Menjadikan Surau Kampung Kiulap Sebagai Sekolah
Soalan: Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menerima surat permohonan daripada Pengerusi Surau Kiulap, bertarikh 10 Januari, 1995 untuk menjadikan Surau Kiulap sebagai Sekolah Ugama bagi menempatkan murid-murid darjah V dan VI dari Kampung berkenaan.
Pihak Jabatan Pengajian Islam telah memeriksa surau yang dicadangkan dan didapati ianya memang sesuai untuk dijadikan tempat belajar agama dengan memerlukan sedikit ubahsuai. Walau bagaimanapun beberapa perkara memerlukan ketetapan dan penjelasan dari segi hukum sebelum langkah-langkah diambil bagi menjadikan surau tersebut sebagai sekolah ugama.
Apakah hukumnya jika bahagian surau yang dibina hasil kutipan derma daripada orang ramai tersebut digunakan sebagai bilik darjah sekolah ugama sedangkan niat orang ramai menderma adalah untuk tujuan digunakan sebagai surau?
Dan apakah hukumnya jika sekiranya murid-murid perempuan yang telah mencapai umur baligh, duduk belajar di bangunan tersebut dalam keadaan mereka uzur syar‘i? Kerana surau tersebut selain daripada digunakan sebagai tempat mengadakan sembahyang lima waktu, ianya juga dibenarkan sebagai tempat mendirikan Sembahyang Jum‘at.
Dipohonkan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin berhubung dengan perkara-perkara yang dinyatakan di atas.
Jawapan: Menurut Mazhab Syafi‘e bahawa benda yang diwaqafkan itu berpindah milik kepada Allah Ta‘ala. Terkeluar ia daripada milik dan ikhtisas manusia, sama ada orang yang berwaqaf atau yang menerima waqaf.
Derma yang dihulur bagi tujuan tertentu atau membuat sesuatu mestilah ia mengikut niat yang menderma atau yang membuatnya. Dan syarat-syarat waqaf mestilah dipatuhi selama mana syarat-syarat tersebut tidak menyalahi hukum syara‘.
Telah disebut yang demikian itu dalam kitab I‘ânah Al-Thâlibîn yang bererti: “Jika disyaratkan oleh pewaqaf akan sesuatu yang di maksudkan hendaklah diikut syarat-syarat itu seperti juga syarat-syarat yang lain, bahkan wajib mengikut syarat berkenaan. Dan mengikut syarat pewaqaf itu tsabit kerana terdapat maslahat yang kembali kepada pewaqaf itu.”
Waqaf itu tidak dapat ditukar ganti atau dijual sebagaimana Nashnya dalam Fath Al- Mu‘în yang bererti: “Tiada boleh dijual benda yang diwaqafkan sekalipun benda yang diwaqafkan itu telah rosak.”
Maka melihat kepada nash-nash di atas surau yang dibina hasil kutipan derma orang ramai itu hendaklah dikekalkan sebagai surau, kerana orang ramai mengeluarkan derma berkenaan adalah dengan niat untuk membangun surau yang digunakan oleh orang ramai sembahyang di dalamnya. Jika ia diubahsuai untuk dijadikan ia sebuah sekolah ugama dengan membuat bilik-bilik darjah yang diisi dengan kursi, meja, papan tulis dan sebagainya, maka yang demikian adalah mengubah tujuan asalnya iaitu orang ramai yang menderma untuk membuat surau, sedangkan niat dan tujuan derma dikumpulkan hendaklah dipatuhi.
Adapun untuk menggunakan surau berkenaan sebagai tempat belajar ilmu-ilmu agama Islam, membaca Al-Qur’an, ibadah kerja-kerja kebajikan dan sebagainya adalah tidak dilarang, bahkan adalah lebih baik.
Maka dalam hal ini, sebagai saranan surau tersebut boleh digunakan sebagai tempat pelajar-pelajar belajar di dalamnya dengan tidak mengubah keadaan asal surau berkenaan. Dan juga sekiranya diperlukan pemisahan-pemisahan di antara pelajar-pelajar berkenaan bolehlah menggunakan alat-alat yang boleh dipindah alihkan bila dikehendaki seperti dinding angin dan sebagainya. Ini bererti bila-bila masa dinding tersebut boleh dipindahkan dan surau berkenaan dapat digunakan seperti asalnya bila-bila masa dikehendaki.
Mengenai dengan murid-murid perempuan yang belajar di surau berkenaan dalam keadaan uzur syar‘i itu tidak mengapa kerana surau itu tidak seperti hukum masjid yang dilarang perempuan haidh berhenti di dalamnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7620
