Adab Bersungkai Mengikut Sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Apabila tiba waktu berbuka puasa atau bersungkai sudah setentunya ia menimbulkan rasa kegembiraan kepada orang yang berpuasa kerana sudah sampai masanya untuk melepaskan diri daripada rasa dahaga dan lapar. Namun yang penting, selain bersungkai itu sebagai menghilangkan rasa kehausan dan lapar di siang hari, bersungkai itu juga akan menimbulkan rasa kegembiraan di atas ibadat puasa yang telah sempurna dikerjakan. Perasaan kegembiraan ketika bersungkai ini ada disebutkan dalam sebuah hadits Qudsi:
Maksudnya: Orang yang berpuasa memperolehi dua kegembiraan yang dia merasa girang dengan kedua-duanya: Apabila bersungkai dia bergembira, dan apabila menghadap Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Kegembiraan bersungkai disebabkan tiba masa diharuskan berbuka di samping dapat menghilangkan rasa dahaga dan lapar ini merupakan perkara yang lumrah. Namun bagi sebahagian ulama, kegembiraan ini adalah hasil daripada kesempurnaan ibadat puasa yang mereka kerjakan itu di samping kegembiraan mendapat balasan pahala.
Kita hendaklah bersyukur kerana telah diberi pertolongan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam menyempurnakan ibadat puasa. Perasaan syukur ini dapat kita praktikkan ketika kita bersungkai dengan mengikut adab bersungkai itu. Janganlah kerana terlalu asyik bersungkai kita tidak menghiraukan adab bersungkai itu. Bersungkai itu ada adabnya sepertimana yang diajarkan dan diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.
Antara adab-adab bersungkai sepertimana yang telah diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah seperti berikut:
1. Menyegerakan bersungkai.
Sunat menyegerakan bersungkai setelah yakin melihat matahari terbenam atau setelah mendengar azan Maghrib yang dilaungkan oleh orang ‘âdil yang tahu mengenai waktu berbuka puasa. Jika seseorang itu sengaja melewatkan bersungkai sedangkan dia tahu fadhilat yang ada pada menyegerakan bersungkai itu, hukumnya adalah makruh. Namun tidak pula menjadi makruh jika dia tidak bermaksud untuk melewatkan bersungkai itu. Maka elakkanlah daripada melewat-lewatkan bersungkai kerana apabila melewatkan bersungkai, akan hilanglah pahala sunat dan hukum bersungkai itu menjadi makruh.
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Manusia (umat Islam) akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini menunjukkan umat Islam akan sentiasa memperolehi kebaikan selama mereka mengikut sunnah Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam menyegerakan bersungkai.
2. Bersungkai dengan buah Ruthab.
Sunat memulakan sungkai dengan memakan buah ruthab iaitu kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar dan rasanya lunak manis. Sekiranya tidak ada buah ruthab, mulakanlah sungkai dengan buah tamar iaitu kurma yang telah kering. Adalah lebih sempurna jika buah tamar itu dimakan sebanyak tiga biji dan sekiranya tidak ada buah tamar, mulakanlah sungkai dengan meminum beberapa teguk air.
Urutan memulakan sungkai dengan buah ruthab, kemudian buah tamar, dan seterusnya air ini adalah merupakan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersungkai dengan beberapa biji ruthab sebelum menunaikan sembahyang (fardhu Maghrib), sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada, maka Baginda minum beberapa teguk air. (Hadits riwayat Abu Daud)
As-Sayyid al-Bakri Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Hâsyiah I‘ânah ath- Thâlibîn ada menyebutkan mengenai perkara ini dengan berkata: “Adalah afdhal memulakan sungkai dengan memakan buah ruthab, sekiranya buah ruthab tidak ada, maka dengan buah tamar iaitu dengan mendahulukan buah tamar ‘ajwah (buah kurma yang ditaruh di dalam karung) kemudian buah tamar al-busr (buah kurma mentah sebelum menjadi ruthab), sekiranya buah tamar tidak ada, maka dengan air, jika ada air Zamzam adalah lebih baik, sekiranya tidak ada, maka dengan al-haluw iaitu apa yang belum terkena api seperti kismis, susu dan madu, akan tetapi memulakan sungkai dengan susu adalah afdhal daripada madu, bahkan daging adalah lebih afdhal daripada susu dan madu, kemudian jika tidak ada, dengan al-halwa iaitu dengan juadah manis.
3. Menyegerakan mengerjakan sembahyang Maghrib.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersungkai dengan beberapa biji buah ruthab sebelum Baginda menunaikan sembahyang fardhu Maghrib. Ini menunjukkan bahawa Baginda menyegerakan sembahyang Maghrib selepas berbuka dengan buah ruthab, tamar atau air sebagaimana hadits riwayat Abu Daud yang disebutkan terdahulu. Keadaan ini jika sekiranya makanan belum dihidangkan.
Sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan sembahyang. Ini berdasarkan hadits daripada Anas bin Mâlik Radhiallâhu ‘anhu, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Apabila telah dihidangkan makanan malam, maka kamu mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan sembahyang Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah terhadap makanan malam kamu itu. (Hadits riwayat al-Bukhari) Perkara mendahulukan makan daripada sembahyang apabila makanan telah terhidang di depan mata ini sebenarnya bukan khusus semasa bersungkai atau sembahyang Maghrib sahaja, bahkan hukum sunat ini meliputi semua sembahyang dan waktu makan kerana dikhuatiri akan menghilangkan perasaan khusyû‘.
4. Bersungkai secara sederhana.
Bersungkailah dengan cara yang sederhana dan mengikut kadar yang tidak berlebihan sehingga perut merasa sangat kenyang. Ini adalah kerana tujuan berpuasa itu adalah untuk mengurangkan kadar pemakanan. Namun makan dengan berlebihan juga, sekalipun daripada makanan yang halal, boleh memudharatkan manusia. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Bekas yang paling buruk diisi oleh manusia ialah perut. Adalah mencukupi bagi manusia itu beberapa suap yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak pasti, maka (peruntukkanlah bagi perut) satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Imam al-Ghazali Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn ada berkata: “Bagaimanakah orang yang berpuasa mendapat faedah berpuasa untuk melawan musuh Allah dan mengalahkan syahwat sekiranya ketika bersungkai dia mengisi perutnya dengan pelbagai macam makanan yang telah ditinggalkannya di siang hari? Sehingga berterusan pula menjadi kebiasaan menghidang dan memakan pelbagai macam makanan di bulan Ramadhan apa yang tidak pernah dihidangkan di bulan-bulan yang lain.”
Kita perlu mengetahui bahawa maksud berpuasa adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang selera nafsu di siang hari hingga ke masa bersungkai, lalu membiarkan nafsu syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sememangnya nafsu dengan sifat semula jadinya tentulah akan bertambah-tambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Sedangkan ruh puasa dan rahsianya itu ialah melemahkan kekuatan nafsu yang merupakan jalan bagi syaitan untuk menghasut kita kepada melakukan kejahatan. Maka yang demikian itu tidak akan tercapai melainkan dengan bersederhana.
Oleh itu, hendaklah makan malam sebagaimana biasanya ketika tidak berpuasa, kerana jika mengumpul makanan siang ke waktu malam ketika bersungkai (seolah-olah makan dua kali ganda kerana membalas kelaparan di siang hari), maka tidaklah berkesan puasanya.
5. Menjemput orang untuk bersungkai.
Perkara menjemput dan menjamu orang yang berpuasa adalah sunat bahkan mendapat keampunan daripada Allah Ta‘ala. Sekiranya tidak mampu menjamu atau menghidangkan makanan, memadailah jika menyungkaikan dengan bersedekah kurma, air minum ataupun susu. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyungkaikan padanya (bulan Ramadhan) orang yang berpuasa, baginya keampunan bagi dosanya, bebas tengkuknya (dirinya) daripada api neraka dan baginya ganjaran seumpama orang yang disungkaikannya tanpa mengurangi ganjarannya sedikit pun. Mereka (para sahabat) berkata: “Kami semua tidak mempunyai apa-apa untuk menyungkaikan orang yang berpuasa”. Baginda pun bersabda: “Allah mengurniakan ganjaran ini kepada sesiapa yang menyungkaikan orang berpuasa dengan sebiji kurma atau seteguk air atau campuran susu.” (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)
Selain itu, para malaikat berselawat ke atas orang yang menjamu orang-orang yang berpuasa untuk bersungkai bersamanya sebagaimana hadits daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah datang menemui Sa‘d bin ‘Ubadah. Maka dia (Sa‘d) menghidangkan roti dan minyak zaitun. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun makan dan bersabda: “Orang-orang yang berpuasa telah bersungkai di sisi kamu, orang-orang yang baik telah makan makanan kamu dan para malaikat telah berselawat ke atas kamu.” (Hadits riwayat Abu Daud)
6. Membaca do‘a selepas bersungkai.
Disunatkan membaca do‘a sejurus selepas bersungkai. Do‘a bersungkai ini biasanya ada disiarkan melalui corong radio ataupun televisyen. Do‘a bersungkai itu adalah seperti berikut:
Ertinya: Ya Allah! KeranaMu saya telah berpuasa dan di atas rezekiMu, saya telah berbuka puasa.
Sekiranya bersungkai dengan air atau selainnya, bolehlah ditambah dengan do‘a berikut:
Ertinya: Telah hilang kehausan dan telah basah urat-urat dan pasti dikurniakan pahala dengan kehendak Allah.
Begitu juga boleh berdo‘a memohon keampunan semasa bersungkai. Ibnu ‘Amru bin al-‘Ash Rahimahullâhu Ta‘âlâ pernah berdo‘a memohon keampunan ketika bersungkai sepertimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia bersungkai pasti ada do‘a yang tidak ditolak. Berkata Ibnu Abu Mulaikah Rahimahullâhu Ta‘âlâ: “Aku telah mendengar ‘Abdullah bin ‘Amru membaca do‘a ketika beliau telah bersungkai (yang maksudnya): “Ya Allah! Sesungguhnya saya memohon kepadaMu dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan saya.” (Sunan Ibnu Majah)
Hikmat Bersungkai Dengan Mengikut Sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘Alaihi Wasallam
Dalam sesuatu perkara atau kejadian itu, setentunya mengandungi hikmat yang tersurat mahupun tersirat di sebalik perkara atau kejadian itu. Begitulah juga dengan etika bersungkai, sudah tentu ada hikmatnya. Apatah lagi ia merupakan sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, sememangnya mengandungi hikmat yang jelas.
Hikmat di sebalik segera bersungkai ialah supaya tidak melanjutkan waktu siang ke waktu malam sebagai belas kasihan kepada orang yang berpuasa dengan menyegerakan bersungkai setelah merasa lapar dan dahaga di siang hari, dan akan menambahkan kekuatan untuk melakukan ibadat.
Selain daripada itu, menyegerakan bersungkai akan membezakan amalan umat Islam daripada amalan kaum Yahudi dan Nashrani yang biasa melewatkan sungkai hingga terbit bintang.
Hikmat memakan buah kurma pula ialah mendapat khasiat daripada kemanisan buah kurma itu sendiri kerana sesuatu yang manis itu lebih mudah dicerna oleh perut yang kosong. Tambahan lagi makanan yang manis akan menambahkan kekuatan, ini termasuklah menguatkan kembali pandangan mata yang lemah disebabkan berpuasa.
Menurut Imam asy-Syaukani Rahimahullâhu Ta‘âlâ, jika sebab sunat bersungkai dengan memakan buah kurma adalah kerana kemanisannya dan kemanisan itu memberi kesan kepada tubuh badan, maka demikianlah juga hukum memakan segala benda-benda yang manis ketika bersungkai.
Manakala hikmat bersungkai dengan meminum air pula ialah akan membasahkan semula organ hati yang mengalami proses pengeringan (dehidrasi) dengan berpuasa. Jadi, dengan membasahkan organ hati semula dengan air, atau dalam istilah lain, menambah semula cecair yang kurang, akan menyempurnakan pengambilan makanan setelah itu.
Hikmat bersungkai dengan bersederhana pula ialah untuk mencapai hakikat maksud puasa yang sebenar kerana hakikat dan rahsia puasa adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara untuk menarik manusia kepada kejahatan. Jika segala kemahuan dan keinginan ini dipuaskan semasa bersungkai, maka menunjukkan seolah-olah puasa pada siang hari itu tidak memberi kesan. Hakikat puasa sebenar itu juga tidak sempurna tercapai. Oleh itu, kesan puasa itu hendaklah dikekalkan walaupun ketika bersungkai iaitu dengan cara sederhana bersungkai.
Demikianlah antara adab-adab atau etika bersungkai yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Walaupun kita merasa gembira kerana sudah tiba masa untuk bersungkai tetapi kita perlu juga ingat akan etika bersungkai yang telah diamalkan oleh Baginda.
Di samping mendapat pahala bersungkai dengan mengikut sunnah Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, kita juga akan mendapat manfaat di sebalik hikmat bersungkai dengan cara demikian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7081
