Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾العقيدة

Fatwa Berkenaan Ajaran Millah Abraham@Ibrahim

AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34

MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34

PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

FATWA BERKENAAN DENGAN PELATIHAN SOLAT KHUSYUK DAN SEUMPAMANYA

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 yang bersidang pada 30 November 2016 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Pelatihan Solat Khusyuk dan Seumpamanya. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:

1. Amalan dan ajaran pelatihan solat khusyuk yang dibawa oleh Abu Sangkan atau apa-apa amalan dan ajaran seumpamanya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. Ciri-ciri penyelewengannya adalah seperti yang berikut:

(a) menyamakan solat dengan konsep meditasi transendental sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fatwa di bawah Seksyen 41 yang disiarkan dalam P.U. (B) 653/1987 pada 10 Disember 1987;

(b) mendakwa bahawa roh ialah al-Quran sejati yang tidak tertulis dengan tinta dan tidak berupa suara;

(c) mendakwa bahawa cahaya batin (Nur Fuad) kembali bertemu dengan cahaya Allah (Nurullah), iaitu konsep manusia bersatu dengan Allah SWT;

(d) menyamakan matlamat solat dengan konsep moksha, iaitu penyatuan manusia dengan tuhan dalam agama Hindu;

(e) menyamakan solat dengan yoga;

(f) menyalahtafsirkan petikan sebahagian daripada ayat 43 surah an-Nisa’ “la taqrabussolah” (...ال تقربوا الصالة... ), iaitu mendakwa bahawa solat tidak boleh didirikan tanpa khusyuk;

(g) menyalahtafsirkan petikan sebahagian daripada ayat 46 surah al-Baqarah “allazina yazunnuna annahum mulaqu rabbihim” (ربهم ملقوا انهم يظنون الذين), iaitu mendakwa bahawa ayat ini menjadi keterangan bahawa pertemuan dengan Allah SWT itu boleh berlaku ketika seseorang hidup di dunia melalui solat dan bukan selepas meninggal dunia. Tafsiran yang mengatakan bahawa seseorang hanya akan bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak didakwa sebagai tidak masuk akal;

(h) mempersendakan hukum-hakam fiqh dalam pelaksanaan solat;

(i) menyamakan pergerakan dalam solat dengan senaman; dan (j) mendakwa bahawa tiada hujah yang mengatakan terdapat perbezaan cara rukuk dan sujud antara lelaki dengan wanita.

2. Mana-mana orang hendaklah menjauhi amalan dan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan dilarang daripada berpegang pada, mempercayai, menyebarkan atau mengamalkannya. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, menyebarkan atau mengamalkan amalan dan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 hendaklah bertaubat.

3. Mana-mana orang adalah dilarang daripada memiliki, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa jua bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, rakaman, audio visual, laman sesawang atau media cetak atau elektronik yang mengandungi ciri-ciri amalan dan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.

4. Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan 2 dan 3.

FATWA BERKENAAN DENGAN JIHAD DI SYRIA

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 yang bersidang pada 30 November 2016 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Jihad di Syria. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:

1. Penglibatan mana-mana orang untuk berjihad (dengan mengangkat senjata atau berperang) di Syria adalah haram.

2. Mana-mana orang yang berjihad di Syria tidak dikategorikan sebagai mati syahid jika dia meninggal dunia kerana— (a) dia tidak mengikut cara berjihad dalam Islam terutama sekali apabila dia menyertai kumpulan militan yang digelar sebagai ISIL (Islamic State of Iraq and the Levant) atau IS (Islamic State); dan

(b) jihad di Syria adalah jihad yang meragukan kerana keadaan dan situasi yang tidak menentu di Syria serta tiada manfaat untuk mengangkat senjata bagi orang luar.

3. Perkara mengenai jihad hendaklah diputuskan oleh pemerintah atau pemimpin negara.

4. Mana-mana orang adalah dilarang daripada berjihad di Syria atau bersubahat untuk berjihad di Syria.

FATWA BERKENAAN DENGAN AJARAN MILLAH ABRAHAM@IBRAHIM

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 yang bersidang pada 30 November 2016 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Ajaran Millah Abraham@Ibrahim. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:

1. Ajaran Millah Abraham@Ibrahim adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. Ciri-ciri penyelewengannya adalah seperti yang berikut:

(a) membawa ajaran dan kerajaan Islam baru atas nama Millah Abraham @Ibrahim;

(b) mendakwa bahawa ada rasul selepas Rasulullah SAW;

(c) mendakwa bahawa orang yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham@Ibrahim adalah syirik;

(d) menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;

(e) menyalahertikan maksud kiamat, iaitu menyatakan bahawa kiamat bukan bermaksud berlakunya kemusnahan seluruh alam tetapi dengan tertubuhnya kerajaan baharu yang dikenali sebagai kerajaan Millah Abraham@Ibrahim;

(f) mentafsir ayat al-Quran mengikut lojik dan bebas mentakwil mengikut kehendak masing-masing; atau

(g) menafikan kefardhuan solat lima waktu.

2. Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran Millah Abraham@Ibrahim sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan dilarang daripada berpegang pada, mempercayai, menyebarkan atau mengamalkannya. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, menyebarkan atau mengamalkan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 hendaklah bertaubat.

3. Mana-mana orang adalah dilarang daripada memiliki, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan, atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah filem, audio visual, rakaman, laman sesawang atau media cetak atau elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.

4. Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan 2 dan 3.

Bertarikh 22 Disember 2016 Dated 22 December 2016 [PMWP/100/20 Klt. 2; PN(PU2)530/XI]

DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI Mufti Wilayah-WilayahPersekutuan/ Mufti for the Federal Territories

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2016-4c05e60a