Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Sejauh Mana Harusnya Thalaq (2)

Sebagaimana yang telah dijelaskan pada keluaran yang telah lalu bahawa pensyariatan thalaq atau perceraian merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambaNya. Ia juga merupakan satu keperluan ataupun hajat untuk menyelesaikan masalah rumah tangga yang betul-betul kritikal yang tidak boleh diselesaikan melainkan dengan cara perceraian.

Di samping itu, sungguhpun thalaq adalah satu perkara yang diharuskan, akan tetapi keharusan itu bukanlah secara mutlak. Bahkan ianya tertakluk kepada sesuatu keadaan. Dari situ hukum thalaq itu boleh berpindah kepada hukum yang lain seperti haram, makruh, wajib dan sunat.

Adapun sebagai menyambung perbincangan mengenai thalaq ini, dihuraikan serba sedikit perkara-perkara yang berhubungkait dengannya.

Langkah-Langkah Tertentu Sebelum Memilih Thalaq

Dalam memelihara ikatan perkahwinan yang dilanda masalah, Islam menganjurkan beberapa langkah yang perlu dibuat bagi mengelakkan daripada berlakunya perceraian. Contohnya, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyûz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (Surah Al-Nisâ’: 34)

Melalui ayat di atas dapat disimpulkan bahawa dalam menghadapi isteri yang nusyûz haruslah melalui beberapa peringkat. Pertama sekali, memberi nasihat kepada isteri, bila nasihat tidak bermanfaat barulah dipisahkan dari tempat tidur mereka, bila tidak bermanfaat juga barulah dibolehkan memukulnya dengan tujuan untuk membetulkannya, bukan untuk menyakitinya. Bila cara pertama telah ada manfaatnya janganlah dilakukan cara yang lain dan seterusnya.

Ini menunjukkan juga betapa Islam sangat-sangat memelihara ikatan perkahwinan jangan sampai terputus, janganlah pasangan suami isteri itu bertindak secara melulu tanpa adanya tindakan-tindakan ataupun langkah-langkah awal yang perlu dilakukan bagi mengelak perceraian, kerana perceraian itu, walaupun ia merupakan perkara yang halal tetapi ia adalah sangat-sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana disebutkan di dalam hadits:

Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma menceritakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ‘Azza wa Jalla ialah thalaq. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Allah tidak suka suami atau isteri yang suka bercerai tanpa sebab-sebab yang betul-betul mendesak, kerana Islam adalah agama perpaduan dan perdamaian bukan untuk perpecahan. Ini dapat dilihat dari tujuan perkahwinan yang diikat atas dasar murni iaitu untuk berkasih-kasihan, kedamaian, ketenangan jiwa dan untuk menyambung zuriat. Maka tidak seharusnya diporakperandakan dengan perceraian tanpa ada sebab musabab yang diharuskan syara‘.

Bilamana perceraian berlaku sudah pasti perpisahan akan berlaku bukan saja di antara suami dengan isteri, malahan juga keluarga suami dengan keluarga isteri dan yang lebih malang bila anak-anak terpisah daripada ibu atau bapa. Keharmonian pula bertukar menjadi kebencian.

Oleh sebab itu, walaupun thalaq itu satu perkara yang halal tetapi Islam tidak membukakan pintu perceraian dengan luas tanpa ada batas-batasnya. Islam lebih menggalakkan pasangan suami isteri supaya banyak bersabar, tabah dalam menghadapi kerenah-kerenah yang dicetuskan oleh pasangan masing-masing sama ada suami ataupun isteri, melayani atau menggauli mereka dengan cara yang ma‘rûf, dengan cara yang baik, mewujudkan keadaan yang boleh membawa keharmonian dalam rumah tangga dan menciptakan kemesraan dalam setiap pergaulan. Walaupun tingkahlaku suami ataupun isteri itu tidak mendatangkan kesukaan dan kegembiraan, namun cuba layani dia dengan sebaik mungkin, perbetulkan jika boleh dengan cara berperingkat-peringkat sambil berharap semoga Allah akan mengubah keadaan tadi kepada yang lebih baik sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (Surah Al-Nisâ’: 19)

Hak Isteri Dan Sempadannya

Sungguhpun kuasa untuk menjatuhkan thalaq itu berada di tangan suami namun Islam telah mensyariatkan beberapa jalan keluar bagi isteri yang menghadapi masalah rumah tangga yang dicetuskan oleh suami, seperti suami berperangai buruk, tabiatnya yang terlalu keras atau kasar hingga tidak tertanggung oleh isteri, tidak menunaikan ataupun cuai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami, tidak memberi nafkah yang cukup dan seumpamanya. Dalam hal ini isteri khuatir jika keadaan ini berterusan akan menyebabkan dia berlaku nusyûz dan tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Ini menyebabkan kedua-duanya iaitu suami isteri tidak dapat melakukan tuntutan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh yang demikian, isteri bolehlah mengadu kepada qadhi untuk meminta cerai daripada suaminya, di antaranya ialah dengan cara tebus thalaq iaitu dengan memberikan wang atau lain-lain perkara kepada suami sebagai tebusan. Thalaq cara ini dinamakan khulu‘. Khulu‘ ini disyariatkan melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus thalaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). (Surah Al-Baqarah: 229)

Juga hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas beliau berkata: “Isteri Thabit bin Qais bin Syammas datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak mencerca Tsabit bin Qais mengenai budi pekerti dan agamanya, tetapi aku tidak suka kekufuran dalam Islam.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mahukah engkau mengembalikan kebunnya yang dahulu diberikan kepada engkau sebagai mas kahwin?” Isteri Tsabit menjawab: “Mahu, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada Tsabit bin Qais: “Terimalah kebun itu dan thalaqkanlah dia dengan satu thalaq. (Hadits riwayat Bukhari dan Nasâ’i)

Perlu diingat juga bahawa isteri tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memutuskan tali perkahwinan yang aman damai, tenteram dan tiada dilanda masalah yang benar-benar menghendaki perceraian, kecuali terjadi penganiayaan atau kezaliman terhadap isteri. Adalah haram hukumnya isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘. Ini dapat difahami melalui hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Tsauban menceritakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mana- mana perempuan yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sesuatu sebab yang menyusahkan dirinya, haram ke atasnya mencium bau syurga. (Hadits riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud dan Tirmidzi)

Suami Jangan Salah Guna Kuasanya

Islam menyuruh umat manusia supaya berlaku adil, bertimbang rasa, tidak melakukan kezaliman walaupun terhadap diri sendiri apatah lagi terhadap orang lain, lebih-lebih lagi terhadap orang yang terdekat dengan dirinya sendiri, yang mempunyai pertalian kekeluargaan. Sehubungan dengan itu, pihak suami yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan thalaq dan berhak merujû‘ semula isterinya selama dia masih dalam ‘iddah, janganlah hendaknya menggunakan kuasa dan haknya itu sebagai alat untuk menganiaya isterinya, seperti membiarkan isteri tanpa pemedulian dan tidak pula diceraikan, yang terkenal dengan istilah ‘gantung tidak bertali’. Sebahagian suami menggunakannya sebagai senjata untuk membalas dendam terhadap isteri disebabkan ingin menang sendiri dalam perselisihan yang berlaku di antara mereka walaupun perselisihan itu berpunca dari kesalahan atau kecuaian suami. Perbuatan sedemikian adalah zalim. Sebab itulah, agama Islam telah menggariskan panduan bagi suami yang menthalaq isterinya dengan thalaq raj‘i (thalaq yang suami masih dapat merujû‘ kembali kepada bekas isterinya tanpa memerlukan akad yang baru, asalkan isteri masih dalam ‘iddah, seperti thalaq satu dan dua), bilamana dia berkeinginan untuk merujû‘ kembali isterinya maka rujû‘lah dia dengan cara dan tujuan yang baik, iaitu untuk menjalankan perintah-perintah Allah, memperbaiki semula hubungan, menghidupkan semula kasih mesra keduanya dan mewujudkan semula keharmonian berumahtangga, bukannya untuk membelenggu isteri sehingga dia menjadi serba salah untuk hidup bebas kerana terikat dengan tanggungjawab sebagai isteri.

Bilamana keadaan untuk rujû‘ semula tidak mengizinkan, maka hendaklah dilepaskan isteri itu dengan cara yang baik dan damai. Perkara ini ada dinyatakan dalam Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Thalaq (yang boleh dirujû‘ kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah dia (rujû‘ dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah Al-Baqarah: 229)

Kemudian pada akhir ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi ingatan kepada orang-orang yang melanggar hukum-hukum Allah melalui firmanNya yang berbunyi:

Tafsirnya: Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah: 229)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: Kemudian, Apabila mereka (hampir) habis tempoh ‘iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujû‘) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. (Surah Al-Thalâq: 2)

Kesimpulannya, thalaq bukanlah sesuatu yang dapat dipermain-mainkan, dipergunakan sesuka hati menurut hawa nafsu tanpa memikir akan akibatnya. Ia hanya digunakan bilamana keadaan betul-betul mendesak dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘ dan merupakan ikhtiar terakhir bagi mencari perdamaian melalui perpisahan antara kedua belah pihak, bukan perpisahan untuk menimbulkan kebencian dan permusuhan.

Ini dapat kita fahami melalui dua ayat di atas tadi, iaitu:

Tafsirnya: Atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah Al-Baqarah: 229)

Dan ayat:

Tafsirnya: Atau lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. (Surah Al-Thalâq: 2)

Jadi, perdamaian itu sesuatu yang baik dan ma‘rûf. Manakala kebencian dan permusuhan adalah perkara yang tidak baik. Maka tentulah tujuan thalaq atau perceraian dalam Islam itu adalah untuk mencari perdamaian dan kebaikan, di samping untuk mengelakkan kebencian dan keburukan yang lebih besar. Inilah tuntutan Islam dalam pensyariatan thalaq.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-4176