Bersentuhan Kulit Di Antara Lelaki Dan Perempuan: Kesannya Terhadap Wudhu’
الجواب
Salah satu perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab asy-Syafi‘i ialah apabila bersentuh kulit tanpa berlapik antara lelaki dengan perempuan bukan mahram yang telah sampai pada had usia yang dikira boleh membangkitkan syahwat dari segi ‘urf.
Dasar ketetapan ini adalah merujuk kepada firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: …atau kamu bersentuh dengan perempuan (yang bukan mahram) lalu kamu tidak memperolehi air (untuk berwudhu’ atau mandi), maka bertayamumlah dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua-dua tangan kamu (hingga ke siku) dengannya... (Surah al-Mâ’idah: 6)
Ayat ini memerintahkan agar berwudhu’ atau bertayammum sekiranya ketiadaan air untuk menghilangkan hadats akibat berlakunya persentuhan kulit di antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Dalam permasalahan sentuhan di antara lelaki dengan perempuan, wudhu’ akan batal setelah berlaku kesemua perkara berikut:
• Bersentuh kulit dengan kulit dengan yakin.
• Sentuhan berlaku di antara lelaki dengan perempuan.
• Sentuhan sesama orang dewasa atau pada usia yang boleh membangkitkan syahwat terhadap lawan jenisnya.
• Tiada hubungan mahram di antara kedua-duanya (ajnabiy)
Bersentuh Kulit dengan Kulit dengan Yakin
1. Hukum bersentuh selain kulit.
Yang dimaksudkan dengan kulit itu ialah anggota badan selain daripada rambut, bulu, gigi dan kuku. Termasuk juga dalam maksud kulit itu anggota berupa daging seperti gusi dan lidah.
Menyentuh bahagian badan yang tidak termasuk dalam maksud kulit seperti menyentuh rambut, bulu walaupun bulu kemaluan, gigi dan kuku tidak membatalkan wudhu’. Ini kerana kelazatan atau berlazat-lazat dengan anggota tersebut hanya dapat diperolehi dengan cara melihatnya sahaja dan bukan dengan cara menyentuhnya. Maksudnya di sini, segala anggota yang disebutkan itu tidak membatalkan wudhu’ apabila disentuh kerana tidak ada apa-apa kelazatan yang diperolehi akibat daripada menyentuhnya.
Adapun batin mata serta tulang yang nyata atas sebab luka pula terdapat perselisihan pendapat mengenainya di kalangan ulama asy-Syafi‘iyyah. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, kedua-duanya tidak membatalkan wudhu’ apabila disentuh. Manakala menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh pula kedua-duanya membatalkan wudhu’. Sebagai jalan keluar daripada perbezaan pendapat para ulama di atas, adalah disunatkan juga bagi sesiapa yang menyentuh apa sahaja bahagian badan yang bukan dikategorikan sebagai kulit supaya mengambil wudhu’.
2. Syak adakah yang disentuh itu kulit ataupun bukan.
Sekiranya seseorang lelaki syak adakah dia telah tersentuh kulit perempuan bukan mahram ataupun rambutnya sahaja, ataupun adakah yang tersentuh itu hanya kukunya, contohnya dalam keadaan gelap atau bersesak-sesak, maka dalam hal ini tidak batal wudhu’nya.
Walau bagaimanapun, dalam hal ini, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, disunatkan juga ke atasnya untuk mengambil wudhu’.
3. Bersentuh dalam keadaan berlapik.
Tidak batal wudhu’ sekiranya sentuhan di antara seorang lelaki dengan perempuan berlaku secara berlapik sekalipun lapik itu nipis dan walaupun dengan diiringi syahwat. 4. Menyentuh atau tersentuh dengan anggota selain tangan.
Sentuhan yang boleh membatalkan wudhu’ tidak semestinya dengan tangan. Wudhu’ tetap batal walaupun sentuhan itu bukan dengan tangan. Tidak kira sama ada anggota tersebut adalah anggota asli ataupun tambahan dan tidak kira sama ada anggota tersebut sihat ataupun berpenyakit, walaupun anggota tersebut tidak lagi merasa apa-apa apabila disentuh.
Sentuhan Berlaku di antara Lelaki dengan Perempuan
1. Sentuhan di antara sesama jenis.
Tidak batal wudhu’ sekiranya bersentuh kulit sesama jenis, sama ada di antara lelaki dengan lelaki atau di antara perempuan dengan perempuan. Begitu juga tidak batal wudhu’ sekiranya seorang khuntsâ bersentuh kulit dengan khuntsâ yang lain. Semua ini tidak membatalkan wudhu’ walaupun sentuhan sesama jenis itu dilakukan dengan syahwat dan mendatangkan kelazatan atau keni‘matan atas kedua-duanya, umpamanya sentuhan sesama lesbian dan sebagainya.
Demikian juga tidak batal wudhu’ sekiranya seorang lelaki atau perempuan bersentuh kulit dengan khuntsâ walaupun sentuhan itu berlaku dengan diiringi syahwat.
Sekiranya dalam satu keadaan sesak yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan, seorang lelaki terasa sentuhan kulit seseorang pada kulit tangannya, lalu dia syak dan tidak pasti adakah kulit tangannya itu telah tersentuh dengan kulit lelaki ataupun kulit perempuan, maka yang demikian itu juga tidak membatalkan wudhu’.
Begitu juga sekiranya seorang lelaki telah tersentuh kulit seseorang yang dia tidak pasti adakah dia itu khuntsâ ataupun perempuan. Ini juga tidak membatalkan wudhu’ kerana syak yang ada padanya.
2. Bersentuh dengan tidak sengaja.
Bersentuh kulit antara seorang lelaki dengan perempuan yang bukan mahram, sama ada secara sengaja, terlupa atau dipaksa oleh seseorang, semuanya itu membatalkan wudhu’.
3. Adakah orang yang disentuh juga terbatal wudhu’nya?
Orang yang menyentuh serta orang yang disentuh kedua-duanya batal wudhu’. Ini kerana menurut ulama, kelazatan sentuhan itu sama-sama boleh dirasai oleh orang yang menyentuh dan orang yang disentuh sepertimana halnya orang yang menyetubuhi dan orang yang disetubuhi sama-sama merasai kelazatan bersetubuh.
Bagaimanapun, sekiranya seorang lelaki yang hidup menyentuh mayat perempuan yang bukan mahram nya, maka hanya wudhu’ lelaki yang hidup itu yang batal, manakala wudhu’ mayat perempuan itu pula tidak batal. Begitu juga sebaliknya, hukumnya adalah sama sekiranya seorang perempuan yang hidup menyentuh mayat lelaki yang bukan mahramnya. Hanya wudhu’ perempuan yang hidup itu sahaja yang batal, sementara wudhu’ mayat lelaki itu pula tidak batal.
Sentuhan Sesama Orang Dewasa atau pada Usia yang Boleh Membangkitkan Syahwat Terhadap Lawan Jenisnya
1. Hukum bersentuh dengan kanak-kanak.
Yang dimaksudkan dengan sentuhan di antara lelaki dan perempuan yang membatalkan wudhu’ itu ialah lelaki dan perempuan yang jelas sudah sampai pada tahap di mana dia boleh membangkitkan syahwat kepada lawan jenisnya dari segi ‘uruf. Tidak kira sama ada kanak-kanak lelaki ataupun kanak-kanak perempuan itu sudah baligh ataupun belum.
Sekiranya seorang lelaki dewasa menyentuh kulit kanak-kanak perempuan yang belum sampai tahap di mana dia boleh membangkitkan syahwat kepada lelaki yang normal naluri semula jadinya, maka tidak batal wudhu’ lelaki itu serta tidak batal wudhu’ kanak-kanak perempuan tersebut. Begitu juga tidak batal wudhu’ perempuan dewasa yang menyentuh kulit kanak-kanak lelaki yang belum sampai tahap di mana dia boleh membangkitkan syahwat kepada perempuan yang normal naluri semula jadinya. Wudhu’ kanak-kanak lelaki itu juga tidak batal.
Demikian juga tidak batal wudhu’ kanak-kanak lelaki yang bersentuh kulit dengan kanak-kanak perempuan yang kedua-duanya belum sampai tahap yang boleh membangkitkan syahwat.
Sekiranya kanak-kanak tersebut telah sampai ke tahap yang boleh membangkitkan syahwat kepada lelaki atau perempuan yang normal naluri semula jadinya, maka menyentuh kanak-kanak tersebut membatalkan wudhu’ kedua-duanya walaupun orang yang menyentuh itu adalah lelaki atau perempuan yang tidak lagi memiliki kehendak terhadap lawan jenisnya seperti kerana faktor usia, kesihatan, kecederaan dan seumpamanya.
