AL-KAFI#262 : BARANG HILANG DI MASJID
Soalan: Assalamualaikum wbt,
Apakah hukum mencari barang hilang di masjid?
Mohon pencerahan.
Jawapan: Waalaikumussalam wbt,
Larangan mewar-warkan carian barang hilang di dalam masjid sememangnya terdapat nas dalam hadith Nabi SAW:
مَنْ سَمِعَ رَجُلًا يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ لَا رَدَّهَا اللهُ عَلَيْكَ فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا
Maksudnya: Barangsiapa yang mendengar seorang lelaki meminta-minta barangnya yang hilang di masjid, maka katakanlah kepadanya,"Semoga Allah tidak memulangkan barang itu kepada-Mu." Ini kerana sesungguhnya masjid-masjid itu tidak dibina atas tujuan ini.
Riwayat Muslim (568), Ibn Majah (1321), al-Tirmidzi (767), al-Tabarani (480) dan al-Hakim (2339).
Syeikh Muhammad al-Zuhaili, saudara kepada Syeikh Wahbah al-Zuhaili, menulis dalam kitab Mausu’ah Qadhaya Islamiyyah Mu’asarah beberapa fungsi masjid antaranya tempat bagi orang bersolat dan berzikir, melaksanakan syura, tolong-menolong pada peringkat masyarakat (takaful al-ijtimai’e), dan medan percambahan ilmu.
Tidak disebut pula fungsi masjid sebagai tempat mencari barang hilang. Juga bagi orang menjumpai barang hilang, dia juga tidak perlu mengangkat suara untuk mewar-warkan barang yang hilang di masjid. Kami cadangkan cukup agar diwar-warkan dengan cara tulisan dipaparkan di papan kenyataan. Sebutkan jenis barang yang hilang dan jika ada orang yang menuntut, minta si pencari itu nyatakan sifat barang yang sebelum diserahkan.
Wallahua’lam.
المصدر: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan· رقم kafi-1279
