Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Tawassul: Bukan Amalan Bid‘ah!

الجواب

Tawassul atau wasîlah ialah sesuatu yang menjadi penyebab mendekati Allah atau pengantara kepada menyampaikan hajat.

Menurut Dr. as-Sayyid Muhammad ‘Alwi al-Maliki al-Makki al-Hasani (ulama asal Mekkah) menjelaskan tentang konsep tawassul itu.

Pertama: Tawassul ialah salah satu cara berdo‘a dan satu daripada pintu tawajjuh (menghadap) Allah dengan menggunakan pengantara. Pengantara ini ialah semata-mata bagi mendekat atau menyampaikan hajat kepada Allah.

Kedua: Orang yang bertawassul, tidaklah menjadikan pengantara itu melainkan semata-mata kerana cintanya kepada pengantara itu, dan dengan keyakinan, bahawa Allah mencintai pengantara tersebut.

Ketiga: Orang yang bertawassul, sekiranya dia meyakini bahawa sesiapa yang dijadikan pengantara kepada Allah boleh memberi manfaat atau mudarat, sama seperti Allah, maka keyakinan atau i‘tiqâdnya yang seperti itu adalah salah dan bahkan boleh membawa syirik (menyekutukan Allah).

Keempat: Bertawassul bukanlah suatu yang dharûri atau mesti dibuat ketika berdo‘a, dan bukan juga penerimaan suatu do‘a itu tertakluk atau bergantung kepada tawassul itu.

Hukum Bertawassul

Bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dengan amal salih adalah disyariatkan oleh Islam. Demikian juga, harus bertawassul dengan zat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, para nabi, wali dan orang salih sama ada ketika mereka hidup ataupun sesudah kematian mereka.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalanNya supaya kamu beroleh kemenangan. (Surah al-Mâ’idah: 35)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: Katakanlah (wahai Nabi Muhammad kepada kaum musyrikin itu): “Serulah mereka yang kamu anggap (tuhan) selain daripada Allah itu, maka sudah tentu mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghilangkan kemudharatan daripada kamu dan tidak (pula) dapat memindahkannya (kepada orang lain). Mereka (seperti malaikat, Nabi ‘Isa ‘Alaihissalâm atau ‘Uzair) yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapakah di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah). Dan mereka mengharapkan rahmatNya dan takut kepada azabNya. Sesungguhnya azab Tuhanmu itu semestinya ditakuti.” (Surah al-Isrâ’: 56-57)

Makna wasîlah dalam kedua-dua ayat di atas ialah sesuatu yang menjadi penyebab mendekati Allah atau pengantara kepada menyampaikan hajat.

Perkataan ‘wasîlah’ tersebut adalah umum, mengandungi tawassul dengan amal salih dan “zat yang mulia” seperti para nabi, wali dan orang-orang salih, baik semasa mereka itu hidup ataupun sesudah kematian mereka.

Menurut al-‘Allamah ‘Alwi bin Saqqaf sebagaimana dinaqal dan diringkaskan oleh al-‘Allamah ‘Abdul Rahman bin Muhammad dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidîn: “Bertawassul dengan para nabi dan wali Allah pada masa mereka hidup ataupun mati adalah harus pada pandangan syara‘.

Tatacara Dan Contoh Bertawassul

Bertawassul itu dapat dilakukan dengan cara-cara berikut:

1. Bertawassul dengan nama Allah dan sifatNya.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan bagi Allah al-Asmâ’ al-Husnâ (nama-nama yang baik lagi mulia) maka bermohonlah (dengan berdo‘a) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyelewengkan (lafaz dan makna) nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka telah kerjakan. (Surah al-A‘râf: 180)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Apabila Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam disusahkan oleh sesuatu perkara, Baginda membaca: “Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada seseorang yang ditimpa keresahan dan kesedihan, lalu dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambuMu lelaki dan anak kepada hambaMu perempuan, ubun-ubunku berada di tanganMu, hukumanMu berlaku kepadaku, ketetapanMu adil terhadapku. Aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang menjadi milikMu, Engkau namakan diriMu dengannya atau Engkau ajarkannya kepada seseorang daripada makhlukMu atau Engkau turunkannya di dalam kitabMu atau Engkau utamakannya dalam ilmu ghaib di sisiMu, supaya Engkau jadikan al-Qur’an penghias hatiku, cahaya dadaku, penghapus kesedihanku dan penghilang keresahanku”, melainkan Allah menghilangkan keresahan dan kesedihannya itu serta menggantikannya dengan kelapangan. (Hadits riwayat Ahmad)

