Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bersalaman Di Antara Lelaki Dan Perempuan Yang Bukan Mahram

Soalan: Ada setengah orang, apabila ziarah rumah saudara mara bersalaman dengan berjebat tangan dianggap sudah menjadi adat, budi bahasa dan perkara biasa. Kalau tidak dilakukan kita dianggap sombong tidak berbudi bahasa dan melanggar adat. Bolehkah diterima perbuatan dan anggapan seperti itu?

Jawapan: Adalah sunat berjabat tangan di antara dua lelaki (sesama lelaki) dan di antara dua orang perempuan (sesama perempuan). Tetapi haram lelaki asing menyentuh dan berjabat tangan dengan perempuan dengan tiada berlapik. Kecuali menyentuh itu ketika berubat, itu pun sekadar hajat dan sekadar yang mustahak sahaja.

Ada pendapat mengatakan, bahawa berjabat orang perempuan dengan raja lelaki atau sebaliknya berjabat orang lelaki dengan raja perempuan itu membawa rapat dan mesra serta taat setia rakyat kepada raja itu.

Pendapat ini silap, kerana perkara kasih mesra dan taat setia itu ialah perkara yang baik, yang dituntut oleh ugama terhadap sesama Islam dan terhadap Uli Al-Amri atau Raja, sebagaimana yang disebut oleh Al-Qur’an dan hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sedangkan berjabat dan bersalaman oleh perempuan dan lelaki tiada berlapik itu ialah perkara haram, jadi bagaimanakah perkara haram yang ditegah oleh Allah dan berdosa melakukannya itu boleh membuahkan perkara yang baik iaitu kasih sayang dan taat setia?

Seperti juga satu lagi misalan yang lain, iaitu masalah makan minum yang haram adalah sama sekali tidak akan mendatangkan rahmat dan kebajikan, walaupun ianya mengenyangkan, sama seperti makan minum yang halal juga. Tetapi akibat dan hasilnya adalah berlainan. Orang yang makan dan minumnya halal doanya makbul diangkat oleh Allah dan pangkatnya amat tinggi di sisiNya, seperti yang berlaku kepada seorang yang bernama Uwais Al-Qarni, dia sungguh masyhur dan terkenal di langit walaupun di bumi tidak ramai yang mengenalinya.

Sila perhatikan hadits ini:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala itu elok, baik dan bersih, Dia tidak akan menerima melainkan yang elok, yang baik dan yang bersih sahaja.” (Hadits riwayat Muslim)

Ukuran elok, baik dan bersih di sini bukan ukuran akal dan pancaindera kita manusia tetapi ukuran dan timbangan syara‘.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menolak orang-orang perempuan yang hendak berjabat tangan dengan Baginda. Baginda sama sekali tidak berjabat tangan dengan orang-orang perempuan. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam mengikat perjanjian taat setia dengan orang-orang perempuan itu ialah dengan mulut yakni dengan perkataan sahaja, bukan dengan berjabat tangan.

Cubalah bayangkan dan baca sejarah, bahawa sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dari orang lelaki mahupun perempuan adalah amat cinta terhadap Baginda serta taat mengikut arahan dan perintah, dan sampailah ke hari ini pun kaum Muslimin dan tidak terkecuali juga kaum Muslimat, kecintaan dan ketaatan terhadap Baginda adalah tidak berubah, bahkan tetap subur dan menyala insya’ Allah sehingga Hari Kiamat. Padahal kita umat Islam sekarang, lelaki mahupun perempuan, tidak pernah bersemuka apatah lagi berjabat tangan dengan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam itu.

Adalah kasih sayang dan ketaatan itu merupakan urusan Allah Ta‘ala. Jika kita masing-masing berbuat taqwa mengikut titah perintah Allah dan melakukan amal salih, maka insya’ Allah, itulah sumber dan punca yang paling besar dan kekal kepada kasih sayang dan ketaatan itu.

Berkata Al-‘Allâmah Ibnu Taimiyyah yang dipetik oleh Al-‘Allâmah Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Awang Ismail bin Umar Abdul Aziz Rahimahullah, bekas Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam: “Orang-orang Islam sekarang, berjabat tangan dengan orang-orang perempuan adalah terikut-ikut adat resam orang Eropah dan mengikut adat resam orang kafir adalah haram dengan tujuan mengikut itu.”

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7459