Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾الزكاة والصدقات٠ مشاهدة

GOLONGAN MISKIN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

الجواب

SOALAN 66 (27 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 14/07/2015)

Siapakah dia golongan miskin yang berhak menerima zakat?

JAWAPAN

Golongan miskin ialah sekurang-kurangnya dapat menjamin keperluan hidup dan keluarga mereka. Hal ini menjadi kewajipan kepada pemerintah, kerajaan dan orang kaya untuk mencukupkan dan menjamin keperluan mereka seperti pendapat Imam Haramain al-Juwaini.

Menurut al-Qurtubi, para ulama bahasa dan feqah telah berselisih pendapat tentang perbezaan antara fakir dan miskin kepada sembilan pendapat, iaitu:

Ya’kub bin al-Sikkit, al-Qutabi dan Yunus bin Habib menyatakan bahawa fakir lebih baik keadaannya daripada miskin. Ini juga pendapat sebahagian ahli bahasa dan ahli hadith, antaranya Abu Hanifah dan Qadhi Abdul Wahab.

Sebahagian ulama pula menyatakan sebaliknya, iaitu miskin lebih baik keadaannya dari fakir. Ini merupakan pendapat al-Asmu’ie, ulama Kufah dan salah satu pendapat Syafie dan sahabat-sahabatnya.

Syafie pada satu lagi pendapatnya menyatakan bahawa fakir dan miskin adalah sama, iaitu tiada beza antara keduanya dan dari segi makna walaupun berbeza dari segi nama. Ini juga pendapat al-Qasimi, Abu Yusuf dan semua sahabat Malik.

Malik pula menyatakan bahawa fakir adalah orang yang berhajat dan tidak meminta-minta, sedangkan miskin adalah orang yang meminta-minta. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas, al-Zuhri dan dipilih oleh Ibn Sya’ban.

Muhammad bin Musallamah berpendapat bahawa fakir ialah orang yang mempunyai tempat tinggal dan khadam, manakala miskin pula ialah orang yang tidak mempunyai harta.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa orang fakir ialah golongan muhajirin dan miskin pula ialah orang badwi yang tidak berhijrah. Pendapat ini juga turut dikongsi oleh al-Dahhak.

Ubaidillah bin al-Hasan berpendapat bahawa miskin ialah orang yang khusyuk dan tenang walaupun tidak meminta-minta. Manakala fakir pula ialah orang yang boleh menanggung kesusahan, menerima sesuatu dalam keadaan tersembunyi dan tidak khusyuk.

Mujahid, Ikrimah dan Zuhri pula menyatakan bahawa miskin ialah orang yang mengelilingi dan mencari sesuatu. Fakir pula ialah orang-orang fakir dalam kalangan umat Islam.

Ikrimah pula berpendapat bahawa fakir ialah fuqara’ dalam kalangan orang Islam, manakala miskin ialah fuqara’ dalam kalangan ahli kitab.

المصدر: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan· رقم irsyad-1937

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص