Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Tertinggal Atau Meninggalkan Qunut: Kedudukan Imam, Makmum Dan Munfarid

الجواب

Hukum Qunut Dalam Sembahyang

Qunut adalah salah satu daripada sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang yang tuntutannya termasuk dalam kategori sunnah mu‘akkadah (yang sangat dituntut). Jika tertinggal atau sengaja ditinggalkan qunut ini, sungguhpun ia tidak membatalkan sembahyang, akan tetapi ia merupakan suatu kekurangan dan kerugian. Dari itu, bagi menampal kekurangan tersebut, disunatkan bagi orang yang tertinggal atau sengaja meninggalkan qunut untuk mengerjakan sujud sahwi.

Jika dia syak atau ragu-ragu sama ada dia telah mengerjakan qunut atau tidak, maka dalam hal ini dia disunatkan untuk mengerjakan sujud sahwi kerana pada dasarnya dia dikira belum mengerjakannya.

Walau bagaimanapun, hanya qunut sembahyang fardhu Shubuh serta qunut sembahyang sunat Witir pada separuh kedua bulan Ramadhan sahaja yang jika tertinggal ataupun ditinggalkan maka disyariatkan sujud sahwi. Adapun bagi qunut nâzilah pula, jika ia tertinggal atau ditinggalkan, maka tidak disyariatkan sujud sahwi.

Bagi orang yang tidak pandai membaca qunut pula, disunatkan ke atasnya untuk berdiri dalam kadar bacaan qunut. Sekiranya dia meninggalkan pensyariatan berdiri dalam kadar bacaan qunut ini, sama ada kerana tertinggal ataupun disengajakan, maka disunatkan juga sujud sahwi ke atasnya. Perkara tertinggal atau meninggalkan qunut ini sering sahaja menimbulkan kekeliruan serta persoalan terutama sekali ketika sembahyang berjemaah. Adakah seorang imam atau munfarid (orang yang sembahyang bersendirian) itu boleh berdiri semula untuk mengerjakan qunut yang tertinggal atau ditinggalkannya? Bagi seorang makmum pula, bolehkah dia berdiri semula untuk mengerjakan qunut yang tertinggal atau ditinggalkannya sedangkan imam mengerjakan qunut? Apakah pula yang perlu dilakukan oleh makmum jika imamnya tidak mengerjakan qunut?

Hukum Imam Atau Munfarid Berdiri Semula Setelah Meninggalkan Qunut

1. Imam atau munfarid berdiri semula setelah sempurna mengerjakan sujud.

Seorang imam atau munfarid yang tertinggal qunut kerana terlalai atau terlupa kemudian dia tersedar atau teringat kembali bahawa dia telah tertinggal qunut sedangkan dia sudahpun sempurna mengerjakan sujud dengan meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujudnya, iaitu dahi, dua tangan, dua lutut serta jari-jari daripada dua telapak kaki, maka dia tidak boleh lagi berdiri semula untuk mengerjakan qunut kerana dia sudahpun dikira masuk mengerjakan suatu perbuatan fardhu yang lain dalam sembahyang. Jika dia kembali juga untuk berdiri mengerjakan qunut sedangkan dia sudahpun sempurna mengerjakan sujud, maka batallah sembahyangnya sekiranya dia tahu akan keharamannya. Menurut ulama, dalam hal ini, apabila seseorang itu telahpun meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujudnya, maka dia tidak boleh lagi berdiri semula untuk mengerjakan qunut walaupun dia belum sempat thuma‘ninah dalam sujudnya itu.

Bagaimanapun, jika kembalinya untuk berdiri mengerjakan qunut setelah sempurna mengerjakan sujud itu kerana terlupa atau jahil akan hukumnya, maka tidaklah batal sembahyangnya, akan tetapi wajib ke atasnya mengerjakan sujud semula serta-merta setelah teringat atau tahu akan hukumnya. Jika hal ini berlaku, maka sunat atasnya mengerjakan sujud sahwi kerana perbuatan tersebut dikira sebagai menambah atau menukar susunan perbuatan dalam sembahyang secara tidak sengaja. Ini kerana tempat qunut itu ialah sebelum sujud, jadi ia dikira luput apabila seseorang itu mengerjakan sujud.

2. Imam atau munfarid berdiri semula sebelum sempurna mengerjakan sujud.

Berbeza pula halnya jika seorang imam atau munfarid itu tertinggal qunut kerana terlalai atau terlupa kemudian dia tersedar atau teringat semula yang dia telah tertinggal qunut sebelum dia sempurna meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujudnya, kerana dalam hal ini harus baginya untuk berdiri semula mengerjakan qunut dan bukannya haram seperti permasalahan sebelum ini. Ini kerana dalam hal ini, dia belum dikira masuk mengerjakan suatu perbuatan fardhu yang lain dalam sembahyang.

Dalam hal ini disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam sekiranya turunnya meninggalkan qunut sebelum itu sampai kepada had sekurang-kurang ruku‘, iaitu dalam had kira-kira dua tapak tangannya (bukan anak jari) dapat mencapai lututnya. Ini kerana, jika dia telah sampai kepada had tersebut, maka dia dikira sudah menambah satu ruku‘ secara tidak sengaja. Adapun jika turunnya itu belum sampai kepada had tersebut, maka tidaklah disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan sujud sahwi.

