Cadangan Pindaan Tafsiran Asnaf-Asnaf
KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
3/51/1999 13 MAC 1999
CADANGAN PINDAAN TAFSIRAN ASNAF-ASNAF
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke 51/1999 yang bersidang pada 13 Mac 1999 telah memutuskan bahawa:
Tafsiran yang dipersetujui untuk dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Akta Zakat dan Fitrah (Wilayah Persekutuan) 1999 adalah seperti berikut:
1. Fakir: Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai lima puluh peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai lima puluh peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungannya.
2. Miskin:
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung keperluan orang-orang tanggungannya.
3. Amil:
Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk urusan pemotongan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
4. Muallaf: Mereka yang dijinakkan hatinya atau yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya). Ia dibahagiakan kepada dua: i. Baragama Islam (a) Baru memeluk agama Islam. (b) Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya. (c) Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi ditaati oleh orang-orang di bawah pimpinannya. (d) Orang-orang yang tinggal diperbatasan yang berhampiran dengan negara musuh. ii. Bukan Beragama Islam (a) Boleh dipujuk sampai masuk Islam. (b) Boleh dipujuk sampai tidak merbahaya kepada orang-orang Islam. 5. Ar-Riqab: Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu. 6. Al-Gharimin: Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak. 7. Fi Sabilillah: Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
8. Ibn Sabil:
Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh hukum syarak dari mana-mana jua negara atau negara yang memerlukan bantuan.
Bertarikh 13 Mac 1999 MJKPHSWP Kali ke 51/1999
DATUK HAJI MD. HASHIM BIN HAJI YAHYA Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1999-d0520b8a
