Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Sembahyang Sunat Istisqâ’: Jalan Terbaik Untuk Memohon Hujan

الجواب

Sembahyang sunat Istisqâ’ ialah sembahyang bagi memohon hujan kerana memerlukan air. Ini bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengenai aduan orang ramai kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang tidak turunnya hujan. Kemudian Baginda menyuruh mengambil mimbar dan meletakkannya di tempat sembahyang lalu menetapkan suatu hari untuk orang ramai keluar mengerjakan sembahyang di tempat itu.

Setelah tiba hari yang ditetapkan itu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun pergi ke tempat tersebut pada waktu sinar matahari mula terbit dan Baginda pun duduk di atas mimbar, bertakbîr dan memuji Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lalu Baginda pun bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya kamu telah mengadu kegersangan negeri kamu dan kelewatan (datangnya) hujan pada musimnya kepada kamu, padahal sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah memerintahkan kamu agar berdo‘a kepadaNya dan telah menjanjikan kepada kamu untuk mengabulkan do‘a kamu. Kemudian Baginda berkhutbah dengan bersabda: “Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, yang Menguasai pemerintahan Hari Pembalasan. Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah yang melakukan apa yang Dia kehendaki. Ya Allah! Engkaulah Allah, tidak ada tuhan yang disembah melainkan Engkau yang Maha Kaya dan kami pula orang-orang fakir. Engkau turunkanlah ke atas kami hujan dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu kekuatan dan kecukupan untuk kami sehingga suatu masa (ajal kami). Kemudian Baginda mengangkat kedua-dua tangannya berterusan sehingga tampak putih kedua-dua ketiaknya lalu Baginda membelakangi orang ramai dan membalikkan atau memindahkan selendangnya sambil mengangkat kedua-dua tangannya. Setelah itu Baginda menghadap orang ramai dan turun (dari mimbar) lalu mengerjakan sembahyang dua rakaat. Maka Allah menjadikan awan mendung lalu berguruh dan berkilat. Setelah itu turunlah hujan dengan izin Allah. Belum pun Baginda sampai (dari padang sahara tempat Baginda sembahyang Istisqâ’) ke masjidnya (an-Nabawi), air hujan sudah mengalir (dari setiap penjuru). Ketika Baginda melihat mereka (orang ramai) tergesa-gesa menuju tempat berteduh, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tertawa sehingga jelas gigi gerahamnya. Lalu Baginda bersabda: “Aku naik saksi bahawa Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan bahawa aku adalah hamba Allah dan pesuruhNya.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Ketika Disunatkan Memohon Hujan

Disunatkan memohon hujan dalam beberapa keadaan seperti berikut:

1. Apabila air diperlukan seperti tanah kering dan kemarau.

2. Apabila tidak dilanda kemarau atau orang yang tidak memerlukan air memohon hujan kerana mahukan lebih banyak air. Ini kerana jika mereka bergantung kepada air yang sedia ada sahaja, nescaya tidak mencukupi.

3. Apabila orang yang tidak dilanda kemarau atau tidak memerlukan air memohon hujan bagi pihak orang lain yang dilanda kemarau atau orang lain yang memerlukan air.

4. Apabila mengulangi memohon hujan kerana belum dikabulkan permohonan mereka sebelum ini.

Cara-cara Memohon Hujan

Terdapat beberapa cara untuk memohon agar diturunkan hujan antaranya:

1. Sekurang-kurangnya dengan berdo‘a semata-mata tanpa terikat dengan mengerjakan sembahyang dan selepas mengerjakan sembahyang. Berdo‘a tersebut dilakukan sama ada seorang diri atau berkumpulan.

2. Cara yang pertengahan ialah dengan berdo‘a selepas mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat atau sembahyang yang lain walaupun sembahyang sunat, berdo‘a ketika khutbah Jumaat dan seumpamanya seperti khutbah sembahyang sunat Hari Raya.

