Wanita Berjemaah Dalam Sembahyang Sunat
الجواب
Hukum berjemaah dalam sembahyang fardhu, selain daripada fardhu Jumaat, adalah sunat mu’akkadah bagi golongan lelaki. Sembahyang berjemaah yang dikerjakan oleh orang lelaki di masjid pula adalah lebih afdhal daripada sembahyang yang dikerjakannya di tempat-tempat lain. Menurut qaul Imam Syafi‘e dan ulama-ulama Syafi‘e, kanak-kanak lelaki hendaklah disuruh dan digalakkan hadir ke masjid dan berjemaah dalam sembahyang untuk membiasakannya.
Adapun fadhilat dan ganjaran mengerjakan sembahyang fardhu berjemaah adalah sangat banyak dan telah diketahui umum. Antaranya hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat Muslim)
Terhasil berjemaah dalam sembahyang itu dengan dua orang, iaitu seorang imam dan seorang makmum, ataupun lebih dari itu. Ini berdasarkan hadits riwayat Abu Musa al-Asy‘ariy:
Maksudnya: Dua orang dan lebih daripada itu adalah jemaah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Wanita Sembahyang Berjemaah Di Masjid
Menurut Imam an-Nawawi, hukum berjemaah bagi golongan perempuan sesama mereka juga adalah sunat, manakala untuk hadir ke masjid bersama-sama golongan lelaki, hukumnya makruh bagi wanita-wanita yang mempunyai hai’at (yang mempunyai daya tarikan) untuk mengelakkan fitnah. Oleh kerana itu sembahyang orang perempuan di rumahnya adalah lebih afdhal daripada sembahyang di masjid.
Sembahyang jemaah perempuan dengan berimamkan seorang lelaki pula adalah lebih afdhal daripada berimamkan seorang perempuan, kerana imam lelaki lebih mengetahui mengenai perkara dalam sembahyang dan lebih jelas bacaannya dalam semua hal. Akan tetapi seorang perempuan tidak boleh berjemaah dengan seorang imam lelaki yang tiada hubungan mahram di antara keduanya.
Menurut Imam asy-Syirazi, hukum seorang lelaki yang bersembahyang dengan seorang perempuan ajnabiyyah adalah makruh. Imam an-Nawawi seterusnya menerangkan bahawa makruh yang dimaksudkan di atas adalah makruh karâhah tahrîm. Maka seorang lelaki yang mengimamkan seorang perempuan ajnabiyyah dan bersendirian dengannya, hukumnya adalah haram ke atasnya dan ke atas perempuan tersebut.
Menurut ulama Syafi‘e, jika perempuan itu seorang yang sudah berumur (tua) dan tidak menarik perhatian, maka tidak makruh baginya hadir berjemaah ke masjid. Adapun perempuan muda atau yang boleh menarik perhatian, maka hukumnya adalah makruh.
Terdapat beberapa hadits shahîh yang menyebut tentang kehadiran jemaah wanita ke masjid di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi ini tertakluk juga dengan syarat dan keadaan tertentu. Antara hadits tersebut, daripada Hindun binti al-Harits berkata bahawa Ummu Salamah, isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahunya:
Maksudnya: Bahawa wanita-wanita di zaman Rasulullah jika telah selesai daripada sembahyang fardhu, mereka segera pulang. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masih tinggal bersama kaum lelaki dengan kehendak Allah jua. Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri, barulah mereka (kaum lelaki) berdiri.
Manakala hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pula:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sembahyang Fajar (sembahyang Subuh), maka perempuan-perempuan mukminat menyaksikan bersama Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, kepala mereka terselubung dalam tudung (tutup kepala), kemudian mereka pulang ke rumah masing-masing dan seorang pun tidak mengetahui mereka.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebutkan bahawa jika kaum wanita yang meminta izin daripada suami mereka untuk hadir ke masjid, maka hendaklah suami tersebut mengizinkan isterinya pergi dan janganlah menegahnya. Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah bersabda:
Maksudnya: Jika isteri-isteri kamu meminta izin daripada kamu untuk pergi ke masjid, maka izinkanlah mereka. (Hadits riwayat Muslim)
Akan tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan orang perempuan agar tidak memakai wangi-wangian sebagaimana hadits daripada Zainab isteri Abdullah bin Mas‘ud:
Maksudnya: Apabila salah seorang di antara kamu ingin sembahyang di masjid, maka janganlah kamu memakai wangi-wangian. (Hadits riwayat Muslim)
Sungguhpun di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kaum wanita hadir ke masjid, terdapat juga hadits yang kurang menggalakkan kehadiran mereka sebagaimana riwayat daripada ‘Amrah bin ‘Abdul Rahman bahawa ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: Andaikata Rasulullah mengetahui apa yang dilakukan wanita sekarang, nescaya Baginda lebih melarang mereka (untuk pergi ke masjid), sebagaimana wanita Bani Israel telah dilarang. Aku (Yahya) bertanya kepada ‘Amrah: “Apakah kaum perempuan Bani Israel itu dilarang berbuat demikian?” Dia (‘Aisyah) menjawab: “Ya.”
