Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Berhutang Untuk Kahwin

Soalan: Adakah seorang berdosa, jika dia mengadakan majlis perkahwinan sedangkan dia tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan ini melainkan dengan berhutang?

Jawapan: Majlis perkahwinan yang baik ialah yang ringan perbelanjaannya yang tidak memberatkan dan menyusahkan, tidak bermewah-mewah dan tidak melebihi batas-batas yang diperlukan, dan tidak membawa kepada pembaziran, kerana pembaziran itu bertentangan dengan hukum syara‘.

Firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah Al-Isrâ’: 27)

Adapun megadakan majlis perkahwinan sehingga menanggung hutang itu tidaklah disuruh oleh agama, kerana risiko berhutang sangat tinggi, baik di dunia maupun di akhirat, lebih-lebih lagi jika berhutang itu dengan cara riba.

Banyak hadits yang memperkatakan tentang hutang dan orang yang berhutang di antaranya:

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya.” (Hadits riwayat Imam Malik)

Maksudnya: “Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar.” (Hadits riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Maksudnya: “Sesungguhnya Jibril melarang aku untuk menyembahyangkan orang yang menanggung hutang.” Selanjutnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang berhutang tertahan dalam kuburnya sehinggalah hutangnya itu dibayar.” (Hadits riwayat Thabarani)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7511