Niat: Kesannya Kepada Ibadat Puasa Ramadhan
Perkara asas yang perlu diketahui dalam mengerjakan ibadat puasa ialah niat, sebab niat merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa. Tanpa niat seseorang itu tidak dianggap berpuasa, walaupun dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Waktu Berniat
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shâdiq. Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, hatta ketika sedang menunaikan sembahyang fardhu Maghrib. (Al-Majmû‘: 6/303)
Apabila seseorang itu sudah berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam, tidak semestinya dia menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya. Perkara ini jika dilakukan tidak membatalkan niat puasanya tadi, kecuali murtad, selama mana perbuatan seperti makan dan minum itu jika ia dilakukan tidak melewati waktu fajar shâdiq. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu (waktu) fajar.” (Surah al-Baqarah: 187)
Berdasarkan ayat di atas, jika sekiranya perbuatan makan dan minum pada malam puasa itu membatalkan niat puasa, maka sudah tentu tidak diharuskan baginya makan dan minum sehingga terbit fajar. Akan tetapi, Allah mengharuskan makan dan minum pada malam puasa sehinggalah terbit fajar. Maka jelas, perbuatan makan, minum dan segala perkara yang membatalkan puasa, keculi murtad, pada malam hari puasa tidak membatalkan niat puasa seseorang. (Al-Majmû‘: 6/301, 303-304)
Niat puasa Ramadhan wajib dilakukan pada tiap-tiap malam, kerana ibadat pada setiap hari puasa itu adalah dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Sebab itu apabila satu hari puasa itu terbatal, ia tidak membatalkan puasa hari-hari yang terdahulu dan yang akan datang. Oleh itu, tidak memadai satu niat sahaja bagi satu bulan puasa. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shâdiq maka tidak ada puasa baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan ad-Daraquthni)
Niat puasa Ramadhan itu sekurang-kurangnya ialah:
Ertinya: “Sahaja aku puasa Ramadhan.”
Niat yang lengkap pula ialah:
Ertinya: “Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”
Niat Yang Teragak-agak
Antara syarat sah niat puasa, hendaklah niat itu datang dalam bentuk yang pasti atau tidak teragak-agak.
Oleh itu, jika seorang berniat untuk berpuasa dalam keadaan tidak pasti atau teragak-agak, umpamanya dia berniat: “Jika saya cergas atau tidak letih untuk berpuasa, saya akan puasa Ramadhan esok hari”, maka niat puasa seperti ini adalah tidak sah, kerana bentuk niat seperti ini dianggap tidak pasti. (Al-Majmû‘: 6/316)
Ragu-ragu (Syak) Dalam Berniat
Perasaan ragu-ragu (syak) pada siang hari puasa, sama ada sudah berniat puasa pada malam hari ataupun tidak, boleh menjejaskan ibadat puasa seseorang jika dia tidak dapat mengingati kembali apakah dia sudah berniat atau belum.
Jika dia boleh mengingat kembali, walaupun setelah berlalu sebahagian besar waktu siang atau setelah masuk hari seterusnya (selepas waktu Maghrib), bahawa dia sudah berniat pada malam hari, maka puasanya dianggap sah. (Tuhfah al- Muhtâj: 1/508, al-Majmû‘ 6/315,317 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/423)
Lupa Berniat
Sebagaimana yang telah dijelaskan, niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap hari waktu malam. Oleh itu, orang yang terlupa berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam tidak sah baginya melakukan ibadat puasa dan wajib diqadha hari puasa yang terluput itu pada hari lain di luar bulan Ramadhan, kecuali jika dia berniat puasa sebulan pada malam pertama puasa sepertimana niat puasa dalam mazhab Maliki.
Wajib Menahan Diri
Mengikut prinsip hukum syara‘, orang-orang yang tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara‘ diwajibkan ke atas mereka menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang di siang hari puasa, seperti makan dan minum, walaupun mereka ini tidak berpuasa.
Hal ini juga sama keadaannya bagi orang-orang yang tidak berpuasa kerana terlupa berniat puasa. Tidak boleh bagi mereka melakukan perkara-perkara yang ditegah bagi orang yang berpuasa, seperti makan dan minum di siang hari, bahkan wajib ke atas mereka menahan diri seperti orang berpuasa, walaupun mereka ini tidak berpuasa. Sebab, terlupa berniat itu dianggap sebagai tidak memberi perhatian yang serius dalam perkara ibadat. (Al-Majmû‘: 6/314, Mughnî al-Muhtâj: 1/438)
Niat Puasa Dalam Mazhab Maliki
Mengikut pendapat dalam mazhab Maliki, boleh berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan, dan niat itu dilakukan pada malam pertama puasa.
Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati dan berjaga-jaga demi untuk mengelakkan terlupa berniat puasa, di samping berniat pada tiap-tiap malam, adalah digalakkan berniat pada awal bulan Ramadhan dengan niat satu bulan, dengan bertaqlîd (mengikut) pendapat mazhab Maliki.
Lafaz niatnya ialah:
Ertinya: “Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”
Namun begitu, perlu diketahui juga, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu, seperti puasa Ramadhan, terputus oleh sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan syara‘ ataupun tidak, maka niat sebulan puasa itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Bahkan, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut- turut.
Dalam makna yang lain, berniat sekali lagi dan memadai dengan sekali niat bagi semua hari puasa yang berbaki.
Sebab-sebab yang dikategorikan sebagai penghalang daripada puasa secara berturutan:
1. Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu tidak berpuasa, seperti sakit atau dalam pelayaran, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa).
2. Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya.
3. Berbuka puasa atau tidak berpuasa tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syara‘.
Oleh itu, orang yang berniat sebulan puasa jika berlaku sesuatu yang mengharuskannya tidak berpuasa, seperti sakit, dalam pelayaran atau sebagainya, maka niat puasa sebulannya itu tidak lagi memadai (tidak boleh lagi dipakai) untuk hari-hari puasanya yang seterusnya, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka) dalam keadaannya sakit, dalam pelayaran atau sebagainya.
Begitu juga bagi orang yang berlaku sesuatu ke atasnya yang membatalkan puasa, seperti datang haidh, nifas, gila, pengsan dan sebagainya, niat puasa sebulannya itu tidak boleh lagi dipakai untuk hari-hari puasanya yang seterusnya.
Sebab, ibadat puasa orang-orang seperti ini tidak lagi termasuk di dalam kategori puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut yang menjadi syarat (dalam mazhab Maliki) bagi berniat sebulan itu.
Khusus bagi orang yang berlaku ke atasnya sesuatu sebab yang mengharuskan dia berbuka puasa, seperti orang sakit dan orang yang dalam pelayaran, jika dia hendak berpuasa juga dalam keadaannya sakit atau dalam pelayaran atau sebagainya, hendaklah dia berniat puasa pada tiap-tiap malam. (Al-Qawânîn al- Fiqhiyyah: 104, Hasyiah ad-Dusuqi: 1/812-813 dan Taqrîrât ‘Ulaisy: 1/812-813)
Berniat Membatalkan Puasa
Adakah berniat membatalkan puasa sesudah berniat puasa memberi kesan terhadap niat puasa dan ibadat puasa itu sendiri? Umpamanya, apabila seorang itu berniat puasa, kemudian selepas beberapa ketika atau beberapa jam dia berniat pula untuk tidak berpuasa.
Untuk mengetahui kedudukan hukum masalah ini perlu dilihat kepada dua keadaan, iaitu:
1. Membatalkan niat puasa sebelum masuk waktu puasa (sebelum terbit fajar).
Orang yang berniat puasa, kemudian selepas beberapa ketika atau beberapa jam sebelum terbit fajar, dia berniat pula membatalkannya atau berniat untuk tidak berpuasa, maka dalam hal ini niatnya untuk melakukan ibadat puasa menjadi batal dan tidak sah baginya untuk berpuasa dengan niatnya yang mula-mula atau yang pertama itu. Sebab, dia telah melakukan sesuatu yang berlawanan dengan niat yang pertama tadi.
Untuk itu, hendaklah dia berniat puasa semula bagi membolehkannya melakukan ibadat puasa dan tidak memadai dengan niatnya yang pertama.
2. Berniat membatalkan puasa di siang hari
Orang yang berpuasa yang membatalkan niatnya di siang hari untuk tidak meneruskan puasanya pada siang hari itu ataupun niat berbuka puasa pada siang hari, niat tersebut tidak membatalkan puasanya, selama mana tidak diiringi dengan sesuatu yang boleh membatalkan puasa, seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya. Ini adalah pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘e. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/508, Majmû’: 3/248, 6/313 dan Mughnî al-Muhtâj: 1/424)
Oleh itu, niatnya pada siang hari untuk membatalkan puasanya itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap ibadat puasanya dan dia tetap dianggap berpuasa.
Kesimpulan
Niat pada pandangan syara‘ adalah titik tolak bagi seseorang itu melakukan ibadat, termasuk ibadat puasa. Walaupun persoalan niat itu nampak seperti perkara biasa, tetapi ianya penting difahami dengan betul, kerana kesannya amat besar dalam ibadat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7226