3. Cara yang paling afdhal ialah dengan mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ dan membaca dua khutbah berserta melakukan adab-adab yang dituntut sebelum mengerjakan sembahyang tersebut.

Waktu Sembahyang Sunat Istisqâ’

Sembahyang sunat Istisqâ’ sebagaimana menurut pendapat yang shahîh, harus dilakukan pada bila-bila masa sama ada siang atau malam walaupun pada waktu yang dilarang mengerjakan sembahyang, kerana sembahyang sunat Istisqâ’ itu mempunyai sebab yang terdahulu iaitu berhajat kepada air.

Walau bagaimanapun, sembahyang sunat Istisqâ’ itu lebih utama dikerjakan dalam waktu sembahyang sunat Hari Raya sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘amhumâ apabila beliau ditanya bagaimana cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’, beliau menjawab:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah keluar (untuk mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’) dengan berpakaian biasa, tawâdhu‘ dan merendah diri sehingga sampai ke tempat sembahyang. Baginda tidak berkhutbah seperti khutbah kamu ini, akan tetapi Baginda berterusan berdo‘a, merendah diri dan bertakbîr, dan Baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat sebagaimana sembahyang sunat Hari Raya.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa waktu sembahyang sunat Istisqâ’ itu adalah seperti waktu sembahyang sunat Hari Raya bersandarkan kepada hadits di atas yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘amhumâ, namun hadits tersebut membawa maksud pada keutamaan mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ itu seperti waktu sembahyang sunat Hari Raya.

Tempat Mengerjakan Sembahyang Sunat Istisqâ’

Sunat mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ di tanah lapang apabila tidak ada keuzuran. Ini kerana mengikut perbuatan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sebab-sebab lain mengapa ia dikerjakan di tanah lapang ialah kerana pada kebiasaannya jemaah yang ramai sehingga masjid tidak dapat menampung mereka. Demikian juga, kerana ketika sembahyang sunat Istisqâ’ itu, anak kecil, perempuan haid dan binatang digalakkan hadir, sedangkan mereka tidak digalakkan untuk hadir ke masjid.

Adab Sebelum Sembahyang Sunat Istisqâ’

Adab-adab yang dituntut untuk dilaksanakan sebelum mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ ialah:

1. Sunat bagi pemerintah atau penolongnya menyuruh orang ramai untuk:

i. Berpuasa selama empat hari berturut-turut iaitu tiga hari sebelum keluar ke tanah lapang dan sehari ketika pergi ke tanah lapang pada hari keempat.

ii. Bertaubat daripada segala dosa.

iii. Mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan berbuat kebajikan seperti bersedekah. iv. Keluar daripada perbuatan zalim seperti mengembalikan hak orang yang dizalimi.

2. Sunat dibawa bersama ke tanah lapang anak kecil, kanak-kanak, orang tua, orang yang lemah, binatang ternakan dan perempuan yang tidak menarik perhatian.

3. Sunat membersihkan diri seperti bersiwak dan mandi serta memakai pakaian biasa tanpa berhias, memakai wangian, bercantik-cantik atau berhias-hias.

4. Sunat ketika pergi ke tanah lapang dengan keadaan khusyû‘, merendah diri dan hati tetap kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tatkala berjalan, duduk dan bercakap.

5. Sunat berjalan kaki ketika pergi ke tanah lapang dan mengikut jalan yang berbeza atau jalan yang lain ketika balik dari tanah lapang.

6. Mengurangkan makan dan minum pada malam hendak mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’.

7. Sunat menyeru jemaah untuk mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ dengan

Wajib Melaksanakan Suruhan Pemerintah

Apabila pemerintah menyuruh untuk melaksanakan sembahyang sunat Istisqâ’, puasa, sedekah, keluar ke tanah lapang, mengembalikan hak orang yang dizalimi dan bertaubat, maka wajiblah ditaati perintah itu. Ini kerana suruhan dan larangan pemerintah wajib ditaati selama tidak bertentangan dengan syara‘.

