Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Isti‘âzah Sebagai Pendinding

الجواب

Bersesuaian dengan sifat manusia yang dijadikan dalam keadaan lemah, mereka sentiasa memerlukan pertolongan dalam semua perkara dan perlindungan daripada apa jua ancaman, termasuk kejahatan musuh yang adakalanya datang secara tiba-tiba.

Apa yang disifatkan sebagai musuh itu boleh saja terdiri daripada manusia, jin dan syaitan, sementara syaitan pula merupakan musuh yang paling nyata bagi manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Qur’an.

Kadang-kadang kejahatan dan gangguan musuh-musuh itu tidak boleh ditahan atau ditolak dengan sebarang jenis benteng yang berbentuk fizikal, tetapi ia boleh ditolak dan dikalahkan dengan doa-doa, zikir-zikir atau ayat-ayat tertentu. Itu pun bergantung kepada daya ‘kekuatan dalaman’ seseorang itu.

Bertolak dari sini, terdapat doa-doa, zikir-zikir dan ayat-ayat yang dianjurkan untuk diamalkan pada setiap ketika ataupun pada masa-masa tertentu yang di antaranya ialah apa yang dipanggil sebagai isti‘âzah.

Makna isti‘âzah ialah meminta perlindungan. Al-Imam Al-Baijuri daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘e mendefinisikan bahawa isti‘âzah itu ialah meminta atau memohon kepada yang mempunyai kekuasaan atau kekuatan dengan cara berlindung dengannya supaya dilepaskan daripada perkara yang tidak disukai.

Di samping isti‘âzah, ia dikenali juga sebagai ta‘awwudz, kerana kedua-duanya mengandungi pengertian yang sama iaitu meminta perlindungan. Isti‘âzah dan ta‘awwudz merupakan lafaz yang terkandung di dalamnya ungkapan kalimat َِ ِأُِِب لل عُوذ (aku berlindung dengan Allah), َِ ِنُِِب لل عُوذ (kami berlindung dengan Allah), atau ungkapan-ungkapan kalimat yang seerti dengannya.

Kedua-dua kata yang banyak digunakan oleh ulama tafsir dan fiqh ini menunjukkan bahawa seseorang yang meminta perlindungan itu adalah bersifat lemah, sedangkan tempat meminta perlindungan pula adalah lebih kuat dan memiliki kemampuan yang lebih besar daripada yang meminta perlindungan. Oleh sebab itulah, hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja tempat meminta perlindungan daripada segala gangguan, godaan dan kejahatan.

Apakah hubungan doa dengan isti‘âzah? Hubungan di antara keduanya ialah bahawa doa lebih bersifat umum jika dibandingkan dengan isti‘âzah, kerana doa itu ialah memohon atau meminta supaya beroleh sesuatu kebajikan dan menolak daripada kejahatan. Sementara isti‘âzah pula hanya merupakan suatu permintaan khusus supaya dijauhkan daripada kejahatan atau gangguan.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala menuntut kepada hamba-hambaNya supaya sentiasa meminta perlindungan kepadaNya daripada setiap perkara yang mengandungi kejahatan, gangguan yang boleh menyakiti ataupun yang seumpamanya, sama ada yang bersifat batin mahupun yang bersifat zahir.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala mensyariatkan kepada hamba-hambaNya supaya melazimkan diri mengamalkan isti‘âzah ketika melakukan sesuatu pekerjaan atau membuat sesuatu amalan, umpamanya ketika membaca Al- Qur’an, sama ada di dalam sembahyang ataupun di luar sembahyang, ketika hendak masuk ke dalam tandas dan sebagainya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri selalu memohon perlindungan supaya terhindar daripada setiap perkara yang mengandungi unsur-unsur kejahatan. Malahan Baginda tetap meminta perlindungan supaya terhindar daripada segala kejahatan dan keburukan walaupun semua itu telah terhindar daripada Baginda. Tujuannya ialah kerana hendak melahirkan sikap ‘ubûdiyyah atau kehambaan. Baginda merupakan seorang hamba Allah yang lemah dan Allah jua yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu dan Maha Berkuasa menolak dan menghindar apa jua bentuk kejahatan daripada hamba-hamba yang dikehendakiNya. Selain itu, tujuan Baginda ialah untuk mengajar umatnya supaya sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar dijauhkan dan dihindarkan daripada segala gangguan dan kejahatan.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang hamba-hambaNya meminta bantuan dan perlindungan kepada makhluk yang bernama jin dan syaitan, kerana yang demikian itu akan menyebabkan mereka bertambah-tambah sombong dan jahat. Perkara ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam Al-Qur’an sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin itu bertambah sombong dan jahat.” (Surah Al-Jinn: 6)

Manusia sebenarnya disuruh meminta perlindungan kepada Allah Ta‘ala supaya dihindarkan daripada pengaruh syaitan yang direjam, bukan meminta perlindungan kepada jin atau syaitan.

Jin juga merupakan makhluk Allah, ia tidak mempunyai apa-apa kuasa. Pemujaan terhadap jin sama sekali tidak boleh dilakukan. Begitu juga menjadikannya sebagai tempat meminta pertolongan dan perlindungan, atau dengan kata yang lain mengambilnya sebagai ‘khadam’ adalah tidak wajar dilakukan oleh manusia yang dimuliakan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini.

Di dalam Al-Qur’an ada tersebut bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memuliakan dan mengangkat martabat anak Adam di darat dan di laut, memberinya rezeki dengan sebaik-baiknya serta melebihkannya daripada kebanyakan isi alam ini. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isrâ’: 70)

Oleh sebab itu adalah tidak kena jika manusia yang martabatnya lebih mulia dan lebih tinggi itu meminta perlindungan kepada jin yang lebih rendah martabatnya.

Risiko Meminta Perlindungan Kepada Jin Dan Syaitan

Risiko yang akan ditanggung oleh seorang hamba yang putus hubungannya dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana tidak melakukan isti‘âzah atau ta‘awwudz, ataupun tidak berzikir secara umumnya, akan menyebabkan dirinya sentiasa terdedah kepada gangguan dan godaan syaitan dan akhirnya syaitan akan menguasai dirinya. Perkara ini telah diperingatkan oleh Allah Ta‘ala sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang membelakangi berzikir (mengingat) kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, akan Kami jadikan baginya syaitan yang akan menjadi rakan kepadanya.” (Surah Al-Zukhruf: 36)

Syaitan sememangnya mempunyai banyak ‘platform’ dan jalan untuk memperdaya manusia daripada mengingati Allah. Setiap diri manusia yang beriman tidak sepatutnya lupa akan ikrar yang dilafazkan Iblis di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sewaktu dihalau dari syurga, di mana Iblis berikrar akan menyesatkan manusia daripada jalan yang lurus. Perkara ini diperjelaskan di dalam Al-Qur’an:

Tafsirnya: “Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menghukum aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al-A‘râf: 16-17)

Syaitan datang menyesatkan atau mengganggu manusia, pada setiap waktu sekalipun dalam waktu sembahyang. Syaitan mengganggu dengan menimbulkan was-was, melayangkan pemikiran ke tempat lain, menimbulkan keraguan dan sebagainya. Hal demikian itu tidak dapat dihindari melainkan dengan mengiltizâmkan zikir, isti‘âzah serta lain-lain ibadat dengan penumpuan hati yang sungguh-sungguh terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Inilah benteng yang paling berkesan yang tidak ada tolok bandingnya. Perkara ini dikukuhkan lagi dengan pernyataan Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam Al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-A‘râf: 200)

Bila Ketikanya Membaca Isti‘âzah?

1. Ketika hendak membaca Al-Qur’an:

Para ulama telah ijmâ‘ yakni bersepakat bahawa isti‘âzah bukanlah daripada ayat Al-Qur’an. Sungguhpun begitu membacanya kerana hendak membaca Al-Qur’an digolongkan sebagai melakukan ketaatan terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Seorang qâri’ yakni pembaca Al-Qur’an ketika membaca Al-Qur’an bererti dia sedang bermunajat dan berbisik-bisik dengan Tuhannya, kerana di waktu itu dia menuturkan kalâm Allah (كَالَم ُِهللا). Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala suka kepada qâri’ yang bagus bacaannya dan Dia (Allah) mendengar akan bacaan hambaNya itu. Maka dengan sebab itu seorang qâri’

dituntut untuk membaca isti‘âzah bagi menghalau syitan ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala mendengar akan bacaannya.

