Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Orang Sakit Mengerjakan Umrah Dan Sembahyang Di Wad Dengan Mengikut Suara Imam Masjid Al-Haram

Soalan: Biasanya jemaah haji Brunei terlebih dahulu pergi ke Madinah dan setelah itu barulah ke Makkah dalam keadaan berihram umrah, sampai ke Makkah seorang jemaah haji telah jatuh sakit dan ditahan di Klinik Kesihatan Brunei, selama beberapa hari dan ada juga sehingga hari hendak bertolak wuquf di ‘Arafah (8hb. Dzulhijjah) dan akhirnya ianya tidak dapat melakukan thawaf umrah seperti niatnya di Abyar Ali di Madinah dahulu.

Adakah dibolehkan jemaah haji itu niat ihram umrah yang sudah diniatkan semasa di Abyar Ali ditukar menjadi niat Haji Qiran.

Jemaah haji yang sakit itu tetap jua berkeras untuk ke masjid melakukan thawaf umrah sedangkan kesihatan tidak mengizinkan.

Ada juga jemaah itu sembahyang di wad mengikut suara imam di Masjid Al-Haram. Apa hukumnya?

Jawapan: Adalah harus dan sah memasukkan niat ihram dengan haji ke atas niat ihram dengan umrah yang sedang dia berada di dalamnya itu selama mana dia belum lagi memulakan thawaf bagi menyelesaikan umrahnya itu, dan dapatlah kepadanya Haji Qiran dan akan selesai ibadatnya untuk kedua-duanya sekali (haji dan umrah) dengan menunaikan segala kerja haji iaitu wuquf, bermalam di Muzdalifah dan Mina, melontar segala jamrah, thawaf, sa‘i dan tahallul, ini bererti memadai baginya dengan thawaf dan sa‘i sekali sahaja.

Dasar hukum di atas ialah berdasarkan kepada hadits riwayat Imam Muslim bahawa Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berniat ihram dan umrah, tiba-tiba Rasulullah mendapatinya menangis dan ditanyanya sebab mengapa dia menangis? ‘Aisyah menjawab: “Dia telah kedatangan haidh. Semua orang telah pun dapat bertahallul daripada umrah mereka, sedangkan aku tidak dapat bertahallul dan tidak dapat berthawaf di Baitullah. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam terus mengarahkan ‘Aisyah supaya niatkan ihram dengan haji. Maka ‘Aisyah pun niatkan ihram dengan haji (ke atas ihram umrahnya itu) dan bertalbiyah, kemudian wuquf di ‘Arafah. Apabila bersih daripada haidhnya barulah dia thawaf dan sa‘i, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda kepadanya: “Sesungguhnya engkau telah selesai bertahallul daripada haji dan umrah sekaligus.”

Biasanya masalah orang sakit ini pada masa sebelum Sistem Maktab/Muassasah iaitu pada masa para jemaah haji dikendalikan secara bebas oleh syeikh-syeikh haji yang mana masing-masing perlu berlumba-lumba membuat kempen berusaha dengan berbagai cara bagi memperolehi lebih ramai jemaah. Pada masa itu (sebelum Sistem Maktab/Muassasah), syeikh-syeikh, para khadam dan pekerja mereka sungguh memberi perhatian berat kepada jemaah haji yang sakit ataupun tidak. Masing-masing akan mengambil tindakan segera yang sesuai supaya jemaah yang sakit itu diberi layanan yang baik dan memuaskan supaya dapat juga jemaah itu menunaikan ibadat, terutama thawaf dan sa‘i untuk bertahallul daripada umrah dan dapat pula niat ihram dengan haji dan seterusnya berangkat ke ‘Arafah untuk wuquf sebagai rukun utama ibadat haji yang mana jika terlepas, maka terlepaslah peluang untuk mendapat haji pada tahun itu.

Bagi menyelesaikan masalah ini dahulunya syeikh-syeikh haji dan para khadam atau pekerja mereka akan mengambil tindakan segera membantu pesakit yang tidak mampu lagi bangun untuk pergi ke masjid, thawaf dan sa‘i dan tahallul daripada umrahnya.

Dalam hal ini, mereka gunakan cara tertentu iaitu mendapatkan pihak yang bersedia untuk mengambil upah mengusung pesakit ke masjid, thawaf dan sa‘i.

Kadar upahnya, biasanya berdasarkan kepada jauh/dekat di antara rumah tempat kediaman pesakit atau klinik tempat dia dirawat dengan masjid dan jenis thawaf atau thawaf dan sa‘i dilakukan:

(i) Jika di dalam ihram: Thawaf dan Sa‘i.

(ii) Jika di luar ihram: Thawaf Wida‘.

(iii) Thawaf sunat bagi yang ingin juga mengerjakannya walaupun dalam keadaan sakit dan sanggup mengeluarkan upah supaya diusung untuk thawaf sunat, bahkan seterusnya bersembahyang jemaah (bagi yang boleh melakukannya setelah diusung ke masjid).

Begitulah layanan kepada para jemaah haji oleh syeikh-syeikh haji pada masa sebelum Sistem Maktab. Dengan layanan sebegini, akan berkuranganlah tekanan jiwa pesakit, kerana hasratnya tercapai, walaupun dengan cara diusung dan terpaksa mengeluarkan tambahan bayaran. Pesakit akan berpuas hati walaupun hanya sekali sahaja diberi kepadanya peluang sedemikian dalam tempoh ia ditahan kerana sakit.

Oleh yang demikian, pihak yang bertanggungjawab mengendalikan urusan jemaah haji yang sakit perlu menangani para pesakitnya seperti mana yang dilakukan di bawah sistem lama sebelum Sistem Maktab yang membiarkan para jemaah haji dikendalikan sendiri oleh klinik-klinik perubatan dari negara-negara mereka tanpa mengambil berat kebajikan para jemaah haji dari segi ibadat haji dan umrah, padahal mereka itu datang semata-mata untuk ibadat tersebut dan dengan menanggung perbelanjaan yang besar.

Sembahyang jemaah oleh seseorang pesakit dari dalam bilik wad di klinik atau hospital, dengan imam di dalam Masjid Al-Haram di Makkah atau di Madinah, adalah sah dengan syarat-syarat berikut:

(i) Tidak terpisah jauh daripada masjid atau saf yang terakhir di luar masjid lebih dari tiga ratus hasta.

(ii) Tidak terpisah oleh dinding setinggi yang tidak boleh dia melangkah kecuali secara mendakinya atau melompat tinggi.

(iii) Tidak terpisah oleh pintu yang berkunci atau yang ditutup.

(iv) Pintu yang terbuka itu hendaklah boleh dilaluinya kepada imam tanpa terpaksa berpaling daripada qiblat.

(v) Di hadapan pintu itu hendaklah ada satu saf atau seseorang makmum lain yang berjemaah dengan imam yang sama.

Dengan ini adalah tidak sah sembahyang jemaah pesakit itu sekiranya klinik atau hospital itu jauh daripada masjid atau daripada saf yang terakhir di luar masjid lebih daripada tiga ratus hasta atau berhampiran (kurang daripada tiga ratus hasta) tetapi terpisah oleh dinding yang tiada pintu, atau ada pintu tetapi berkunci atau tertutup atau terbuka tetapi akan terpaksa berpaling daripada qiblat ketika melaluinya kepada imam.

Ringkasnya, jika tidak memenuhi syarat-syarat di atas maka sembahyang jemaah pesakit tidak sah sekalipun dia dapat melihat imam atau saf yang terakhir di luar masjid melalui jendela atau sebagainya atau mengetahui segala gerak geri imam untuk berpindah dari satu rukun kepada rukun yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7640