Berbeza pula halnya dengan imam atau munfarid yang sengaja meninggalkan qunut. Ini kerana jika imam atau munfarid itu sengaja turun daripada qiyâm (berdiri betul) dengan niat untuk meninggalkan qunut, lalu turunnya itu telah sampai kepada had sekurang-kurang ruku‘, sekiranya dia dengan sengaja bangkit semula selepas itu sedangkan dia tahu akan keharamannya, maka batallah sembahyangnya.

Kedudukan Makmum Apabila Imam Tertinggal Atau Meninggalkan Qunut

Apabila seorang imam meninggalkan qunut sama ada kerana sengaja ataupun tidak, maka makmum hendaklah mengikut imamnya meninggalkan qunut itu. Bagaimanapun, harus bagi makmum untuk mengerjakan qunut yang ditinggalkan oleh imamnya itu secara bersendirian dengan syarat dia masih sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.

Jika makmum tersebut khuatir dia tidak akan sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam sekiranya dia mengerjakan qunut yang ditinggalkan oleh imamnya itu, maka dalam hal ini makmum itu tidak diharuskan untuk mengerjakan qunut tersebut. Jika dikerjakannya juga, maka sembahyang makmum itu belum dikira batal kecuali setelah dia ketinggalan dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan qunut.

Kedudukan Makmum Apabila Imam Bangkit Semula Untuk Mengerjakan Qunut Setelah Dia Sempurna Mengerjakan Sujud

Sekiranya imam itu berdiri semula untuk mengerjakan qunut setelah imam tersebut sempurna meletakkan anggota-anggota sujudnya, maka makmum haram mengikut imamnya untuk berdiri semula mengerjakan qunut. Bahkan sembahyang makmum itu menjadi batal jika dia sengaja mengerjakannya sedangkan dia mengetahui akan keharamannya.

Sebaliknya, hendaklah makmum itu berniat mufâraqah (berpisah daripada imam) ataupun menunggu imam itu dalam sujudnya. Bagaimanapun, berniat mufâraqah dalam hal seumpama ini adalah lebih baik. Ini kerana dalam situasi imam bangkit semula untuk mengerjakan qunut setelah dia sempurna mengerjakan sujud itu, ia berlaku kerana salah satu daripada dua kemungkinan berikut:

1. Imam itu melakukannya dengan sengaja sedangkan dia tahu akan keharamannya. Maka dalam hal ini batallah sembahyang imamnya itu sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.

2. Imam melakukannya kerana terlupa ataupun jahil akan keharamannya. Maka dalam hal ini sungguhpun sembahyang imam itu tidak batal, akan tetapi tidak harus bagi makmum untuk mengikut perbuatan imam tersebut.

Atas dasar dua kemungkinan ini, maka para ulama berpendapat bahawa dalam hal ini berniat mufâraqah itu adalah lebih baik bagi makmum.

Kedudukan Makmum Yang Tertinggal Atau Meninggalkan Qunut

Sekiranya seorang makmum meninggalkan qunut, lalu dia mengerjakan sujud, sedangkan imam mengerjakan qunut, maka dalam hal ini diperhatikan dua keadaan berikut:

1. Jika makmum meninggalkan qunut kerana terlalai atau terlupa, maka sujud yang dikerjakannya itu tidak dikira, bahkan wajib atasnya berdiri semula mengikut imam mengerjakan qunut kerana mengikut imam itu hukumnya wajib. Jika makmum itu dengan sengaja tidak bangkit semula mengikut imam mengerjakan qunut sedangkan dia tahu akan hukumnya, maka batallah sembahyangnya.

2. Jika makmum itu meninggalkan qunut dengan sengaja, maka sujud yang dikerjakannya itu dikira. Ini kerana dia melakukan perbuatannya itu dengan tujuan yang shahîh untuk berpindah dari satu perbuatan yang wajib ke satu perbuatan wajib yang lain. Oleh kerana itu, maka tidaklah wajib atasnya untuk bangkit semula berdiri mengikut imam mengerjakan qunut, bahkan hanyalah sunat sahaja.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa hukum makmum mendahului perbuatan imam dengan sengaja adalah haram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apakah tidak takut makmum yang mengangkat kepalanya sebelum imam, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan menukarkan kepalanya dengan kepala keldai? (Hadits riwayat Muslim)

Makmum Bermazhab Syafi‘e Mengerjakan Sembahyang Shubuh Mengikut Imam Bermazhab Hanafi Atau Hanbali

Menurut ulama, seorang yang bermazhab Syafi‘e, jika dia mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh di belakang imam yang berpegang dengan mazhab yang berpendapat bahawa tidak disyariatkan qunut dalam sembahyang fardhu Shubuh, maka jika makmum bermazhab Syafi‘e itu ada kesempatan untuk mengerjakan qunut, maka dia dibolehkan untuk mengerjakannya secara bersendirian jika dia yakin bahawa dia sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.

