Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Menyalakan Api Lilin Semasa Mengarak Pengantin

Soalan: Menyalakan api pada lilin ada dilakukan semasa mengarak pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, malam berbedak dan mandi dian.

Telah didapati bahawa setengah orang-orang tua memastikan api itu sentiasa bernyala. Apakah hukumnya menggunakan lilin dalam majlis itu?

Jawapan: Perkara-perkara menyalakan api lilin yang disebutkan di atas hanyalah adat, tidak ada dalam Islam, walau bagaimanapun menyalakan lilin itu adalah harus jika perkara-perkara itu semata-mata perhiasan yang mubah (harus) yang tidak sampai kepada pembaziran, atau di mana tidak ada sumber cahaya melainkan api lilin itu sahaja seperti masa sebelum terdapat kemudahan api letrik, maka api lilin salah satu sumber cahaya itu. Tetapi jika kita membuat prasangka ada untung rugi, atau bahagia, celaka atau boleh mendatangkan berbagai-bagai hal dengan adanya api lilin itu atau dengan ketiadaannya, maka kepercayaan seperti ini menyalahi aqidah Islam yang sebenarnya, kerana untung rugi itu datangnya daripada Allah jua, tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu benda.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7632