Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kuiz Atau Lelong Melalui SMS: Adakah Ia Judi?

Kekayaan dan kesenangan adalah nikmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah yang bersifat ar-Râziq memberi rezeki kepada mereka yang dikehendakiNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah asy-Syûrâ: 19)

Banyak cara atau jalan untuk mendapatkan sumber rezeki, umpamanya bercucuk tanam, berniaga, mencari upah dan sebagainya selagi ia tidak melanggar batasan agama Islam. Tambahan lagi pada zaman serba canggih ini, cara atau jalan untuk mendapatkan rezeki cukup luas. Namun apa yang kurang menyenangkan, ada yang cuba mendapatkan rezeki itu dengan cara atau jalan yang salah tanpa mempedulikan halal haramnya asalkan matlamat mereka tercapai semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

Kadang-kadang cara mereka itu jelas salahnya seperti mencuri, menipu, berjudi, memeras ugut dan sebagainya. Bahkan ada juga yang cukup licik menutupi cara mereka supaya nampak seperti perbuatan itu tidak salah, sekaligus tidak mendatangkan keraguan kepada pelanggannya. Dengan cara itu mereka dapat mengaut keuntungan yang lebih hasil daripada tipu helah yang mereka lakukan.

Salah satu cara atau jalan yang salah itu ialah dengan berjudi. Judi memang perkara yang tidak asing lagi untuk didengar. Ia memang sudah wujud sejak zaman berzaman. Disebabkan arus kemodenan, kadang-kadang bentuk judi itu tidak jelas atau tidak ketara sebagai judi, padahal ia adalah judi atau menyerupai judi.

Judi Pada Pandangan Syara‘

Judi disebut dalam bahasa Arab sebagai al-maisir. Al-Maisir merupakan suatu bentuk permainan yang memakai atau menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu akan menerima atau mendapat taruhan tersebut.

Tersebut dalam kitab Rawâ’i‘ al-Bayân, bahawa setiap permainan yang membawa keuntungan pada satu pihak dan kerugian pada pihak yang lain adalah judi yang diharamkan.

Judi adalah amat dilarang oleh syara‘. Ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah: 219)

Berdasarkan ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan bahawa judi itu adalah dosa besar di samping juga mempunyai beberapa manfaat, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya. Dosa daripada judi itu menggambarkan akibat-akibat buruk yang timbul daripadanya.

Ulama fiqh sependapat untuk menetapkan hukum judi itu sebagai salah satu dosa besar. Ia adalah daripada perbuatan syaitan yang wajib dijauhi. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Mâ’idah: 90)

Di samping itu, judi juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Judi juga menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menunaikan sembahyang, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?).” (Surah al-Mâ’idah: 91)

Jumhûr ulama daripada empat mazhab berpendapat bahawa unsur penting daripada al-maisir itu adalah “taruhan”. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan ‘illah (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram.

Perbezaan antara wang pertaruhan (kerana judi) dan jual beli ialah pertaruhan yang dibuat tidak ada gantiannya kerana orang yang membuat taruhan sama ada dia menanggung rugi ataupun untung. Hatta sekalipun untung, namun keuntungannya itu adalah daripada wang yang tidak halal, kerana diperolehi daripada hasil perjudian. Adapun dalam hal jual beli, penjual menjual barang kepada pembeli dengan mendapat imbalan sebagai ganti.

Oleh itu, dalam pertaruhan terdapat unsur ketidakadilan atau berat sebelah yang merugikan salah satu pihak. Perkara ini amat dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Setiap permainan yang ada unsur taruhan adalah judi. Umpamanya dalam perlumbaan kuda, para penonton akan diberi peluang untuk mendapatkan hadiah yang lumayan hasil daripada tekaan mereka terhadap pelumba mana yang akan berjaya dengan mempertaruhkan duit mereka. Contoh yang lain lagi, seperti bermain daun terup dengan mempertaruhkan duit atau sebagainya.

Contoh-contoh di atas memang jelas adalah judi. Bagaimana pula permainan yang mungkin tidak nampak atau samar-samar sama ada ia judi ataupun tidak? Kadang-kadang bentuk permainan itu ditutupi dengan slogan-slogan “amal” untuk kebajikan agar ia tidak kelihatan berunsur perjudian.

Judi Dalam Bentuk Terkini

Dalam kitab Tafsîr al-Manâr ada menyebutkan, bahawa terdapat di zaman sekarang jenis-jenis pertaruhan yang dipanggil sebagai al-yânashîb.

Al-Yânashîb adalah loteri. Penganjur akan menyediakan kupon yang mengandungi nombor dengan meletakkan harga tertentu pada kupon tersebut. Setelah cabutan nombor dilakukan, pelanggan yang memiliki nombor tertentu (bertuah) sahaja akan memperolehi hadiah yang disediakan. Ini menunjukkan ada unsur-unsur mengambil harta orang dengan cara yang salah sehingga menyebabkan sebahagian pihak lain mendapat kerugian.

Memakan harta orang lain dengan cara yang salah adalah haram, sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

Apa yang popular dan laris masa kini, sebagaimana yang terpapar di akhbar-akhbar, iklan-iklan, kaca televisyen, radio dan sebagainya ialah tentang peraduan atau teka-teki dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau short messaging service (SMS). Soalannya, adakah peraduan-peraduan seperti ini mengandungi unsur-unsur judi?

Eloklah dinyatakan contoh-contoh peraduan melalui SMS seperti berikut:

1. Permainan teka teki: Umpamanya pelanggan diminta meneka pemain terbaik dalam sesuatu perlawanan bola sepak. Kemudian tekaan itu dihantar melalui SMS dengan kadar bayaran umpamanya 50 sen atau lebih. Sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat akan mendapat hadiah.

2. Peraduan kuiz: Pelanggan diminta menjawab kuiz yang disediakan. Setiap kali jawapan dihantar melalui SMS dikenakan bayaran umpamanya 50 sen. Sesiapa yang paling banyak menjawab soalan dengan tepat akan mendapat hadiah.

Inilah antara contoh-contoh peraduan melalui SMS. Ia cukup mudah dan cepat dilakukan. Apabila kita lihat sepintas lalu, peraduan di atas cumalah sebagai permainan, untuk menguji minda pelanggan bagi mendapatkan hadiah. Akan tetapi, adakah terselindung di dalam peraduan itu sebarang unsur judi ataupun tidak?

Penganjur peraduan melalui SMS ini akan membuat perjanjian dengan penyedia khidmat SMS sebagai pengantara mereka. Dalam perjanjian itu, hasil pembayaran daripada setiap hantaran SMS akan dibahagi. Ini bererti selain daripada bayaran untuk penghantaran SMS, penyertaan bagi mengikuti peraduan tersebut juga dikenakan bayaran.

Mari kita bezakan contoh peraduan melalui SMS di atas dengan permainan-permainan yang memang terang ada unsur judi seperti berikut:

1. Tikam-tikaman: Pelanggan akan membeli kertas seperti tikam-tikaman yang mengandungi nombor atau gambar hadiah yang bakal dimenangi. Ini tertakluk kepada nasib pelanggan itu, kadang-kadang kertas yang dibeli itu kosong, sekaligus tidak memperolehi sebarang hadiah.

2. Cabutan nombor bertuah: Pelanggan terlebih dahulu membeli sesuatu seperti tiket dan dalam tiket itu tertulis nombor bersiri. Kemudian pelanggan yang nombornya kebetulan dicabut – dalam kes nombor bertuah hanya beberapa nombor sahaja yang akan dicabut - akan mendapat hadiah. Sementara nombor yang tidak dicabut tidak akan mendapat sebarang hadiah.

3. Soalan kuiz berbayar: Penganjur akan menyediakan soalan-soalan kuiz dengan mengenakan bayaran tertentu. Pelanggan yang menjawab kuiz dengan tepat sahaja boleh menyertai cabutan undi bagi memenangi hadiah yang disediakan.

Perbezaan yang kita nampak daripada ketiga-tiga contoh di atas dengan contoh peraduan melalui SMS, hanyalah pada tekniknya sahaja. Peraduan melalui SMS lebih mudah bagi pelanggan untuk menyertainya, tidak perlu susah payah membeli kertas kuiz atau nombor di kedai-kedai atau di tempat-tempat yang dikhaskan. Pelanggan hanya perlu mendail nombor telefon yang ditentukan bagi menghantar jawapan atau penyertaan melalui SMS kepada penganjur. Namun pada hakikatnya contoh peraduan melalui SMS tersebut adalah serupa sahaja dengan ketiga-tiga contoh yang bukan SMS di atas. Iaitu setiap penyertaan peraduan adalah dikenakan bayaran bagi membolehkan untuk mendapat hadiah yang juga tertakluk pada untung nasib. Maka jelaslah di sini, kesemua contoh-contoh yang disebutkan di atas ada persamaan dengan al-yânashîb (loteri).

Jualan Lelong Melalui SMS

Sebutannya adalah ‘jualan lelong’. Tetapi mari kita teliti beberapa contoh jualan lelong melalui SMS itu, seperti berikut:

1. Penganjur akan menawarkan beberapa barangan kepada pelanggan. Setiap kali pelanggan menaruh harga, dia akan dikenakan bayaran umpamanya 3 ringgit. Pelanggan yang paling banyak menghantar taruhan harga, dialah yang akan menerima barang tersebut.

2. Contoh yang hampir serupa dengan di atas: Penganjur menyediakan beberapa barangan lelong dengan menawarkan harga permulaan umpamanya 50 ringgit. Penganjur juga menetapkan bayaran umpamanya 3 ringgit bagi sekali tawaran yang dibuat oleh pelanggan. Ini bererti harga barangan lelong itu akan meningkat setiap kali tawaran dibuat sehingga sampai harga yang ditetapkan oleh penganjur atau setelah sampai tarikh tutupnya, ditambah lagi dengan bayaran 3 ringgit yang juga sentiasa bertambah pada setiap kali tawaran harga dibuat oleh pelanggan. Syarat bagi pemenang barangan lelong tersebut ialah siapa yang paling banyak membuat tawaran harga yang sekaligus paling banyak pula membayar tiga ringgit setiap kali menyebut tawaran harga.

Mari kita bezakan antara contoh jualan lelong melalui SMS dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘. Ia dipanggil al-muzayadah iaitu penjual menyebut harga barang yang dilelong, kemudian pembeli-pembeli yang berminat pada barang tersebut akan berlumba-lumba menyebut harga sehinggalah harga terakhir yang disebut oleh pembeli dan dia mengambil barang yang dilelong dengan membayar harga terakhir paling tinggi. Sementara pembeli-pembeli yang lain tidak dikenakan sebarang bayaran.

Di sini jelas menunjukkan jualan lelong melalui SMS itu berbeza dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘, kerana penganjur jualan lelong melalui SMS mengenakan bayaran kepada semua pelanggan setiap kali mereka menyebut harga dengan menghantarnya melalui SMS. Sedangkan tidak semua pelanggan itu akan memperolehi barang lelong tersebut bahkan mereka semata-mata rugi kerana turut membayar kepada penganjur setiap kali mereka menaruh harga.

Apabila kita lihat jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘ pula, bukanlah semua pembeli yang menaruh harga dikenakan bayaran melainkan hanyalah pembeli yang berjaya mendapatkan barangan lelong itu sahaja yang perlu membayar.

Di sini menunjukkan bahawa contoh-contoh jualan lelong melalui SMS yang disebutkan di atas terdapat unsur memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini kerana pelanggan yang tidak berjaya mendapatkan barang lelongan akan menanggung kerugian disebabkan mereka juga terpaksa membayar apabila membuat taruhan harga.

Oleh itu, hendaklah kita mengambil langkah berhati-hati dalam apa pun perkara yang hendak dilakukan. Kita nilai dulu halal, haram, baik dan buruknya perkara tersebut. Termasuk jika sesuatu itu ada kesamaran (syubhah), maka sayugia juga ia kita tinggalkan, sebagaimana petunjuk hadis yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bersabda sambil an-Nu‘man memegang kedua belah telinganya: “Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga diri daripada perkara syubhah, dia telah bebas (daripada kecaman) demi untuk agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram umpama penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, besar kemungkinan binatangnya akan masuk ke kawasan tersebut. Ingatlah! Setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah terlarang milik Allah adalah apa sahaja yang diharamkanNya. Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, tidak lain dan tidak bukan ia adalah hati.” (Hadis muttafaq ‘alaihi)

Apa-apa jua jenis peraduan atau permainan yang ada pertaruhan wang atau seumpamanya dan menyebabkan sebahagian pihak mendapat untung dan sebahagian yang lain lagi mendapat rugi adalah judi. Berdasarkan kriteria ini, maka peraduan melalui SMS sebagaimana contoh-contohnya di atas, adalah mengandungi unsur-unsur perjudian. Ini kerana setiap mereka yang menyertai peraduan itu dikenakan bayaran, sedangkan mereka belum pasti mendapat atau memperolehi hasil daripada peraduan itu atau ia hanya bergantung kepada nasib.

Demikian juga dalam perkara lelong yang tidak diharuskan oleh syara‘. Berhati-hatilah dengannya.

Oleh kerana liciknya peraduan-peraduan yang dianjurkan pada masa ini, maka peserta-peserta peraduan hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak kepada suatu mu‘âmalah yang tidak dibenarkan oleh syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7186