Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Melanggan Di Bank Biasa Atas Dasar Bantuan

Soalan: Bank biasa telah memberi kemudahan pinjaman kewangan kepada kaola sebelum wujudnya Bank Islam Brunei Berhad (I.B.B.), yang kini tidak dapat mengambil alih langganan bank kaola. Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam inginkan sistem kewangan hukum syara‘. Dalam keadaan yang ada, kaola telah difahami, syara‘ membolehkan muslim terus melanggan dengan bank biasa atas dasar bantuan sehingga bank secara Islam berupaya membantu.

Jawapan: Biasanya sesuatu yang haram memulakannya, haramlah juga meneruskannya. Kontrak pinjaman dengan faedah adalah terlibat dengan riba yang diharamkan oleh Allah dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Riba seperti mana haram memulakannya, haram juga meneruskannya.

Walau bagaimanapun, semasa tiada bank Islam adalah sukar bagi orang-orang Islam untuk mendapatkan kemudahan pinjaman besar-besaran tanpa faedah daripada pihak yang tidak mengamalkan riba. Kerana itu ada rukhshah (kelonggaran) kepada mereka untuk mendapatkan pinjaman daripada bank-bank biasa yang mengamalkan sistem riba dalam keadaan-keadaan tertentu itu.

Tetapi apabila bank Islam ditubuhkan dalam negara Islam, maka terdapatlah kemudahan kepada mereka untuk tidak lagi melakukan pinjaman berdasarkan sistem riba itu.

Ketika ini semua orang Islam bertanggungjawab untuk berlanggan dengan bank Islam supaya mereka terlepas daripada belenggu riba dan supaya dapat mengukuhkan kedudukan bank Islam yang ditubuhkan bagi faedah dan kepentingan masyarakat Islam, bahkan masyarakat seluruhnya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ke atas setiap pihak yang telah terikat dengan pinjaman yang terlibat dengan riba sejak sebelum penubuhan bank Islam, supaya mengambil langkah agar dapat berpindah dengan pinjamannya itu atau baki pinjamannya itu ke bank Islam, dengan apa jua cara yang boleh.

Dalam kes ada kesukaran untuk berpindah seperti yang dijelaskan oleh penanya, maka Islam tidaklah memberatkan umatnya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukannya, seperti firman Allah:

Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Oleh yang demikian, dan seperti mana yang jelas daripada pertanyaan penanya, bahawa Bank Islam Brunei tidak dapat menerima penanya untuk berpindah dengan pinjamannya atau baki pinjamannya sehingga bank itu berupaya membantu, dan berdasarkan kepada niat dan tindakan yang ikhlas yang telah dibuat untuk melepaskan dirinya daripada riba, tetapi tidak berjaya kerana kelemahan bank Islam itu, maka di sini gugur tuntutan syara‘ ke atasnya sebagaimana berdasarkan ayat di atas.

Tetapi bagaimanapun, penanya tidak boleh berputus asa, bahkan perlu mencari jalan lain yang boleh menyegerakan pembebasan dirinya daripada sistem riba atau kesan riba yang sedang dialaminya itu. Di antaranya melalui tindakan segera - jika mampu - melunaskan baki pinjaman itu agar tidak tertanggung dengan bakinya ke atas dirinya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7584