Sepertimana permasalahan makmum yang mengerjakan qunut secara bersendirian kerana imamnya meninggalkan atau tertinggal qunut, sembahyang makmum itu belum dikira batal walaupun dia tidak sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam. Sembahyang makmum itu hanya terbatal setelah dia tertinggal dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan qunut.

Selepas imam memberi salam, makmum tersebut dituntut untuk mengerjakan sujud sahwi sebelum memberi salam, tidak kira sama ada makmum tersebut sempat mengerjakan qunut ataupun tidak. Ini kerana terdapat kekurangan dalam sembahyang imamnya, iaitu tidak mengerjakan qunut.

Makmum Mengerjakan Sembahyang Fardhu Shubuh Berimamkan Imam Yang Mengerjakan Sembahyang Lain

Sekiranya seorang makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh bersembahyang di belakang imam yang mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ misalnya, dan makmum itu sudahpun berada pada rakaat kedua, maka jika dia berkesempatan untuk mengerjakan qunut kira-kira dia masih sempat untuk mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam, maka sunat ke atasnya untuk mengerjakan qunut dengan syarat yang disebutkan tadi iaitu dia masih sempat untuk mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam.

Sekiranya makmum tersebut yakin bahawa dia tidak akan sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam jika dia mengerjakan qunut, maka dalam hal ini sunat pula baginya untuk meninggalkannya. Walau bagaimanapun, harus diingat di sini bahawa makmum yang takhalluf (tertinggal) daripada imam untuk mengerjakan qunut lalu dia tidak sempat mengerjakan sujud yang pertama bersama-sama imam, ini tidaklah haram atau membatalkan sembahyangnya bahkan hanyalah makruh sahaja. Ini kerana sembahyang makmum itu belum dikira batal kecuali setelah dia tertinggal dua rukun fi‘li daripada imam, iaitu dengan turunnya imam untuk mengerjakan sujud yang kedua sedangkan makmum masih mengerjakan qunut sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Dalam hal ini, sekiranya makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh itu tidak berkesempatan untuk mengerjakan qunut, maka dia tidak perlu mengerjakan sujud sahwi. Ini kerana qunut yang dituntut daripada makmum yang mengerjakan sembahyang fardhu Shubuh itu pada asalnya memang tidak ada dalam sembahyang fardhu ‘Isya’ yang dikerjakan oleh imam, jadi tidak ada apa-apa kekurangan dalam sembahyang imam tersebut. Oleh itu, dengan sendirinya kekurangan pada sembahyang makmum itu, iaitu tidak mengerjakan qunut, ditanggung oleh imam.

Dalam perkara sempat atau tidak mengerjakan qunut ketika bersembahyang di belakang imam yang mengerjakan sembahyang yang lain ini, makmum yang khuatir tidak sempat mengerjakan qunut dibolehkan untuk mufâraqah daripada imam untuk membolehkannya mengerjakan qunut. Bagaimanapun dalam hal ini, mengikut imam dengan meninggalkan qunut itu adalah lebih afdhal daripada mufâraqah.

Setelah makmum tersebut sudah sempurna mengerjakan dua rakaat, sedangkan imam yang mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’ itu baru hendak memasuki rakaat yang ketiga, maka apabila imam bangkit untuk mengerjakan rakaat yang seterusnya, makmum itu dalam hal ini mempunyai dua pilihan; sama ada berniat mufâraqah lalu memberi salam atau menunggu dalam duduk tasyahhudnya sehingga imam menyempurnakan sembahyangnya untuk memberi salam bersama-sama imam.

Dalam hal ini, makmum yang mufâraqah selepas sempurna mengerjakan dua rakaat itu tetap akan memperolehi kelebihan sembahyang berjemaah. Walau bagaimanapun, menunggu imam menyempurnakan sembahyangnya untuk memberi salam bersama-sama imam itu adalah lebih afdhal.

Ketika makmum duduk menunggu dalam tasyahhudnya itu, setelah selesai membaca tasyahhud, sunat bagi makmum tersebut membaca do‘a dalam tasyahhudnya sementara menunggu imam menghabiskan sembahyangnya. Jika dia tidak hafal kecuali do‘a yang pendek, maka diulang-ulangnya do‘a itu. Menurut ulama, makmum itu sebaiknya tidak mengulang bacaan tasyahhudnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana terdapat pendapat yang mengatakan bahawa mengulang rukun qauli itu membatalkan sembahyang.

Demikian beberapa penerangan mengenai permasalahan tertinggal atau meninggalkan qunut bagi imam, makmum dan munfarid. Sebagai seorang Muslim, segala maklumat serta ilmu mengenai ibadat sembahyang tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan. Mendalami, mempelajari dan memahami teori serta menghalusi amalinya bukan tanggungjawab para ulama sahaja, akan tetapi ia adalah kewajiban setiap individu muslim. Mudah-mudahan penjelasan ini meningkatkan lagi kesempurnaan serta kefahaman kita mengenai ibadat paling utama dan paling awal dihisab kelak iaitu ibadat sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14342

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص