Dakwaan Menjadi Seorang Wali Allah
الجواب
Orang Islam hendaklah sentiasa bersifat waspada dalam menerima perkhabaran daripada seseorang atau dakwaannya mengenai dengan sesuatu. keshahîhan dakwaannya itu mesti ditimbang terlebih dahulu berdasarkan ajaran Islam, lebih-lebih lagi jika dia seorang asing yang tidak dikenali tentang dirinya.
Sikap mudah terpengaruh semata-mata kerana melihat keajaiban atau keganjilan yang dipamerkan hendaklah dijauhkan sama sekali. Telah menjadi kenyataan bahawa salah satu daripada perkara-perkara yang menarik, mendorong dan merangsang orang lain terus menjadi ahli kepada mana-mana pertubuhan silat, tarikat atau kumpulan zikir ialah kerana ketuanya atau masyaiekhnya dikatakan mempunyai keistimewaan, seperti kebal atau boleh mengubati sebarang penyakit ganjil yang kononnya belum mampu disembuhkan oleh perubatan moden.
Oleh yang demikian jika ada mana-mana pertubuhan yang ahli atau pengikutnya mendakwa sebagai kebal, maka berhati-hatilah, jangan mudah terpedaya dan mempercayai bahawa keganjilannya itu adalah keramat, berkemungkinan ia istidrâj.
Keramat itu berpunca daripada iman dan taqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Pemilik keramat pula dinamakan wali-wali Allah. Adakah sebarang tanda atau alamat bagi wali-wali Allah itu? Irsyad hukum keluaran kali ini akan menjelaskan tentang wali Allah.
Pengertian Wali Allah
Wali Allah ialah orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah kerana dia sentiasa mendampingi dan berbuat baik kepada Allah. Menurut ulama tauhid, wali Allah juga adalah orang yang telah mendatangkan i‘tiqâd yang benar, menyusun daripada dalil ‘aqli dan naqli (al-Qur’an dan hadis) dan mendatangkan amal-amal yang salih menurut cara apa yang datang daripada syara‘, dan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pula mendampingi dan memberinya kemuliaan dan hidayat. Wali Allah sentiasa berdampingِ kepada Allah dengan menjalankan hak-hak kehambaan kepada Allah dan menyeru orang kepada Allah. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Surah Yunus: 63)
Kelebihan Wali-Wali Allah
Dalam Al-Qur’an dan hadis ada menyebutkan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh wali-wali Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang berbunyi:
Tafsirnya: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah Yunus: 62-64)
Dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Jibril daripada Allah ‘Azza wa Jalla yang berfirman:
Maksudnya: “Sesiapa menghinakan waliKu, maka sesungguhnya dia telah berani memerangi Aku, bahawa Aku murka bagi pihak wali-waliKu, sebagaimana garang singa yang ganas, dan tidak berdamping kepadaKu oleh hambaKu yang mukmin seperti dia berdamping denganKu dengan menunaikan perkara-perkara yang difardhukan dan diwajibkan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu yang mukmin itu berdamping kepadaKu dengan mengerjakan perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku telah kasihkan dia, jadilah Aku baginya pendengarannya, pandangannya dan tangan (kudratnya). Jika kiranya dia berdoa kepadaKu, nescaya Aku kabulkannya, dan jika kiranya dia memohon (sesuatu) kepadaKu, nescaya Aku berikan. Aku tidak teragak-agak terhadap apa yang Aku perbuat, Aku teragak-agak pada mengambil roh hamba Aku yang mukmin yang bencikan mati.” (Ditakhrîjkan oleh Ibnu Abu ad-Dunya)
Keramat
Pada kebiasaannya wali-wali Allah ini dikurniakan keramat. Keramat adalah perkara luar biasa yang dihubungkan kepada wali-wali Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai kelebihan dan kemuliaan daripada Allah terhadap wali-waliNya itu. Perkara-perkara yang luar biasa itu nisbah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul disebut sebagai mu‘jizat.
Menurut Syeikh Yusuf bin Syeikh Ismail An-Nabhani tanda atau alamat bagi kewalian seseorang itu ialah apabila berlaku padanya taat yang berterusan terhadap Allah dengan tidak diselang-selikan oleh sebarang perbuatan maksiat dan berlaku ke atasnya pemeliharaan dan perlindungan Allah daripada segala rupa maksiat serta dikekalkan dia dalam taufiq kerana ketaatannya itu.
Berdasarkan kepada tanda-tanda yang disebutkan di atas, tidak semestinya keganjilan atau keanehan itu sebagai tanda seseorang itu menjadi wali Allah. Dalam hubungan ini pengarang kitab Jame‘ Karamat Al-Auliya’ menjelaskan bahawa seseorang yang berkehendakkan sesuatu dalam perkara dunia, dan hajatnya itu telah diperkenankan oleh Allah, itu tidaklah semestinya menandakan dia seorang yang taat dan hampir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Pada masa-masa tertentu, ia hanya kerana hormat Khâliq kepada hambaNya sahaja ataupun kadang-kadang ianya berupa istidrâj iaitu pemberian daripada Allah atas sebab-sebab tertentu atau dengan kata-kata lain, Allah memperdayakan orang itu agar akan bertambah-tambah sesat dan kufur.
Istidrâj
Istidrâj menurut Syeikh Abdullah Ali Abdullah ialah pemberian Allah kepada orang-orang zalim (aniaya) berupa perkara-perkara istimewa yang luar biasa, di mana apabila mereka memperolehinya, akan bertambah-tambah pula sifat tamak dan zalim mereka itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan tarik mereka dengan cara yang beransur-ansur (ke arah kebinasaan), secara yang mereka tidak ketahui.” (Surah al-A‘râf: 182)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Allah akan membalas olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan.” (Surah al-Baqarah: 15)
Apabila jiwa seseorang hamba terlampau cenderung kepada dunia dan kemudian segala hajatnya diperkenankan oleh Allah, maka tidak boleh tidak akan datanglah lazat atau seronok. Apabila datang lazat atau seronok nescaya akan bertambah-tambahlah usaha yang semakin kuat ke arah mencapai tujuan-tujuan keduniaan tadi. Ini akan membawa orang itu sedikit demi sedikit bertambah jauh daripada Allah. Itulah dia istidrâj.
Oleh yang demikian istidrâj itu merupakan umpan untuk mengeluarkan seseorang daripada garis lurus kebenaran dengan tidak disedari. Diperturut apa-apa yang dia mahu dan dibukakan segala pintu sehinggalah dia lupa diri, yang akhirnya membawa jauh sesat dan mendatangkan azab. Hal ini disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:
Maksudnya: “Jika engkau lihat Allah memberikan sebahagian keduniaan kepada hambaNya, apa sahaja yang diingininya untuk menderhakai Allah, maka pemberian yang demikian itu adalah istidraj.” (Hadis riwayat Ahmad)
Contoh Keramat Wali Allah
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengurniakan keramat kepada hamba-hambaNya yang bertaraf wali. Di antara contoh-contoh keramat yang dijelaskan di dalam al-Qur’an ialah kisah Maryam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, baginda dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Maryam, dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira.” (Surah Âli ‘Imran: 37)
Begitu juga tentang kisah Ashhâb Al-Kahfi di mana mereka telah berlindung di dalam sebuah gua dan mereka memohon rahmat serta petunjuk Allah Subhanahu wa Ta‘ala, lalu mereka ditidurkan selama tiga ratus sembilan tahun qamariah.
Demikian juga berita-berita mengenai peristiwa luar biasa yang berlaku ke atas beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, di mana semasa beliau di atas mimbar di Madinah Al-Munawwarah, beliau melihat tenteranya (di Iraq) seraya katanya yang bermaksud: “Hai Sariah (ketua tentera) berundurlah kamu ke bukit,” dan perkataan tersebut didengar oleh Sariah.
Contoh yang lain pula ialah kisah Khalid bin al-Walid Radhiallahu ‘anhu, tentang bagaimana beliau telah meminum racun tanpa berlaku sebarang mudarat ke atas dirinya.
Untuk mengenali seorang wali Allah itu bukanlah setakat melihat kepada kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang luar biasa sebagaimana yang disebutkan, namun perlu diteliti kepada aspek-aspek yang lain seperti:
1. Sentiasa dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. 2. Menjauhi segala maksiat. 3. Keramatnya lahir tanpa diikuti dengan dakwaan bahawa dia seorang wali.
4. Beri‘tiqâd dengan i‘tiqâd yang betul. 5. Beramal salih serta memberikan penghayatan sepenuhnya dalam mengikut perjalanan hidup Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dakwaan Seseorang Menjadi Wali
Dalam dunia sekarang sepertimana yang telah kita dengar ada juga orang perseorangan yang berani mengaku dirinya sebagai wali. Sudah tentu dakwaan ini bertentangan dengan ciri-ciri kewalian yang sebenar. Dalam makna yang lain, seorang yang benar-benar wali tidak akan mendakwa dirinya sebagai wali.
Mengenai dengan dakwaan menjadi wali ini, Abu Said Al-Khadami Rahimahullah, memberikan pendapat bahawa ilmu, amal, pendirian yang teguh dan taqwa adalah lebih utama dan penting daripada keramat. Kita disuruh melakukannya kerana ia boleh menambah taqarrub kepada Allah, di samping sebagai jalan untuk diterimaNya. Ketiadaan keempat-empat perkara ini boleh menjadikan seseorang itu jauh dan tersingkir daripada rahmat Allah. Menzahirkan keramat bukanlah perkara yang disuruh dan meninggalkannya pula bukan suatu yang diharamkan, bahkan meninggalkan atau menyembunyikan keramat itu adalah lebih utama dan lebih baik berbanding daripada memperlihatkannya.
Oleh yang demikian, para ulama telah sepakat bahawa memperlihatkan atau menzahirkan keramat boleh menjadikan seseorang itu tertegah daripada mentaati Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Di samping itu, ia juga menunjukkan bahawa yang empunya keramat itu bukanlah seorang wali, kerana kerendahan cita-cita dan kesukaannya kepada sesuatu yang rendah nilainya dengan memperlihat atau menzahirkan keramat itu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya sesenang-senang waliKu di sisiKu adalah orang mukmin yang sedikit harta benda, mempunyai nasib yang baik pada menyempurnakan sembahyang, dia mengelokkan ibadat kepada Tuhannya, dan dia taatkan Allah secara tertutup (bersembunyi) dan dia tidak dikenal oleh orang, tiada orang mengambil tahu halnya, rezekinya mencukupi (tidak kurang dan tidak lebih), maka dia bersabar dalam keadaan itu. Kemudian Baginda memberi isyarat, lalu bersabda: “Disegerakan kematiannya, sedikit orang yang menangisinya, sedikit harta peninggalannya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Menurut Abu Yazid Rahimahullah katanya: “Jikalau kamu melihat atau mengetahui seseorang diberikan keramat seperti terbang di udara, menghidupkan orang mati dan menyingkatkan perjalanan yang jauh, sehinggakan dia boleh duduk bersila di udara, maka janganlah kamu tertipu dengannya, jangan kamu i‘tiqâdkan kewaliannya dan dekatnya kepada Allah, kerana perkara itu boleh jadi istidrâj daripada Allah, sehinggalah kamu dapat mengenalinya bagaimana dia melaksanakan suruhan, larangan dan memelihara hukum-hukum Allah dan bagaimana dia mengamalkan syariat.”
Oleh yang demikian, janganlah kita mudah terpengaruh dengan kata-kata seseorang mengenai dakwaan kewaliannya kerana melihat kekebalan atau lain-lain ‘keajaiban’ yang mereka miliki, apatah lagi jika kata-kata atau perbuatan mereka itu boleh memesongkan aqidah walaupun ianya suatu perkara yang menakjubkan. Perkara yang menakjubkan seperti perkara yang dianggapnya sebagai keramat itu, boleh jadi adalah perkara istidrâj daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Apa yang disebutkan tadi tidaklah pula bercanggah dengan adanya tanda-tanda kewalian bagi seseorang itu. Di antara tanda-tanda kewalian itu ialah dalam perbuatan zahir dia patuh tunduk kepada syariat, manakala dalam perbuatan batin dia tenggelam di lubuk hakikat ketuhanan bersama Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Adakalanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberikan berbagai keramat kepada sesetengah orang zâhid bagi mententeramkan jiwa mereka dan untuk memperteguh keyakinan hati mereka di samping ada kalanya keramat itu tidak diberikan kepada orang yang lebih tinggi martabatnya daripada mereka, kerana mereka ini tidak memerlukannya disebabkan keyakinan mereka sudah teguh dan ketenteraman jiwa mereka sudah mantap.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-10694
دليل الألوان
