Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Melambatkan Sembahyang Sehingga Datang UzurSyar‘i

الجواب

Syariat sembahyang merupakan di antara sebesar-besar tuntutan Islam yang wajib dilaksanakan, kerana sembahyang itu merupakan tiang agama dan asas Islam yang lima yang paling penting sesudah dua kalimat syahadat. Oleh itu, wajib bagi setiap orang Islam mengambil berat dan memelihara dengan menunaikannya tepat pada waktu yang ditetapkan tanpa mencuaikannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang wusthâ (sembahyang ‘Ashar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyû‘.” (Surah al-Baqarah: 238)

Orang-orang yang memelihara sembahyang mereka itu pula diklasifikasikan ke dalam golongan orang-orang yang berjaya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyû‘ dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela; kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.” (Surah al-Mu’minûn: 1-9)

Menyegerakan Sembahyang Di Awal Waktu

Di antara ciri-ciri orang yang memelihara sembahyang itu ialah menyegerakan menunaikannya di awal waktu, iaitu sebagai menzahirkan kecintaannya kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan membuktikan tentang kesungguhan dirinya untuk mencari keredhaan Allah Ta‘ala. Maka tidak hairanlah orang yang menyegerakan sembahyang itu akan mendapat pahala yang besar.

Gesaan supaya segera menunaikan sembahyang di awal waktu telah sabit di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya:

Maksudnya: “Apakah amalan-amalan paling afdhal?” Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sembahyang di awal waktunya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Di dalam riwayat yang lain, Abdullah bin Mas‘ud berkata:

Maksudnya: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Apakah amalan yang lebih disukai oleh Allah Ta‘ala?” Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sembahyang pada waktunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Al-Imam asy-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu berkata: “Sembahyang di awal waktu itu adalah lebih afdhal. Di antara hujjah yang menyokong kelebihan sembahyang di awal waktu berbanding dengan di akhir waktu itu ialah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma memilih awal waktu. (Sudah tentu) mereka tidak akan memilih melainkan apa yang lebih utama, dan mereka tidak akan meninggalkan apa yang utama. Mereka itu sembahyang pada awal waktu.”

Demikian beberapa hujjah yang memberi petunjuk tentang keutamaan menyegerakan sembahyang di awal waktu.

Bilakah tempoh masa yang dikatakan di awal waktu itu?

Tempoh masa yang dikatakan awal waktu itu ialah bermula daripada masuk waktu sembahyang fardhu sehinggalah berlalu satu tempoh masa kadarnya cukup untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Makan sekira-kira boleh kenyang, iaitu kenyang pada mengikut pandangan syara‘. 2. Memakai pakaian. 3. Qadha hajat. 4. Membersihkan diri, iaitu menghilangkan kotoran, mandi dan berwudhu atau bertayammum. 5. Azan dan iqâmah. 6. Menunaikan sembahyang fardhu dan sunat qabliyyah dan ba‘diyyah. (Mughni al-Muhtâj: 1/123, Fath al-‘Allâm: 2/209, 216)

Sebaliknya, haram melambat-lambatkan sembahyang sehinga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardhu dalam sembahyang. Sekiranya dia memulakan sembahyang pada ketika itu, maka tidak harus baginya melakukan perkara-perkara yang sunat, bahkan seseorang itu wajib melakukan perkara-perkara yang wajib sahaja dan berniat sembahyang tunai (ِ أداء), kiranya baki waktu yang tinggal hanya cukup satu rakaat sahaja.

Adapun jikakalau seseorang itu mula mendirikan sembahyang, sedang tempoh waktu sembahyang yang masih berbaki hanya cukup untuk memenuhi fardhu-fardhunya sahaja, maka harus baginya melakukan tuntutan sunat dalam sembahyang, bahkan inilah yang afdhal menurut pendapat yang mu‘tamad sebagaimana dalam kitab an-Nihâyah, sekalipun akan terkeluar sembahyang atau sebahagiannnya daripada waktunya.

Wajib Muwassa‘ Dan Mudhayyaq

Para ulama ushul fiqh menjelaskan bahawa apabila Allah Ta‘ala memerintahkan supaya melakukan satu-satu ibadat dalam satu jangka waktu tertentu, maka hal ini perlu ditinjau dan dianalisis. Jika ibadat berkenaan meliputi keseluruhan waktu atau tempoh yang diperuntukkan untuknya, seperti puasa bulan Ramadhan, maka kewajipan melakukannya melibatkan keseluruhan waktunya itu. Oleh sebab itu wajiblah dilakukan ibadat berkenaan sebaik saja waktunya tiba sehingga berakhir tempoh waktu kewajipan itu. Perintah wajib jenis ini disebut sebagai wajib mudhayyaq.

Jenis perintah wajib ini tidak ada ruang melambat atau menangguhkannya, kerana apabila dilambatkan daripada waktunya bermakna telah mengeluarkannya daripada waktunya dan ini tidak boleh berlaku. Jika hal ini berlaku, bukan dinamakan melambatkan lagi, tetapi meninggalkan perintah wajib. Jadi, perintah jenis ini tidak ada istilah melambatkan, dan yang ada ialah sama ada menunaikan atau meninggalkan kewajipan.

Tetapi sekiranya ibadat itu mempunyai tempoh waktu yang panjang dan tempoh melaksanakan perintah ibadat itu tidak meliputi seluruh waktu yang ditetapkan, seperti perintah ibadat sembahyang, maka perintah wajib seperti ini dikatakan sebagai wajib muwassa‘.

Jenis perintah wajib kedua ini, jika tidak ditunaikan pada awal waktu, sedangkan kewajipan sudah bermula di awal waktu, akan tetapi dilakukan masih dalam tempoh waktunya yang luas itu, maka inilah dikatakan sebagai melambat-lambatkan.

Sebagai contoh, sembahyang fardhu Zuhur wajib dilakukan apabila waktunya masuk. Waktu yang ditetapkan melakukan kewajipan sembahyang fardhu Zuhur ini misalnya 3 jam bermula jam 12.14 tengah hari sehingga jam 3.22 petang.

Apabila tepat jam 12.14 tengah hari, orang yang berkewajipan terus istinjâ’, berwudhu, menutup aurat (berpakaian), azan, sembahyang sunat rawâtib 2 atau 4 rakaat, iqâmah, kemudian barulah menunaikan perintah wajib, iaitu sembahyang fardhu Zuhur. Tindakan seperti ini dinamakan telah menunaikan perintah wajib.

Walaupun tidak terus melakukan fardhunya yang asas sebaik saja masuk waktu, perbuatan itu telah dinamakan menyahut atau menunaikan kewajipan, kerana perbuatan istinjâ’, berwudhu, menutup aurat, azan, sembahyang sunat qabliyah, dan iqâmah, merupakan satu tuntutan sunat dan kesempurnaan fardhu. Kesemua perbuatan ini berakhir jam 12.44 tengah hari dan mengambil masa selama lebih kurang 30 minit.

Daripada keterangan dan contoh di atas dapatlah diketahui bahawa pengertian melambatkan itu ialah tidak melakukan kewajipan sebaik saja tiba waktu kewajipan, tetapi lewat melakukannya sebelum tempoh waktunya berakhir.

Melambatkan Sembahyang Tanpa Melewati Tempoh Waktunya

Persoalan yang timbul, apakah ini dibenarkan oleh hukum syara‘?

Persoalan seperti ini ada hubungkaitnya dengan perkara perintah dan azam.

Allah Ta‘ala telah memerintahkan supaya melakukan perkara-perkara yang wajib, seperti taat kepadaNya dengan melakukan apa saja perintah seperti sembahyang fardhu bila tiba waktunya, mengeluarkan zakat bila tiba waktunya, puasa Ramadhan bila tiba waktunya, menghormati al-Qur’an pada bila-bila masa, patuh kepada Nabi setiap saat, patuh kepada ibu bapa dan banyak lagi. Allah juga memerintahkan supaya meninggalkan semua laranganNya, seperti tidak berdusta, tidak mencuri, tidak khianat, tidak melihat aurat perempuan ajnabi, tidak makan riba, tidak minum arak, tidak menerima rasuah sepanjang masa dan banyak lagi.

Semua perintah dan larangan Allah Ta‘ala wajib dipatuhi oleh setiap orang mukallaf, tidak boleh dilanggar, tidak boleh dicuaikan. Semua ini wajib dilakukan apabila kewajipannya muncul, jika ia berkaitan dengan waktu seperti sembahyang fardhu dan puasa Ramadhan, dan setiap saat atau terus-menerus seperti tidak melihat aurat ajnabi pada bila-bila masa.

Sehubungan dengan ini, para ulama ushul fiqh menjelaskan bahawa sebaik saja seseorang itu mukallaf, maka dia wajib berazam iaitu berniat atau memutuskan dalam hatinya akan mematuhi semua perintah dan larangan Allah Ta‘ala. Azam jenis ini disebut “azam am”, kerana ia berkait dengan apa saja jenis kewajipan yang wajib dilakukannya apabila tiba waktu melakukan atau meninggalkannya sepanjang hidupnya.

Selanjutnya mereka menjelaskan bahawa selain “azam am” terdapat satu lagi jenis azam iaitu “azam khas”. Azam ini berkait dengan tibanya waktu untuk melakukan sesuatu yang wajib di dalam waktunya. Misalnya, jika sudah masuk malam Hari Raya Puasa bermakna wajiblah terus mengeluarkan zakat fitrah atau menangguhkan sehingga sebelum habis tempohnya, tetapi wajib ada azam untuk itu. Sebagai misalan lagi, jika masuk waktu sembahyang fardhu, maka wajiblah terus melakukannya atau menangguhkannya sehingga sebelum habis waktunya, tetapi wajib ada azam di awal waktu untuk melakukannya. Inilah yang dikatakan azam khas.

Mereka berkata bahawa kewajipan azam ini ialah untuk tidak dianggap cuai dan supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syar‘i sebelum sempat melakukannya.

Apabila Masuk Waktu Wajib Berazam

Berdasarkan analisis ulama fiqh dan ulama ushul, apabila masuk waktu sembahyang fardhu, wajiblah dilakukan salah satu daripada dua perkara:

1. Terus menunaikannya, atau 2. Membuat azam dalam hati akan menunaikannya dalam waktunya.

Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah Ta‘ala menjelaskan di dalam kitabnya Fath al-‘Allâm: “Sebaik saja masuk waktu (sembahyang fardhu), wajiblah dilakukan salah satu dua perkara; sama ada melakukannya terus ataupun berazam melakukannya dalam waktunya. Jika kewajipan ini tidak dilakukan dan tidak berazam akan melakukannya dalam waktunya, maka dia berdosa.” (Fath al-‘Allâm: 2/89). Jika perkara pertama dilakukan, bermakna kewajipan telah selesai dan pahala sudah menanti. Sekiranya setelah itu dia meninggal, tidak ada lagi dosa mengenainya.

Jika perkara kedua yang dilakukan (berazam), bermakna kewajipan belum tertunai dan pahalanya belum diperolehi. Sekiranya dia meninggal atau ada halangan yang menghalang melakukannya, seperti datang haidh, beranak, pengsan, hilang akal dan lain-lain uzur syar‘i sehinggalah habis waktunya, maka dia tidak berdosa kerana adanya azam.

Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah Ta‘ala juga menjelaskan: “Jika seseorang itu bermaksud melambatkannya daripada awal waktu dan melakukannya dalam waktunya, adalah harus, tetapi dengan syarat pada saat itu dia wajib berazam melakukannya sebelum habis waktunya mengikut pendapat yang ashah, di mana sekiranya dia mati dalam waktu itu setelah berazam tetapi belum sempat melakukannya dan waktunya masih cukup untuk melakukannya, maka dia tidak berdosa. Berbeza jika dia tidak melakukan azam tersebut, di mana sekiranya dia mati dalam waktu kewajipan itu sebelum sempat melakukannya, dia adalah berdosa.” (Fath al-‘Allâm: 2/88).

Kesimpulan

Setiap orang mukallaf wajib melakukan semua perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Apabila tiba waktu sembahyang wajiblah dia terus menunaikannya, atau paling tidak, dia hendaklah membuat azam akan melakukannya dalam waktunya. Azam ini dinamakan azam khas.

Jika dia telah membuat azam, kemudian timbul uzur syar‘i yang menyebabkan tidak lagi dapat melakukannya dalam waktunya, seperti datang haidh, lupa, sakit tenat atau meninggal, maka tidaklah dia berdosa.

Sebaliknya, jika dia belum melakukannya apabila waktunya tiba dan tidak pula membuat azam, kemudian timbul uzur syar‘i yang menyebabkan tidak lagi dapat melakukannya dalam waktunya, seperti datang haidh, sakit tenat atau meninggal, maka yang demikian itu akan mendatangkan dosa kepadanya.

Bagi seorang mukallaf yang ditimpa uzur syar‘i, seperti datang haidh, terlupa, sakit tenat setelah masuk waktu dan belum sempat menunaikan sembahyang fardhu sehinggalah habis tempoh waktunya, maka sembahyang berkenaan wajiblah diqadha setelah hilang keuzurannya itu, sama ada telah berazam atau sebaliknya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-11104

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص