Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Berpacar/Berinai

Soalan: Kaola dengan rasa rendah hati ingin penjelasan dari pihak Pehin yang arif mengenai apakah hukum berpacar/berinai bagi perempuan yang belum kahwin, seorang isteri dan lelaki seperti yang dilakukan pada malam berpacar?

Jawapan: Hukum berinai atau berpacar bagi perempuan yang tiada suami (belum kahwin/balu/suami musafir):

Berkata Imam Syafi‘e: “Saya menggalakkan perempuan supaya berinai untuk ihram.”

“Dan para ulama kita sepakat mengatakan bahawa berinai itu sunat bagi perempuan yang bertujuan untuk melakukan ihram.”

Berkata ulama kita: “Sama ada perempuan itu mempunyai suami atau tidak, kerana berinai itu memang sunat dengan sebab ingin melakukan ihram.” Maka dalam hal ini tidak ada perbezaan di antara perempuan yang bersuami dengan yang tidak bersuami.

Apabila perempuan bermaksud melakukan ihram dan jika dia mempunyai suami, maka adalah disunatkan baginya berinai pada bila-bila masa saja, kerana berinai itu adalah satu perhiasan dan kecantikan dan perempuan berkenaan disunatkan berhias dan bermolek-molek untuk suaminya pada setiap waktu.

Akan tetapi jika perempuan itu tidak mempunyai suami dan tidak pula dia bermaksud untuk melakukan ihram, maka adalah dimakruhkan baginya berinai tanpa ada sesuatu sebab uzur, kerana ditakuti timbul fitnah kepadanya atau kepada orang lain disebabkan dia memakai inai.

Kesemua perkara ini adalah disepakati ulama-ulama kita, termasuklah jua yang disepakati itu sunat berinai ketika hendak ihram bagi perempuan tua dan wanita muda.

Berkata ulama kita: “Sekiranya perempuan berkenaan memakai inai, hendaklah yang diinaikan itu hanya kedua-dua belah tangan sehingga pergelangan itu saja batas yang lazim yang zahir dari tangannya.”

Berkata ulama kita: “Perempuan berkenaan boleh menginaikan seluruh telapak tangan, dan jangan meletakkannya di hujung jari sahaja, jangan pula dibuat secara ukiran dan jangan dihitamkan.”

Berkata ulama kita: “Adalah disunatkan juga bagi perempuan ketika hendak berihram supaya menyapukan sedikit inai ke mukanya.”

Kata Imam Syafi‘e: “Hikmat menyapukan sedikit inai kemuka ini dan menginaikan telapak tangan, adalah untuk menutupi warna kulit, kerana (ketika ihram) perempuan disuruh membuka muka dan terkadang pula kedua telapak tangan akan terbuka.”

Berkata ulama kita: “Oleh kerana inai termasuk salah satu alat hiasan perempuan, maka disunatkan ia dipakai ketika hendak ihram, sama seperti memakai wangi-wangian dan menyikat rambut.”

Berkata ulama kita: “Adalah dimakruhkan perempuan berinai setelah masuk ihram, kerana berinai itu termasuk perhiasan.” Dan sebab memakai inai dimakruhkan bagi perempuan semasa ihram adalah kerana yang dituntut semasa ihram ialah berkeadaan kusut kemusut.

Berkata ulama kita: “Apabila perempuan memakai inai semasa dalam ihram dia tidak perlu membayar fidyah, kerana inai itu bukan wangi-wangian menurut pendapat kita.”

Adapun hukum lelaki berinai seperti yang dilakukan pada malam (majlis berpacar) adalah seperti berikut:

(i) Haram bagi lelaki berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangannya dan kakinya, kecuali pada ketika bersangatan hajat untuk berubat, sebagaimana yang dinashkan oleh Imam Syafi‘e dan para ashhabnya, dengan berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Salma, Khadim Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak mengadu kepada Baginda seseorang tentang sesuatu sakit, melainkan disuruhya orang itu supaya berbekam, dan tidak mengadu kepadanya seseorang tentang sakit kaki (pecah kulit), melainkan disuruhnya supaya dia berinai.”

(ii) Sunat berinai dengan daun inai atau sebagainya pada uban dan janggut, dengan warna merah atau kuning, tetapi haram dengan warna hitam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan supaya diwarnakan uban dan janggut dengan warna kuning atau merah, tetapi melarang daripada mewarnakan kedua-duanya dengan warna hitam seperti diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar, Abu Rimtsah dan Ibnu ‘Abbas: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wassalam menjelaskan: “Warna kuning adalah yang terbaik.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mewarnakan janggutnya dengan warna kuning, manakala hikmat dilarang daripada mewarnakan uban dan janggut dengan warna hitam ialah kerana untuk menyalahi kelakuan orang-orang Yahudi dan Nasrani (Keristian).

Dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan supaya mewarnakan uban dan janggut dengan warna kuning dan merah, tetapi melarang daripada mewarnakannya dengan warna hitam, bahkan memberi amaran terhadap orang yang mewarnakannya dengan warna hitam. Baginda bersabda:

Maksudnya: “Akan ada satu kumpulan orang berinai dengan warna hitam pada akhir zaman (seperti sekarang) seperti dada burung merpati yang hitam, mereka tidak dapat mencium bau syurga.” (Hadits riwayat Abu Daud dan lain-lain)

Bau syurga itu boleh dicium dari sejauh lima ratus tahun seperti dalam hadits yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7515