Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Muzik Di Majlis Persandingan

Soalan: Pada malam berpacar, selalu diadakan muzik band atau gambus, untuk menghibur pengantin yang sedang berpacar dan juga untuk menghibur tetamu. Apakah hukumnya mengadakan majlis ini?

Jawapan: Persoalan hukum nyanyian adalah persoalan yang panjang, kerana ia meliputi siapa menyanyi, perempuan menyanyi, lelaki menyanyi, di hadapan siapa mereka ini menyanyi, menyanyi tanpa alat-alat muzik, menyanyi dengan alat-alat muzik, menyanyi kerana pernikahan, menyanyi pada hari raya, menyanyi kerana gembira dan lain-lain yang berkaitan dengan hukum nyanyian. Tetapi dengan merujuk kepada bentuk soalan secara khusus seperti yang dimusykilkan dan diminta fatwa oleh penanya dan dengan merujuk kepada zaman sekarang dan suasana yang wujud sekarang, maka mengadakan muzik dengan cara kumpulan band seperti yang biasa berlaku pada hari ini tidaklah terlepas daripada perkara-perkara yang memberangsang hawa nafsu, nyanyian dan keseronokan yang melekakan dan juga disulam dengan tarian-tarian yang berlawanan dengan akhlak, cabul, maksiat atau perkara-perkara yang membawa kepada haram, atau terjebak kepada kemungkaran (seperti mendendangkan lagu atau bermain muzik hingga jauh malam sehingga menyakiti atau mengganggu jiran) atau dengan bermain muzik band itu melalaikan tanggungjawab dan kewajipan agama atau lain-lain yang ditegah oleh syara‘.

Jika gambaran ini berlaku sama ada salah satu sebab apa lagi jika berbagai-bagai sebab seperti di atas yang tidak selaras dengan kehendak syara‘, maka tidak nampak keharusannya bahkan haram bermain muzik dengan kumpulan band ini seperti yang diminta fatwa di atas.

Sebenarnya Islam menganjurkan supaya pernikahan itu dihebahkan dan dipukul rebana tanda kegembiraan tanpa mesti menempuh jalan maksiat atau terjebak kepada dosa-dosa. Hal ini dijelaskan melalui sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Yang membezakan di antara halal dan haram dalam pernikahan ialah pukulan rebana dan menyaringkan suara (dengan kata-kata harus, bukan nyanyian yang mengandungi pujuk rayu terhadap perempuan, maksiat dan arak).” (Hadits riwayat Al-Khamsah kecuali Abu Daud)

Dalam hadits lain disebut:

Maksudnya: “Hebahkan pernikahan ini dan pukullah ghirbal (sejenis rebana).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Walau bagaimanapun apa jua jenis peralatan muzik yang diharuskan oleh syara‘ sewaktu digunakan di majlis perkahwinan/nikah, hendaklah selamat dari sebarang pencemaran maksiat atau perkara-perkara yang membawa mungkar.

Untuk huraian yang lebih lanjut mengenai hukum nyanyian itu sila rujuk fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Setia Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan, Brunei Darussalam dalam siri fatwa bilangan 34/90.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7636