Pengagihan Zakat Harta
Soalan: Dimaklumkan bahawa pada 20hb. Ramadhan, 1415 bersamaan dengan 20hb. Februari, 1995 Majlis Ugama Islam Brunei, telah menerima Zakat Harta berjumlah $112,600.00 (Satu Ratus Dua Belas Ribu Enam Ratus Ringgit Sahaja) yang disampaikan untuk di bahagikan seperti berikut:
(i) Ketua keluarga fakir miskin bagi Daerah Brunei/Muara yang telah disokong untuk dipertimbangkan seramai 526 orang, maka diberikan $100.00 (Seratus Ringgit Sahaja) pada tiap-tiap seorang yang berjumlah keseluruhannya sebanyak $52,600.00 (Lima Puluh Dua Ribu Enam Ratus Ringgit Sahaja).
(ii) Ketua keluarga muallaf bagi Daerah Brunei/Muara yang telah disokong untuk dipertimbangkan seramai 468 orang, maka diberikan $100.00 (Seratus Ringgit Sahaja) pada tiap-tiap seorang yang berjumlah keseluruhannya sebanyak $46,800.00 (Empat Puluh Enam Ribu Lapan Ratus Ringgit Sahaja).
(iii) Keramaian keseluruhan amil bagi Daerah Brunei/Muara berjumlah 132 orang, maka diberikan $100.00 (Seratus Ringgit Sahaja) pada tiap-tiap seorang yang berjumlah keseluruhannya sebanyak $13,200.00 (Tiga Belas Ribu Dua Ratus Ringgit Sahaja).
Dimaklumkan bahawa zakat tersebut telah pun dikeluarkan resit rasmi Majlis Ugama Islam Brunei iaitu seperti lazimnya yang dibuat apabila Zakat Harta diterima.
Dimaklumkan bahawa Zakat Harta tersebut pada para 1 di atas telah pun dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat Kali Pertama tahun 1995 yang bersidang pada hari Selasa 21hb. Ramadhan, 1415 dan antara lain telah mengambil keputusan seperti berikut:
“Jawatankuasa bersetuju supaya Majlis Ugama Islam Brunei, merujuk perkara Zakat Harta tersebut ke Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam untuk meminta pandangan, nasihat serta fatwa mengenainya.”
Bagi maksud tersebut di atas dipohonkan pada kadar yang segera mengenainya.
Jawapan: Difahamkan dari surat Setiausaha Majlis di atas bahawa:
(i) Majlis Ugama Islam telah diwakilkan untuk membahagi-bahagikan zakat harta sebanyak $112,600.00.
(ii) Ashnâf penerima zakat itu telah ditetapkan iaitu fakir, miskin, mu’allaf dan amil di Brunei Muara sahaja.
(iii) Pihak Majlis telah menetapkan kadar bahagian setiap ashnâf yang empat di atas.
Telah sepakat ulama-ulama mengatakan bahawa harus berwakil kepada orang lain untuk menyerahkan zakat harta batin (emas, perak dan matawang yang lain) kepada ashnâf yang berhak mendapat zakat itu kerana zakat adalah hak harta (hak yang bergantung pada harta), maka harus bagi seseorang itu mewakilkan orang lain untuk membahagi-bahagikan atau menunaikannya seperti juga berhutang sesama manusia dan harus juga bagi pemilik itu menyerahkan zakatnya itu kepada imam (pemerintah) kerana dia merupakan naib kepada orang-orang fakir.
Hal ini dilakukan sekiranya tidak ada penguatkuasaan pungutan zakat oleh pemerintah. Jika dikuatkuasakan pungutannya, maka hendaklah diserahkan kepada imam (pemerintah). Walau bagaimanapun pengeluar zakat masih ada hak untuk mencalonkan orang-orang yang hendak diberinya zakat hartanya itu asalkan calon tersebut terdiri daripada orang- orang yang berhak menerima zakat terutama keluarganya yang tidak wajib nafkah ke atasnya. Bagi imam (pemerintah) pula hendaklah menyiasat calon-calon itu. Jika didapati mereka berhak dengan apa-apa sifat yang tergolong dalam ashnâf lapan, maka berhak mereka supaya diberi zakat. Cara menyampaikan zakat kepada mereka itu, seelok-eloknya dibuat melalui pengeluar zakat itu sendiri, supaya terlaksana konsep afdhalnya zakat diutamakan kepada keluarga yang berhak daripada orang lain (mendapat dua ganjaran iaitu ganjaran menunaikan zakat dan ganjaran silaturahim) seperti yang tersebut dalam beberapa hadits.
