Hukum Memakai Kontek Lens Ketika Berpuasa
Soalan: Sukacita kaola memohon fatwa berhubung dengan hukum memakai kontek lens di bulan puasa dan memakai ubat titik mata?
Di atas penjelasan Yang Dimuliakan Pehin tidak lupa diucapkan ribuan terima kasih.
Jawapan: Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu dengan sengaja ke dalam rongga melalui lubang yang terbuka (manfadz maftûh). Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak seperti rongga otak, kerongkong, rongga hidung, batin telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang zakar dan lubang tempat keluar air susu (halamah).
Adapun mata tidak termasuk dalam apa yang dikatakan rongga itu.
Dari hal yang demikian, maka memakai kontek lens di pelopak mata ketika berpuasa itu tidak membatalkan puasa pemakainya. Adapun menitiskan titik mata pada mata ketika berpuasa juga tidak membatalkan puasa kecuali jika diyakini cecair yang dititikkan itu didapati bendanya (‘ainnya) masuk melalui lubang yang ada pada mata itu, dan sampai ke kerongkong, apabila ditelan benda itu batal puasa, tetapi jika diludahkannya tidaklah membatalkan puasanya. Jika yang sampai ke kerongkong itu hanya rasanya bukan benda cecair itu, jika ditelan tidak membatalkan puasanya, kerana rasa itu tidak dinamakan ‘ain. Hal ini diambil daripada pembicaraan ulama tentang hukum memakai celak mata ketika berpuasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7544