Sungguhpun membaca isti‘âzah kerana membaca Al-Qur’an merupakan suatu tuntutan, akan tetapi tuntutan itu sebagaimana menurut pendapat jumhûr fuqahâ’ tidaklah sampai kepada peringkat wajib, bahkan hanya pada peringkat sunat sahaja. Perkara ini telah disandarkan kepada kesepakatan para ulama salaf yang mengatakan sunat membaca isti‘âzah kerana membaca Al-Qur’an.

Terdapat juga riwayat yang menceritakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak membaca isti‘âzah kerana membaca Al-Qur’an, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memulai sembahyang dengan takbir dan (memulai) bacaan dengan

(Hadis riwayat Muslim)

Para ulama di kalangan golongan ahli fiqh dan ahli qirâ’ât (bacaan) mempunyai pendapat yang berbeza-beza apakah isti‘âzah itu dibaca dengan nada suara yang nyaring yakni jahr, atau apakah memadai membacanya secara senyap iaitu melafazkannya sekira-kira boleh didengar sendiri oleh pembacanya.

Daripada jumlah beberapa pendapat yang berbeza itu terdapat satu pendapat yang terpilih di kalangan imam-imam ahli qirâ’ât, juga merupakan satu qaul dalam mazhab Syafi‘e dan merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad, di mana pendapat ini mengatakan bahawa sunat membaca isti‘âzah kerana membaca Al-Qur’an itu dengan nada suara yang nyaring yakni jahr.

Al-Imam Abu Syamah pula menegaskan bahawa membaca isti‘âzah secara jahr itu dibataskan pula kepada bacaan Al-Qur’an yang dibaca di hadapan orang lain, kerana membaca isti‘âzah dengan nada suara yang nyaring itu merupakan suatu pernyataan syiar bacaan sebagaimana orang-orang membaca talbiah dan takbir Hari Raya dengan nada suara yang nyaring.

Adapun faedahnya ialah supaya pendengar yang menghayati bacaan Al- Qur’an daripada awal tidak akan terluput daripadanya sesuatu yang dibaca. Jika tidak dizahirkan nada suara dengan nyaring maka sudah tentu pendengar tidak mengetahui akan adanya bacaan Al-Qur’an kecuali setelah terluput daripadanya sesuatu yang dibaca.

Inilah perbezaan bacaan Al-Qur’an di dalam sembahyang dan di luar sembahyang. Pendapat yang terpilih dalam kedudukan membaca isti‘âzah di dalam sembahyang itu ialah memadai membacanya secara senyap (melafazkannya sekira-kira boleh didengar sendiri oleh pembacanya), kerana makmum sememangnya mendengar dan mengikuti imam daripada awal mengangkat takbîratulihrâm lagi.

Ibnu Al-Jazari iaitu salah seorang ulama qirâ’ât yang terkemuka daripada kalangan mazhab Syafi‘e, menyebutkan bahawa di antara keadaan atau situasi yang disunatkan membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz secara senyap ialah:

i) Apabila seorang itu membaca Al-Qur’an berseorangan, sama ada dia membaca secara jahr ataupun secara senyap.

ii) Apabila seorang itu membaca Al-Qur’an secara senyap tanpa nada suara yang terang atau keras.

iii) Apabila seorang membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan dan bacaannya itu bukan di permulaan bacaan, maka untuk menyambung bacaan orang sebelumnya bolehlah membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz secara senyap, dengan syarat tidak ada diselangi antara bacaannya dengan bacaan orang sebelumnya dengan sesuatu perkataan atau percakapan yang bukan daripada ayat Al- Qur’an.

Lafaz Isti‘âzah

Terdapat beberapa jenis lafaz isti‘âzah atau ta‘awwudz sebagaimana menurut para ulama di kalangan ahli fiqh dan ahli qirâ’ât. Akan tetapi di antara lafaz isti‘âzah yang masyhur ialah lafaz:

Ertinya: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Ini adalah disandarkan kepada ayat Al-Qur’an di dalam surah Al-Nahl:

Tafsirnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Qur’an, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.” (Surah Al-Nahl: 98)

Ibnu Al-Jazari menegaskan bahawa lafaz tersebut merupakan lafaz yang terpilih di sisi sekalian para qurrâ’ dari segi riwayat.

Di dalam hadis shahîh yang diriwayatkan daripada Sulaiman bin Shurad, beliau berkata: “Dua orang lelaki saling mencaci-maki di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Salah seorang daripada mereka kedua matanya menjadi merah dan naik marah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tahu suatu kalimat yang apabila diucapkan nescaya akan hilang daripadanya apa yang dideritainya, iaitu: نِالرجيم عوذِِبللِمنِالشيط (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam).” (Hadis riwayat Muslim)

Ada pula riwayat yang menyebutkan bahawa isti‘âzah atau ta‘awwudz itu ialah:

Ertinya: “Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam.”

Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala salah seorang ulama terkemuka dalam mazhab Syafi‘e, menegaskan di dalam kitabnya Al-Adzkâr bahawa tidak ada salahnya jika dibaca dengan lafaz terakhir ini, tetapi lafaz yang pertama adalah yang masyhur dan terpilih.

Adakah Diulang Isti‘âzah Apabila Terputus Bacaan?

Apabila bacaan seorang itu terputus disebabkan ada keuzuran, umpamanya kerana bertanya kepada seseorang yang lain atau bercakap hal-hal yang bersangkut-paut dengan bacaan yang dibacanya, maka tidaklah perlu baginya mengulangi isti‘âzah.

Adapun jika bacaannya terputus disebabkan dia bercakap-cakap, dan percakapannya itu tidak ada kena mengena dengan bacaan yang dibacanya maka dalam hal ini hendaklah dia mengulangi membaca isti‘âzah jika dia mahu menyambung semula bacaannya.

Al-Imam Al-Nawawi pula menegaskan bahawa diam yang panjang dan percakapan yang panjang boleh menjadi sebab supaya isti‘âzah dibaca semula.

Maksudnya, apabila seorang membaca Al-Qur’an, kemudian di pertengahan bacaannya itu diselangi dengan percakapan yang panjang atau berhenti membaca dalam jangka tempoh yang panjang, maka jika dia hendak menyambung semula bacaannya itu hendaklah dia membaca isti‘âzah terlebih dahulu.

2. Ketika hendak masuk ke dalam tandas:

Sunat membaca isti‘âzah ketika hendak masuk ke dalam tandas dan disertakan juga membaca tasmiyah (ِهللا بسْم), dengan mendahulukan membaca tasmiyah daripada membaca isti‘âzah sebagaimana disepakati oleh mazhab yang empat.

Lafaz Isti‘âzah Kerana Masuk Tandas

Sebagaimana menurut pendapat di dalam mazhab Hanafi, Syafi‘e dan Maliki serta pendapat yang kuat di dalam mazhab Hanbali bahawa lafaz isti‘âzah kerana hendak masuk ke dalam tandas ialah:

Ertinya: “Dengan nama Allah, ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada syaitan khubuts dan syaitan khabâ’its.”

Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak masuk tandas Baginda membaca sepertimana bacaan di atas.

Terdapat juga lafaz isti‘âzah yang lain iaitu sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya: “Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hendak memasuki tandas Baginda membaca (maksudnya): “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kotoran najis, yang buruk lagi memburukkan iaitu syaitan yang terkutuk.” (Hadis riwayat Ibnu Sinni dan Al-Thabarani)

Dikhususkan membaca isti‘âzah ketika hendak masuk ke dalam tandas kerana dua sebab atau tujuan, iaitu:

i) Bilik tandas merupakan tempat bersunyi-sunyian ataupun tempat orang mengasingkan diri kerana membuang air yakni qadha hajat. Syaitan-syaitan pula, dengan kuasa Allah Ta‘ala jua, mampu berkuasa di tempat yang sunyi berbanding di tempat-tempat yang tidak sunyi atau di tempat ramai. Maka dengan sebab itu dianjurkan membaca isti‘âzah sebelum masuk ke dalam tandas.

ii) Menyebut-nyebut nama Allah (berzikir) peranannya dapat menghalang seseorang dari diganggu oleh syaitan. Disebabkan bilik tandas merupakan tempat kotor, maka lidah mestilah dikunci daripada menyebut-nyebut nama Allah. Oleh itu, bagi mengelak daripada diganggu oleh syaitan ketika berada di dalam tandas adalah dianjurkan membaca isti‘âzah sebelum masuk ke dalam bilik tandas sebagai benteng keselamatan daripada gangguan syaitan.

3. Ketika hendak bersuci:

Seorang yang hendak bersuci disunatkan baginya membaca isti‘âzah. Mengikut pendapat ulama dari kalangan mazhab Syafi‘e bahawa sunat membaca isti‘âzah secara senyap (sirr) sebelum membaca tasmiyah ( ِ بسْم ِهللا ). Al-Imam Al-Syarawani iaitu salah seorang ulama dari kalangan mazhab Syafi‘e menegaskan bahawa selepas membaca tasmiyah disambung pula dengan membaca sepotong doa:

Ertinya: “Segala puji-pujian bagi Allah yang menjadikan air ini suci lagi menyucikan, dan menjadikan Islam sebagai cahaya, wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada hasutan para syaitan, dan aku berlindung kepadaMu wahai Tuhanku supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

Berkenaan membaca isti‘âzah sebelum mandi, sama ada mandi junub, mandi kerana suci daripada haidh atau sebagainya, sungguhpun belum lagi terjumpa perbincangan para ulama mengenainya, namun mereka sepakat mengatakan adalah disunatkan (mandûb) mengambil wudhu’ sebelum melakukan mandi tersebut. Oleh itu bolehlah dikatakan membaca isti‘âzah sebelum melakukan mandi adalah sama kedudukannya dengan hukum membaca isti‘âzah sebelum mengambil wudhu’.

Sebagai pengukuhan, Ibnu Muflih daripada kalangan ulama mazhab Hanbali ada menegaskan di dalam kitabnya Al-Furû‘ bahawa ta‘awwudz (atau isti‘âzah) adalah disukai pada setiap ketika melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala yakni al-qurbah.

Berdasarkan penegasan Ibnu Muflih itu dapatlah dirumuskan bahawa elok membaca isti‘âzah sebelum melakukan mandi, sama ada mandi junub, mandi kerana suci daripada haidh dan sebagainya, kerana ianya juga termasuk di dalam kategori perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah yakni al-qurbah.

4. Ketika hendak masuk dan keluar daripada masjid:

Sebagaimana diperuntukkan di dalam mazhab Syafi‘e, Maliki dan Hanbali bahawa sunat membaca isti‘âzah sebelum masuk ke dalam masjid seperti berikut:

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah yang Maha Besar, dan dengan ZatNya yang Maha Mulia, dan dengan KuasaNya yang Maha Qadim, daripada syaitan yang kena laknat, segala pujia-pujian bagi Allah, ya Allah mohon kurniakan selawat dan selamat sejahtera ke atas Sayyidina Muhammad dan ahli keluarga Muhammad. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa hamba dan mohon bukakan bagi hamba pintu-pintu rahmat Tuhan hamba, dengan nama Allah.” (Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud)

Ketika melangkah masuk, sunat mendahulukan kaki sebelah kanan.

Manakala jika hendak keluar pula, sunat mendahulukan kaki kiri dan membaca isti‘âzah sebelum melangkah keluar sebagaimana isti‘âzah yang dibaca sebelum melangkah masuk, tetapi digantikan:

dengan:

Ertinya: “Dan mohon bukakan bagi hamba pintu-pintu kelebihan dan anugerah.”

5. Ketika di dalam sembahyang:

Membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz di dalam sembahyang merupakan suatu perkara yang disunatkan sebagaimana pendapat para ulama mazhab Syafi‘e, Hanafi dan pendapat terkuat dalam mazhab Hanbali.

Isti‘âzah atau ta‘awwudz sunat dibaca sesudah membaca doa iftitâh, dan dibaca sebagai pendahuluan membaca Al-Qur’an. Sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Qur’an, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.” (Surah Al-Nahl: 98)

Disebabkan membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz itu merupakan suatu tuntutan sunat, maka tidaklah menjadi batal sembahyang orang yang tidak membacanya dan tidak pula dikenakan sujud sahwi. Ianya sunat dibaca pada semua jenis sembahyang, sama ada sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat, dan termasuklah juga sembahyang jenazah sebagaimana mengikut pendapat yang lebih shahîh (al-ashah).

Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz pada rakaat pertama merupakan tuntutan sunat. Oleh itu, jika tidak membacanya pada rakaat pertama maka masih ada kesempatan untuk membacanya pada rakaat kedua pula ataupun pada rakaat selanjutnya.

