Bolehkah Memberhentikan Sembahyang Bersendirian Untuk Menyertai Sembahyang Berjemaah
Mengerjakan sembahyang secara berjemaah adalah afdhal daripada mengerjakannya bersendirian. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits bahawa kelebihannya ialah dua puluh tujuh kali ganda darjatnya daripada sembahyang secara bersendirian. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Persoalan yang ingin ditimbulkan ialah mengenai orang yang sedang bersembahyang bersendirian, kemudian semasa dia bersembahyang itu ada kumpulan lain datang dan mendirikan sembahyang secara berjemaah. Adakah dibolehkan orang tersebut memberhentikan sembahyang yang dilakukannya secara bersendirian untuk menyertai sembahyang berjemaah bagi mendapatkan kelebihan sembahyang berjemaah itu?
Hukum Memberhentikan Sembahyang
Pada dasarnya memberhentikan sembahyang fardhu sebelum ia sempurna dikerjakan adalah ditegah dan hukumnya haram. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: 33)
Akan tetapi jika dilakukan atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh syara‘, maka hukumnya adalah harus.
Adapun memberhentikan sembahyang sunat pula hukumnya tidaklah diharamkan sekalipun ia dilakukan bukan kerana keuzuran. Walau bagaimanapun menyempurnakan sembahyang sunat tersebut sehingga selesai adalah disunatkan.
Apakah Perkara-Perkara Yang Mengharuskan Pemberhentian Sembahyang?
Antara perkara-perkara yang mengharuskan seseorang itu keluar daripada sembahyangnya ialah:
1. Apabila mendapati seseorang berada dalam bahaya atau kecelakaan. Umpamanya seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam perigi, atau seseorang yang hampir diserang binatang buas dan tidak ada cara lain untuk menegur atau memberi peringatan kepadanya kecuali dengan memberhentikan sembahyang. Jadi dalam situasi atau keadaan ini adalah harus bahkan wajib ke atas orang yang bersembahyang itu menegurnya dengan percakapan sekalipun dengan berbuat demikian membatalkan sembahyangnya demi mengelakkan sebarang kecelakaan, kecederaan, kehilangan atau menyelamatkan nyawa dan harta benda.
2. Khusus bagi orang yang bersembahyang sunat sahaja, adalah harus dia keluar daripada sembahyangnya kerana menyahut panggilan ibu bapa. Bahkan menyahut panggilan ibu bapa itu adalah afdhal. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh, menyahut panggilan ibu bapa ketika di dalam sembahyang sunat menjadi satu kewajipan bilamana ibu bapa boleh merasa dukacita sekiranya panggilan mereka itu tidak dijawab atau tidak diendahkan.
3. Untuk menyertai sembahyang berjemaah bagi orang yang memulakan sembahyangnya secara bersendirian kerana semasa dia sembahyang bersendirian itu sembahyang jemaah mula didirikan.
Syarat Memberhentikan Sembahyang Bersendirian Untuk Menyertai Sembahyang Berjemaah
Hal memberhentikan sembahyang yang dilakukan secara bersendirian untuk menyertai sembahyang berjemaah adalah diharuskan, tetapi hendaklah dengan mengambil kira beberapa perkara seperti berikut:
1. Sembahyang Fardhu.
Apabila seseorang sudah memulakan sembahyang fardhu secara bersendirian, kemudian ketika mengerjakan sembahyang itu dia mendapati sembahyang fardhu yang sama dikerjakan secara berjemaah, maka adalah harus dan afdhal dia memberhentikan sembahyangnya semata-mata untuk mengikuti jemaah.
Begitu juga sunat menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat walaupun dia berniat sembahyang untuk tiga atau empat rakaat. Akan tetapi untuk menukar niat sembahyang fardhu kepada sembahyang sunat dua rakaat kerana menyertai sembahyang jemaah ini hanya boleh dilakukan jika:
i. Waktu sembahyang masih lagi panjang, yang jika dia menukar niat sembahyangnya sebagai sembahyang sunat dua rakaat, dia yakin setelah menyempurnakan sembahyang sunat dua rakaat itu dia sempat melakukan sembahyang jemaah yang akan disertainya itu di dalam waktunya.
ii. Melakukan jenis sembahyang fardhu yang sama dengan sembahyang jemaah yang ingin disertainya itu. Contohnya seseorang sedang bersembahyang Zhuhur secara bersendirian kemudian datang sekumpulan yang lain untuk mendirikan sembahyang Zhuhur juga secara berjemaah.
iii. Imam sembahyang jemaah yang ingin disertainya itu harus dan tidak makruh untuk diikuti (dijadikan imam). Misalnya hendaklah imam tersebut bukan seorang yang fâsiq.
iv. Orang yang bersembahyang bersendirian itu belum mengerjakan rakaat ketiga bagi sembahyang fardhunya yang tiga rakaat atau rakaat keempat bagi sembahyang fardhunya yang empat rakaat. Jika rakaat ketiga atau keempat itu sudah dikerjakannya, maka hendaklah disempurnakan sembahyang fardhu berkenaan terlebih dahulu, kemudian bolehlah diulangi sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah.
Namun jika waktu tidak mencukupi ataupun sembahyang fardhu yang dilakukan secara berjemaah itu berbeza dengan sembahyang fardhu yang dilakukannya secara bersendirian maka haram dia menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat. Seperti contoh seseorang yang bersembahyang Zhuhur secara qadha’ haram menukar niat sembahyang fardhunya itu kepada sembahyang sunat dua rakaat kerana sembahyang berjemaah yang ingin disertainya itu adalah sembahyang ‘Ashar.
2. Sembahyang Sunat.
Seseorang yang sedang mengerjakan sembahyang sunat, kemudian dia mendapati sembahyang fardhu berjemaah didirikan, maka dalam keadaan ini jika dia tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah tersebut, sunat dia menyempurnakan sembahyang sunatnya itu. Tetapi jika dia merasakan bahawa dengan menyempurnakan sembahyang sunatnya itu akan menyebabkan dia ketinggalan jemaah, maka sunat dia memberhentikan sembahyang sunatnya itu dan menyertai jemaah kerana sembahyang berjemaah itu adalah lebih afdhal.
Sunat Mengulang Sembahyang Berjemaah Walaupun Sudah Sembahyang Bersendirian
Jika kita terlepas untuk melakukan sembahyang fardhu secara berjemaah kerana telah mengerjakan sembahyang tersebut secara bersendirian maka adalah sunat mengulangi sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah kerana hukum mengulang sembahyang itu adalah sunat. Perkara mengulang sembahyang ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin Yazid bin al-Aswad al-‘Amiriy, dari bapanya, dia berkata:
Maksudnya: Aku telah hadir bersama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pada masa haji (Wida‘)nya, maka aku sembahyang bersamanya sembahyang Shubuh di masjid al-Khaif. Dia (bapa Jabir) berkata: “Apabila Baginda telah selesai daripada sembahyangnya dan beredar, Baginda melihat dua orang lelaki dalam kumpulan yang lain tidak mengerjakan sembahyang bersamanya. Baginda bersabda: “Dan hadapkan (bawakan) kepadaku mereka berdua”. Lalu dihadapkan mereka itu dan mereka mula menggigil ketakutan. Baginda bersabda: “Apa yang menghalangi kamu berdua untuk bersembahyang bersama kami?” Mereka berdua berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya kami telah mengerjakan sembahyang kami di tempat (rumah) kami. Baginda bersabda: “Jangan kamu lakukan itu. Jika kamu berdua telah mengerjakan sembahyang di tempat kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid di mana sembahyang jemaah sedang dilakukan, maka sembahyanglah kamu berdua bersama mereka, sesungguhnya (sembahyang itu) bagi kamu berdua menjadi sembahyang sunat.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Sebagai kesimpulan, sembahyang fardhu yang dilakukan secara bersendirian harus dan afdhal diberhentikan untuk menyertai sembahyang berjemaah jika merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah itu.
Namun jika tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah maka sunat menukar niat sembahyang fardhunya kepada sembahyang sunat. Akan tetapi selepas mengerjakan sembahyang sunat itu dia hendaklah yakin akan sempat mengerjakan sembahyang berjemaah itu di dalam waktunya.
Begitu juga jika berada dalam rakaat ketiga bagi sembahyang fardhunya yang tiga rakaat atau rakaat keempat bagi sembahyang fardhunya yang empat rakaat maka hendaklah dia menghabiskan sembahyang fardhunya itu terlebih dahulu dan sunat mengulang sembahyang fardhu itu lagi secara berjemaah.
Dalam sembahyang sunat pula, jika tidak merasa bimbang akan ketinggalan sembahyang jemaah tersebut, sunat dia menyempurnakan sembahyang sunatnya itu. Tetapi jika merasa bimbang dengan menyempurnakan sembahyang sunatnya itu akan menyebabkan ketinggalan jemaah, maka sunat dia memberhentikan sembahyang sunatnya itu dan terus menyertai sembahyang jemaah.
Maka dengan demikian fadhilat sembahyang berjemaah itu masih dapat diraih walaupun sedang atau setelah sembahyang bersendirian tertakluk kepada keadaan-keadaan yang telah dijelaskan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7024
