Mengeluarkan Zakat Melalui T.A.I.B.
Soalan: Kaola menyimpan wang berdasarkan Mudharabah dengan Tabung Amanah Islam Brunei (T.A.I.B). Zakat dipotong dua bulan dari penyimpanan, kiranya perniagaan Mudharabah belum dilaksanakan. Simpanan menjadi susut. Pada dasarnya jika (T.A.I.B) untung, wang simpanan tidak sepatutnya susut. Kaola difahamkan pengeluar zakat perlu tahu pembahagian zakat supaya berkat. Adakah pegawai-pegawai (T.A.I.B) diiktiraf sebagai amil.
Jawapan: Zakat syarikat perniagaan atau institusi kewangan adalah wajib, sama seperti zakat seseorang individu yang berniaga. Individu yang berniaga akan mengeluarkan zakat perniagaannya sendiri dan menyerahkan (membayar) secara langsung kepada amil yang bertauliah. Demikian juga syarikat perniagaan atau institusi kewangan akan mengeluarkan zakatnya dan menyerahkannya (membayar) kepada amil yang bertauliah.
Walau bagaimanapun syarikat atau institusi kewangan menjalankan segala urusannya melalui kakitangannya. Jadi yang mengeluarkan zakat syarikat atau institusi kewangan ialah kakitangan atau pegawai yang ditugaskan untuk menjalankan kerja ini (mengeluarkan zakat dan membayarkannya kepada amil yang bertauliah).
Oleh yang demikian, maka pegawai atau kakitangan (T.A.I.B) tersebut bukanlah amil yang menerima zakat, bahkan pegawai yang menjalankan tugas bagi pihak syarikat atau institusi kewangan sahaja.
Dipotong Dua Bulan Sebagai Zakat Daripada Simpanan Sebelum Kiraan Perniagaan Dilaksanakan
Biasanya sesuatu zakat dibuat pembayarannya selepas satu proses dikenali sebagai “Penaksiran”. Melalui penaksiran, akan dapat diketahui berapa banyak zakat yang kena bayar.
Bagi zakat perniagaan, sama ada individu, syarikat atau institusi kewangan, penaksirannya melibatkan pengiraan untung rugi yang hanya dapat diketahui melalui kunci kira-kira, kerana zakat perniagaan diwajibkan ke atas jumlah modal semasa dan keuntungan bersih.
Oleh yang demikian, sekiranya dikeluarkan zakat terlebih dahulu daripada kunci kira-kira, maka kadar yang dikeluarkan itu bukan merupakan kadar wajib yang sebenarnya, bahkan “Pendahuluan” sahaja.
Jadi apabila selesai dibuat kunci kira-kira, barulah boleh diketahui kadar zakat yang wajib dengan sebenarnya.
Ini bererti, pihak yang mengeluarkan zakat sebelum kunci kira-kira, perlu sekali lagi mendapatkan “kadar zakat yang sebenarnya”.
Berikutnya dapatlah diketahui sama ada kadar yang telah dikeluarkan dahulu itu mencukupi “kadar wajib” atau tidak. Di sini perlu ditambah jika kurang, tetapi jika terlebih bayar, maka berkewajipan menarik balik, kecuali jika dipersetujui oleh para pemegang saham atau menyimpan untuk dijadikan “zakat pendahuluan” untuk tahun depan ataupun “sedekah biasa”.
“Zakat pendahuluan” yang bererti membayar zakat terlebih dahulu atau lebih segera daripada masa wajibnya iaitu haulnya atau satu Syawal bagi fitrah, adalah harus dan sah menurut Mazhab Syafi‘e.
Simpanan Susut Sedangkan (T.A.I.B) Beroleh Keuntungan
Ini suatu perkara yang memang benar menimbulkan pertanyaan. Mengapa boleh berlaku simpanan susut sedangkan (T.A.I.B) beroleh keuntungan?
Apabila berlaku begini, maka adalah perlu bagi para pemegang saham dan penyimpan (T.A.I.B) mendapatkan penjelasan daripada pegawai (T.A.I.B), bagaimanakah pengiraan zakat dibuat sehingga boleh menyebabkan kesusutan terhadap simpanan. Adakah zakat simpanan dikira secara berasingan daripada zakat (T.A.I.B) atau bersekali (T.A.I.B) dengan simpanan sebagai satu institusi kewangan yang mencantumkan segala harta yang berada di dalam pegangannya?