2. Bersentuh kulit gengan orang tua.
Menyentuh kulit orang tua yang bukan mahram, sekalipun tuanya itu telah sampai kepada had yang pada kebiasaannya dia tidak mungkin akan membangkitkan keinginan syahwat kepada lawan jenisnya, tetap membatalkan wudhu’.
Tiada Hubungan Mahram di Antara Kedua-duanya (Ajnabiy)
Maksud mahram dalam permasalahan ini ialah orang yang haram dinikahi selama-lamanya yakni mahram mu’abbad atas sebab keturunan, atas sebab susuan ataupun atas sebab mushâharah (perkahwinan).
Untuk lebih jelas lagi, sebagai contoh, bagi seorang lelaki, mahramnya kerana keturunan adalah seperti berikut:
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 3. Adik-beradik perempuan seibu sebapa. 4. Adik-beradik perempuan sebapa. 5. Adik-beradik perempuan seibu. 6. Emak saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 7. Emak saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 8. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan (anak kemanakan).
Sementara mahramnya kerana susuan pula adalah seperti berikut:
1. Ibu susuan.
2. Ibu kepada ibu susuan. 3. Ibu kepada bapa susuan (suami ibu susuan). 4. Adik-beradik perempuan kepada ibu susuan. 5. Adik-beradik perempuan kepada bapa susuan. 6. Anak perempuan kepada ibu dan bapa susuan (adik-beradik seibu sebapa susuan). 7. Anak perempuan kepada ibu susuan (adik-beradik seibu susuan). 8. Anak perempuan kepada bapa susuan (adik-beradik sebapa susuan).
Manakala mahram kerana mushâharah pula adalah seperti yang di bawah ini:
1. Emak mertua. 2. Anak menantu. 3. Emak tiri. 4. Anak tiri.
Adapun orang yang haram dinikahi bukan atas sebab keturunan, susuan ataupun mushâharah, umpamanya anak perempuan serta ibu kepada perempuan yang diwathi’ (disetubuhi) secara syubhah, perempuan kafir, murtad atau sebagainya, bersentuhan kulit dengan mereka juga akan membatalkan wudhu’.
Maka dari itu, setiap sentuhan yang berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa berlapik, sama ada diiringi syahwat ataupun tidak, walaupun sentuhan itu hanya berlaku sedetik sahaja, adalah membatalkan wudhu’ walaupun lelaki itu adalah seseorang yang tidak cenderung atau sudah tidak memiliki nafsu terhadap perempuan, umpamanya lelaki yang tidak memiliki alat kelamin atau bijinya atau kedua-duanya sekali atau sudah putus alat kelaminnya dan sebagainya.
Begitu juga bersentuhan kulit di antara lelaki dengan perempuan yang pada kebiasaannya tidak lagi membangkitkan syahwat, umpamanya perempuan tua atau hodoh, tetap membatalkan wudhu’.
Beberapa Permasalahan Lain Tentang Perkara Bersentuhan Kulit di Antara Lelaki dan Perempuan
Selain permasalahan yang telah disebutkan sebelum ini, terdapat beberapa permasalahan lain yang penting untuk diketahui berkaitan perkara bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan ini. Antaranya:
1. Bersentuh kulit dengan orang yang tidak diketahui adakah mahram atau ajnabiy.
Menurut Syeikh ad-Darimi Rahimahullâh, sekiranya seorang lelaki itu tidak pasti adakah perempuan itu mahramnya ataupun bukan, sebagai contoh, dia tidak pasti adakah perempuan itu saudara susuannya ataupun bukan, ataupun dia menganggap perempuan itu mahramnya berdasarkan sangkaannya semata-mata, sekiranya tersentuh kulit di antara mereka maka yang demikian itu tidak membatalkan wudhu’ kedua-duanya kerana menurut hukum asal dia masih dikira kekal dalam thahârah.
2. Bersentuh kulit sesama mahram dengan syahwat.
Tidak batal wudhu’ seorang lelaki yang menyentuh perempuan mahramnya begitu juga tidak batal wudhu’ perempuan yang menyentuh mahram lelakinya walaupun sentuhan itu diiringi syahwat. Ini kerana menurut ulama, menyentuh mahram pada kebiasaannya tidak akan menimbulkan syahwat.
Demikian beberapa penjelasan tentang kesan bersentuhan kulit di antara lelaki dengan perempuan terhadap wudhu’. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu memantapkan lagi ilmu kita khususnya dalam mengetahui perkara-perkara yang membatalkan dan tidak membatalkan wudhu’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14827
دليل الألوان