Jika sekiranya isti‘âzah atau ta‘awwudz dibaca pada rakaat pertama, adakah disunatkan juga membacanya pada rakaat kedua? Terdapat dua pendapat di kalangan para ulama Syafi‘e. Akan tetapi pendapat yang lebih shahîh (al-ashah) mengatakan sunat juga dibaca pada rakaat kedua, namun membacanya pada rakaat yang pertama adalah lebih dituntut yakni mu’akkad. (Al-Adzkâr h. 94-95)

Dibaca Secara Jahr Atau Sirr?

Apakah isti‘âzah itu dibaca di dalam sembahyang dengan nada suara yang nyaring yakni jahr, atau apakah memadai membacanya secara senyap (sirr) iaitu melafazkannya sekira-kira boleh didengar sendiri oleh pembacanya?

Apabila isti‘âzah atau ta‘awwudz dibaca dalam sembahyang yang disunatkan membaca secara senyap (sirr) seperti sembahyang fardhu Zuhur dan fardhu Asar, maka ianya dibaca secara senyap (sirr).

Jika isti‘âzah atau ta‘awwudz itu pula dibaca pada sembahyang yang disunatkan membaca dengan nada suara yang nyaring yakni (jahr), seperti sembahyang fardhu Maghrib, fardhu ‘Isya’ dan fardhu subuh, maka dalam hal ini terdapat beberapa pendapat.

Bagi Imam Syafi‘e sendiri dalam perkara ini mempunyai dua pendapat. Di dalam kitabnya Al-Umm beliau menerangkan bahawa tidak ada bezanya sama ada dibaca secara nyaring ataupun dibaca secara senyap. Di dalam kitabnya Al-Imlâ’ pula beliau menerangkan bahawa ta‘awwudz itu sunat dibaca dengan suara yang nyaring.

Di kalangan para ulama mazhab Syafi‘e juga terdapat dua pendapat. Tetapi yang lebih shahîh (al-ashah) di kalangan jumhûr ulama mazhab Syafi‘e ialah pendapat yang mengatakan sunat dibaca secara senyap (sirr) dan inilah pendapat yang terpilih. Ini adalah didasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, di mana beliau membaca ta‘awwudz secara senyap (sirr). (Al-Adzkâr h. 95)

Bagaimana Lafaz Isti‘âzah Atau Ta‘awwudz Di Dalam Sembahyang?

Apa-apa lafaz (dalam bahasa Arab) yang mengandungi makna isti‘âzah atau ta‘awwudz (memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan) maka ianya bolehlah dibaca di dalam sembahyang, sebagaimana pendapat para ulama mazhab Syafi‘e.

Al-Imam Al-Baijuri pula iaitu salah seorang ulama dalam mazhab Syafi‘e membataskan isti‘âzah atau ta‘awwudz di dalam sembahyang itu pada lafaz yang wârid yakni yang datang daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Namun demikian, sebagaimana menurut pendapat para ulama mazhab Syafi‘e, yang lebih afdhal digunakan ialah lafaz:

Ertinya: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Inilah juga lafaz yang terpilih di kalangan ulama mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali. Sebabnya, lafaz ini adalah lafaz yang diambil daripada isti‘âzah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Demikianlah kita sebutkan beberapa perkara mengenai dengan masa atau ketika yang dianjurkan membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz.

Isti‘âzah Secara Umum

Seseorang yang ingin mengamalkan membaca isti‘âzah atau ta‘awwudz tidaklah terikat pada masa atau ketika yang telah disebutkan. Malahan ianya boleh diamalkan pada sebarang waktu, umpamanya pada tiap-tiap pagi dan petang. Menurut hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Sunni daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa membaca pada waktu pagi نِالرجيم العليمِمنِالشيط (aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam), nescaya dilepaskan dia daripada (gangguan atau godaan) syaitan sehinggalah pada waktu petang.”

Di antara isti‘âzah yakni doa meminta perlindungan yang baik untuk dibaca pada kebanyakan waktu ialah apa yang dipanggil al-mu‘awwidzatân iaitu surah Al-Falaq dan surah Al-Nâs. Kedua-dua surah ini memang terkenal dan tidak asing lagi digunakan sebagai isti‘âzah atau ta‘awwudz.

Sehubungan dengan ini terdapat hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menceritakan tentang keistimewaan kedua-dua surah berkenaan, di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Mu‘adz bin Abdullah bin Khubaib daripada bapanya menceritakan, ketika aku bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di tengah perjalanan menuju ke Makkah, tiba-tiba aku merasa sunyi daripada Rasulullah, maka aku mendekati Baginda, lalu Baginda bersabda: “Bacalah”. Aku bertanya: “Apa yang harus aku baca?” Baginda bersabda lagi: “Bacalah”. Aku bertanya lagi: “Apa yang harus aku baca?” Baginda pun bersabda: “Bacalah قُُل ِأَعُوذ ُِبرَب ّ ِالْفَلَق hingga akhir surah”, kemudian Baginda bersabda lagi: “Bacalah ُِ ِقل ِْأَعُوذ ُِبرَب ّ ِالنهاس hingga akhir surah”. Baginda menyambung bersabda lagi:

Maksudnya: “Tidak ada doa minta perlindungan (ta‘awwudz) yang lebih utama daripada kedua-dua surah tersebut.” (Hadis riwayat Al-Nasa’i)

Di dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada Abdullah bin Khubaib daripada ayahnya, beliau berkata:

Maksudnya: “Kami keluar pada suatu malam yang hujan dan sangat gelap mencari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya Baginda menunaikan sembahyang bersama kami, maka kami bertemu dengan Baginda, lalu Baginda bersabda: “Adakah kamu sudah menunaikan sembahyang?” Maka aku tidak berkata apa-apa. Baginda bersabda lagi: “Katakanlah”. Aku tidak berkata apa-apa. Kemudian Baginda bersabda: “Katakanlah”. Aku tidak berkata apa-apa. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Katakanlah”. Lalu aku pun menjawab: “Wahai Rasulullah, apa yang harus saya katakan”. Baginda bersabda: “Katakanlah (bacalah) ُِ أَحَد (hingga akhir surah) dan al-mu‘awwidzataian (surah Al-Nâs dan surah Al-Falaq) pada waktu petang dan pagi sebanyak tiga kali, nescaya cukuplah bagi engkau daripada segala apa-apa saja (daripada segala bahaya).” (Hadis riwayat Abu Daud, Al-Tirmidzi dan Al-Nasa’i)

Dalam satu riwayat yang lain, daripada seorang sahabat yang bernama ‘Uqbah bin ‘Amir ketika beliau menuntun kenderaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “(Wahai ‘Uqbah!) Tidakkah (kamu suka) aku ajarkan kepada kamu dua surah dalam Al-Qur’an, iaitu di antara dua surah yang baik dibaca oleh orang-orang (ketika meminta perlindungan)?” (Hadis riwayat Nasa’i)

Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membacakan kepada ‘Uqbah

paginya ketika sembahyang Subuh, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam mengimami sembahyang dengan membaca kedua surah tersebut. Setelah selesai sembahyang Baginda mendekati ‘Uqbah dan bersabda:

Maksudnya: “Wahai ‘Uqbah bin ‘Amir! Bagaimana pendapatmu tentang dua surah ini? Bacalah keduanya setiap kali kamu hendak tidur dan sesudah kamu bangun.” (Hadis riwayat Al-Nasa’i)

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Al-Nasa’i di dalam kitab Sunan Al-Nasa’i.

Perkara-Perkara Yang Dipohonkan Perlindungan Supaya Terhindar Daripadanya

Kalau hendak didetilkan satu persatu memang banyak perkara-perkara yang semestinya kita minta perlindungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya terhindar daripada merbahaya, gangguan dan kejahatan terdapat di dalamnya.

Secara umum bolehlah dikatakan perkara-perkara yang boleh disifatkan sebagai pengganggu-gugat ketenteraman dan ketenangan diri manusia itu adakalanya bersifat external yakni luaran sebagaimana juga adakalanya bersifat internal yakni dalaman.

Pengganggu-gugat yang bersifat external itu adalah terdiri daripada syaitan, jin dan binatang. Malahan manusia sendiri juga termasuk daripadanya.

Selain daripada itu, cuaca dan kejadian-kejadian alam seperti hujan, angin, panas dan sebagainya, di samping mendatangkan manfaat kepada manusia adakalanya juga mendatangkan bahaya dan bencana.

Dalam semua perkara seperti ini, apa yang disuruh untuk kita melakukannya ialah meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada segala bahaya dan kejahatannya. Sebagai peringatan pula, jangan sekali-kali mencaci atau menyumpah seranah semua perkara tersebut, termasuk mencaci syaitan, walaupun dia merupakan musuh yang paling nyata bagi manusia.

Sementara yang bersifat internal pula ialah apa-apa yang terdapat dan timbul pada diri dan jiwa manusia, umpamanya penyakit hati seperti sifat bakhil, riak, hasad dengki, munafik dan sebagainya. Umpamanya juga kompleks jiwa yang mempengaruhi sikap, perangai, kerasionalan berfikir dan keperibadian seperti sifat malas, penakut, lemah semangat, mudah putus asa dan sebagainya.

Semua sifat seperti ini atau yang seumpamanya perlu bagi setiap diri insan meminta perlindungan supaya sentiasa terhindar.

Di samping itu, terdapat banyak doa dan zikir yang mengandungi makna isti‘âzah atau ta‘awwudz, di mana ianya boleh dipakai sebagai amalan untuk meminta perlindungan kepada Allah Subhanahuwa Ta‘ala supaya dijauhkan dan dihindarkan daripada berbagai-bagai perkara yang mengandungi unsur-unsur yang tidak diingini, sama ada apa-apa yang berada di dalam ataupun yang berada di luar diri manusia. Doa-doa dan zikir-zikir tersebut banyak terdapat di dalam kitab-kitab tafsir, kitab-kitab hadis dan kitab-kitab zikir.

Di antara doa yang baik dibaca ialah doa permohonan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang merangkumi permohonan Baginda pada perkara yang baik-baik dan doa meminta perlindungan daripada perkara yang tidak baik. Doa tersebut ialah sebagaimana yang diajarkan Baginda kepada para sahabat Baginda, di mana menurut satu riwayat daripada Abu Umamah, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa dengan banyak doa sehingga kami tidak dapat menghafal daripadanya sedikit pun. Lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah, engkau berdoa dengan banyak doa sehingga kami tidak dapat menghafal daripadanya sedikit pun”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Mahukah aku menunjukkan kepada kamu doa yang merangkum semua doaku? Kamu membaca doa:

Maksudnya: “Ya Allah, kami bermohon kepadaMu sebaik- baik perkara yang dipohon oleh NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan kami bermohon perlindungan kepadaMu daripada kejahatan sesuatu yang dipohon perlindungan daripadanya oleh NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Engkau adalah tempat memohon pertolongan, dan Engkaulah yang menyampaikan kepada sesuatu yang dikehendaki, dan tiada daya dan upaya selain dengan pertolongan Allah.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi)

Selain itu, doa yang juga baik dibaca ialah doa yang diajar oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada isteri Baginda ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, iaitu:

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu segala kebaikan, cepat dan lambat, sama ada yang aku ketahui ataupun yang belum aku ketahui. Dan aku berlindung kepadaMu daripada semua keburukan, cepat atau lambat, sama ada yang aku ketahui ataupun yang belum aku ketahui. Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu apa-apa kebajikan yang dipohonkan kepadaMu oleh hambaMu dan NabiMu, dan aku bermohon perlindungan kepadaMu daripada kejahatan sesuatu yang dipohon perlindungan daripadanya oleh hambaMu dan NabiMu. Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu syurga dan sesuatu yang mendekatkan (aku) kepadanya, sama ada kata-kata atau perbuatan, dan aku berlindung kepadaMu daripada neraka dan sesuatu yang mendekatkan (aku) kepadanya, sama ada kata-kata atau perbuatan. Dan aku bermohon kepadaMu agar Engkau menjadikan setiap ketentuan yang Engkau putuskan untukku seluruhnya baik.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kesimpulan

Tidak ada tempat berlindung dan meminta pertolongan yang lebih hebat dan lebih terjamin kecuali Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja yang Maha Berkuasa bagi setiap sesuatu, dan tidak ada sesuatupun yang mengatasi kekuasaanNya.

Oleh itu, berlindung kepadaNya bermakna, di samping menjunjung perintahNya dan melahirkan rasa kehambaan diri kepadaNya, juga menempah keselamatan dan kesejahteraan hidup. Sebaliknya, berpaling daripada meminta perlindungan kepadaNya bermakna ingkar akan perintahNya dan menempah bencana serta kesempitan dalam kehidupan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10401

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص