Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Perempuan Berkhatan: Tuntutan Syara‘ Atau Adat?

الجواب

Berkhatan atau biasa juga disebut dalam masyarakat kita “basunat” adalah amalan yang lazim dan telah sebati di dalam masyarakat kita. Pada kebiasaannya, perempuan akan dikhatankan semasa kecil lagi iaitu kira-kira usianya di antara empat puluh ke enam puluh hari. Manakala bagi anak lelaki pula akan dikhatankan sejak dari usia kanak-kanak lagi sebelum anak tersebut mencapai umur bâligh.

Dalam masyarakat Islam di negara kita, amalan berkhatan bagi perempuan adalah atas asas tuntutan syariat Islam. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini kedengaran kepada kita pendapat dan dakwaan yang mengatakan ia adalah semata-mata adat dan tradisi lama yang tiada kaitannya dengan agama Islam. Menurut pendapat ini, tiada dalil daripada al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyuruh perempuan berkhatan.

Perkara ini telahpun ditimbulkan di dalam sebuah artikel bertajuk “Female Circumcision Is Cultural Practice” yang dimuatkan di dalam sebuah akhbar tempatan, Brunei Times yang bertarikh 16hb Jun 2012, hari Sabtu. Dipetik daripada akhbar tersebut menyatakan:

“…seorang perunding Badan Penyelidikan Kesihatan Wanita di Arab Saudi dan professor perubatan dan keluarga di Universiti King Saud, berkata bahawa tidak ada disebut dalam al-Qur’an atau hadits yang membenarkan khatan perempuan.

“Tidak sama sekali…Ianya tidak bersifat Islamik sama sekali,” ujarnya di sidang Forum Antarabangsa Kesihatan Global di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

“Amalan ini adalah bersifat tradisi, bukannya berkaitan dengan agama.” (Terjemahan artikel bertajuk: “Female Circumcision Is Cultural Practice”, Brunei Times, (16hb Jun 2012)

Perkara ini perlu kita beri perhatian yang serius kerana ia boleh menggugat kepercayaan masyarakat kita terhadap amalan besunat bagi perempuan bahawa ia bukanlah suatu kewajipan. Adalah dikhuatiri akan ada di kalangan masyarakat kita yang akan meninggalkannya kerana terpengaruh dengan dakwaan tersebut.

Pendapat dan dakwaan demikian adalah sama sekali tidak benar kerana tuntutan supaya perempuan berkhatan ada disebutkan di dalam syariat Islam.

Hukum Berkhatan Bagi Perempuan

Menurut istilah syara‘ berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki. Bagi perempuan pula, berkhatan ialah memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj.

Menurut mazhab asy-Syafi‘e hukum berkhatan adalah wajib sama ada bagi lelaki mahupun perempuan yang dilahirkan tanpa berkhatan. Nash-nash ulama banyak menyebutkan perihal kewajipan berkhatan bagi perempuan, antaranya:

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Wajib bagi perempuan berkhatan dengan memotong sebahagian daripada daging yang ada di sebelah atas kemaluan.

Katanya lagi:

Ertinya: Pendapat mazhab asy-Syafi‘e yang shahîh lagi masyhûr yang dinashkan oleh asy-Syafi‘e Rahimahullâh dan diputuskan ia oleh jumhûr, sesungguhnya ia (berkhatan itu) wajib ke atas lelaki dan perempuan.

Asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullâh pula berkata:

Ertinya: (Dan wajib berkhatan) bagi perempuan dan lelaki ketika mana kedua-duanya tidak dilahirkan dalam keadaan berkhatan.

Dalil Kewajipan Berkhatan

Kewajipan berkhatan sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama adalah sabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qu’ran dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Dalil daripada al-Qur’an yang menyatakan berkhatan bagi perempuan itu adalah wajib, antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): “Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar.” (Surah an-Nahl: 123) Ayat ini menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam supaya mengikut ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Salah satu daripada ajaran-ajaran agama Baginda (Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm) itu ialah berkhatan.

Ayat al-Qur’an di atas jelas memerintahkan supaya mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Ini menunjukkan pada setiap perbuatan yang baginda lakukan itu adalah wajib melainkan ada dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan itu sunat bagi umat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti bersiwak. Al-Khaththabi Rahimahullâh menukil bahawa perkara-perkara fitrah itu adalah wajib dalam ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm. Oleh itu, berkhatan adalah wajib dalam ajaran agama Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm.

Manakala dalil daripada hadits yang menjadi sandaran kepada pensyariatan berkhatan ini pula, antaranya ialah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Nabi Ibrahim ‘Alaihissalâm berkhatan ketika Baginda berumur lapan puluh tahun dengan alat qadûm. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits lain yang menunjukkan berkhatan itu wajib sebagaimana Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepada lelaki yang memeluk agama Islam:

Maksudnya: Buang rambutmu yang ada ketika kamu kafir dan berkhatanlah. (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits ini menjelaskan bahawa orang kafir yang memeluk agama Islam diwajibkan untuk berkhatan. Suruhan dalam hadits tersebut menunjukkan kepada wajib kecuali pada perkara membuang rambut kerana terdapat dalil lain yang tidak mewajibkannya.

Selain dalil-dalil al-Qur’an dan hadits yang menjadi sandaran kepada hukum berkhatan itu wajib, para ulama asy-Syafi‘e Rahimahumullâh menyatakan bahawa jika berkhatan itu sunat sahaja nescaya tidaklah harus dilihatkan aurat kepada tukang khatan, kerana melihat dan mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Maka apabila melihatkan aurat itu diharuskan bagi tujuan berkhatan, ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.

Demikian juga, berkhatan itu ialah memotong anggota yang sejahtera. Jika berkhatan itu bukan perkara yang diwajibkan, nescaya tidak diharuskan memotong anggota yang sejahtera itu. Ini menunjukkan bahawa berkhatan itu hukumnya adalah wajib.

Cara Berkhatan Yang Disyariatkan Bagi Perempuan

Cara berkhatan yang wajib bagi perempuan adalah dengan memotong sebahagian daripada daging yang ada di sebelah atas kemaluan yang seakan-akan bonggolan atau jambul ayam jantan. Yang lebih afdhal ialah dengan memotong sedikit sahaja daripada daging itu dan dilarang berlebih-lebihan iaitu dengan memotong kesemua daging yang ada di sebelah atas kemaluan itu.

Perkara ini berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan daripada Ummu ‘Athiyyah al-Anshariyyah Radhiallâhu ‘anhâ bahawa seorang perempuan sedang mengerjakan kerja-kerja khatan di Madinah, lalu Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Maksudnya: Jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong) kerana yang demikian itu (tidak berlebih-lebihan) menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (boleh menambah kelazatan bersetubuh). (Hadits riwayat Abu Daud)

Kesimpulan

Daripada penjelasan di atas, berkhatan bagi perempuan merupakan salah satu tuntutan syara‘ dan ia wajib dilaksanakan dengan nash. Apa yang jelas kepada kita bahawa umat Islam khususnya masyarakat Islam di negara kita, melakukan amalan berkhatan bagi perempuan ini bukanlah kerana tuntutan adat dan warisan budaya Melayu yang diwarisi dari generasi terdahulu tetapi kerana ia adalah suatu kewajipan. Hukum wajib berkhatan bagi perempuan menurut ulama khususnya ulama mazhab asy-Syafi‘e adalah berdasarkan dan bersumberkan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, di samping dalil qiyâs yang juga merupakan sumber perundangan Islam yang disepakati.

Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa adalah tidak tepat jika dikatakan berkhatan bagi perempuan itu hanyalah tuntutan adat semata-mata kerana tiada dalil sama ada daripada al-Qur’an mahupun hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alahi wasallam yang menuntut ia dilaksanakan. Bahkan al-Qur’an dan hadits telahpun dengan jelas menyatakan tuntutan berkhatan tersebut.

Justeru, kita menolak dengan kerasnya artikel “Female Circumcision Is Cultural Practice” yang dimuatkan di dalam akhbar Brunei Times, bertarikh 16 Jun, 2012 yang menyebut tidak ada di dalam al-Qur’an atau hadits yang membenarkan khatan untuk perempuan. Ternyata pendapat ini adalah tidak betul dan penulisnya tidak memahami nash-nash al-Qur’an, hadits dan aqwâl ulama mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14334

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص