Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Sunat Tasbih: Kerjakanlah! Walaupun Sekali Seumur Hidup

Perintah supaya bertasbîh disebut di beberapa tempat dalam al-Qur’an termasuk penentuan waktunya iaitu pagi dan petang.

Amat rugi sekiranya manusia tidak bertasbîh kepada Allah sedang langit yang tujuh, bumi dan segala isi di dalamnya bertasbîh kepadaNya, tiada sesuatu melainkan bertasbîh dengan memuji Allah, hanya sanya manusia tidak dapat mengerti dan memahami tasbîh mereka itu.

Bertasbîh adalah salah satu daripada bentuk zikir dalam rangka mengingati Allah. Bahkan sering juga dipakai perkataan tasbîh itu untuk menggantikan perkataan zikir yang banyak macamnya itu.

Salah satu cara mengingati Allah itu ialah melalui sembahyang sunat Tasbih. Dinamakan ia sebagai sembahyang sunat Tasbih kerana mengingat banyaknya lafaz-lafaz tasbîh yang diucapkan dalam sembahyang itu. Oleh yang demikian, tajuk ini mengupas dan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang sunat Tasbih itu, cara melakukannya, fadhilat-fadhilatnya dan lain-lain hukum yang berkaitan dengannya.

Fadhilat Membaca Tasbîh

Bertasbîh adalah di antara jalan untuk kita ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia juga mempunyai fadhilat yang besar sebagaimana diterangkan oleh al- Qur’an dan hadits: 1. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzâb: 35)

2. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Ada dua kalimah yang ringan disebut dengan lisan tetapi sangat berat timbangannya, dan ia sangat disukai Allah Tuhan yang Rahman. Kedua kalimah itu ialah ucapan: “ ِ Suci Allah dan segala puji hanya bagiNya, Maha Suci Allah yang Maha Agung). (Hadits riwayat al-Bukhari)

3. Daripada Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bersuci itu sebahagian daripada iman, dan ucapan “ dapat memenuhi daun timbangan dan ucapan “ memenuhi kedua daun timbangan itu, atau memenuhi apa yang terdapat di antara langit dan bumi. (Hadits riwayat Muslim)

4. Hadits yang lain, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Demi sesungguhnya saya berkata: “ kerana saya lebih suka daripada matahari naik (yakni dunia dan isinya, kerana dunia akan pergi sementara pahala zikir-zikir ini tetap kekal tidak putus-putus.” (Hadits riwayat Muslim)

Menghitung Tasbîh Dengan Jari

Antara perkara yang berkaitan dengan tasbîh itu ialah bagaimana cara menghitungnya. Ada bermacam-macam cara menghitungnya, antaranya menghitung dengan jari sebagaimana yang diterangkan dalam hadits:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata: “Saya melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyimpulkan (menghitungkan) tasbîh pada tangan Baginda.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadits yang lain Yusairah Radhiallahu ‘anha daripada golongan Muhajirin meriwayatkan bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Hendaklah kamu tetap membaca tasbîh, tahlîl dan taqdîs, dan simpullah (hitunglah) bacaanmu itu dengan anak-anak jari, kerana sesungguhnya jari-jari itu akan bertanggungjawab tentang perbuatannya dan janganlah kamu abaikan, nanti kamu lupa akan rahmat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadits-hadits di atas maka membaca tasbîh dengan menghitungnya dengan jari itu hukumnya adalah sunat kerana ia adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Walau bagaimanapun harus juga menghitung tasbîh dengan sesuatu yang diperbuat daripada batu, kayu atau biji kurma atau tali disimpul sebagaimana yang dibuat oleh sahabat dan ulama yang mana perkara ini disebut oleh Imam as-Suyuthi.

Mudah-mudahan setiap kali melihat buah tasbîh itu mengingatkan bahawa tasbîh itu adalah alat untuk mengingat Allah Ta‘ala.

Riwayat Hadits Mengenai Sembahyang Sunat Tasbih

Mengikut riwayat hadits di bawah ini sembahyang sunat Tasbih boleh dilakukan dalam dua kaifiyyah:

i. Kaifiyyah yang pertama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang mana kaifiyyah bacaan tasbîh di dalam hadits ini bermula selepas membaca surah al-Fâtihah dan surah selepasnya:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ‘Abbas bin Abdul Muththalib: “Wahai ‘Abbas, bapa saudaraku, apakah suka kuberi kurnia. Kuberi hadiah istimewa, kuajari sepuluh macam keistimewaan yang mana jika engkau membuatnya dihapuskan oleh Allah bagi engkau sepuluh macam dosa, baik yang terdahulu mahupun yang sekarang, yang sudah lama mahupun yang baru, yang tidak disengaja mahupun yang sengaja, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang. Sepuluh macam keistimewaan itu ialah: Hendaklah engkau sembahyang empat rakaat, pada setiap rakaat membaca al-Fâtihah dan satu surah (ayat al-Qur’an). Setelah selesai daripada membaca pada rakaat pertama dan engkau dalam keadaan berdiri maka bacalah وهللا اكا (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar) sebanyak 15 kali. Kemudian engkau ruku‘, dan dalam ruku‘ engkau baca kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian engkau angkatlah kepala dari ruku‘ dan bacalah kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk antara dua sujud) dan bacalah kalimah tasbîh itu 10 kali. Kemudian engkau sujud kembali selepas itu bacalah tasbîh 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk istirâhah sebelum berdiri untuk rakaat selanjutnya) dan bacalah kalimah tasbîh 10 kali. Seluruh kalimah tasbîh itu dibaca 75 kali pada setiap rakaat, dan kerjakanlah di dalam empat rakaat.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada hadits di atas, jelas bahawa sembahyang sunat Tasbih ialah salah satu sembahyang sunat yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada bapa saudaranya Sayyidina ‘Abbas Ibnu Abdul Muththalib. Ia dilakukan dengan empat rakaat dan kaifiyyah bacaan tasbîh itu adalah pada rukun-rukun tertentu bermula selepas membaca surah al-Fâtihah dan surah selepasnya dibaca tasbîh tersebut sebanyak 15 kali, kemudian selepas membaca tasbîh ruku‘ dibaca 10 kali, begitu juga semasa i‘tidâl dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbîh sujud pertama dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca do‘a duduk antara dua sujud dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbîh sujud kedua dibaca 10 kali dan semasa duduk istirâhah atau selepas tahiyyat awal (jika mengerjakan 4 rakaat dengan satu salam) dibaca 10 kali tasbîh, semua tasbîh itu dibaca sebanyak 75 kali tasbîh pada setiap rakaat dan jumlah keseluruhan tasbîh dalam empat rakaat sebanyak 300 kali tasbîh.

Kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang pertama dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma inilah yang arjah (lebih tepat) sepertimana yang diterangkan dalam kitab Fath al-‘Allâm.

ii. Kaifiyyah kedua pula sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mubarak yang mana di dalam hadits ini kaifiyyah bacaan tasbîh itu bermula selepas mengangkat takbîratul-ihrâm dan sebelum membaca surah al-Fâtihah.

Maksudnya: Ahmad bin Abdah adh-Dhabbiy menceritakan kepada kami, Abu Wahab memberitahukan kepada kami, dia berkata: “Saya bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak tentang sembahyang yang didalamnya ada bacaan tasbîh”. Dia menjawab: “Dia (orang yang bersembahyang) mengangkat takbîr kemudian membaca: َ غَريْ ك (Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memujiMu dan Maha Suci NamaMu dan Maha Luhur PangkatMu, Tidak ada Tuhan selain Engkau). Kemudian membaca 15 kali: َ Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar). Kemudian membaca Ta‘awwudz, membaca Basmalah, membaca surah al-Fâtihah dan membaca surah yang lainnya. Kemudian membaca tasbîh itu 10 kali lagi. Kemudian ruku‘ dan membaca tasbîh itu 10 kali, kemudian mengangkat kepala (dari ruku‘) dan membaca tasbîh itu 10 kali, kemudian sujud dan membaca tasbîh itu 10 kali, kemudian mengangkat kepala (dari sujud) dan membaca tasbîh tersebut 10 kali, kemudian sujud yang kedua dan membaca tasbîh itu 10 kali.

