FAHAMAN, AJARAN, PEGANGAN ATAU AMALAN GLOBAL IKHWAN SERVICESAND BUSINESS HOLDINGS SDN. BHD. (GISBH) DANRANGKAIANNYA
Sel. P.U. 31. 16hb Oktober 2024
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47
MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1 tahun 2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan pernyataan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual sebagai fatwa dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.
JADUAL
FAHAMAN, AJARAN, PEGANGAN ATAU AMALAN GLOBAL IKHWAN SERVICES AND BUSINESS HOLDINGS SDN. BHD. (GISBH) DAN RANGKAIANNYA
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2024 yang bersidang pada 30 September 2024 bersamaan 26 Rabiulawal 1446H telah membincangkan mengenai fahaman, ajaran, pegangan atau amalan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan rangkaiannya dan mesyuarat memutuskan seperti yang berikut:
1. Mesyuarat berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung yang dibawa oleh kumpulan Darul Arqam yang telah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut Fatwa yang disiarkan melalui Warta No. 54 pada 4 Februari 1993.
2. Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya mempunyai elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat seperti yang berikut:
(a) dari aspek akidah, mengandungi elemen yang berikut:
(i) mendakwa bahawa As-Sheikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi;
(ii) mendakwa bahawa Ashaari bin Muhammad iaitu pemimpin Darul Arqam adalah pemuda Bani Tamim yang akan muncul bersama Imam Mahdi iaitu As-Sheikh Muhammad As-Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman;
(iii) mendakwa bahawa Ashaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya; dan
(iv) mempercayai bahawa rambut, janggut, darah bekam atau anggota lain pemimpin GISBH termasuk air rendaman atau air basuhannya dan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISBH seperti tisu, kain dan selainnya mempunyai berkat; dan
(b) dari aspek syariat, mengandungi elemen yang berikut:
(i) mengeksploitasi ekonomi ma‘ash (saraan atau keperluan hidup ahli) dengan menerapkan unsur perhambaan antaranya GISBH dan rangkaiannya hanya menyediakan keperluan asas seperti makan, minum dan tempat tinggal untuk pengikut atau pekerjanya dan mereka dikehendaki berkhidmat atau bekerja tanpa sebarang upah di samping GISBH dan rangkaiannya memperkaya golongan atasan;
(ii) memisahkan ahli keluarga sama ada antara suami dan isteri atau ibu bapa dan anak; dan
(iii) mengeksploitasi kanak-kanak.
3. Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baharu yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
4. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk—
(a) beramal atau berpegang dengan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya;
(b) menjadi pengikut kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya;
(c) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya;
(d) mengajar, menyebarkan, mengembangkan atau menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya;
(e) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya;
(f) memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan yang menonjolkan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa-apa bentuk termasuk filem, rakaman video atau audio, penulisan, akhbar, risalah, buku, majalah atau lain-lain bentuk penulisan;
(g) menganjur, menyokong, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian, majlis atau aktiviti yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya melalui pertubuhan, persatuan, syarikat, rumah amal, pusat jagaan atau badan lain; dan
(h) memberi apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana orang atau pertubuhan, persatuan, syarikat, rumah amal, pusat jagaan atau badan lain untuk tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini atau apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.
5. Mana-mana orang Islam yang telah menyertai atau mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.
6. Mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini wajib dipulihkan oleh pihak berwajib yang berkaitan.
Bertarikh 14 Oktober 2024
[MAIS/BUU/600-6/1/44;P.U. Sel (ADV) PS. 05/4/12]
Dengan Titah Perintah
DATO’ SE TIA PR OF. MADYA DR. HAJ I ANHAR B IN HAJ I OPIR Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor
المصدر: Jabatan Mufti Negeri Selangor· رقم selangor-9576
