Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Hukum Bertambah Darah Atau Air Gelukos Ketika Berpuasa

Soalan: Sukacita kaola memohon fatwa berhubung dengan apakah hukum bertambah darah atau air di bulan puasa, adakah membatalkan puasa?

Jawapan: Hukum asal bagi orang yang sakit itu ialah harus berbuka puasa seperti firman Allah:

Tafsirnya: “Maka barangsiapa daripada kamu sakit atau berada dalam pelayaran (dan berbuka puasa) maka hendaklah mengqadhakannya pada hari yang lain (di bulan lain daripada Ramadhan).” (Surah Al-Baqarah: 184)

Tetapi jika sekiranya dia menanggung kesabaran untuk berpuasa sekalipun dia sakit dan memerlukan pemindahan darah kepadanya, maka dalam hal ini dengan memasukkan darah melalui urat besar ke dalam badan itu adalah membatalkan puasa kerana darah itu akan sampai ke rongga perutnya dan seterusnya ke jantungnya dan darah itu akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.

Begitulah juga halnya dengan menyuntikkan air seperti air gelukos bagi tujuan mengenyangkan adalah membatalkan puasa, kerana dalam hal ini ‘ain air itu pasti sampai ke perutnya, bahkan sampai ke perut panjangnya dan ma‘idahnya iaitu tempat memproses makanan. Maka sudah tentu perbuatan ini lebih utama pada membatalkan puasa daripada perbuatan menambah darah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7540