Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menulis Surah Al-‘Ashr Di Menara Jam

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola menghadapkan surat ini kepada Pehin adalah bertujuan untuk memohonkan pandangan dan nasihat Pehin bagi cadangan penempatan Surah Al-‘Ashr di menara jam yang bakal dibina. Surah berkenaan dicadangkan dibuat di sekeliling tiang menara (di bawah jam).

Sekian yang dapat dihadapkan dan pandangan Pehin yang segera adalah dialu-alukan dan diucapkan ribuan terima kasih.

Jawapan: Adalah harus ditulis Surah Al-‘Ashr di menara jam sebagaimana yang dicadangkan selama mana tempat itu terselamat dari tercemar dari sebarang kehinaan dan najis.

Surah Al-‘Ashr itu hendaklah ditulis dengan huruf Arabnya yang jelas dibaca dengan kaedah Mushaf ‘Utsmani dan adalah elok surah tersebut disertakan maksudnya yang muktabar supaya tujuan penulisannya itu mudah-mudahan dapat dimanfaatkan.

Setelah pemasangan surah tersebut selalulah diperhatikan supaya kesucian dan kehormatan ayat itu terpelihara dari sebarang kotoran najis. Oleh kerana itu hendaklah dicari kaedah-kaedah berkesan ke arah itu.

Hendaklah diingat penulisan dan pemasangan ayat-ayat Al-Qur’an hendaklah dibuat atau dilakukan oleh orang Islam, kerana orang Islam yang berhadats (tidak berwudhu’) apa lagi orang bukan Islam adalah haram menyentuh Al-Qur’an atau ayat Al-Qur’an.

Sayugia diingat bahawa ayat-ayat Al-Qur’an wajiblah dipelihara dan dihormati. Antara lain cara menjaga dan memelihara kemuliaan Mushaf Al-Qur’an itu, ialah jangan menjadikannya sebagai bantal atau tempat bersandar, dan jangan melemparkannya kepada kawan apabila kawan itu hendak mengambilnya. Jangan memperkecil saiz huruf Mushaf, kerana Sayyidina Ali pernah berkata: “Jangan kamu perkecilkan Mushaf”, jangan ditulis di atas tanah, kerana ‘Umar bin Abdul Aziz pernah meriwayatkan, katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah lalu di tempat yang ada tulisan di atas tanah. Baginda bertanya kepada seorang pemuda suku Huzail: “Apa ini?” Menjawab pemuda itu: “Sebahagian dari Kitabullah yang ditulis oleh seorang Yahudi.” Lalu Baginda bersabda: “Allah melaknat orang yang melakukan perkara ini. Janganlah kamu letakkan Kitabullah melainkan pada tempatnya.”

Janganlah menuliskan ayat-ayat pelindung dan dibawa masuk ke dalam tandas, kecuali ianya dimasukkan ke dalam kulit atau perak atau selain keduanya. Dengan meletakkannya begitu, ianya seperti berada dalam dadamu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7624