Penyediaan Sate Tanpa Membersihkan Darah Terlebih Dahulu Dan Cara Membersihkan Daging
Soalan: Apakah pandangan Pehin mengenai penyediaan sate yang mana kebanyakan para peniaga tidak mencuci dengan sempurna daging atau ayam (kononnya untuk mengekalkan keenakan sate tersebut) setelah itu dipanggang (dibakar) sebelum dihidangkan atau dijual dan bagaimanakah cara membersihkan daging ayam dan sebagainya sebelum dimasak mengikut kehendak syara‘?
Jawapan: Apabila binatang halal disembelih, kemudian segala najis yang ada padanya, seperti tahi dibuang, lalu daging dan tulangnya dilapah dan terus dimasak (sama ada dibakar, disup, direndang) tanpa terlebih dahulu dijirus atau dibasuh dengan air, sedangkan kesan-kesan darah masih terdapat pada tulang dan dagingnya dan ketika dimasak masih mengeluarkan buih berwarna kuning darah, maka daging atau tulang itu adalah halal dimakan kerana baki darah yang tinggal pada daging atau tulangnya itu adalah dimaafkan.
Ertinya: “Berhubung dengan darah yang masih berbaki (tinggal) pada daging, sehinggakan jika dimasak air (memasaknya) berubah disebabkan darah itu, tidaklah ianya memudaratkan (tidak mengapa) mengikut pendapat yang muktamad.” (Fath Al- ‘Allâm 1/513)
Pengarang Nihâyah Al-Zain fî Irsyâd Al-Mubtadi’în, syarah kepada kitab Qurrah Al- ‘Ain bi Muhimmât Al-Dîn berkata:
Ertinya: “Adapun darah binatang yang disembelih (mengikut syara‘) yang masih tinggal pada daging dan tulangnya, serta yang keluar sebagai buih (ketika dimasak), adalah najis yang dimaafkan, iaitu apabila darah itu belum bercampur dengan sesuatu yang lain, misalnya jika seekor kambing disembelih, kemudian dipotong-potong dagingnya tetapi kesan-kesan darah masih terdapat padanya, dan jika sekalipun supnya (ketika dimasak) berbuih berwarna darah. Tetapi sekiranya darah berkenaan sudah bercampur dengan sesuatu yang lain, seperti air, sebagaimana yang dilakukan kepada sapi yang disembelih di tempat sembelihan khas, dengan menuangkan air kepadanya bagi tujuan menghilangkan darahnya, maka baki darah yang ada pada daging itu selepas menyimbahkan air itu ke atasnya tidak dimaafkan walaupun darah itu sedikit kerana ia sudah bercampur dengan sesuatu yang lain.
Jika timbul keraguan adakah darah daging itu sudah pernah bercampur dengan sesuatu yang lain atau belum, maka keraguan itu tidak memberi kesan (yakni darah yang masih terdapat pada daging itu adalah dimaafkan kerana asal daging itu adalah halal.” (Nihâyah Al-Zain h. 40)
Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, katanya: “Adalah kami memakan daging, sedangkan darah (daging itu meninggalkan kesan) garis-garis pada periuk.” (Fiqh Al-Sunnah 1/25).
Diriwayatkan juga daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dengan lafaz lain yang antara lain menerangkan bahawa semasa memasak daging di dalam periuk, buih kuning daripada darah daging itu naik ke permukaan periuk dan setelah masak, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam turut memakannya dan tidak menegahnya daripada dimakan. (I‘ânah Al-Thâlibîn 1/83)
Mengikut keterangan di atas, walaupun daging atau tulang itu tidak pernah dibasuh semenjak daripada disembelih sampai dilapah, sehinggalah dimasak, adalah ianya halal. Jika ianya dibasuh sebelum dimasak, maka daging atau tulang yang sudah bercampur dengan air itu hendaklah dipastikan bahawa pada zahir yakni di sebelah luarnya itu tidak ada lagi darah walau sedikitpun.
Namun apabila melihat kepada amalan sebahagian penjual-penjual daging di pasar pada masa ini, bahawa daging yang hendak dijual itu kadang-kadang diletakkan terlebih dahulu di atas meja yang sedia ada darah di situ, sama ada darah binatang yang sama atau darah binatang yang lainnya. Perbuatan ini menyebabkan darah itu akan terkena kepada daging yang baru diletakkan itu. Yang demikian, darah yang baru melekat pada daging itu telah menyebabkan daging berkenaan menjadi najis. Oleh yang demikian daging yang seperti ini tidak boleh terus dimasak tanpa dibersihkan terlebih dahulu.
Jadi sekiranya daging (seperti sate) itu tidak pernah dibasuh semenjak daripada awal sembelihan dan padanya hanya tinggal bekas-bekas darahnya yang asal, bukan baru mendatang, kemudian terus ianya dibakar atau direbus maka ianya halal dimakan.
Akan tetapi jika ianya telah dibasuh bagi tujuan menanggalkan atau membuang kesan-kesan darah yang masih ada padanya, atau darah lain yang bercampur, atau hendak menanggalkan pasir-pasir yang melekat dan sebagainya sebelum dimasak, maka hendaklah dipastikan kesemua darah itu hilang supaya ia suci.
Ertinya: “Jika sekiranya darah berkenaan terkena air bagi tujuan menyucikannya, maka disyaratkan hilang sifat-sifatnya sebelum dimasukkan ke dalam periuk (untuk dimasak)”
Sementara cara bagi membersihkan daging atau ayam yang terkena najis ialah dengan mencurah, menjirus atau menuangkan air yang suci ke atas daging atau daging ayam atau benda-benda yang kena najis itu sehingga najis itu hilang.
Adapun membersihkannya dengan cara mencelupkan daging atau daging ayam yang bernajis itu ke dalam air yang sedikit, seperti air dalam besen atau dalam periuk, walau dengan beberapa kali celup, maka cara mencelup-celup ini tidak memadai, hukumnya masih tidak suci juga.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8145