Sembahyang berjemaah bagi kaum wanita di rumah mereka adalah lebih afdhal daripada hadir berjemaah di masjid berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah kamu menegah kaum wanita kamu (hadir) ke masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka itu adalah lebih baik bagi mereka (daripada hadir ke masjid). (Hadits riwayat Abu Daud)
Sembahyang-Sembahyang Sunat Yang Disunatkan Berjemaah
Adapun sembahyang-sembahyang sunat itu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu yang sunat dikerjakan secara berjemaah dan yang tidak sunat dikerjakan secara berjemaah.
Adapun maksud sunat dikerjakan secara berjemaah itu kerana telah disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah. Sembahyang-sembahyang sunat tersebut adalah seperti berikut:
i. Sembahyang Dua Hari Raya
Iaitu ‘îd al-akbar (sembahyang Hari Raya Adha) dan ‘îd al-ashghar (sembahyang Hari Raya Fitrah). Hukum sembahyang dua Hari Raya adalah sunat mu’akkadah.
Menurut Khatib asy-Syarbini sembahyang Hari Raya Adha dan sembahyang Hari Raya Fitrah sunat dikerjakan oleh lelaki atau perempuan, bersendirian atau berjemaah, hamba atau merdeka, orang yang musafir, khuntsâ dan juga kanak-kanak lelaki.
Menurut nash Imam asy-Syafi‘e dan para ulama Syafi‘e, bahawa kanak-kanak lelaki yang sudah mumayyiz juga digalakkan untuk hadir berjemaah dalam sembahyang sunat Hari Raya.
Adapun hukum sembahyang dua Hari Raya itu sunat mu’akkadah. Ini adalah berdasarkan kepada kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sembahyang dua Hari Raya ini juga disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah kerana Rasulullah melakukan sedemikian dan hukum berjemaah adalah sunat.
Kehadiran Wanita Bersembahyang Dua Hari Raya Di Masjid
Menururt Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmû‘, hukum perempuan yang cantik dan yang boleh menarik perhatian hadir ke masjid adalah makruh kerana ditakuti fitnah. Adapun perempuan yang telah berumur atau yang tidak menarik perhatian adalah digalakkan untuk hadir ke masjid. Walau bagaimanapun sekiranya mereka ingin hadir ke masjid, maka hendaklah memakai pakaian yang sederhana (pakaian seharian) dan membersihkan diri, serta dilarang daripada memakai wangi-wangian.
Telah disebutkan dalam beberapa hadits yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyyah, bahawa pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang perempuan juga turut hadir pada perkumpulan di Hari Raya. Antaranya:
Maksudnya: Kami dan perempuan yang menyembunyikan diri serta anak gadis diperintahkan keluar pada kedua-dua Hari Raya. Berkata (Ummu ‘Athiyyah): “Perempuan-perempuan yang sedang haidh juga keluar dan berada di belakang kaum Muslimin. Mereka ikut bertakbîr bersama kaum Muslimin.” (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits yang lain:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh keluar gadis-gadis, wanita merdeka, wanita yang menyembunyikan diri dan wanita yang sedang haidh. Adapun wanita yang haidh, maka hendaklah memisahkan diri mereka daripada tempat sembahyang dan menyaksikan da‘wah kaum Muslimin. Salah seorang daripada mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana seandainya dia tidak mempunyai jilbâb (tudung dan jubah)?” Baginda menjawab: “Hendaklah saudaranya memakaikan (atau meminjamkan) untuknya daripada jilbâb-jilbâbnya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau menceritakan:
Maksudnya: Aku telah keluar bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Adha, maka Baginda pun sembahyang, kemudian Baginda berkhutbah. Setelah itu Baginda menemui kaum wanita lalu menasihati, mengingatkan dan menyuruh mereka supaya bersedekah.
ii. Sembahyang Kusûfain
Iaitu sembahyang yang dilakukan kerana kejadian gerhana matahari dan gerhana bulan. Dikatakan juga perkataan kusûf ِِ ( كسو) adalah untuk gerhana matahari, manakala perkataan khusûf ( و ِخس) adalah untuk gerhana bulan. Adapun ulama telah sepakat bahawa sembahyang kusûfain ini adalah di antara sunat-sunat mu’akkadah untuk dikerjakan.
Sembahyang ini disunatkan bagi setiap orang Islam yang bermukim atau musafir, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, dilakukan sembahyang itu dengan cara berjemaah atau berseorangan.
Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah dua bukti daripada tanda-tanda kebesaran Allah ‘Azza wa Jalla, tidak terjadi gerhana itu disebabkan kematian dan tidak kerana lahirnya seseorang. Maka jika kamu melihat gerhana itu (matahari dan bulan), maka hendaklah kamu bermohon kepada Allah, mengucapkan takbîr, sembahyang dan bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Bakrah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda sembahyang dua rakaat.
Sembahyang kusûfain itu sunat dikerjakan secara berjemaah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakannya secara berjemaah di masjid. Sunat juga mengajak orang ramai mengerjakannya secara jemaah dengan berkata “ َِّ َِإِنٌِالصَّالَةجَام ََِة ” (marilah sembahyang berjemaah).
Kehadiran Wanita Dalam Sembahyang Kusûfain
Asma’ binti Abu Bakar menceritakan bahawa dia telah datang kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pada ketika terjadi gerhana matahari. Maka ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pun berdiri untuk melakukan sembahyang kusûf, dan Asma’ turut sama melakukannya, sebagaimana hadits yang menyebutkan:
Maksudnya: Aku pergi menemui ‘Aisyah Radhiallah ‘anha, isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu terjadi gerhana matahari. Tiba-tiba orang ramai sudah pun berdiri mengerjakan sembahyang gerhana dan ‘Aisyah pun berdiri untuk bersembahyang. Aku bertanya kepada ‘Aisyah: “Mengapa orang-orang itu berbuat demikian?” ‘Aisyah memberi isyarat dengan tangannya ke arah langit dan mengucapkan: “Subhanallah”. Lalu aku berkata: “Suatu tanda kekuasaan Allah?” Lalu ‘Aisyah memberi isyarat: “Ya”. Maka aku pun berdiri sehingga aku hampir pengsan (kerana terlalu lama berdiri), membuatkan aku menyiramkan air di atas kepalaku.
Menurut Imam asy-Syafi‘e dalam kitab al-Umm:
Ertinya: Aku tidak mengatakan makruh bagi sesiapa yang tiada hai’ah (menarik perhatian) daripada golongan wanita, tidak juga (makruh) bagi perempuan tua dan tidak juga (makruh) bagi kanak-kanak perempuan untuk menghadiri sembahyang kusûf bersama-sama dengan imam, bahkan aku menyukai mereka sembahyang kusuf, dan aku lebih menyukai bagi perempuan-perempuan yang mempunyai hai’ah (menarik perhatian) untuk mengerjakan sembahyang kusûf di rumah-rumah mereka. Imam asy-Syafi‘e berkata: “Dan jika berlaku gerhana, seorang lelaki itu bersama dengan wanita-wanita antara mereka itu adalah mahram kepada lelaki tersebut, maka sembahyanglah dia bersama-sama wanita-wanita itu. Dan jika tidak ada antara mereka itu mahram kepada lelaki tersebut, makruh dia melakukan demikian. Adapun jika dia melakukan juga sembahyang dengan mereka (perempuan-perempuan itu), maka itu tidak mengapa.”
iii. Sembahyang Istisqâ’ (Meminta Hujan)
Iaitu sembahyang yang dilakukan kerana hajat atau keperluan kepada air disebabkan sama ada ketiadaan air, air menjadi masin, tidak dapat dijadikan air minuman atau kekurangan air sehingga tidak mencukupi untuk penduduk sesebuah negeri atau kampung.
Hukum sembahyang Istisqâ’ adalah sunat mu’akkadah. Sembahyang Istisqâ’ pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menurut hadits daripada Abdullah bin Zaid:
Maksudnya: Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke mushalla, lalu memohon diturunkan hujan. Baginda menghadap qiblat dan membalikkan selendangnya, lalu sembahyang dua rakaat.
Sembahyang Istisqâ’ sunat dikerjakan secara berjemaah kerana di antara adab-adab untuk mengerjakan sembahyang ini ialah dengan menyeru atau memanggil orang ramai untuk melakukannya secara berjemaah dengan berkata:
Ertinya: Marilah sembahyang berjemaah.
Manakala dalam hadits lain yang diriwayatkan oleh Tamim daripada bapa saudaranya, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sembahyang Istisqâ’ dengan jemaah yang lain:
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar bersama dengan orang ramai dengan maksud memohon hujan. Kemudian Baginda sembahyang dua rakaat bersama-sama mereka, di mana Baginda menyaringkan bacaan pada kedua-dua rakaat tersebut. Baginda memindahkan selendang Baginda, mengangkat kedua tangannya memohon hujan dan menghadap qiblat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Di antara adab-adab tersebut termasuklah juga memilih jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, orang-orang yang salih selain daripada kerabat Baginda, orang-orang tua lelaki, mereka yang dha‘îf, kanak-kanak lelaki, perempuan-perempuan tua, dan perempuan yang tidak mempunyai hai’ah (menarik perhatian).
iv. Sembahyang Tarawih
Hukum sembahyang Tarawih mengikut kesepakatan ulama adalah sunat. Ianya boleh dikerjakan secara bersendirian ataupun berjemaah. Akan tetapi adalah lebih afdhal jika ia dikerjakan secara berjemaah. Sunat menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan beribadat sepertimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Barang siapa yang mendirikan (malam) Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosanya yang lampau.
Walau bagaimanapun menurut hadits daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah meninggalkan berjemaah dalam sembahyang Tarawih kerana dikhuatiri akan menjadi suatu sembahyang yang wajib ke atas Muslimin.
Maksudnya: Pada suatu malam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang di masjid. Baginda bersembahyang dengan beberapa orang, kemudian Baginda bersembahyang dengan satu qabilah, sehingga jumlahnya menjadi banyak. Kemudian mereka semua berkumpul pada malam yang ketiga atau keempat, tetapi Rasulullah tidak keluar untuk menemui mereka. Apabila tiba waktu pagi Baginda pun bersabda: “Aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menahanku daripada keluar menemui kamu kecuali aku merasa khuatir kalau sampai sembahyang itu menjadi kewajipan ke atas kamu”. Dan Baginda bersabda: “Demikian pada bulan Ramadhan.” (Hadits riwayat Muslim)
Wanita Berjemaah Dalam Sembahyang Tarawih
Menurut sebuah riwayat daripada al-Baihaqi, bahawa sembahyang Tarawih dilakukan secara berjemaah sehingga zaman Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu. Beliau mengumpulkan orang ramai di masjid untuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan.
Daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya mengatakan:
Ertinya: Bahawa ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu telah mengumpulkan orang ramai untuk menghidupkan (malam) bulan Ramadhan. Orang lelaki bersama Ubay bin Ka‘ab dan orang perempuan bersama Sulaiman bin Abu Hatsmah. (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)
Diriwayatkan daripada ‘Arfajah ats-Tsaqafi bahawa Sayyidina ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu juga menyuruh orang ramai untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan.
Ertinya: Bahawa ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu menyuruh orang ramai menghidupkan (malam) bulan Ramadhan. Beliau melantik bagi golongan lelaki seorang imam, dan bagi golongan perempuan seorang imam. Berkata ‘Arfajah: “Maka aku sendiri dijadikan imam bagi golongan perempuan.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)
Kejadian Alam Selain Gerhana Matahari Dan Bulan
Menurut Imam asy-Syirazi, adapun kejadian-kejadian alam selain daripada gerhana, maka tidak disunatkan sembahyang secara berjemaah, kerana kejadian-kejadian tersebut pernah berlaku dan tidak dinaqalkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh melakukan sembahyang jemaah kecuali untuk kejadian gerhana sahaja.
Imam an-Nawawi seterusnya menerangkan contoh kejadian atau bencana alam itu seperti gempa, kilat, keadaan yang sangat gelap di siang hari, angin kencang dan sebagainya. Manakala ulama Syafi‘e sepakat bahawa sembahyang kerana kejadian yang disebutkan di atas sunat dikerjakan secara sendirian (tanpa berjemaah) serta berdoa dan beribadat agar seseorang itu tidak lalai.
Penutup
Usaha untuk mendapatkan ganjaran pahala dan memperbanyakkan lagi ibadat dalam perkara-perkara sunat sangatlah dituntut, umpamanya sembahyang berjemaah di masjid. Namun pada dasarnya kehadiran wanita dalam sembahyang berjemaah di masjid tidaklah dituntut khasnya wanita-wanita yang memiliki hai’at (mempunyai daya tarikan) sebagaimana kaum lelaki dan bersembahyang di rumah-rumah mereka adalah lebih baik.
Mengenai sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah, jika para isteri hendak pergi bersembahyang jemaah ke masjid, hendaklah dengan keizinan suami dan menjaga batas-batas yang telah ditentukan oleh syara‘ seperti menjaga dan menutup aurat, tidak memakai wangi-wangian dan berpakaian secara sederhana.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7445
دليل الألوان
