Memetik Atau Menjual Buah-Buahan Yang Ditanam Di Kawasan Masjid
Soalan: Terdapat beberapa jenis tanaman dan buah-buahan yang ditanam di perkarangan halaman masjid yang sudah setentunya diawasi dan dikawal oleh pihak masjid.
1. Bolehkan orang ramai menggambil atau memetik buah-buahan yang ada ditanam di kawasan perkarangan masjid tersebut?
2. Bagaimanakah caranya jika orang ramai berkehendakkan buahnya seperti buah mangga yang ada tertanam di kawasan masjid?
3. Siapakah sebenarnya berkuasa terhadap tanaman dan buah-buahan yang terdapat di kawasan masjid?
4. Adakah wajib dan perlu meminta kebenaran daripada pegawai masjid yang bertugas di masjid tersebut atau tukang kebun yang menanam pokok tersebut?
Jawapan: Apa tujuan pokok buah-buahan itu ditanam, adakah hasilnya untuk mashlahat masjid yakni dimasukkan ke dalam kumpulan kewangan tabung masjid atau buah-buahnya itu boleh dipetik atau dimakan oleh sesiapa saja atau ditanam tanpa sebarang niat khas oleh orang-orang yang menanamnya. Kepelbagaian niat-niat itu akan mempengaruhi hukum memetik atau memakan buah-buahan yang ditanam itu.
Mengenai perkara ini Az-Zarkasyi menyebutkan dalam kitabnya I‘lâm As-Sâjid bi Ahkâm Al-Masâjid bahawa:
Maksudnya: “Abu Ali Abdullah Al-Hanathi telah ditanya tentang seorang yang menanam pokok di dalam masjid tentang bagaimana hendak dibuat dengan buah-buahnya. Beliau menjawab: “Jika dia menjadikan (menanam pokok-pokok itu) untuk masjid, tidaklah harus memakannya tanpa ganti rugi, dan wajib menyerahkannya (buah-buahan atau hasilnya) kepada mashlahat masjid. Adapun jika seseorang menanam pokok buah-buahan itu untuk musabbalah (orang awam) untuk dimakan, hukumnya haruslah memakannya tanpa ganti rugi. Demikian juga jika tidak diketahui niat orang yang menanamnya, di mana adat kebiasaan adalah mengharuskan memakannya.”
Maka sehubungan dengan ini, orang ramai atau ahli jemaah masjid tidaklah boleh mengambil atau memetik buah-buahan yang ditanam di kawasan masjid dengan sesuka hati mereka. Mereka mestilah memberitahu atau meminta izin terlebih dahulu kepada imam, bagi mengetahui, sama ada pokok berkenaan ditanam untuk mashlahat masjid atau untuk orang ramai. Dengan demikian, mereka dapatlah menentukan di mana jalan yang betul dan selamat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8374