Ayat al-Qur’an dan hadits di atas menunjukkan keharusan bertawassul dengan nama dan sifat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

2. Bertawassul dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

i. Bertawassul dengan do‘a dan syafaat Baginda ketika hayatnya

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Nabi Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.” (Surah an-Nisâ’: 64)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi bimbingan kepada mereka yang berdosa apabila melakukan kesalahan agar datang kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk memohon ampun kepada Allah dan juga meminta Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memohonkan ampun untuk mereka.

Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila terjadi Hari Kiamat, manusia penuh sesak berhimpit di antara satu dengan yang lain. Mereka datang kepada Adam dan berkata kepadanya: “Berikanlah syafaat kepada zuriatmu.” Dia (Adam ‘Alaihissalâm) menjawab: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah Ibrahim ‘Alaihissalâm. Sesungguhnya dia adalah kesayangan Allah.” Mereka datang kepada Ibrahim, lalu baginda bersabda: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah Musa ‘Alaihissalâm. Sesungguhnya dia adalah Kalîmullâh.” Musa pun didatangi (oleh mereka), lalu baginda bersabda: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah ‘Isa ‘Alaihissalâm. Sesungguhnya dia adalah Rûhullâh dan KalimahNya.” ‘Isa pun didatangi (oleh mereka), lalu baginda bersabda: “Aku tidak layak untuk berbuat demikian, akan tetapi kamu temuilah Muhammad Shallallâhu ‘alahi wasallam.” Aku (Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam) pun didatangi (oleh mereka), lalu aku bersabda: “Aku layak untuk berbuat demikian.”

Lalu aku pun pergi dan meminta izin kepada Tuhanku. Setelah aku diberikan keizinan aku berdiri di hadapanNya sambil memujiNya dengan pujian-pujian yang aku tidak dapat menguasainya sekarang, yang diilhamkan Allah kepadaku. Kemudian aku pun menjatuhkan diri bersujud kepadaNya. Lalu Allah berfirman kepadaku: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Katakanlah, nescaya engkau akan didengar. Mintalah, nescaya akan diberi dan berilah syafaat, nescaya disyafaati.” Aku pun bersabda: “Wahai Tuhanku, ummatku ummatku!” Allah berfirman: “Berangkatlah! Barang siapa di hatinya terdapat iman meskipun hanya seberat biji gandum atau jelai, maka engkau keluarkanlah dia dari neraka.” Aku berangkat dan melaksanakannya. Sesudah itu aku kembali kepada Tuhanku, memujiNya dengan puji-pujian tadi, lalu aku menjatuhkan diri bersujud kepadaNya. Allah berfirman lagi kepadaku: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Katakanlah, nescaya engkau akan didengar. Mintalah, pasti akan diberi dan berilah syafaat, nescaya disyafaati.” Aku berkata: “Ummatku ummatku!” Allah firman kepadaku: “Berangkatlah! Barang siapa di hatinya terdapat iman meskipun hanya seberat biji sawi, maka engkau keluarkanlah dia dari neraka.”

Aku berangkat dan melaksanakannya. Sesudah itu aku kembali lagi kepada Tuhanku, memujiNya dengan puji-pujian yang sama, kemudian menjatuhkan diri bersujud kepadaNya. Allah berfirman kepadaku: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu! Bicaralah, engkau pasti akan didengar. Mintalah, pasti engkau diberi. Berikanlah syafaat, tentu diterima syafaatmu”. Aku berkata: “Wahai Tuhanku, ummatku ummatku!” Allah berfirman kepadaku: “Berangkatlah! Barang siapa yang di hatinya terdapat iman lebih rendah, lebih rendah, lebih rendah daripada seberat biji sawi, maka keluarkanlah dia dari neraka”. Aku pun berangkat dan melaksanakannya.” (Hadits riwayat Muslim) Hadits ini menunjukkan keharusan bertawassul dengan memohon syafaat Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

ii. Bertawassul dengan zat Baginda sebelum dan sesudah kewafatannya.

Diriwayatkan daripada ‘Utsman bin Hunaif Radhiallâhu ‘anhu bahawa seorang lelaki yang lemah penglihatannya atau buta datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam memohon kepada Baginda untuk berdo‘a kepada Allah agar dia disembuhkan daripada penyakit. Baginda bersabda:

Maksudnya: Jika engkau mahu (aku berdo‘a) nescaya aku mendo‘akan(mu) dan jika engkau mahu bersabar, maka itu adalah lebih baik untukmu. Lelaki itu berkata: “Berdo‘alah (kepada Allah untuk memohon keafiatan).” (Periwaya)t berkata: “Baginda menyuruh lelaki itu berwudhu’ lalu dia mengelokkan wudhu’nya dan berdo‘a dengan do‘a ini: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadap kepadaMu dengan NabiMu Muhammad, Nabi pembawa rahmat. Sesungguhnya aku menghadap kepada Tuhanku denganmu untuk hajatku ini semoga dikabulkan untukku. Ya Allah terimalah syafaat Baginda untukku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam riwayat ath-Thabarani, ‘Utsman bin Hunaif Radhiallâhu ‘anhu ada mengajarkan seorang lelaki yang berhajat kepada Saiyyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu tentang do‘a hajat yang pernah diajarkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam kepada seorang lelaki buta. Do‘anya itu ialah:

Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadap kepadaMu dengan Nabi kami Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku menghadap kepada Tuhanku denganmu. Maka tunaikanlah hajatku.

Hadits-hadits di atas menunjukkan keharusan bertawassul dengan zat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam walaupun sesudah kewafatan Baginda.

iii. Bertawassul dengan hak Baginda sebelum kewujudannya.

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ketika Adam berbuat kesalahan yang dilakukannya, dia mengangkat kepalanya ke ‘Arasy dan bersabda: “(Wahai Tuhan), aku memohon kepadaMu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku.” Allah mewahyukan kepadanya: “Apa Muhammad dan siapakah Muhammad?” Baginda menjawab: “Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepalaku ke arah ‘arasyMu, dan aku melihat di sana tertulis: “Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah”. Aku pun berkata kepada diriku, bahawa tiada seorang pun yang lebih agung daripada seorang yang namanya Engkau tuliskan di samping namaMu. Ketika itu Allah mewahyukan kepadanya: “Wahai Adam, sesungguhnya dia Nabi yang terakhir daripada keturunanmu dan umatnya adalah umat yang terakhir, dan jika tidak kerana mereka wahai Adam, nescaya Aku tidak menciptakanmu.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)

Hadits ini menunjukkan bahawa Nabi Adam ‘Alaihissalâm pernah bertawassul dengan hak Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sedang Baginda belum lagi wujud.

iv. Bertawassul dengan maqam Baginda.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah daripada Malik ad-Dariy, pada zaman Saiyyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu kemarau telah melanda. Seorang lelaki datang ke maqam Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu berkata:

Maksudnya: Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan untuk umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan.

Kemudian lelaki itu bermimpi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam datang kepadanya lalu bersabda:

Maksudnya: Pergilah kepada ‘Umar, sampaikan salam(ku) kepadanya dan khabarkan kepadanya bahawa mereka akan dikurniakan hujan.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, lelaki yang bermimpi itu ialah seorang sahabat bernama Bilal bin al-Harits al- Muzani Radhiallâhu ‘anhu.

Para sahabat juga pernah bertawassul dengan maqam Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Sebagai contoh, Saiyyidina ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu mempunyai hajat iaitu apabila beliau meninggal kelak, beliau mengharapkan agar dikuburkan di samping Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Saiyyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallâhu ‘anhu.

v. Bertawassul dengan atsar Baginda.

Dr. as-Sayyid Muhammad ‘Alwi al-Maliki mengatakan bahawa para sahabat telah mengambil berkat (tabarruk) daripada berbagai bekas atau kesan peninggalan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Menurutnya, tabarruk hanya mempunyai satu makna, iaitu bertawassul kepada Allah dengan peninggalan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam selesai melontar Jamrah dan melakukan korbannya serta bercukur, Baginda menghulurkan bahagian kanan kepalanya kepada tukang cukur untuk mencukurnya. Kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah al-Anshari dan memberikannya potongan rambut tersebut. Kemudian Baginda menghulurkan bahagian kiri kepalanya (kepada tukang cukur) lalu Baginda bersabda: “Cukurlah!” Lalu (tukang cukur) pun mencukurnya dan Baginda memberikannya (potongan rambut) kepada Abu Thalhah seraya bersabda: “Bahagi-bahagikanlah kepada orang ramai.” (Hadits riwayat Muslim)

Hadits ini menunjukkan keharusan bertabarruk dalam makna bertawassul dengan rambut Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

3. Bertawassul dengan para nabi sebelum Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, apabila Fatimah binti Asad (ibu kepada ‘Ali bin Abu Thalib Karamallâhu wajhah) hendak dikebumikan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pun berdo‘a:

Maksudnya: Allah yang menghidup dan mematikan, dan Dia sendiri hidup tidak akan mati. Ya Allah, ampunilah ibuku, Fatimah binti Asad, ajarkan hujahnya (menjawab soalan kubur) dan luaskanlah tempatnya (kuburnya) demi hak NabiMu dan nabi-nabi sebelum aku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengasihani daripada segala yang pengasih. (Hadits riwayat ath-Thabrani)

Hadits ini menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bertawassul dengan para nabi di dalam do‘a Baginda.

4. Bertawassul dengan selain Nabi.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Saiyyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu pernah bertawassul dengan bapa saudara Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam ketika kemarau, beliau berdo‘a:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu bertawassul kepadaMu dengan nabi kami, lalu Engkau turunkan hujan kepada kami. Sesungguhnya sekarang kami bertawassul kepadaMu dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu bahawa beliau meminta izin kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam untuk mengerjakan umrah, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: Hai saudaraku! Sertakan kami dalam do‘amu dan janganlah engkau lupakan kami. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik para tâbi‘în ialah seorang lelaki yang dipanggil Uwais dan dia mempunyai seorang ibu serta menghidap penyakit sopak. Maka kamu temuilah dia dan kamu minta mohonkan ampun (kepada Allah) untuk kamu. (Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu al-Malih Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berada dekat dengannya telah mengerjakan sembahyang dua rakaat sunat fajar, kemudian beliau terdengar Baginda berdo‘a sebanyak tiga kali:

Maksudnya: Ya Allah! Tuhan (yang menciptakan) Jibril, Israfil, Mika’il dan Muhammad, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Aku berlindung denganMu daripada seksa neraka. (Hadits riwayat Ibnu as-Sunni)

Adapun disebut secara khusus mereka itu (Jibril, Israfil, Mika’il dan Nabi Muhammad) ialah dalam makna bertawassul dengan mereka. Seolah-olah dia berkata: “Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dan aku bertawassul kepadaMu dengan Malaikat Jibril, Israfil, Mika’il dan Muhammad Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Aku berlindung denganMu daripada seksa neraka.”

Hadits-hadits di atas menunjukkan keharusan bertawassul dengan selain Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan para nabi seperi bertawassul dengan para malaikat, orang-orang salih dan wali-wali Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

5. Bertawassul dengan amal salih.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: (Iaitu) orang-orang yang berdo‘a dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Âli ‘Imran: 16)

Ayat ini berkisar tentang bertawassul dengan amal salih iaitu dengan menyebutkan keimanan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kemudian diikuti dengan memohon keampunan serta terpelihara daripada azab neraka.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada menceritakan tentang tiga orang yang terkurung dalam gua apabila batu yang besar menimpa tempat masuk gua itu. Kemudian mereka bertawassul dengan amal salih yang mereka lakukan agar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melapangkan kesulitan yang sedang mereka alami.

Do‘a orang pertama:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai ibu bapa yang sangat tua, seorang isteri dan beberapa orang anak kecil yang perlu aku pelihara. Apabila aku hendak kembali kepada mereka, aku memerah susu untuk mereka. Maka aku mulai dengan ibu bapaku, aku beri minum lebih dahulu keduanya, sebelum memberi minum anak-anakku. Pada suatu hari, aku pergi jauh mengambil kayu dan baru pulang setelah hari senja, aku dapati kedua-duanya tidur nyenyak. Lalu aku memerah susu sebagaimana biasa dan aku bawa susu itu dan berdiri dekat kepala kedua-duanya. Aku tidak suka membangunkan mereka dan tidak mahu memberi minum anak-anakku lebih dahulu daripada mereka, sedangkan anak-anak itu telah memekik-mekik dekat kakiku (meminta diberi minum). Namun keadaanku dan mereka (anak-anak itu) terus berkekalan begitu sampai terbit fajar. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredhaanMu, maka bukakanlah kami dengan suatu lubang, yang dari situ kami dapat melihat langit! Lalu Allah membukakan suatu lubang yang dari situ dapatlah mereka melihat langit.

