Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bersiwak

Para doktor perubatan semasa, mengakui bahawa bersugi itu mempunyai faedah-faedah dan kelebihan-kelebihan. Mereka berpendapat bahawa amalan menggosok gigi atau bersugi itu boleh mencegah daripada gigi menjadi rosak dan berlubang, gigi kekuning-kuningan, bengkak gusi dan mulut. Bersugi juga boleh mencegah daripada gangguan urat saraf, penglihatan mata, pernafasan dan penghadaman makanan. Bahkan lebih daripada itu ianya juga boleh mencegah daripada lemah daya ingatan, lemah akal fikiran dan akhlak yang tidak baik.

Sememangnya bersiwak atau menggosok gigi itu sudah lebih awal disyariatkan di dalam Islam. Oleh kerana itulah kita disunatkan bersiwak atau menggosok gigi. Selain daripada ia merupakan cara untuk membersihkan mulut dan gigi ia juga merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda sangat-sangat mengambil berat tentang bersiwak ini, sehinggakan sejurus sebelum kewafatannya, Baginda tetap tidak melupakan bersiwak sebagaimana tersebut di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: “Telah masuk Abdul Rahman bin Abu Bakar dan bersamanya (kayu) siwak yang digunakannya untuk menggosok gigi, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memandang siwak kepunyaan Abdul Rahman itu, maka aku (‘Aisyah) berkata kepada Abdul Rahman: “Berikan kepadaku siwakmu itu wahai Abdul Rahman.” Maka dia pun memberikannya kepadaku dan aku menggigit-gigitnya dengan hujung gigi. (Kemudian) aku memberikannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda menggosok giginya dengannya dalam keadaan Baginda menyandar di dadaku. (Hadits riwayat Bukhari)

Hadits ini memberi pengajaran bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sangat prihatin dengan menggosok gigi atau bersiwak ini.

Sebenarnya, banyak lagi hadits-hadits yang menegaskan tentang tuntutan sunat bersiwak ini.

Imam Nawawi menegaskan di dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh Al-Nawawi bahawa bersiwak itu sunat dilakukan pada setiap waktu, lebih-lebih lagi sunat dilakukan pada lima waktu iaitu:

i) Ketika hendak menunaikan sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, dan sama ada orang yang hendak menunaikan sembahyang itu dalam keadaan suci daripada hadats kecil dengan berwudhu’ ataupun dengan bertayammum, ataupun tidak suci daripada hadats kerana ketiadaan air dan debu.

ii) Ketika hendak mengambil air sembahyang.

iii) Ketika hendak membaca Al-Quran.

iv) Ketika baru bangun dari tidur.

v) Ketika bau mulut atau bau gigi berubah disebabkan tidak makan dan minum, memakan benda yang berbau busuk, lama tidak bercakap, banyak bercakap dan lain-lain.

Adapun dalil yang menunjukkan bahawa amalan bersiwak atau bersugi itu sunat ialah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasalam:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas orang-orang mukmin -di dalam hadits riwayat Zuhair: “ke atas umatku” - nescaya aku perintahkan mereka menggosok gigi setiap kali hendak mendirikan sembahyang.” (Hadits riwayat Muslim)

Tersebut juga di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Maksudnya: Adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila bangun daripada tidur, Baginda menggosok giginya. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Telah diketahui umum bahawa di antara perkara-perkara yang menyebabkan bau mulut berubah ialah tidur, sama ada tidur pada sebelah malam ataupun pada waktu siang. Maka yang demikian itu menghendaki bersugi bagi menghilangkan bau mulut yang tidak elok. Apatah lagi jika seseorang itu bangun daripada tidurnya untuk mendirikan sembahyang, membaca Al-Quran, mengaji ilmu dan sebagainya.

Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak tidur pada waktu malam dan pada waktu siang melainkan Baginda menggosok gigi sebaik sahaja Baginda bangun dari tidur. (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Selain daripada itu adalah disunatkan bersiwak sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Ini berdasarkan sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang tersebut di dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, Baginda memulakan dengan bersiwak. (Hadits riwayat Muslim)

Banyak fadhilat (kelebihan) sembahyang orang yang bersugi jika dibandingkan dengan sembahyang orang yang tidak bersugi. Ini ada tersebut di dalam sebuah hadits:

Maksudnya: Daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “(Sembahyang) dua rakaat dengan bersiwak lebih afdhal daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersiwak.” (Hadits riwayat Abu Nu‘aim)

Makna hadits tersebut ialah bahawa pahala sembahyang dua rakaat dengan bersiwak itu lebih banyak daripada pahala sembahyang tujuh puluh rakaat dengan tidak bersiwak.

Bayangkanlah betapa besarnya fadhilat yang akan diperolehi dengan bersiwak itu jika dibandingkan dengan masa yang diluangkan untuk bersiwak sebelum mengerjakan sembahyang yang hanya memakan beberapa ketika sahaja.

Jika sembahyang yang dilakukan itu merupakan sembahyang yang dikerjakan dengan melebihi satu salam seperti sembahyang Tarâwih atau seumpamanya, maka sunat dilakukan bersugi pada setiap dua rakaat yang akan dikerjakan. Ini berdasarkan hadits tersebut di atas:

Maksudnya: “...........Nescaya aku perintahkan mereka menggosok gigi setiap kali hendak mendirikan sembahyang.” (Hadits riwayat Muslim)

Maka sayugialah terutama bagi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak mengajar, mendidik dan membiasakan mereka menggosok gigi, kerana selain ianya merupakan sebagai ibadat dan sebagai sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ia juga merupakan amalan yang sangat dituntut dari segi penjagaan kesihatan.

Adapun di antara faedah menggosok gigi atau bersugi itu selain daripada membersihkan mulut, menghilangkan bau mulut dan menguatkan gigi, ia juga boleh meningkatkan daya kecerdikan dan akal fikiran, menguatkan hafalan dan menyucikan hati.

Tidak syak lagi ini adalah di antara faktor yang boleh menolong dan membantu pertumbuhan kanak-kanak dengan baik dan sempurna, baik dari segi fizikal mahu pun dari segi spiritualnya.

Sebagaimana diterangkan terdahulu bahawa bersugi itu adalah sunat dilakukan pada setiap ketika. Walau bagaimanapun adakalanya ia berubah menjadi makruh iaitu bagi orang yang berpuasa yang menggosok gigi atau bersugi selepas tergelincir matahari (waktu bermula sembahyang fardhu Zhuhur), tidak kira sama ada dia berpuasa wajib ataupun sunat, sebagaimana hadits shahîh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Maksudnya: Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada bau haruman kesturi. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadits yang lain pula Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadhan lima perkara. Adapun yang pertama, maka sesungguhnya apabila (tiba) malam pertama daripada bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala memandang kepada mereka dan barangsiapa yang dipandang oleh Allah kepadanya dia tidak akan diazab selama-lamanya. Dan adapun yang kedua, maka sesungguhnya bau mulut-mulut mereka (orang-orang yang berpuasa) ketika waktu petang (waktu selepas tergelincir matahari) lebih harum baunya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada bau haruman kesturi....................... (Al-Hadits) (Hadits riwayat Baihaqi)

Adapun bagi orang yang tidak berpuasa, tetapi diwajibkan ke atasnya menahan diri disebabkan oleh sesuatu sebab seperti terlupa berniat puasa, tidaklah makruh baginya bersugi selepas matahari tergelincir, kerana pada hakikatnya dia bukanlah berpuasa walaupun diwajibkan ke atasnya menahan diri.

Kalau dilihat secara kasar, bersugi itu hanya merupakan penjagaan gigi, membersihkan kotoran dan menghilangkan bau. Demikian menurut ukuran fizikal sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu ia juga memberi kesan terhadap rohani diri seseorang.

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Di antara faedah dan kelebihannya itu ialah:

1. Membersihkan mulut. 2. Mengharumkan bau mulut. 3. Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. 4. Memutihkan gigi. 5. Membetulkan atau meluruskan tulang belakang. 6. Menolong menguatkan gusi. 7. Melambatkan tumbuh uban. 8. Menjernihkan kejadian yakni warna tubuh. 9. Meningkatkan kecerdikan.

10. Membaikkan ma‘idah (perut). 11. Menambahkan atau meninggikan akal fikiran. 12. Menggandakan pahala amal ibadat. 13. Memudahkan keluar nyawa ketika nazak yakni ketika hampir hendak mati. 14. Mengingatkan dan mudah menyebut dua kalimah syahadat ketika hendak mati. 15. Melapangkan kehidupan. 16. Menguatkan gigi. 17. Dimurahkan dan mudah mendapat rezeki. 18. Menenangkan sakit kepala. 19. Menghilangkan segala penyakit di dalam kepala. 20. Menghilangkan dahak. 21. Mencerahkan penglihatan mata. 22. Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan. 23. Menguatkan hafalan. 24. Mensucikan hati. 25. Menambahkan kebajikan. 26. Menyukakan malaikat. 27. Menghinakan syaitan kerana mengamalkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. 28. Memudahkan hadam makanan. 29. Dimakbulkan doa. 30. Menyerikan air muka. 31. Diiringi oleh malaikat apabila dia keluar untuk mengerjakan sembahyang. 32. Diberikan surat amalannya dengan tangan kanan. 33. Menghilangkan penyakit kusta. 34. Didatangi oleh malaikat maut tatkala mengambil nyawanya di dalam rupa yang elok.

Demikianlah di antara faedah dan kelebihan bersugi sebagaimana yang ditegaskan oleh ulama.

Adapun cara atau kaifiyyah menggosok gigi itu, Islam telah menggariskan panduannya iaitu sunat menggosok gigi dengan tangan kanan dan memulakan menggosok gigi bahagian atas di sebelah kanan mulut hingga yang di tengah sama ada di bahagian luar atau dalam gigi. Kemudian barulah menggosok gigi bahagian bawah di sebelah kanan diikuti dengan menggosok gigi yang di sebelah kiri sama seperti cara menggosok yang di sebelah kanan. Sesudah itu digosok sekaliannya dan lidah serta langit-langit halqum.

Mengenai dengan mendahulukan yang di sebelah kanan ialah kerana kemuliaan sebelah kanan itu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri suka mendahulukan yang kanan dalam banyak perkara, kecuali pada perkara-perkara tertentu. Ini jelas sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dia berkata: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka mendahulukan yang kanan dalam segala keadaan (perbuatan), (seperti) memakai kasut, menyikat rambut dan bersuci (berwudhu’ dan mandi). (Hadits riwayat Muslim)

Disunatkan juga membersihkan gigi dengan tusuk atau pengorek gigi iaitu menghilangkan sisa makanan yang tertinggal di celah-celah gigi sebelum atau selepas bersugi.

Tetapi makruh menelan atau memakan balik sisa makanan yang telah dikeluarkan dengan menggunakan pengorek gigi dan tidaklah makruh menelan balik jika sisa makanan itu dikuis dengan lidahnya.

Tersebut di dalam sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Allah memberi rahmat kepada orang-orang yang mencungkil sisa-sisa makanan (di celah-celah gigi) dan mencelah-celahi sewaktu bersuci (wudhu’ dan mandi). (Hadits riwayat Al-Dailami)

Makna hadits tersebut ialah bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencucuri rahmat ke atas orang yang menyelat-nyelati atau membersihkan gigi daripada sisa-sisa makanan yang tertinggal di celah-celah gigi. Begitu juga Allah memberi rahmatNya kepada orang-orang yang menyelang segala bulu dan janggutnya, baik ketika mengambil air sembahyang mahupun ketika mandi.

Ini merupakan doa daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bagi umat Baginda. Maka sayugialah diamati-amati serta diambil perhatian mengenai perkara ini supaya kita termasuk di dalam orang-orang yang didoakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu.

Namun begitu bersiwak adalah terlebih afdhal daripada membersihkan gigi dengan tusuk atau pengorek gigi, kerana maksud membersihkan gigi daripada sisa makanan sudah termasuk dalam bersiwak. Tambahan pula, terdapat banyak faedah dan kelebihan bersiwak atau bersugi itu sehinggakan para ulama menghitungkan kepada tujuh puluh kelebihan dan faedah.

Mengenai dengan alat yang digunakan untuk bersiwak dan pengorek gigi itu hendaklah dari jenis yang tidak memudaratkan gigi dan kesihatan.

Sebagaimana diterangkan terdahulu bahawa amalan bersiwak itu merupakan ibadat dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bukan amalan kebiasaan semata-mata, maka dengan itu adalah dituntut berniat sebelum bersugi, jika ianya tidak terkandung di dalam melakukan ibadat yang lain. Jika tidak berniat tidaklah mendapat pahala. Akan tetapi jika ianya terkandung di dalam melakukan ibadat yang lain seperti berwudhu’ tidaklah dikehendaki berniat, namun tetap akan beroleh pahala.

Adapun contoh niat bersiwak itu ialah:

Ertinya: Sahaja aku sunat bersiwak.

Disunatkan juga membaca doa di permulaan menggosok gigi dengan doa ini:

Ertinya: Ya Allah, dengan bersiwak ini putihkan gigiku, kuatkan gusiku, teguhkan anak tekakku dan berkatilah aku padanya wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani dari segala yang mengasihani.

Dari keterangan di atas, jelaslah bahawa menggosok gigi atau bersiwak itu merupakan di antara perkara-perkara yang disunatkan dengan banyak faedah serta kelebihannya. Ini telah diakui oleh perubatan moden.

Hal ini dikuatkan lagi sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Bersugi itu membersihkan mulut dan meredhakan Tuhan. (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Demikianlah dihuraikan serba sedikit mengenai dengan bersiwak atau bersugi. Semoga ianya akan mendatangkan manfaat dan menjadi panduan kepada kita semua.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6398