Wajib Berniat Fardhu Sembahyang Sunat Istisqâ’ Apabila Diperintahkan

Apabila sembahyang sunat Istisqâ’ merupakan suruhan daripada pemerintah maka sembahyang sunat Istisqâ’ wajib diniatkan fardhu dan dita’yinkan iaitu diniatkan fardhu dan diniatkan sembahyang kerana Istisqâ’.

Wajib Berniat Puasa Pada Malam Hendak Sembahyang Sunat Istisqâ’ Apabila Diperintahkan Demikian juga dengan puasa, apabila puasa merupakan suruhan daripada pemerintah maka wajib berniat di waktu malam (seperti kewajipan berniat puasa Ramadhan) dan dita‘yinkan iaitu diniatkan fardhu dan diniatkan puasa kerana Istisqâ’. Jika tidak berniat di waktu malam maka jadilah puasanya itu puasa sunat muthlaq sahaja dan jika tidak berpuasa seperti yang diperintahkan maka tidak wajib diqadha.

Wajib Bersedekah Apabila Diperintahkan

Jika disuruh oleh pemerintah untuk bersedekah, maka wajib bagi mereka yang ada kemampuan (mereka yang dituntut membayar zakat fitrah) bersedekah dengan sedikit harta. Adapun jika ditentukan kadarnya seperti zakat fitrah atau kurang daripada itu, maka dibayar mengikut kadar yang ditentukan itu. Demikian juga, jika ditentukan kadarnya seperti bayaran kaffârah maka dibayar mengikut kadar yang ditentukan, itupun jika ada kelebihan hartanya daripada sepanjang umur ghâlibnya.

Kaifiat Sembahyang Sunat Istisqâ’

Sembahyang sunat Istisqâ’ adalah sembahyang dua rakaat yang sangat dituntut dan ia sunat dikerjakan dengan berjemaah. Kaifiat atau cara mengerjakannya adalah sama dengan sembahyang sunat Hari Raya. Lafaz niatnya:

Ertinya: Sahaja aku sembahyang sunat Istisqâ’ dua rakaat menjadi imam/makmum kerana Allah Ta‘ala.

Pada rakaat pertama sesudah membaca do‘a iftitâh, sunat mengangkat tangan dan melafazkan takbîr (at-takbîrât az-zâ’idah) sebanyak 7 kali. Pada rakaat kedua pula

sebanyak 5 kali (seperti takbîr sembahyang sunat Hari Raya)ا Kemudian sunat diselangi setiap takbîr az-zâ’idah itu dengan mengucapkan zikir

Selepas bertakbîr az-zâ’idah sebanyak 7 kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua barulah membaca at-ta‘awwudz dan surah al-Fâtihâh pada setiap rakaat itu. Kemudian diikuti dengan membaca surah-surah al-Qur’an. Pada rakaat pertama afdhal dibaca surah Qaf dan rakaat kedua surah al-Qamar dengan suara yang nyaring (jahr). Ataupun pada rakaat pertama dibaca surah al-A‘lâ dan rakaat kedua surah al- Ghâsyiyah.

Ada juga yang berpendapat bahawa pada rakaat kedua sunat dibaca surah Nuh disebabkan ia lebih bersesuaian dengan keadaan kerana ia mengandungi istighfâr dan turun hujan. Namun disebutkan dalam kitab al-Majmû‘, bahawa adalah afdhal dibaca surah-surah itu sebagaimana dibaca pada sembahyang sunat Hari Raya iaitu pada rakaat pertama dibaca surah Qaf dan rakaat kedua surah al-Qamar.

Khutbah Sembahyang Sunat Istisqâ’

Khutbah sembahyang sunat Istisqâ’ juga sama seperti khutbah sembahyang sunat Hari Raya pada segala rukun dan perkara sunatnya melainkan ia berbeza pada tiga perkara. Pertama: Pada setiap memulakan dua khutbah sembahyang sunat Istisqâ’ itu diucapkan istighfâr berbeza dengan khutbah sembahyang sunat Hari Raya yang dimulai dengan takbîr.

Pada khutbah pertama sunat dimulai dengan mengucapkan istighfâr iaitu “ ُ ِ أَس َََََْاََغْف ِ

sebanyak 7 kaliا

Kemudian sunat membanyakkan istighfâr ketika berkhutbah, membaca ayat dalam surah Nuh 10-12:

Tafsirnya: Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

Kedua: Pada khutbah pertama sunat membaca do‘a yang wârid daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan suara yang nyaring (jahr), antaranya ialah:

1. Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh meriwayatkan dalam kitab al-Umm dan al- Mukhtashar daripada Salim bin ‘Abdullah bin ‘Umar daripada ayahnya bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila memohon hujan Baginda berdo‘a:

Maksudnya: Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami hujan yang menyelamatkan, menyenangkan, baik akibatnya, lebat, menyuburkan, meresap di bumi, merata, sesuai keperluan lagi selalu ada. Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami hujan dan janganlah Engkau jadikan kami sebagai orang-orang yang berputus asa. Ya Allah! Sesungguhnya kesusahan yang terdapat di sisi hamba-hamba, negeri-negeri, binatang-binatang, kejadian dan segala makhluk ciptaanMu daripada kebuluran, kepayahan, dan kesempitan, tiada tempat bagi kami mengadu melainkan kepadaMu. Ya Allah! Tumbuhkanlah tanam-tanaman untuk kami dan keluarkanlah air susu binatang, turunkanlah kurniaMu dari langit dan tumbuhkanlah untuk kami segala berkat di bumi. Ya Allah! Lenyapkanlah daripada kami kesengsaraan, kelaparan dan kekurangan pakaian, dan hilangkanlah daripada kami bala bencana yang tiada siapa yang boleh melenyapkannya selain Engkau. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon keampunanMu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun maka turunkanlah hujan yang lebat kepada kami dari langit.

2. Sunat memperbanyakkan do‘a apabila ditimpa kesusahan:

Ertinya: Tiada tuhan selain Allah yang Maha Agung lagi Maha Halim (tidak segera menurunkan seksa). Tiada tuhan selain Allah Tuhan ‘Arasy yang agung. Tiada tuhan selain Allah Tuhan semesta langit dan bumi dan Tuhan yang memelihara ‘Arasy yang mulia.

Dan do‘a:

Ertinya: Wahai Tuhan yang Hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiriNya, dengan rahmatMu kami meminta tolong, dan hanya rahmatMu yang kami harapkan, maka janganlah Engkau sandarkan kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata dan perelokkanlah bagi kami semua keadaan kami. Tidak ada tuhan melainkan Engkau.

3. Sunat memperbanyakkan do‘a seperti dalam ayat surah al-Baqarah 201:

Tafsirnya: Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Dan membaca ayat di akhir surah al-Baqarah 286:

Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdo‘a): “Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami bebanan yang berat (yang tidak terdaya kami menanggungnya) sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan kurniakanlah rahmat kepada kami. Engkaulah Pelindung kami. Oleh itu tolonglah kami menghadapi kaum yang kafir.”

Ketiga: Setelah berlalu sepertiga khutbah kedua, sunat bagi khatib menghadap kiblat untuk membaca do‘a. Ketika berpusing menghadap kiblat, sunat bagi khatib membalikkan selendangnya daripada yang kanan ke kiri dan yang kiri ke kanan sebagaimana mengikut perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaih wasallam. Hikmah daripada perbuatan membalikkan selendang itu adalah mengharap nasib baik (bertafâ’ul) dengan berubahnya keadaan susah kepada senang. Demikian juga, jika bentuk kain selendang itu empat segi, maka sunat dijadikan kain yang di atas ke bawah dan yang di bawah ke atas. Sunat juga bagi jemaah membalikkan kain selendang mereka.