Dia bersembahyang empat rakaat dengan bacaan sebanyak 75 kali tasbîh pada setiap rakaat. Dimulai pada setiap rakaat dengan 15 kali bacaan tasbîh, kemudian membaca (surah al-Fatihah dan surah tertentu) dan kemudian membaca tasbîh lagi sebanyak 10 kali lagi, jika dikerjakan pada waktu malam, yang lebih disukai adalah mengucapkan salam pada setiap dua rakaat dua rakaat, dan jika dikerjakan di waktu siang ucaplah salam jika mahu (pada setiap dua rakaat), dan jika tidak mahu, janganlah ucapkan salam (setiap dua rakaat tetapi setelah empat rakaat). (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hadits ini menjelaskan bahawa bacaan tasbîh itu bermula selepas mengangkat takbîr dan sebelum membaca surah al-Fâtihah dan surah selepas al-Fâtihah 15 kali dan membaca 10 kali lagi setelah selesai membaca surah al-Fâtihah dan surah selepasnya, kemudian selepas membaca tasbîh ruku‘ dibaca 10 kali, begitu juga semasa i‘tidâl dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbîh sujud pertama dibaca 10 kali, selepas membaca do‘a duduk antara dua sujud dibaca 10 kali dan selepas membaca tasbîh sujud kedua dibaca 10 kali.

Walau bagaimanapun kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang pertama itu adalah arjah (lebih tepat), akan tetapi kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua ini juga boleh dilakukan sepertimana riwayat hadits di atas, dan kedua-dua kaifiyyah ini juga diamalkan di sebahagian masjid-masjid di negara kita khususnya pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan untuk menghidupkan malam tersebut dan mengharapkan kehadiran Lailah al-Qadr.

Kaifiyyah Mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih

Bagi kemudahan para pembaca didetilkan kaifiyat sembahyang sunat Tasbih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

1. Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.

Atau jika dilakukan empat rakaat:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.

2. Membaca do‘a iftitâh.

- (Peringatan: Mengikut kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbîh yang pertama sebanyak 15 kali bermula selepas takbîratul-ihrâm dan membaca do‘a iftitâh iaitu sebelum membaca surah al- Fâtihah). 3. Membaca ta‘awwudz:

4. Membaca surah al-Fâtihah.

5. Membaca surah al-Hadîd atau surah at-Takâtsur pada rakaat pertama (boleh juga membaca surah-surah yang lain).

Begitu juga pada rakaat kedua afdhal membaca surah al-Hasyr atau surah al- ‘Ashr, pada rakaat ketiga surah ash-Shaff atau surah al-Kâfirûn dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah atau surah al-Ikhlâsh.

6. Setelah selesai membaca al-Fâtihah dan surah selepasnya dan sebelum ruku‘ membaca tasbîh sebanyak 15 kali.

- (Peringatan: Mengikut kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbîh itu dibaca lagi selepas surah al-Fâtihah dan surah selepasnya sebanyak 10 kali kemudian ruku‘. Bacaan tasbîh seterusnya dibaca semasa ruku‘, i‘tidâl, sujud pertama, duduk antara dua sujud dan sujud kedua adalah sama sebanyak 10 kali, tetapi bacaan tasbîh semasa duduk istirâhah sebelum bangun untuk rakaat kedua tidak dibaca begitu juga semasa tahiyyat akhir pada rakaat kedua juga tidak dibaca.) 7. Ruku‘ dan membaca tasbîh ruku‘ 3 kali.

8. Setelah selesai membaca tasbîh ruku‘ terus sambung membaca tasbîh 10 kali. 9. I‘tidâl sambil membaca tasmî‘ kemudian tahmîd.

10. Membaca tasbîh selepas membaca tahmîd i‘tidâl 10 kali. 11. Sujud dan membaca tasbîh sujud 3 kali.

12. Membaca tasbîh selepas tasbîh sujud 10 kali. 13. Duduk antara dua sujud dan membaca do‘a.

14. Membaca tasbîh selepas membaca do‘a duduk di antara dua sujud 10 kali. 15. Sujud kedua dan membaca tasbîh sujud 3 kali. 16. Membaca tasbîh selepas tasbîh sujud kedua 10 kali.

- (Peringatan: Disinilah bacaan tasbîh terakhir bagi kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih yang kedua. Begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.)

17. Bangkit dari sujud yang kedua iaitu duduk istirâhah (duduk sebelum berdiri untuk rakaat yang seterusnya) dan membaca tasbîh 10 kali.

