Korban
Pendahuluan
Hari Raya Haji yang lebih dikenali sebagai Hari Raya Korban adalah hari mulia, yang lebih besar dan lebih tinggi darjatnya daripada Hari Raya Fitrah. Maka sebagai tanda perkembangan syiar agama Islam dalam menyambut kebesaran Hari Raya Adha itu di antaranya kita disunatkan menyembelih binatang korban.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama untuk kamu. (Surah Al-Hajj: 36)
Binatang korban itu ialah binatang yang disembelih daripada unta, lembu, kerbau atau kambing kerana menghampirkan diri taat kepada Allah Ta‘ala pada Hari Raya Haji hingga akhir hari Tasyriq.
Menyembelih korban adalah amalan yang lebih disukai oleh Allah pada Hari Raya Adha itu. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu- bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Amalan menyembelih korban itu juga adalah merupakan bukti keikhlasan dan ketaqwaan kita dalam menghidupkan syiar agama Islam. Ini jelas difahami dari firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. (Surah Al-Hajj:37)
Maka ruangan irsyad hukum pada keluarannya kali ini akan menyentuh beberapa perkara mengenai korban.
Fadhilat Korban
Berkorban itu hukumnya sunat, dan fadhilat yang diperolehi daripada berkorban itu amat besar, antaranya:
i. Menambah amal kebajikan, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan. (Hadits riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Al-Hakim)
ii. Sebagai penebus dosa, seperti sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Saiyyidatina Fatimah:
Maksudnya: Hai Fatimah berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadits riwayat Al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
iii. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Thabarani)
Waktu Menyembelih Korban
Waktu menyembelih korban itu ialah selepas naik matahari pada Hari Raya Adha sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah yang ringkas. Berkekalan masa korban itu sehingga terbenam matahari akhir hari Tasyriq iaitu hari ke 13 Zulhijjah, seperti mana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tanah ‘Arafah itu adalah semuanya tempat wuquf dan kesemua hari-hari Tasyriq itu adalah waktu penyembelihan. (Hadits riwayat Baihaqi)
Maka jika disembelih sebelum waktu tersebut di atas tidaklah ia dikira korban seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Bahawa yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (Hari Raya Adha), kami sembahyang, kemudian kami balik ke rumah, selepas itu kami menyembelih korban, maka siapa yang membuat seperti yang demikian, maka dia memperolehi sunat (ibadat) kami, dan sesiapa yang menyembelih sebelum itu (sebelum sembahyang) maka yang demikian itu hanyalah daging biasa yang dibahagi-bahagikan kepada keluarganya, bukanlah yang demikian itu termasuk dalam ibadat korban. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitu juga jika dia menyembelih selepas terbenam matahari 13 Zulhijjah, maka luputlah dia dari ibadat korban. Jika disembelih pada tahun hadapannya pada waktu korban, maka yang demikian itu adalah dikira korban pada tahun dia menyembelih itu dan tidak dikira sebagai korban bagi tahun yang telah luput.
Jika yang luput itu korban nazar, maka wajib atas yang bernazar itu menyembelih pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu.
Jenis Dan Sifat Binatang Korban
Binatang yang dijadikan korban itu hanyalah unta atau lembu (sapi) atau kerbau atau kambing, sama ada jantan atau betina, dan tiada memadai dengan binatang yang lain seperti rusa, kijang dan sebagainya.
Umur unta yang dibuat korban itu hendaklah cukup lima tahun, umur lembu atau kerbau dan kambing hendaklah cukup dua tahun dan umur biri-biri cukup setahun.
Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud korban, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja. Ini dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu telah berkata dia:
Maksudnya: Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (dari Madinah) berniat untuk mengerjakan haji maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang dari kami bagi seekor unta. (Hadits riwayat Muslim)
Pada riwayat yang lain pula disebutkan:
Maksudnya: Kami telah menyembelih bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di Hudaibiyah seekor unta bagi tujuh orang dan seekor lembu bagi tujuh orang. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Seekor kambing pula hanya boleh dikorbankan untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyembelih dua ekor kibasy dan Baginda berdoa:
Maksudnya: Ya Allah! Mohon terima (korban) daripada Muhammad dan daripada keluarga Muhammad.
Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir, kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri kemudian kambing biasa. Berkorban dengan tujuh ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu, kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah kerana disembelih. Berkorban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.
Afdhalnya binatang korban itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.
Disyaratkan binatang korban itu selamat daripada kecacatan (‘aib) yang mengurangkan dagingnya atau sesuatu yang dimakan. Disebut dalam sebuah hadits riwayat Abu Daud, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang empat perkara yang tiada memadai yakni tidak memenuhi syarat pada korban itu:
Maksudnya: Empat perkara yang tiada memadai pada korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya, yang kurus dan sangat lemah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Dari hadits di atas dapat kita fahami bahawa jika kecacatan itu tidak bersangatan misalnya buta itu sekadar rabun sahaja atau tidak bersangatan, maka yang demikian itu memadai dijadikan korban.
Tidak memadai jika binatang yang hendak dikorbankan itu berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit atau yang terpotong telinganya sekalipun yang terpotong itu sedikit, atau yang tidak bertelinga semula jadi. Tetapi tiada mengapa jika binatang korban itu koyak telinganya atau dilubangi pada telinganya dengan syarat jangan ada yang gugur daripada dagingnya sedikit pun. Tidak memadai juga yang terpotong sebahagian lidahnya atau ekornya atau yang terpotong suatu yang nyata potongan dari paha.
Dalam pada itu harus dijadikan korban binatang yang tidak bertanduk atau tidak berekor pada semula jadinya atau yang patah tanduknya yang tidak merosakkan dagingnya. Walau bagaimanapun yang afdhalnya ialah yang bertanduk seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sebaik-baik korban itu kibasy yang bertanduk. (Hadits riwayat Al-Hakim)
Tiada mengapa yang dikorbankan itu rumpang (gugur sebahagian giginya) jika tiada menyebabkan kurang dagingnya, tetapi tidak memadai jika gugur semua giginya.
Hukum Korban
Hukum berkorban pada Hari Raya Adha itu adalah sunat mu’akkadah (kifayah) atas orang Islam yang merdeka, ‘âqil, baligh lagi rasyîd dan mampu mengadakannya iaitu mempunyai lebih harta dari keperluan dirinya. Sunat itu menyeluruh bagi semua orang termasuk orang musafir dan orang yang sedang mengerjakan haji. Dalil yang menunjukkan sunat menyembelih korban itu firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur. (Surah Al-Kautsar: 2)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membuat korban di Mina untuk isteri-isterinya dengan seekor lembu.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Aku perintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Dari keterangan di atas maka adalah makruh meninggalkan ibadat korban itu bagi mereka yang mampu mengadakannya.
Hukum sunat mu’akkadah menyembelih korban itu akan menjadi wajib jika ia dinazarkan seperti katanya: “Bagi Allah atasku menyembelih korban dengan kambing ini” atau “jika aku memiliki seekor kambing, maka wajib atasku membuat korban dengannya”, ataupun dia telah menentukan binatang untuk dijadikan korban seperti katanya: “Aku jadikan korban kambing ini” atau “kambing ini adalah korban”. Tetapi jika ketika membeli kambing itu ada niat di dalam hatinya untuk menjadikan kambing itu sebagai korban dan tidak dilafazkan niatnya, maka tidaklah dia menjadi korban yang wajib.
Terdapat beberapa hukum yang perlu diambil perhatian berhubung dengan korban nazar (wajib) itu:
i) Binatang korban yang dinazarkan itu tidak boleh dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan) dan tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik.
ii) Jika binatang korban yang dinazarkan itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban tetapi bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.
iii) Jika binatang yang dinazarkan itu dijual oleh orang yang bernazar itu, maka hendaklah dia mendapatkannya semula dari orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal dari harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.
iv) Jika dia bernazar pada dirinya seperti katanya: “Bagi Allah atasku berkorban”, selepas itu dia menentukan binatang yang hendak dikorbankannya itu seperti katanya: “Inilah lembu yang aku nazarkan”, maka wajib disembelih lembu yang ditentukan itu. Jika binasa sebelum waktu berkorban wajib digantinya, kerana tsabit wajib berkorban itu pada dzimmahnya (tanggungannya) kerana nazarnya.
v) Jika binatang yang dinazarkan itu dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.
vi) Jika binatang yang dinazarkan itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang bernazar itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.
vii) Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam nazar itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.
Sekiranya disembelih dalam keadaan cacatnya itu sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Korban itu. Tetapi wajib atasnya bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.
Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.
viii) Jika binatang yang dinazarkan itu telah disembelih lalu rosak dagingnya (tidak boleh dimakan lagi) kerana lambat membahagi-bahagikannya, wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.
Menyembelih Korban
Binatang yang hendak dijadikan korban itu, sunat disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hukum mengenai korban.
Hukum boleh berwakil itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda menyembelih sendiri dengan tangan Baginda yang mulia enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya.
Dalam hal ini adalah lebih baik dan lebih afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir ketika penyembelihan korbannya itu dilakukan.
Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia suatu ibadat dan harus mendahulukan niat itu daripada menyembelih mengikut pendapat yang ashah. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut. Tiada boleh menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya, atau bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada ada wasiat atau pesanannya. Jika dilakukannya juga, tiada dikira sebagai korban orang mati itu (tidak sah) dan tidak juga dikira sebagai korban orang hidup yang membuat korban itu.
Cara Penyembelihan Korban
Menyembelih korban itu ialah dengan memotong hingga putus kesemua halqum dan mari’ binatang itu dengan alat yang tajam yang bukan tulang atau kuku. Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ itu ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.
Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).
Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.
Perkara-Perkara Yang Sunat Dilakukan Ketika Menyembelih Binatang Termasuk Korban
i) Menajamkan pisau yang akan digunakan untuk menyembelih.
ii) Melalukan pisau pada leher binatang yang disembelih itu dengan kuat dan bersungguh-sungguh dengan cepat supaya senang putus urat halqum dan mari’nya.
iii) Orang yang menyembelih menghadap qiblat dan dihalakan binatang yang akan disembelih ke qiblat kerana qiblat itu semulia-mulia arah lebih-lebih lagi pada binatang korban.
iv) Ketika hendak menyembelih sunat membaca basmalah dan berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti katanya:
Ini berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka makanlah kamu akan daging binatang yang telah disembelih dengan menyebut nama Allah. (Surah Al-An‘âm: 118)
Mengikut mazhab Syafi‘e, membaca basmalah itu bukanlah wajib tetapi makruh meninggalkannya. Jika ditinggalkan dengan sengaja atau lupa oleh penyembelih sembelihan itu adalah halal dimakan.
Selain itu sunat bertakbir sebelum membaca basmalah, seperti katanya:
Selepas berselawat sunat pula dibaca:
v) Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan memudahkan keluar roh binatang tersebut.
vi) Sunat disembelih lembu atau kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, melainkan kaki kanannya dibiarkan (tidak diikat) supaya binatang itu dapat rehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu.
vii) Setelah selesai disembelih sunat dibiarkan binatang itu sehingga mati.
viii) Sunat diberi minum sebelum ia disembelih, jangan diasah pisau penyembelih di hadapan binatang yang akan disembelih dan jangan menyembelih binatang lain di hadapannya.
Hukum Daging Korban
Sepertimana yang telah dijelaskan di atas bahawa korban itu terbahagi kepada dua iaitu korban wajib dan korban sunat.
Bagi daging sembelihan korban wajib seperti korban nazar hukumnya wajib disedekahkan kesemuanya. Haram atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika dimakannya daging itu wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.
Manakala daging korban sunat pula adalah sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. (Surah Al-Hajj: 28)
Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.
Afdhalnya disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada mementingkan diri sendiri.
Afdhalnya yang dimakan itu ialah bahagian daripada hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.
Jika dimakan kesemua daging korban sunat itu dan tiada sedikitpun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin adalah dikira sah korbannya, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.
Harus daging korban sunat itu dihadiahkan kepada orang kaya yang Islam untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan-tujuan yang lain seperti memilikinya, menjualnya atau sebagainya, berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, daging itu adalah menjadi milik mereka dan harus bagi mereka menjual daging tersebut kepada orang lain.
Haram menyedekahkan dan menghadiahkan daging korban kepada orang kafir, walaupun sedikit sama ada ia korban wajib atau sunat. Begitu juga haram atas orang yang berkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada korban itu, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira baginya korban. (Hadits riwayat Al-Hakim)
Haram kulit atau daging binatang korban itu dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.
Dalam menyedekahkan daging korban itu tidak memadai dimasak daging tersebut kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya, kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang masak.
Yang mesti dimiliki oleh orang fakir dan miskin itu ialah daging korban berkenaan bukan kulit atau hatinya atau sebagainya.
Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
Jika binatang korban yang dinazarkan itu beranak selepas ditentukan sebagai nazarnya, anak binatang tersebut adalah mengikut hukum ibunya iaitu disembelih kedua-duanya sama ada hamilnya selepas penentuan nazar ataupun sebelumnya. Dalam hal hukum daging kedua-duanya itu hendaklah disedekahkan sebahagian daripada daging ibunya dan boleh dimakan daging anaknya itu kesemuanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6341
