Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Bolehkah Berwakil Pada Perkara Ibadat?

الجواب

Seseorang mewakilkan orang lain untuk menguruskan urusannya kerana sibuk atau kerana tiada kemahiran dalam perkara tersebut atau kerana tidak dapat keluar/hadir untuk berurusan adalah perkara biasa yang sering terjadi terutama apabila melibatkan perkara muamalat seperti mewakilkan seseorang untuk urusan jual beli. Sebagai contoh, tidak sedikit orang yang menggunakan khidmat wakil dalam urusan jualan sama ada jualan dilakukan secara direct selling atau online dan tidak sedikit juga orang yang menggunakan khidmat institusi tertentu bagi menguruskan kewangan mereka seperti mewakilkan pihak bank untuk urusan pemindahan wang, pelaburan atau seumpamanya.

Wakâlah atau perwakilan termasuk salah satu muamalat yang diperbolehkan untuk dilakukan oleh umat Islam. Namun adakah semua perkara atau urusan boleh untuk diwakilkan, termasuk perkara yang berkaitan dengan ibadat?

Dalil Pensyariatan Wakâlah

Wakâlah bermaksud penyerahan kekuasaan oleh seseorang kepada orang lain dalam hal-hal yang boleh diwakilkan pelaksanaannya, agar dilaksanakan pada waktu hidupnya (orang yang berwakil).

Ulama sepakat mengatakan tentang pengharusan wakâlah pada perkara-perkara tertentu. Terdapat dalil daripada kitab al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menunjukkan tentang pensyariatan wakâlah dalam perkara-perkara tertentu. Antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan jika kamu takut persengketaan (yang berterusan) antara kedua-duanya (suami isteri), maka lantiklah hakam (orang tengah yang adil untuk mendamaikan mereka), seorang daripada keluarga suami dan seorang daripada keluarga isteri. Jika kedua-dua hakam itu hendak mendamaikan, nescaya Allah akan memberikan taufîq kepada kedua-duanya (sama ada berbaik-baik semula ataupun bercerai). Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti. (Surah an-Nisâ’: 35)

Dalam sebuah hadits daripada sahabat, ‘Urwah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memberikannya satu dinar untuk dia membeli seekor kambing. Lantas dia membeli dua ekor kambing dan menjual salah seekor kambing tersebut dengan harga satu dinar. Kemudian dia memberikan satu dinar dan kambing tersebut kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Lalu Baginda mendo‘akannya dengan keberkatan dalam urusan jual belinya. Hadits ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullâh.

Apakah Perkara atau Urusan yang Boleh Diwakilkan

Rukun wakâlah ada 4, iaitu:

1. Muwakkil (orang yang mewakilkan).

2. Wakîl.

3. Muwakkal fîh (perkara yang diwakilkan).

4. Shighah (lafaz îjâb dan qabûl).

Untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara atau urusan itu boleh diwakilkan kepada orang lain yang layak untuk dilantik sebagai wakil, maka perkara atau urusan tersebut perlu menepati syarat yang ditentukan oleh syara‘. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Hendaklah perkara atau barang tersebut milik atau kepunyaan orang yang mewakilkan ketika perwakilan.

Oleh itu tidak sah perwakilan jika seseorang mewakilkan perkara yang belum dimilikinya. Sebagai contoh, mewakilkan kepada kawan untuk menjual barang yang akan dimilikinya atau mewakilkan kepada seseorang untuk menjatuhkan thalak bagi perempuan yang belum dinikahinya.

2. Hendaklah pengurusan perkara tersebut boleh diganti oleh orang lain (wakil) untuk melakukannya. Ini kerana maksud perwakilan adalah penggantian. Oleh itu tidak sah mewakilkan perkara seperti sembahyang, sumpah, kesaksian dan yang seumpamanya.

3. Hendaklah sesuatu yang diwakilkan itu jelas diketahui oleh wakil pada beberapa sudut bagi mengurangkan berlakunya gharar (tidak jelas).

Oleh itu, tidak sah perwakilan ke atas sesuatu perkara yang samar. Sebagai contoh, orang yang mewakilkan berkata kepada wakil: “Aku mewakilkan kamu pada setiap urusanku” atau “tuan saya lantik menjadi wakil saya, maka uruskan sebagaimana yang tuan kehendaki.”

Namun tidak pula disyaratkan ke atas wakil untuk dia mengetahui semua sudut perkara yang diwakilkan, hanya memadai pada sebahagian sahaja. Bolehkah Perkara Ibadat Diwakilkan?

Menyentuh hukum wakâlah atau perwakilan berkaitan perkara ibadat, para ulama membahagikannya kepada tiga:

1. Tidak boleh berwakil/mewakilkan pelaksanaan ibadat badaniyyah (ibadat yang mesti dilaksanakan dengan tubuh badan semata-mata) kepada orang lain, seperti mewakilkan ibadat sembahyang, puasa, bersuci daripada hadats seperti wudhu’ atau mandi kerana hadats besar kepada orang lain. Ini kerana tujuan disyariatkan ibadat badaniyyah ini adalah sebagai ujian atau dugaan kepada yang empunya badan yang mesti dilaksanakan dengan usaha dirinya dan ia tidak akan berlaku jika dilaksanakan oleh orang lain.

2. Dibolehkan berwakil dalam melaksanakan ibadat mâliyyah (ibadat yang berkaitan harta) seperti berwakil dalam mengeluarkan atau pembahagian zakat mahupun sedekah, berwakil melaksanakan kaffârah (denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu ketentuan syara‘ yang mengakibatkan dosa seperti memberi makan orang miskin atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin), berwakil melaksanakan ibadat korban atau aqiqah dan yang selainnya berbentuk ibadat harta.

3. Ibadat badaniyyah dan mâliyyah, seperti ibadat haji dan umrah. Ibadat yang termasuk dalam kategori ini tidak boleh diwakilkan jika seseorang itu berkuasa atau mempunyai keupayaan untuk melakukannya sendiri. Namun jika dia tidak berupaya untuk melaksanakan ibadat tersebut, maka pelaksanaannya boleh diwakilkan kepada orang lain.

Selain daripada ibadat badaniyyah yang tersebut di atas, terdapat lagi beberapa perkara yang tidak boleh diwakilkan, antaranya ialah mengenai perkara kesaksian. Tidak boleh mewakilkan urusan kesaksiankepada orang lain kerana kesaksian berkaitan dengan perkhabaran yang diperolehi sama ada melalui penglihatan saksi itu sendiri atau yang didengar sendiri oleh saksi. Begitu juga halnya dengan perkara nazar dan sumpah termasuk ‘ilâ’ (lafaz sumpah suami yang ditujukan kepada isterinya bahawa dia tidak akan menyetubuhinya selama waktu tertentu) dan li‘ân (kalimat tertentu yang dijadikan hujah untuk menuduh isteri melakukan zina dan mengaibkan isteri atau menafikan nasab anak kepadanya). Ini kerana penerimaan lafaz sumpah adalah berkaitan dengan lafaz orang yang bersumpah yang mana hanya dirinya sahaja mengetahui kebenaran lafaz tersebut.

Sebagai kesimpulan, Islam mengharuskan wakâlah bagi memudahkan seorang yang mempunyai kesukaran melakukan perkara atau urusan yang hendak diselesaikan atau disegerakan dengan menyerahkan kepada wakil untuk menguruskannya. Namun terdapat syarat yang perlu diperhatikan sebelum urusan diserahkan kepada wakil seperti syarat yang berkaitan dengan perkara yang hendak diwakilkan.

Syarat bagi perkara yang diwakilkan itu pula antaranya ialah perkara tersebut boleh diserahkan kepada orang lain (wakil) untuk menguruskannya atau melaksanakannya seperti perkara jual beli, gadaian, simpanan dan yang seumpamanya. Keharusan wakâlah pula tidak berlaku pada perkara yang menyangkut ibadat badaniyyah kecuali dalam ibadat yang tertentu sahaja seperti mana yang dijelaskan tadi. Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati tentang perkara yang dibenarkan untuk diwakilkan dan meneliti sebelum melaksanakan perwakilan ini, tidak kira sama ada kita terdiri daripada pihak yang akan mewakilkan kepada orang lain atau kita adalah pihak yang mewakili orang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-14931

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص