Persoalan Selawat Kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
الجواب
Persoalan selawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan hanya persoalan ibadat tambahan yang mungkin dianggap sebagai suatu amalan sunat; kalau dibuat dapat pahala, kalau ditinggalkan tidak berdosa. Sebenarnya kedudukan selawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah merupakan rangkaian daripada iman dan Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzâb: 56)
Ayat ini menyatakan bahawa berselawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah satu daripada rangkaian-rangkaian iman dan Islam yang wajib disempurnakan oleh orang-orang Islam dengan sebaik-baik dan sesempurnanya.
Ibnu Hajar di dalam kitabnya az-Zawâjir berkata: “Tidak berselawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mendengar orang menyebut namanya merupakan dosa besar yang keenam puluh.”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apakah tidak lebih baik saya khabarkan kepada kamu tentang sebakhil-bakhil manusia?” Para sahabat menjawab: “Baik benar, ya Rasulullah.” Maka Nabi pun bersabda: “Orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, maka dia tidak berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Lain-lain persoalan mengenai selawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam akan kita huraikan dalam ruangan Irsyad Hukum kali ini.
Pengertian Selawat
Selawat adalah perkataan Arab yang berasal daripada kata kerja “shalla” yang bererti telah bersembahyang. Ianya mengandungi persamaan dengan sembahyang dari sudut perbuatan memuji-muji, di mana di dalam sembahyang kita memuji-muji Allah, sedangkan dalam selawat kita memuji-muji Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Dari segi bahasa pula, selawat bererti doa serta permohonan rahmat daripada Allah.
Ayat 56 di dalam surah al-Ahzâb yang kita sebutkan sebelum ini menjelaskan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan para malaikatNya berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jadi apakah maksud daripada selawat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan selawat para malaikat itu?
Sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara selawat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan selawat para malaikat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Abu al-‘Aliyah menafsirkan selawat Allah kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan “ats-tsanâ’” yang bererti pujian terhadap Baginda. Sedangkan selawat para malaikat ditafsirkan dengan doa mereka kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Penafsiran ini ada disebutkan juga oleh imam al-Bukhari di dalam kitabnya Shahîh al-Bukhari.
Setelah menyebut tentang penafsiran Abu al-‘Aliyah, Imam al-Bukhari menukilkan pula penafsiran Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma iaitu: “Selawat para malaikat bererti memohon kepada Allah agar Dia memberikan barakah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan selawat Allah kepada NabiNya ditafsirkan dengan pengampunan dan kasih sayang.”
Sementara itu makna “taslîm” kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam ayat 56 surah al-Ahzâb itu pula ialah keselamatan, maksudnya memohon kepada Allah agar memberikan keselamatan dan kesejahteraan kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada segala kekurangan di dalam dakwahnya, umatnya dan peringatannnya.
Cara Berselawat Kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah banyak menerangkan tentang bagaimana berselawat kepada Baginda. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya dalam bab al-anbiyâ’ daripada Abdul Rahman bin Abu Laila dia berkata: “Ka‘ab bin Ujrah pernah bertemu dengan saya, lalu berkata: “Mahukah kamu jika aku hadiahkan kepadamu sebuah hadiah yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Kemudian aku menjawab: “Ya, saya suka hadiah itu”. Lalu Ka‘ab bin Ujrah berkata: “Pada suatu ketika aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, bagaimana ahl al-bait berselawat kepadamu? Dan Allah telah mengajar kami bagaimana untuk bersalam”. Apabila mendengar pertanyaan itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Katakanlah begini:
Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Maka sesunggguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah, berikanlah barakah kepada Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. Maka sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Imam al-Bukhari juga meriwayatkan hadis yang lebih kurang sama di dalam kitabnya dalam bab yang lain (tafsîr sûrah al-ahzâb), sebagaimana berikut:
Maksudnya: “Dikatakan: “Ya Rasulullah, mengenai salam kepadamu, kami telah mengetahuinya. Kemudian bagaimanakah berselawat kepadamu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ucapkanlah: “Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan selawat kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah berikanlah barakah kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan barakah kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis yang sama juga ada diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya Shahîh Muslim di dalam bab ad-da‘awât.
Menurut pendapat Ibnu Hajar di dalam kitabnya Fath al-Bâri bahawa inilah di antara hadis-hadis yang menerangkan tentang bagaimana cara untuk berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan inilah cara berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang paling utama. Selawat ini juga merupakan selawat yang terlengkap yang pernah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana di dalamnya terkumpul selawat kepada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan keluarganya.
Menurut Imam an-Nawawi pula selawat yang paling baik adalah selawat yang dinyatakan di dalam hadis berikut:
Maksudnya: “Barangsiapa berkeinginan untuk menimbang dengan timbangan yang lebih sempurna jika dia berselawat terhadap kami, maka dia hendaklah berkata: “Ya Allah, berikanlah selawat kepada Nabi Muhammad, isteri-isteri Baginda yang merupakan ibu-ibu orang-orang mukmin, zuriat dan ahl al-baitnya, sebagaimana Engkau telah memberikan selawat kepada Ibrahim berserta keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sehubungan dengan cara untuk berselawat ini, perlu disentuh juga adab kita apabila menyebut nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau apabila mendengar orang lain menyebut nama Baginda. Adalah menjadi kebiasaan para ulama salaf, yang di antaranya adalah para ulama hadis, jika menyebut atau mendengar nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka selalu berselawat dan bersalam kepada Baginda. Ada dua lafaz yang sering mereka ucapkan dalam berselawat dan bersalam itu iaitu:
Pertama:
Maksudnya: “Semoga Allah memberikan selawat dan salam kepada Baginda.”
Kedua:
Maksudnya: “Kepada Baginda selawat dan salam.”
Para ulama hadis telah berwasiat kepada umat Islam agar selalu berusaha untuk menjaga kedua lafaz tersebut secara sempurna kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: “Hinalah seseorang yang ketika disebutkan namaku, dia tidak berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Begitu juga di dalam penulisan, kita dituntut untuk menulis selawat dan salam tersebut dengan sesempurna mungkin setiap kali kita menulis nama Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ada dua kebiasaan yang kurang sopan dalam penulisan selawat dan salam ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang patut kita jauhi:
Pertama: Menulisnya dengan tulisan kependekan seperti kita hanya menulis S.A.W. sebagai ganti kepada Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kedua: Menulisnya dengan tidak lengkap seperti menulis ‘alaihissalam sahaja.
Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Adzkâr berkata: “Jika ada di antara kamu berselawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka hendaklah dia mengumpulkan selawat dan salam sekali, dan salah satu di antara keduanya tidak boleh dipisahkan, seperti dia berkata Shallallahu ‘alaihi atau berkata ‘alaihissalam. Jadi kedua-duanya mesti disebutkan dan tidak boleh hanya disebut salah satu daripada keduanya.”
Keutamaan Selawat Kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Sebenarnya terdapat banyak kelebihan atau keutamaan yang boleh kita perolehi daripada amalan berselawat. Di antaranya, kelebihan yang dinyatakan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, sabda Rasululllah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)
Di antara hadis yang menyebutkan tentang kelebihan berselawat itu juga ialah:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang lebih utama denganku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban dalam shahîhnya)
Kelebihan berselawat itu juga ada disebutkan oleh Imam Ahmad di dalam sebuah hadis riwayatnya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku ‘Azza wa Jalla, maka dia (Jibril) berkata: “Sesiapa yang berselawat kepadamu daripada umatmu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala mencatat baginya dengan selawatnya sepuluh kebaikan dan menghapuskan daripadanya sepuluh dosa dan Allah mengangkat baginya sepuluh darjat dan Allah menolak atasnya (membalas) yang seumpamanya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Di antara kelebihan yang boleh kita perolehi juga diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani:
Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Inilah di antara hadis-hadis yang menyebutkan tentang kelebihan berselawat, maka bolehlah kita simpulkan bahawa faedah berselawat itu adalah banyak sebagaimana yang disebut oleh para ulama, antaranya:
1. Memperoleh curahan rahmat dan kebajikan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. 2. Menghasilkan kebaikan, meninggikan darjat dan menghapuskan kejahatan. 3. Memperoleh pengakuan kesempurnaan iman, apabila kita membacanya 100 kali. 4. Menjauhkan kerugian, penyesalan dan digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang salih. 5. Mendekatkan diri kepada Allah. 6. Memperoleh pahala seperti pahala memerdekakan hamba. 7. Menghasilkan syafaat. 8. Memperoleh penyertaan daripada Malaikat ar-Rahmah. 9. Memperoleh hubungan yang rapat dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Seseorang yang berselawat dan bersalam kepada Nabi, selawat dan salamnya itu disampaikan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 10. Membuka kesempatan berbicara dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 11. Menghilangkan kesusahan, kegundahan dan meluaskan rezeki.
12. Melapangkan dada. Apabila seseorang membaca selawat 100 kali, maka Allah akan melapangkan dadanya dan menerangkan hatinya. 13. Menghapuskan dosa. Apabila seseorang membaca selawat dengan tetap tiga kali setiap hari, maka Allah akan menghapuskan dosanya. 14. Menggantikan sedekah bagi orang yang tidak mampu bersedekah. 15. Melipatgandakan pahala yang diperoleh. Apabila seseorang berselawat pada hari Jumaat, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang berlipat ganda. 16. Mendekatkan kedudukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Kiamat. 17. Menyebabkan doa diterima oleh Allah. 18. Melepaskan diri daripada keresahan pada Hari Kiamat. Apabila seseorang meninggalkan selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia akan menghadapi keresahan dan kekacauan pada hari Mahsyar. 19. Memenuhi satu hak Nabi atau menunaikan suatu tugas ibadat yang diwajibkan ke atas kita. Apabila seseorang tidak berselawat, bererti dia enggan memenuhi satu hak Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang wajib dia penuhi.
Sejauh Manakah Kita Disuruh Berselawat?
Menurut mazhab Syafi‘e, selawat adalah wajib dibaca ketika tahiyyat akhir dalam sembahyang. Bermakna, sembahyang tidak sah kalau tidak dibaca selawat dalam tahiyyat akhir. Selawat juga wajib dibaca ketika sembahyang jenazah dan dalam khutbah Jumaat.
Meskipun begitu, di luar sembahyang, kita tidaklah diwajibkan untuk berselawat, tetapi ianya sangat digalakkan. Malah ada juga ulama seperti ath-Thahawi yang mengatakan bahawa selawat wajib dibaca apabila kita mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kita sangat digalakkan berselawat kepada Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia adalah sesuatu yang penting. Sejauh mana pentingnya boleh kita gambarkan apabila kita memahami bahawa doa kita tidak akan diterima oleh Allah jika kita tidak berselawat. Perkara ini merupakan satu hakikat kerana ianya disampaikan sendiri oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sepotong hadis:
Maksudnya: “Semua doa akan terhalang, sehingga diucapkan terlebih dahulu selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Waktu-waktu Untuk Berselawat
Selain daripada berselawat itu diwajibkan sebagaimana disebut terdahulu dalam tahiyyat akhir sembahyang dan khutbah Jumaat, maka waktu-waktu yang dituntut kita supaya berselawat ialah:
1. Sesudah azan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jika kamu mendengar tukang azan (melaungkan azan), bacalah seperti yang dibaca olehnya, kemudian (sesudah selesai azan dilaungkan), berselawatlah kamu kepadaku.”
2. Ketika hendak masuk masjid dan ketika hendak keluar daripada masjid. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, maka hendaklah dia membaca salam kepadaku (membaca selawat dan salam). Sesudah itu hendaklah dia membaca: “Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku segala pintu rahmatMu”. Dan apabila dia hendak keluar, hendaklah dia membaca (sesudah berselawat): “Wahai Tuhanku, aku memohon kepadaMu limpahan rahmatMu.” )Hadis riwayat Abu Daud)
3. Sesudah membaca tasyahhud di dalam tasyahhud akhir. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu bertasyahhud di dalam sembahyang, maka hendaklah dia mengucapkan: “Wahai Tuhan kami muliakanlah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memuliakan, memberi berkat dan mengasihani Ibrahim dan keluarganya, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
4. Di antara takbir-takbir sembahyang Hari Raya. 5. Pada permulaan doa dan pada akhirnya. 6. Ketika hendak memulai sesuatu urusan penting dan berharga. 7. Pada akhir Qunut. 8. Pada malam hari Jumaat dan siangnya. 9. Ketika berziarah ke makam Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 10. Sesudah bertalbiah. 11. Ketika telinga berdengung. 12. Pada tiap-tiap mengadakan majlis. 13. Ketika ditimpa kesusahan dan keresahan. 14. Pada setiap pagi dan petang, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali, maka dia akan mendapat syafaatku pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat ath-Thabari)
Oleh kerana pentingnya selawat kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dalam kehidupan kita, maka beruntunglah bagi mereka yang menjadikannya sebagai amalan, bahkan akan rugilah mereka yang mengabaikannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11034
دليل الألوان