Do‘a orang kedua:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai seorang sepupu perempuan sebelah bapa saudaraku, aku sangat mencintainya sebagaimana cinta laki-laki kepada perempuan-perempuan. Aku meminta kepadanya supaya menyerahkan dirinya, tetapi dia menolak sehingga aku dapat memberikannya wang seratus dinar. Kemudian aku pun berusaha dengan susah payah, sehinggalah aku dapat mengumpulkan wang seratus dinar itu. Aku pun mendatanginya dengan wang tersebut. Setelah aku menjatuhkan diriku di antara dua kakinya, dia berkata: “Wahai ‘Abdullah! Bertaqwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau buka ‘cincin’ (merosakkan kehormatan gadis), melainkan dengan haknya (perkahwinan)!” Lalu aku pun berdiri meninggalkannya. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredhaanMu, maka bukakanlah kami dengan suatu lubang. Lalu Allah bukakan untuk mereka suatu lubang.

Do‘a orang ketiga:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku pernah mengupah seseorang untuk menugal padi. Setelah dia menyelesaikan pekerjaannya, dia berkata: “Berikanlah hakku (upah)!” Lalu aku berikan upahnya itu. Tetapi dia menolaknya (tidak suka akan upah itu). Maka daripada upahnya itu aku kumpulkan dan belikan seekor sapi sekaligus mengembalanya. Kemudian dia datang kepadaku dan berkata: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan engkau menzalimi hakku!” Aku berkata: “Pergilah engkau kepada sapi dan pengembalanya. Maka ambillah!” Dia berkata: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan aku dipermainkan!” Aku berkata: “Sesungguhnya aku tidak mempermainkanmu. Ambillah sapi itu dan pengembalanya sekali!” Lalu diambilnya dan dibawanya semua. Kiranya Engkau juga mengetahui bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredhaanMu, bukakanlah untuk kami tutup yang masih ada!” Lalu Allah bukakan tutup yang masih ada. (Hadits riwayat Muslim)

Ayat al-Qur’an dan hadits di atas jelas menunjukkan keharusan bertawassul dengan amal salih.

Kesimpulan

1. Berdasarkan dalil-dalil syara‘ yang dikemukakan daripada al-Qur‘an dan hadits, jelas menunjukkan bahawa tawassul itu bukanlah merupakan amalan bid‘ah atau perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana anggapan sesetengah pihak.

2. Bertawassul dengan zat Allah, nama dan sifatNya, bertawassul dengan amal salih, bertawassul dengan Nabi Muhammad, para nabi dan wali Allah sama ada ketika mereka hidup ataupun sesudah kematian mereka adalah harus pada pandangan syara‘.

3. Bertawassul bukanlah sesuatu yang dharûriy atau kemestian ketika berdo‘a.

4. Pengantara ialah semata-mata mediator untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

5. Pengantara bukan pemberi manfaat atau mudharat akan tetapi yang memberi manfaat atau mudharat ialah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

6. Sesiapa beri‘tiqâd atau menyakini bahawa pengantara adalah pemberi manfaat atau mudharat sama dengan Allah, maka ia boleh membawa kepada syirik.

Kekeliruan atau kewahaman setengah orang mengenai keharusan tawassul ini memang sudah lama wujud sebagaimana dipersoalkan amalan bertahlil, sambutan maulidur-Rasul dan sebagainya, sehingga ada yang sanggup mengatakan ia adalah amalan bid‘ah dan bertentangan dengan hukum syara‘.

Mudah-mudahan dengan segala penjelasan mengenai tawassul ini akan dapat menjadi penyuluh kepada hati yang masih was-was dan membuka minda yang masih ragu tentang keharusan bertawassul, sekaligus menolak pendapat sesetengah orang yang menyatakan tawassul itu bid‘ah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9253

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص