Beberapa Panduan Mengenai Dengan Masjid
Masjid merupakan tempat di mana orang-orang Islam mengerjakan ibadat seperti mengerjakan sembahyang, beri‘tikâf, membaca Al-Qur’an, mengaji ilmu dan sebagainya. Di samping itu masjid juga merupakan syiar agama Islam dan merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala di muka bumi ini sama ada ianya terletak dalam sebuah negeri, bandar, pekan atau kampung. Daripada sahabat, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Semulia-mulia tempat di sisi Allah ialah masjid-masjidnya (yang ada di tempat itu), dan sebenci-benci tempat di sisi Allah ialah pasar-pasarnya (di tempat itu), (kerana di pasar biasanya berlaku tipu daya, pertengkaran, kelalaian daripada mengingat Allah dan sebagainya).
Memandangkan betapa besarnya kedudukan dan kemuliaan masjid di sisi Allah, maka sudah semestinyalah kita umat Islam memuliakannya, di antaranya dengan cara memerhati adab-adab, larangan-larangan dan hukum-hukum yang berhubungkait dengannya.
Adab dan hukum yang berhubungkait dengan masjid ini sewajarnya diketahui oleh setiap orang Islam, supaya kita akan terselamat dari melakukan sesuatu yang ditegah atau tidak diingini oleh syara‘. Berikut ini beberapa panduan mengenainya.
1. Adalah ditegah yakni haram bagi orang yang berhadats besar berhenti ataupun duduk diam di dalam masjid. Tetapi tidak haram dan tidak makruh baginya melintas di dalam masjid dari satu pintu ke satu pintu yang lain, sama ada kerana ada hajat ataupun tidak, atau sama ada dia boleh lalu menerusi jalan yang lain ataupun tidak.
2. Jikalau seseorang bermimpi junub (berhadats besar) di dalam masjid, maka wajib ke atasnya keluar daripada masjid, kecuali jika dia tidak berdaya untuk keluar disebabkan pintu masjid berkunci, ataupun disebabkan dia takut dirinya atau hartanya akan binasa jika dia keluar daripada masjid. Jika dia tidak berdaya dan takut untuk keluar, harus baginya duduk diam di dalam masjid, kerana dia terpaksa berbuat begitu.
Andaikata masjid itu mempunyai dua pintu, maka eloklah bagi orang yang berhadats besar itu keluar dari pintu yang lebih dekat. Jika pun dia keluar dari pintu yang lebih jauh, kerana ada sesuatu tujuan, seperti jalan rumahnya menuju ke arah yang demikian, maka tidaklah makruh baginya berbuat begitu.
3. Harus bagi orang yang berhadats kecil duduk di dalam masjid dengan ijmâ‘ umat Islam, sama ada dia duduk kerana ada tujuan syara‘ seperti menunggu waktu sembahyang, beri‘tikâf, mendengar bacaan Al-Qur’an, mendengar ilmu, mendengar syarahan dan sebagainya, ataupun jika dia duduk di dalam masjid itu tanpa ada tujuan syara‘, maka hukumnya adalah harus dan tidak makruh.
4. Menurut mazhab Syafi‘e adalah harus dan tidak makruh tidur di dalam masjid. Ini ada dinashkan oleh Imam Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitabnya Al-Umm.
Dalil yang menunjukkan tidak makruh tidur di dalam masjid ialah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: “Aku pernah tidur di dalam masjid dan pada masa itu aku masih lagi muda, belum beristeri.”
Imam Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala ada menegaskan di dalam kitab Al- Mukhtashar bahawa tidak mengapa orang musyrik bermalam di dalam mana-mana masjid, kecuali Masjid Al-Haram di Makkah.
Para ulama mazhab Syafi‘e pula menegaskan bahawa tidak boleh diizinkan orang-orang musyrik memasuki tanah haram Makkah. Adapun selain daripada tanah haram Makkah, harus dan boleh orang kafir itu masuk ke dalam mana-mana jua masjid dan bermalam di dalamnya dengan kebenaran orang Islam. Akan tetapi ditegah masuk masjid dan bermalam di dalamnya jika tidak ada kebenaran daripada orang Islam.
5. Tiada mengapa makan, minum dan meletakkan hidangan di dalam masjid. Begitu juga tidak mengapa membasuh tangan di dalam masjid, tetapi sayugialah diperingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan masjid.
6. Adalah makruh bagi orang yang makan bawang putih, bawang merah, kucai dan lain-lain makanan yang mempunyai bau yang kuat dan kekal baunya itu sehingga menimbulkan kurang keselesaan kepada orang lain, masuk ke dalam masjid dengan tiada hajat atau keperluan. Ini adalah berdasarkan daripada hadits-hadits shahîh yang menegaskan mengenainya. Di antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa makan daripada sayuran ini -yakni bawang putih- maka jangan dia mendekati masjid kami sehingga hilang baunya.
Di dalam hadits yang lain daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Barangsiapa makan daripada pokok ini (bawang putih), maka jangan dia mendekati kami dan jangan dia bersembahyang bersama kami.
Termasuk juga di dalam benda-benda yang mempunyai bau yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang lain dan persekitaran ialah bau rokok, kerana bau busuk itu menyakiti para malaikat, sebagaimana ianya menyakiti anak adam.
Oleh itu, sayugialah bagi orang yang hendak pergi ke masjid berpakaian bersih dan suci. Bagi lelaki disunatkan memakai wangi-wangian. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu (memasuki) masjid (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah Al-A‘râf: 31)
7. Harus mengeluarkan angin daripada dubur (berkentut) di dalam masjid, akan tetapi lebih utama dan elok menghindarkan diri daripada berbuat demikian.
8. Tidak harus yakni haram berkencing di dalam masjid, sekalipun ditadah kencing itu menggunakan bejana.
Begitu juga memasukkan benda-benda yang najis ke dalam masjid. Adapun bagi orang yang terdapat di badannya najis atau luka, jika dia takut akan mengotorkan masjid dengan najis itu, haram ke atasnya masuk ke dalam masjid itu. Andaikata masjid itu selamat daripada najis, maka tidaklah haram ke atasnya masuk ke dalam masjid. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Anas Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak layak untuk sesuatu daripada air kencing dan tidak pula kotoran. (Akan tetapi) ia (masjid-masjid itu) hanyalah untuk mengingati Allah ‘Azza wa Jalla, sembahyang dan membaca Al-Qur’an.
9. Makruh meninggikan suara di dalam masjid, apatah lagi berbantah-bantahan. Begitu juga makruh bersuara mencari benda yang hilang di dalam masjid.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau ada mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang mendengar seseorang bersuara mencari benda yang hilang di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya: “Allah tidak akan mengembalikannya kepadamu”, (kerana) sesungguhnya masjid-masjid tidak dibina untuk (tujuan) ini.
10. Makruh berjual beli di dalam masjid, berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Tirmidzi bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Jika kamu melihat sesiapa yang berjual atau membeli di dalam masjid, maka katakanlah: “Allah tidak akan memberi keuntungan (kepada) perniagaanmu”, dan jika kamu melihat orang bersuara mencari benda yang hilang di dalamnya, maka katakanlah: “Allah tidak akan mengembalikannya kepadamu.”
11. Tidaklah mengapa memberi sedekah kepada orang miskin di dalam masjid, kerana Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu telah memberi makanan kepada orang miskin di dalam masjid, sebagaimana tersebut di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.
12. Harus dan boleh bercakap mengenai perkara-perkara yang harus pada syara‘ di dalam masjid. Ini adalah berdasarkan kepada hadits sahabat, Jabir bin Samurah Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Adalah Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tiada bangkit dari tempat sembahyangnya yang Baginda bersembahyang Shubuh padanya hingga terbit matahari. Maka apabila terbit matahari, Baginda (pun) bangkit. Berkata (Jabir): “Adalah sahabat-sahabat Radhiallahu ‘anhum bercakap- cakap dan melarat pada bercakap mengenai perkara-perkara yang berlaku di zaman jahiliah, maka mereka ketawa dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tersenyum (di atas kelakuan mereka itu).
13. Bagi sesiapa yang duduk di dalam masjid kerana menunggu waktu sembahyang atau kerana mengikuti majlis ilmu atau apa-apa jua tujuan yang harus dan boleh pada syara‘, sunat berniat i‘tikâf, kerana menurut mazhab Syafi‘e sah i‘tikâf walaupun dalam masa yang singkat.
14. Adalah makruh bagi sesiapa yang masuk masjid kemudian terus duduk sebelum dia mengerjakan dua rakaat sembahyang Tahiyyatul masjid, sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:
Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang dua rakaat.
Sembahyang Tahiyyatul masjid itu dikerjakan sebanyak dua rakaat sebagaimana tersebut di dalam hadits di atas. Akan tetapi harus juga dikerjakan lebih daripada dua rakaat dengan satu salam.
Para ulama Syafi‘e sepakat menegaskan bahawa tidaklah disyaratkan sembahyang tersebut diniatkan dua rakaat Tahiyyatul masjid, bahkan jika dia sembahyang dua rakaat dengan berniat sembahyang sunat Muthlaq atau berniat dua rakaat sunat rawâtib atau berniat dua rakaat sunat bukan rawâtib atau berniat sembahyang fardhu sama ada tunai ataupun qadha atau nazar, maka memadailah niatnya itu dan tertunailah sembahyang yang diniatkannya sebagaimana juga tertunai dengan sendirinya sembahyang Tahiyyatul masjid.
Sebaliknya jika seseorang itu mengerjakan sembahyang jenazah atau sujud tilâwah atau sujud syukur atau sembahyang satu rakaat, maka yang demikian itu tidaklah tertunai dengannya sunat Tahiyyatul masjid.
15. Dinding masjid sama ada yang di luar atau yang di dalam adalah termasuk di dalam hukum masjid pada perkara wajib memelihara dan menghormatinya. Begitu juga sathh (atap) masjid, ruang lapang dalam masjid dan perigi yang sedia ada di dalam masjid.
16. Adalah makruh bagi seseorang keluar daripada masjid sejurus selepas azan, sebelum dia menunaikan sembahyang, melainkan jika ada keuzuran sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sya‘tsa’ beliau berkata:
Maksudnya: Kami telah duduk bersama Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu di dalam masjid, maka mu’azzin pun melaungkan azan, lalu berdiri seorang lelaki melangkah daripada masjid, sedang Abu Hurairah memerhatikannya sehingga lelaki itu keluar daripada masjid. Maka berkata Abu Hurairah: “Adapun ini telah menyalahi (sunnah) Abu Al-Qasim (Rasulullah) Shallallahu ‘alaihi wasallam.
17. Sunat bagi orang yang baru balik dari pelayaran singgah dahulu ke masjid dan mendirikan dua rakaat sembahyang sunat, sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ka‘b bin Malik Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda sampai dari pelayaran, Baginda singgah dahulu ke masjid lalu mendirikan sembahyang dua rakaat di dalamnya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
18. Sunat dan mustahabb menjalankan akad nikah di dalam masjid, kerana mengambil berkat semulia-mulia tempat di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
19. Tidak makruh berzikir di dalam masjid dengan mengangkat suara, membaca Al-Qur’an umpamanya, asalkan saja ianya tidak mengganggu orang yang sedang sembahyang atau tidak menyakiti orang yang sedang tidur.
Jika ianya boleh menyakiti dan sampai ketahap yang melampau, maka haram hukumnya dan ditegah daripada melakukannya.
20. Disunatkan melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan dan membaca doa ini sebelum masuk ke dalamnya:
Ertinya: Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Agung, dan dengan namaNya Yang Maha Mulia, dan dengan nama kuasaNya Yang Maha Qadîm, dari syaitan yang kena laknat, dengan nama Allah dan segala puji-pujian bagi Allah, Ya Allah mohon kurniakan selawat dan selamat sejahtera ke atas Sayyidina Muhammad dan ahli keluarga Muhammad. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa hamba dan mohon bukakan bagi hamba pintu-pintu rahmat Tuhan hamba.
21. Manakala jika dia hendak keluar dari masjid, maka adalah sunat dengan mendahulukan kaki kiri dan membaca doa sebelum keluar dari masjid iaitu doa yang seperti di atas dengan menggantikan:
dengan:
Ertinya: Dan mohon bukakan bagi hamba pintu-pintu kelebihan dan anugerah Tuhan hamba.
Demikianlah dihuraikan sedikit sebanyak berkenaan adab dan hukum yang berkaitan dengan masjid. Semoga ianya akan menjadi panduan kepada kita semua dalam menjaga dan memelihara kehormatan serta kemuliaan masjid sebagai semulia-mulia rumah di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang digelar juga Baitullah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6388