Khatib hendaklah bersungguh-sungguh membaca do‘a ketika itu, apabila khatib membacanya dengan suara yang perlahan (sirr) maka jemaah juga membaca do‘a dengan suara yang perlahan. Namun jika khatib membacanya dengan suara yang nyaring (jahr) maka jemaah mengaminkan do‘anya. Khatib dan jemaah sunat menadah tangan dengan meletakkan zahir tangan ke langit apabila membaca do‘a kerana menolak bala, dan menadah batin tangan ke langit apabila membaca do‘a kerana bukan menolak bala.

Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, do‘a setelah berlalu sepertiga khutbah kedua itu ialah:

Ertinya: Ya Allah! Engkau telah memerintahkan kami agar berdo‘a kepadaMu, dan Engkau menjanjikan akan memperkenankannya. Sesungguhnya kami telah berdo‘a kepadaMu sebagaimana Engkau perintahkan, maka perkenankanlah do‘a kami sebagaimana Engkau menjanjikannya. Ya Allah! Kurniakanlah kepada kami ni‘mat keampunanMu atas perbuatan kami, dan ni‘mat perkenanMu atas do‘a kami meminta hujan serta keluasan rezeki kami.

Setelah selesai membaca do‘a tersebut, khatib kembali menghadap jemaah. Kemudian khatib menyeru jemaah supaya mentaati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ lalu berselawat ke atas Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, berdo‘a untuk orang-orang yang beriman serta membaca beberapa ayat daripada al-Qur’an dan membaca

Bilakah Khutbah Sembahyang Sunat Istisqâ’ Dibacakan?

Waktu membaca khutbah itu ialah selepas mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ kerana Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam banyak melakukannya selepas sembahyang tersebut. Walau bagaimanapun harus juga membaca khutbah itu sebelum mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’, akan tetapi ia bersalahan dengan yang lebih utama.

Perkara Sunat Apabila Turun Hujan

1. Apabila mula-mula turun hujan setelah kemarau, sunat pergi keluar dan mendedahkan anggota selain aurat agar terkena dengan air hujan. Ini kerana mengambil berkat dan mengikut perbuatan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Kami bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam kehujanan. (Anas) berkata: “Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membuka sedikit pakaiannya sehingga terkena air hujan. Lalu kami berkata: “Ya Rasulullah! Kenapa Tuan lakukan ini?” Baginda bersabda: “Kerana ia baru diciptakan oleh Tuhannya, Allah Ta‘ala.” (Hadits riwayat Muslim)

2. Sunat mandi atau berwudhu dengan air yang mengalir hasil daripada hujan itu. Walau bagaimanapun afdhal dilakukan kedua-duanya dan tidak disyaratkan berniat ketika mandi dan berwudhu.

3. Sunat membaca do‘a ketika turun hujan sebanyak dua atau tiga kali:

Ertinya: Ya Allah! Jadikanlah hujan ini hujan yang bermanfaat.

4. Sunat bersyukur dan membanyakkan do‘a yang lain ketika turun hujan, kerana di saat turun hujan itu do‘a dimakbulkan.

5. Apabila turun hujan dengan lebat dan ditakuti akan mudharatnya, maka sunat bermohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar menghindarinya dengan berdo‘a:

Ertinya: Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami sahaja dan jangan Engkau turunkan hujan di atas kami (bangunan dan rumah-rumah). Ya Allah! Turunkanlah hujan di atas dataran-dataran tinggi, bukit-bukau, jurang-jurang yang dalam dan tempat tumbuh-tumbuhan.

6. Setelah hujan berhenti, sunat membaca:

Ertinya: Kami mendapat hujan dengan kurnia Allah dan rahmatNya.

Sebagai kesimpulan, mengerjakan sembahyang sunat Istisqâ’ adalah jalan yang terbaik untuk memohon kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ agar diturunkan hujan. Selain daripada itu, kita dituntut untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan berbuat kebajikan serta keluar daripada perbuatan zalim agar permohonan kita dimakbulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8971

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص