Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Mengerjakan Thawaf Ifadhah Dengan Thawaf Wida‘ Sekaligus

Soalan: Ada jemaah haji itu sakit semasa balik dari Mina dan terpaksa tinggal di wad untuk menerima rawatan seterusnya, sedangkan Thawaf Ifadhah belum dapat dikerjakan sehingga saat-saat untuk balik ke Brunei.

Adakah boleh Thawaf Ifadhah itu disatukan untuk dibuat dengan Thawaf Wida‘ sekaligus?

Jawapan: Tidak sah dicantumkan atau disatukan Thawaf Ifadhah dengan Thawaf Wida‘, kerana Thawaf Wida‘ adalah ibadat yang tersendiri, asing daripada kerja-kerja haji. Thawaf Ifadhah wajib dikerjakan sebagai salah satu rukun haji dengan apa cara yang boleh. Demikian juga Thawaf Wida‘ yang wajib ke atas seseorang yang hendak keluar meninggalkan tanah suci Makkah kepada tanah airnya atau rumahnya yang di luar tanah suci atau belayar jauh atau dekat, sekalipun ianya penduduk Makkah sendiri. Meninggalkan Thawaf Wida‘ wajib satu dam, (seperti dam Tamattu‘ iaitu seekor kambing) kecuali bagi perempuan yang kedatangan haidh dan tidak dapat menunggu lagi dan sudah tiba masa berangkat pulang ke tanah air, hanya sunat baginya datang ke pintu masjid dan berdoa di sini sahaja.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam selepas selesai kerja-kerja haji dia melakukan Thawaf Wida‘.

Manakala Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dalam haditsnya:

Maksudnya: “Jangan seseorang itu bertolak keluar musafir daripada Makkah sehingga dia melakukan Thawaf Wida‘ sebagai amalan yang terakhir baginya di sisi Baitullah.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Kedua-dua Imam Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Diperintah semua orang supaya melakukan Thawaf Wida‘ sebagai amalan yang terakhir bagi mereka di sisi Baitullah, kecuali wanita yang kedatangan haidh, diringankan bagi mereka untuk tidak melakukan Thawaf Wida‘ (tidak wajib ke atas mereka).”

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7604