atau apa jua yang seumpamanya, hendaklah dilihat dari sudut bagaimana walkathon itu dijalankan atau dikendalikan.

Jika pengendalian atau walkathon itu sendiri bertentangan dengan syara‘, maka hasilnya juga tidaklah sama dengan perkara-perkara yang diizinkan oleh syara‘. Jika harta yang terkumpul dari jalan-jalan yang tidak diredhai oleh Allah, maka bukan sahaja harta itu tidak diterima oleh Allah, malahan boleh mendatangkan dosa pula kepada pengguna atau pendermanya. Contoh walkathon yang tidak selaras dengan hukum syara‘, seperti:

(i) Bercampur lelaki dengan perempuan, istimewa jika berlaku pendedahan aurat dan seumpamanya.

(ii) Jika terdapat pensyaratan bayaran tertentu untuk penyertaan dan menjanjikan hadiah-hadiah tertentu untuk merebut sesuatu, tidak kira sama ada hadiah itu besar atau kecil, murah atau mahal. Perkara yang sedemikian menyerupai perjudian, kerana unsur-unsur perjudian itu di antaranya ialah pertandingan dengan bayaran menjadi syarat penyertaan dan tawaran hadiah kepada pemenang.

Berderma hendaklah ikhlas. Keikhlasan itu meletakkan nilai apa yang hendak diharapkan dari Allah. Derma yang ikhlas akan meletakkan pendermanya memperolehi apa yang diharapkannya sama ada yang berkaitan dengan keduniaan atau mengharapkan bentuk ganjaran yang baik di akhirat. Hal inilah dijelaskan oleh Allah:

Tafsirnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah Al-Syûrâ: 20)

Jika telah jelas bahawa walkathon itu memenuhi tuntutan syara‘, maka bolehlah penganjur mengadakan walkathon itu dan hasil kutipannya diberikan atau disumbangkan kepada Tabung Masjid Pegawai Kerajaan, dan untuk mengisi tabung kebajikan Jabatan yang berkenaan. Kerana kedua-dua tujuan ini baik, dan matlamatnya juga jelas. Tetapi jika kerana perkara-perkara sukan, maka hal ini perlulah dinilai dan dihalusi.

Islam tidak melarang sukan, bahkan setengah-setengah sukan itu sendiri adalah digalakkan, selama mana ia tidak bercanggah dengan hukum syara‘.

Tetapi melihat kepada keadaan sukan yang berjalan pada masa ini, perlulah diperhatikan dengan sungguh-sungguh, kerana sukan yang ada sekarang tidak sunyi dari perkara-perkara yang ditegah oleh syara‘. Sama ada sukan itu dilakukan dalam keadaan tidak menutup aurat atau bercampur antara lelaki dan perempuan dalam keadaan tidak diharuskan oleh syara‘ atau menyebabkan tertinggal perkara-perkara kewajipan agama dan lain-lain seumpamanya. Kerana perkara halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas. Jika ada perkara-perkara yang samar-samar di antara kedua-duanya, maka perlulah dirujuk kepada orang-orang yang tahu mengenainya.

Oleh yang demikian, hendaklah dijelaskan oleh penganjur apa jenis sukan yang hendak dibantu itu, supaya terang kepada penderma. Dan pungutan dari walkathon (yang diharuskan oleh syara‘ di atas) bolehlah diagihkan untuk kegiatan sukan yang tidak bertentangan dengan syara‘ itu. Yang demikian maksud firman Allah di bawah ini dapatlah dilaksanakan.

Tafsirnya: “Bertolong-tolonganlah kamu membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.” (Surah Al-Mâ’idah: 2)

Pendeknya, berderma atau bersedekah itu hendaklah dari harta yang halal dan bersih disertai dengan niat yang ikhlas, tidak kerana tujuan selain kerana Allah jua, dan diberikan atau didermakan bagi tujuan yang diharuskan atau tidak bertentangan dengan syara‘.

Semua matlamat atau tujuan derma itu, bahkan seluruh kegiatan atau yang berkaitan dengan tujuannya hendaklah selaras dengan kehendak syara‘, kerana niat yang baik tidaklah mencukupi dan memadai, selama mana ada menyangkut perkara-perkara yang haram atau ditegah oleh syara‘. Hal ini ditegaskan melalui kaedah fiqhiyyah.

Ertinya: “Niat yang baik tidak membenarkan yang haram.”

Janganlah menamakan sesuatu yang zahirnya bagus seperti Majlis Malam Amal, Amal Walkathon atau seumpamanya, tetapi masih tidak dapat menghilangkan hakikat suatu perkara itu, kerana segala bentuk amal yang sebenarnya (amal jariah) hendaklah bersih dari sebarang perkara yang mungkar.

Contohnya bersiasah atau membuat apa jua helah atau menamakan suatu perkara yang pada hakikatnya tidak mengubah hakikat suatu perkara itu seperti arak, dinamakan dengan berbagai nama, namun hakikat arak tetap tidak berubah.

Maka helah dan bersiasah seperti ini tidak akan menghilangkan hakikat suatu larangan itu. Inilah sikap kaum Bani Isra’il yang mendapat kemurkaan dari Allah sebagaimana digambarkan dalam surah Al-A‘râf ayat 163, mereka membuat helah terhadap larangan jangan menangkap ikan pada hari Sabtu.

Tafsirnya: “Dan bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari yang lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka senantiasa berlaku fasiq.” (Surah Al-A‘râf: 163)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa orang-orang Yahudi yang tinggal di tepi pantai yang terdiri dari kaum nelayan dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu, kerana hari Sabtu adalah hari istirahat bagi mereka. Pada hari Sabtu itu ikan-ikan timbul di permukaan air dengan banyaknya, sedangkan pada hari-hari yang lain ikan-ikan itu tidak pula banyak seperti itu.

Melihat ikan dengan banyak pada hari Sabtu yang terlarang itu, maka orang-orang Yahudi yang lemah imannya, lalu membuat helah dan bersiasah melanggar larangan dengan menggali parit (pada hari Jumaat) supaya ikan akan masuk ke dalam parit tersebut pada hari Sabtu, dan ikan akan ditangkap pada hari Ahad.

Inilah helah orang Yahudi untuk menangkap ikan. Helah seperti ini dicela oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya:

Maksudnya: “Jangan kamu berbuat (dosa) seperti perbuatan Yahudi, mereka menghalalkan terhadap larangan-larangan Allah dengan helah yang paling kecil.”

Hadits ini diriwayatkan oleh Abu Abdillah bin Baththah dengan sanad yang baik dan diakui shahih oleh Tirmidzi.

Oleh kerana itu, hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan suatu kegiatan yang zahirnya nampak cantik dan indah, tetapi berlawan dengan hukum syara‘.

Hakikat ini terus berlaku kepada orang-orang Yahudi. Sungguhpun mereka tidak menggunakan lemak-lemak bangkai binatang kerana najis, tetapi masih berhujjah boleh menjualnya dan memakan hasil jualan lemak-lemak tadi, sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan menjual arak, bangkai, babi dan patung.” Kemudian ada orang yang bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana (hukumnya) minyak lemak yang diambil dari bangkai?, kerana ianya dipakai untuk melumuri sampan, meminyaki kulit dan dijadikan orang sebagai minyak lampu.” Baginda menjawab: “Tidak” (tidak boleh), ianya tetap haram.” Selepas itu Baginda bersabda: “Moga-moga Allah membunuh orang-orang Yahudi, sesungguhnya ketika Allah mengharamkan minyak lemak (bagi mereka), mereka pun memprosesnya, lalu mereka menjualnya dan memakan harganya.” (Hadits Muttafaq ‘alaih)

Sungguhpun orang-orang Yahudi tidak menggunakan minyak lemak binatang, kerana ianya haram, namun mereka menjualnya dan memakan hasil harganya. Siasah atau helah seperti ini tidak akan menghilangkan hakikat pengharaman itu, sama seperti orang berhelah bahawa biarpun dia tidak makan hasil keuntungan dari judi, tetapi menggunakan wang judi itu untuk membeli barang-barang seperti alat ganti kereta atau seumpamanya. Padahal maksud memakan itu juga masuk memanfaatkan hasil wang keuntungan dari perjudian itu, haram juga hukumnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7531