Melarang Orang Dari Meminum Arak
Soalan: Sebagai orang Islam yang mempunyai kuasa (authority), wajibkah dia tidak membenarkan (melarang) minuman-minuman keras diadakan di majlis itu bagi melepaskan dirinya dari terlibat (bersubahat) dalam perbuatan itu?
Jawapan: Tuan yang bertanya juga bertanya mengenai syubhah, apakah ketua yang membenarkan atau tidak melarang orang bawahannya meminum arak itu terkena hukum syubhah ataupun tidak?
Perkara syubhah ini memang banyak dipertikaikan orang. Setengah orang tidak menggemarinya kerana tidak mahu terikat dengannya. Orang lebih senang menerima hukum yang putus, halal ataupun haram sahaja. Tetapi kita jangan lupa, adanya masalah syubhah yang duduk di tengah-tengah di antara halal dan haram itu, adalah suatu rahmat kepada manusia. Kerana ada masanya sesuatu itu tidak jelas hukumnya sama ada haram ataupun halal. Dan pada ketika inilah Islam menunjukkan suatu jalan keluar menyuruh berhati-hati dengan memilih jalan wara‘ kerana takutkan haram. Maka dengan yang demikian seseorang itu akan terselamat dari terjatuh kepada haram.
Demikian juga cara ini termasuk menutup pintu maksiat (Sadd Al-Dzarâ’i‘) iaitu suatu kaedah di dalam Islam.
Dasar pokok kaedah ini ialah sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berbunyi:
Maksudnya: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas. Di antara keduanya itu ada beberapa perkara yang masih samar belum jelas (syubhah), ramai orang yang tidak tahu apakah ia dari yang halal atau haram? Maka barangsiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan ugamanya dan kehormatannya, maka dia selamat. Dan barangsiapa yang melakukan sedikit pun daripadanya, hampir-hampir dia jatuh kepada haram, sebagaimana pengembala kambing berada di sekitar tempat larangan, hampir-hampir dia terjatuh masuk kepadanya. Ingatlah, bahawa tiap-tiap raja itu ada mempunyai kawasan larangannya. (Maka begitu juga) ingatlah, bahawa kawasan larangan Allah itu ialah setiap apa jua yang diharamkanNya.” (Hadits riwayat Tirmidzi)
Pengertian ahli lughah mengenai Syubhah bermakna samar, tidak jelas, serupa.
Al-Syubhah ialah nama dari Al-Isytibah iaitu yang berada di antara yang halal dan yang haram, atau di antara yang benar dan yang salah. Atau dikatakan juga sebagai:
Ertinya: “Perkara yang menyerupai tsabit tetapi bukan tsabit.”
Atau dalam kitab Al-Ta‘rîfât:
Ertinya: “Perkara yang belum diyakini keadaannya haram ataupun halal.” (Sila lihat Kitab Muhîth Al-Muhîth karangan Al-Bustani).
Dari takrif-takrif ini dapatlah pula menjelaskan dengan lebih terang lagi maksud dan tujuan hadits di atas. Jadi cubalah kiaskan mana-mana perkara atau perbuatan yang tidak disebut dengan tepat oleh hadits tentang beberapa golongan yang dilaknat kerana arak tadi, sekiranya terdapat perkara yang tidak jelas atau masih mendatangkan ragu, maka sayugialah kita ikut perintah syara‘ menjauhi syubhah itu. Jika dalam perkara orang lain berbuat dosa, maka kita hendaklah berhati-hati dengan cara menjauhkan diri dari apa jua cara atau keadaan yang memungkinkan kita terlibat dan bersubahat melakukannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7463