Dalam persoalan di atas, jika Majlis Ugama Islam sebagai wakilnya, maka tiada pertentangan dengan hukum syara‘ bagi orang yang berzakat berwakil supaya zakatnya itu dibahagikan kepada orang fakir, miskin, mu’allaf dan amil di Daerah Brunei/Muara sahaja kerana pemilik harta tiada wajib baginya membahagikan kepada semua Ashnâf dan dengan sama rata di antara ashnâf-ashnâf, bahkan dia boleh menyerahkan zakatnya kepada satu ashnâf saja kerana diiktibarkan zakat itu diserahkan sendiri oleh orang yang berzakat dan Majlis Ugama Islam selaku wakilnya. Berlainan dengan imam yang mesti mengagihkan zakat itu kepada semua ashnâf dengan menyamaratakan bahagian ashnâf-ashnâf itu.
Tetapi apa yang perlu diperhatikan oleh Majlis Ugama Islam ialah penentuan kadar pengagihan zakat berkenaan kerana individu-individu yang di bawah ashnâf yang disebutkan selain daripada amil adalah diberi berdasarkan kadar keperluannya (had al-kifâyah) iaitu tidak mesti disamaratakan. Manakala pembahagian zakat kepada amil-amil yang terlibat dalam pembahagian zakat pula adalah berdasarkan kepada upah mengikut kadar kerja yang dibuatnya.
Yang dimaksudkan dengan keperluan bagi individu ashnâf fakir miskin dan Mu’allaf itu ialah makanan, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan rawatan.
Mengenai dengan penentuan kepada ashnâf yang ada di Brunei Muara sahaja, itu juga tidak bertentangan dengan hukum syara‘ kerana orang yang berzakat tersebut tinggal di Brunei Muara dan ashnâf yang ditentukan itu wujud di Daerah Brunei Muara. Hal ini juga bersesuaian dengan hadits-hadits yang menerangkan keutamaan membahagikan zakat kepada keluarga yang terdekat yang berhak menerima zakat. Di antaranya ialah riwayat daripada Salman bin ‘آmir Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah (zakat) yang diberikan pada orang miskin itu hanyalah sebagai sedekah (zakat) sahaja dan yang diberikan kepada keluarga itu dua perkara iaitu sebagai sedekah (zakat) dan sebagai shilah (penghubung tali kekeluargaan).” (Hadits riwayat Nasa’i)
Dan hadits daripada Abi Umamah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya memberi sedekah (zakat) kepada keluarga terdekat itu digandakan pahalanya dua kali ganda.” (Hadits riwayat Thabarani)
Dan tidak digalakkan membahagikannya kepada yang jauh sedangkan keluarga terdekatnya berhajat kepadanya. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Demi Allah yang mengutus aku dengan kebenaran, tidak akan diterima oleh Allah akan sedekah (zakat) daripada seseorang itu padahal baginya ada keluarga yang terdekat yang memerlukan hubungan persaudaraan dan dia membahagikannya kepada yang lain daripada mereka dan demi Allah yang diriku di tanganNya, Allah tidak akan melihatnya di Hari Kiamat kelak.” (Hadits riwayat Thabarani)
Imam Nawawi menyebutkan dalam kitabnya Al-Majmu‘: “Berkata Imam Thabari, Imam Sarkhasi dan lain-lainya dari kalangan Ashhâb Syafi‘e: “Disunatkan supaya pengeluar itu memilih di antara keluarganya (yang hendak dibuat zakat hartanya atau mencalonkannya supaya diberi oleh pemerintah dipilih yang lebih mempunyai sikap bermusuhan dengannya, supaya dapat diperjinakkan dia dan mengembalikannya kepada keadaan berbaik-baik semula.......).”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7652
