Pegawai Perubatan Bertugas Semasa Musim Haji
Soalan: Sebagai panduan pegawai-pegawai perubatan menjalankan tugas semasa musim haji, adakalanya jemaah haji itu tidak mahu mendapat nasihat doktor sedangkan nasihat doktor itu adalah berasaskan ilmu pengetahuan, pengalaman, pengkajian berdasarkan maklumat-maklumat mutakhir dan sebagainya.
Sebaliknya jikalau berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas pesakit itu, maka berbagai-bagai cakap yang tidak selayaknya akan diberikan kepada pegawai-pegawai perubatan.
Dipohonkan nasihat panduan untuk pegawai-pegawai perubatan menjalankan tugas termasuklah juga pegawai perhubungan haji yang lainnya?
Jawapan: Menunaikan ibadat haji itu selain daripada bertujuan untuk melaksanakan Rukun Islam yang kelima, mudah-mudahan akan tercapai pula beberapa kelebihan yang dijanjikan oleh Allah seperti menghapuskan dosa seumpama seseorang itu di hari dia dilahirkan oleh ibunya, sebagai seorang pejuang (mujahid), menjadi tetamu Allah di mana doa-doanya dimakbulkan, insya’ Allah menjadi ahli syurga sebagaimana perkara ini diterangkan oleh hadits-hadits dan lain-lain tentang kelebihan yang digambarkan oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” (Surah Al-Hajj: 28)
Suatu hal yang tidak dapat dinafikan sewaktu menunaikan ibadat haji itu para jemaah akan menempuh berbagai-bagai kesusahan, kepahitan, tekanan perasaan dan lain-lain. Peringatan yang perlu diperhatikan oleh para jemaah haji ialah firman Allah:
Tafsirnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari ke‘aiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Surah Al-Baqarah: 197)
Penjelasan di atas itu adalah gambaran umum tentang keadaan-keadaan yang ditempuh oleh jemaah haji. Keengganan para jemaah menerima nasihat-nasihat doktor atau pegawai-pegawai perhubungan haji adalah sebahagian daripada keadaan-keadaan itu yang perlu ditangani dan dilayani dengan penuh kesabaran dan lemah lembut kerana ia berkaitan dengan watak manusia.
Baik para jemaah haji, para doktor atau pegawai-pegawai perhubungan haji selain menyediakan hal-hal biasa yang berupa bekalan pelayaran untuk persediaan menunaikan ibadat haji, yang penting ialah bekalan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan haji termasuk keadaan-keadaan kesusahan yang bakal ditempuh. Keadaan “tidak boleh fusuq” iaitu segala sikap dan tingkah laku yang membawa keluar dari batas-batas akhlak yang mulia dan “tidak boleh berbantah” apatah lagi berkelahi, semuanya dilarang dalam haji.
Inilah hal-hal yang perlu ditekankan sewaktu para jemaah haji itu diberikan kursus. Mudah-mudahan dengan berbekalkan taqwa sebagaimana disarankan oleh ayat 197 dari Surah Al-Baqarah itu, boleh menjadi asas bagi pegawai-pegawai perhubungan haji dan doktor dan juga para jemaah haji keseluruhannya mengatasi hal-hal yang berbangkit di kalangan mereka.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7648