18. Ulangilah bacaan tasbîh itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat pada tempat yang sama sepertimana bacaan pada rakaat pertama kecuali:

- Jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan pada waktu malam lebih utama dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbîh pada rakaat kedua itu sebelum atau selepas membaca tahhiyyat akhir.

- Begitu juga jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan di waktu siang adalah lebih afdhal dikerjakan empat rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbîh terakhir pada rakaat kedua sebelum atau selepas tahiyyat awal dan pada rakaat keempat hendaklah membaca tasbîh terakhir sebelum atau selepas tahiyyat akhir.

19. Begitulah kaifiyyah membaca tasbîh dalam sembahyang sunat Tasbih, kesemua jumlah tasbîh yang dibaca dalam empat rakaat adalah sebanyak 300 tasbîh iaitu 75 tasbîh pada setiap rakaat.

20. Kemudian sunat membaca do‘a selepas tahiyyat akhir dan sebelum salam.

Do‘a masyhur sepertimana yang diterangkan oleh Imam Kurdi dan Syarqawi di dalam kitab Fath al-‘Allâm selepas tahiyyat akhir dan sebelum salam ialah:

Ertinya: Ya Allah! Kami bermohon dariMu taufiq seperti golongan yang mendapat pertunjuk, ibadat golongan yang yakin, ketulusan golongan yang bertaubat, keazaman golongan yang sabar, kewaspadaan golongan yang takut, pengharapan golongan yang tekun, peribadatan golongan yang wara‘, kebijaksanaan golongan yang berilmu sehingga kami menjadi takut kepadamu.

Ya Allah! Kami bermohon kepadaMu sifat takut yang akan menjadikan benteng dari berbuat maksiat kepadaMu, (kami bermohon kepadaMu) amalan yang dengannya kami mendapat keredhaanmu sehingga (menjadikan) kami dapat beramal dengan penuh ketaatan, (kami bermohon) rasa takut kepadaMu sehingga (menjadikan) kami memohon nasihat kepadaMu di dalam taubat, (kami bermohon) rasa cinta kepadaMu sehingga (menjadikan) kami ikhlas kepadaMu dalam meminta nasihat, (kami bermohon) bersangka baik kepadaMu Tuhan yang Maha Suci pencipta nûr (cahaya) sehingga (menjadikan) kami bertawakkal kepadaMu di dalam setiap urusan.

Di dalam riwayat yang lain ada juga yang menambah dengan do‘a ini:

Ertinya: Wahai Tuhan kami sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihi.

Do‘a ini dilakukan setiap kali sebelum salam, jika melakukan sembahyang sunat Tasbih ini setiap dua rakaat sekali salam hendaklah membaca do‘a ini dua kali iaitu setiap kali sebelum memberi salam, dan jika dilakukan dengan empat rakaat sekali salam hendaklah membaca do‘a ini sekali sahaja. Sepertimana perkataan Syubramilissi: “Do‘a ini dibaca sekali jika melakukan sembahyang sunat Tasbih dengan sekali takbîratul-ihrâm dan dibaca do‘a ini dua kali jika melakukannya dengan dua kali takbîratul-ihrâm.”

21. Kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri.

22. Kemudian selepas mengucapkan salam bolehlah memohon dengan membaca do‘a-do‘a lain supaya diperkenankan segala hajat.

Begitulah kaifiyyah sembahyang sunat Tasbih dan bacaan tasbîh sepertimana yang diterangkan dalam hadits di atas dan ditambah dengan bacaan:

Sebagaimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj bi Syarh al-Minhâj.

Hukum Sembahyang Sunat Tasbih

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah, sembahyang sunat Tasbih adalah di antara sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan masa dan sebab tertentu, maka sunat dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu malam ataupun siang dan haram dilakukan di dalam waktu-waktu yang diharamkan bersembahyang.

Sembahyang sunat Tasbih ini dianjurkan melakukannya, sehinggakan jika mampu, afdhal dikerjakan pada tiap-tiap hari. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan sekali pada setiap Jumaat. Jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan sebulan sekali. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan setahun sekali dan jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan seumur hidup sekali, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup. (Hadits riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, sunat dilakukan sembahyang sunat Tasbih itu berulang kali walaupun dalam masa yang berdekatan.

Surah-Surah Yang Sunat Dibaca Dalam Sembahyang Sunat Tasbih

Sunat dibaca surah at-Takâtsur pada rakaat pertama, surah al-‘Ashr pada rakaat yang kedua, surah al-Kâfirûn pada rakaat yang ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat yang keempat.

Menurut setengah ulama pula, surah yang lebih utama dibaca ialah surah yang pada permulaan ayatnya disebut perkataan tasbîh iaitu surah al-Hadîd pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah ash-Shaff pada rakaat ketiga dan surah al-Jumu‘ah pada rakaat keempat. Jika tidak mampu, maka bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Âdiyât pada rakaat kedua, surah at-Takâtsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlâsh pada rakaat keempat.

Boleh juga membaca surah-surah lain jika tidak hafal semua surah yang di atas, akan tetapi surah-surah di atas itu adalah yang lebih afdhal atau lebih utama dan mendapat pahala mengikut keutamaan surah-surah tersebut.

Bilangan Rakaat Sembahyang Sunat Tasbih Dan Waktunya

Sembahyang sunat Tasbih dikerjakan pada bila-bila masa sebanyak empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan satu salam. Jika dikerjakan pada waktu malam adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan dua salam.

Fadhilat Sembahyang Sunat Tasbih

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Jika engkau membuat yang sedemikian itu, Allah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu, yang sekarang, yang sudah lama, yang baru, yang tidak disengaja, yang sengaja, yang kecil, yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain, apabila orang telah mendengar kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu, dan dia tinggalkan yakni tidak membuatnya maka dia tergolong daripada orang yang mencuaikan agama.

Bolehkah Sembahyang Sunat Tasbih Diqadha’?

Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu bahawa sembahyang sunat Tasbih adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan waktu dan sebab dan sunat dilakukan di waktu malam dan siang selain waktu yang diharamkan bersembahyang, ia juga boleh dilakukan pada setiap masa dan dianjurkan supaya selalu mengerjakannya walaupun dalam masa yang berdekatan kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar.

Dari itu, sembahyang sunat Tasbih tidaklah dapat diqadha’ disebabkan ia adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak ada waktu tertentu.

Hukum Bacaan Tasbîh Dalam Sembahyang Sunat Tasbih Dan Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat Selainnya

Bacaan tasbîh dalam sembahyang sunat Tasbih itu adalah dikategorikan sebagai sunat hai’ah seperti bacaan takbîr dalam sembahyang dua Hari Raya. Jika tertinggal bacaan tasbîh tersebut itu dalam sembahyang, tidaklah disunatkan menggantikannya dengan sujud sahwi.

Begitu juga jika seseorang berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat Tasbih, akan tetapi dia tidak membaca tasbîh tersebut semasa sembahyang, sembahyangnya adalah dikira sah dengan syarat tempoh masa i‘tidâl, dan duduk di antara dua sujud dan duduk istirâhah tidak dipanjangkan, kerana perkara sedemikian boleh membatalkan sembahyang. Dengan demikian menjadilah ia sembahyang sunat mutlak sahaja bukanlah sembahyang sunat Tasbih. Jika sekiranya seseorang berniat untuk sembahyang sunat biasa sahaja, kemudian mendatangkan bacaan tasbîh-tasbîh tersebut dalam sembahyangnya itu, maka dalam perkara ini diharuskan baginya membaca tasbîh berkenaan selagi dia tidak memanjangkan rukun yang pendek seperti i‘tidâl kerana niatnya itu niat sembahyang sunat biasa sahaja bukan sembahyang sunat Tasbih. Dengan demikian ia tetap dianggap sebagai sembahyang sunat mutlak biasa bukannya sembahyang sunat Tasbih.

Selain itu, disunatkan mengisrârkan (tidak menyaringkan) bacaan tasbîh itu, sama ada ia dilakukan di waktu malam ataupun di waktu siang. Adapun bacaan-bacaan lain dalam sembahyang sunat Tasbih itu disunatkan juga membaca dengan isrâr jika dilakukan di waktu siang akan tetapi disunatkan membaca dengan bacaan pertengahan antara jahar (dinyaringkan) dan isrâr jika dikerjakan di waktu malam sepertimana sembahyang sunat-sunat yang lain.

Akan tetapi jika bernazar untuk menyaringkan bacaan tasbîh itu dalam sembahyang sunat Tasbih tersebut, maka menjadilah bacaan jahar itu wajib disebabkan nazar itu, sepertimana yang disebutkan dalam bab nazar.

Jika sekiranya terlupa membaca tasbîh dalam rukun tertentu sehingga berpindah pada rukun selepasnya, tidak harus kembali kepada rukun tersebut untuk membacanya. Sekiranya dia tahu akan perkara itu dan dengan sengaja mengulang rukun itu, maka batallah sembahyangnya.

Oleh kerana tidak dapat mengulang rukun tasbîh tersebut untuk membaca tasbîh, maka gantilah bacaan tasbîh itu pada rukun seterusnya selain semasa i‘tidâl, duduk antara dua sujud dan duduk istirâhah. Ini kerana memanjangkan tiga rukun ini boleh membatalkan sembahyang walaupun dalam sembahyang sunat Tasbih, sebab bacaan tasbîh dalam tiga rukun tersebut di dalam sembahyang sunat Tasbih hanyalah dikhususkan untuk bacaan yang asal sahaja.

Oleh itu, jika sekiranya terlupa membaca tasbîh ketika ruku‘, maka janganlah diganti bacaan tasbîh yang tertinggal itu semasa i‘tidâl, kerana tidak boleh memanjangkan bacaan padanya akan tetapi gantilah bacaan itu semasa sujud, kerana sujud adalah dikategorikan sebagai rukun yang panjang sebagaimana yang dikatakan oleh al-Baghawi.

Manakah Yang Lebih Afdhal; Washl Atau Fashl?

Washl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bersambung iaitu empat rakaat dengan satu salam. Sementara fashl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bercerai iaitu setiap dua rakaat sekali salam.

Ibnu Hajar mengatakan dalam kitabnya Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah, kedua cara tersebut ada diterangkan di dalam hadits. Oleh yang demikian, harus melakukan kedua cara tersebut, akan tetapi Imam al-Ghazali mengatakan dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, jika dikerjakan di waktu siang sambungkanlah empat rakaat dengan satu salam, dan jika dikerjakan di waktu malam ceraikanlah empat rakaat dengan dua salam, sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki tentang bagaimana sembahyang malam itu, Baginda pun menjawab:

Maksudnya: Sembahyang malam itu dua rakaat dua rakaat. (Hadits riwayat Ahmad) Haruskah Sembahyang Sunat Tasbih Dilakukan Secara Berjemaah?

Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai sembahyang at-tathawwu‘ dan an-nawâfil. Sembahyang-sembahyang an-nawâfil itu menurut pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan, kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1. Yang sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, dan sembahyang Witir pada bulan Ramadhan.

2. Yang tidak sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang ar-rawâtib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu, sembahyang Witir bukan di bulan Ramadhan, sembahyang Dhuha, sembahyang Tahajjud dan sembahyang Tasbih.

Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah, asy- Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau Mughni al-Muhtâj menjelaskan, adapun sebab ia tidak disunatkan berjemaah kerana muwâzhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian. Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah, tetapi tidak dihukumkan makruh, kerana Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah.

Imam Jalaluddin al-Mahalli dalam Syarh al-Minhâj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:

Ertinya: Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah tidaklah makruh. Demikian menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah.

Asy-Syeikh Qalyubi di dalam Hâsyiyatân ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin al-Mahalli “tidaklah makruh” di atas, katanya:

Ertinya: Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama (khilâf al-awlâ) dan maksudnya, tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.

Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid‘ah, hanyalah ia khilâf al-awlâ yakni menyalahi yang utama sahaja.

Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah ataupun bersendirian. Melakukannya secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah. Sebagaimana telah dinaqal oleh asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani daripada Ali asy-Syubramalissi katanya:

Ertinya: Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awlâ (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.

Penutup

Dari penjelasan yang di atas dapatlah difahami bahawa sembahyang sunat Tasbih mempunyai fadhilat yang tersendiri selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Ta‘ala dengan bertasbîh, tahmîd, tahlîl dan takbîr, sembahyang sunat Tasbih juga dapat menghapuskan segala dosa.

Oleh yang demikian, janganlah kita abaikan, kerana sesiapa yang mengetahui akan fadhilat dan kelebihan sembahyang sunat Tasbih ini tetapi tidak mengerjakannya, maka orang itu tergolong di antara orang yang mencuaikan agama sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain. Dari itu, kerjakanlah sembahyang sunat Tasbih itu walaupun sekali seumur hidup

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7262