Pengiraan zakat syarikat atau institusi kewangan yang dibuat atas dasar bersekali, tanpa diasing-asingkan di antara harta syarikat atau institusi kewangan dan harta para pemegang saham atau penyimpan adalah yang sesuai dengan Mazhab Syafi‘e berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jangan dicantumkan di antara harta-harta yang sedang berasingan dan jangan pula memecah-mecahkan (atau mengasingkan) di antara harta yang berkumpul, kerana takutkan (kena bayar banyak atau sedikit) zakat.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Hadits ini melarang kedua-dua pihak: Pembayar dan amil, daripada berbuat demikian, dengan tujuan masing-masing. Pembayar dilarang daripada berbuat demikian dengan tujuan supaya tidak kena bayar banyak (tujuan mengelakkan zakat).
Manakala amil dilarang daripada berbuat demikian dengan tujuan supaya dapat memungut zakat lebih banyak, kerana jika tidak dicantumkan atau tidak diasing-asingkan, zakat hanya sedikit sahaja boleh dipunggut, lalu dicantumkan atau diasingkan. Perbuatan ini adalah haram.
Dengan ini jika (T.A.I.B) membayar zakat hartanya bersekali dengan simpanan pelanggannya adalah harus dan sah. Tetapi jika diasing-asingkan pengiraan zakatnya di antara harta para penyimpan dan pemegang sahamnya dan harta (T.A.I.B) maka adalah tidak sah menurut Mazhab Syafi‘e seperti di atas.
Dikatakan Bahawa Setiap Pembayaran Zakat Perlu Tahu Pembahagiannya
Memang setiap yang wajib mengeluarkan zakat perlu mengetahui pembayarannya dan pembahagiannya (agihannya). Ini jika individu yang mengeluarkan zakatnya dan membahagikan dengan sendirinya secara langsung kepada fakir miskin.
Tetapi jika tidak dibahagikan secara langsung kepada fakir miskin dan sebagainya, bahkan dibayarkan kepada Amil/Majlis/Baitul Mal, maka tidaklah lagi menjadi tanggungjawab ke atasnya untuk mengetahui pembahagian zakatnya itu, bahkan tersebut kepada amil membahagikannya mengikut peraturan Majlis/Baitul Mal yang bertanggungjawab menyediakan peraturan agihan zakat yang dikumpulkannya daripada orang ramai.
Walau bagaimanapun, pembayar zakat kepada amil-amil yang bertauliah daripada pihak Majlis/Baitul Mal, ada mempunyai hak untuk mencalonkan nama fakir miskin atau ashnâf lainnya daripada keluarganya supaya diberi zakat.
Di sini pihak Majlis/Baitul Mal berkewajipan menjalankan kajian terhadap calon tersebut, untuk mendapatkan bukti sama ada calon itu benar-benar berkelayakkan untuk menerima zakat. Jika didapati berkelayakkan, maka berhaklah calon itu untuk diberi dengan kadar yang sesuai dengan hajatnya.
Cara menyampaikan zakat kepadanya, boleh dibuat melalui pembayar zakat tadi, dengan dibekalkan bersamanya borang tandatangan penerimaan yang perlu diserahkan kembali kepada Amil/Majlis/Baitul Mal. Ini adalah bertujuan melaksanakan salah satu kaedah agihan zakat “zakat itu adalah lebih utama (afdhal) diberikan kepada keluarga yang miskin” yang tidak wajib menanggung nafkah ke atasnya, yang mana dengan ini pembayar itu akan mendapat dua fadhilat iaitu silaturahim dan sedekah, seperti tersebut dalam hadits:
Maksudnya: “Memberi sedekah/zakat kepada fakir miskin (yang bukan daripada keluarga) hanya merupakan satu sedekah (satu pahala). Tetapi memberi kepada keluarga (yang berhak kerana miskin atau lainnya) mendapat dua pahala: Pahala sedekah dan pahala menghubungkan silaturahim.” (Hadits riwayat Nasa’i dan Tirmidzi)
Perkataan “sedekah” dalam hadits dan Al-Qur’an merangkumi zakat dan sedekah sunat (tathawwu‘).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7600
