Tidak Mahu Mengekalkan Nama Bapa Yang Bukan Islam
Soalan: Dengan hormatnya dihadapkan surat daripada Dayang..... yang mempunyai pengertian yang tersendiri dan menerangkan lebih lanjut lagi maksudnya memohon ketetapan bagi mengubah nama anaknya Dayang..... binti Ibrahim kepada Dayang..... binti Abdullah dengan sebab seperti yang ditimbulkan dalam surat tersebut.
Maka dipohonkan fatwa dalam perkara di atas.
Jawapan: Dalam hadits Sa‘ad bin Abi Waqash Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa mendakwa nasab kepada lain daripada bapanya padahal dia ketahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram ke atasnya.” (Hadits riwayat Bukhari)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jangan kamu berpaling atau bencikan bapa-bapa kamu, maka barangsiapa benci atau berpaling daripada bapanya nescaya dia menjadi kafir.” (Hadits riwayat Bukhari)
Dan sabdanya lagi:
Maksudnya: “Menjadi kafir, siapa yang tiada mengaku nasabnya atau menjadi kafir dengan Allah, siapa yang tiada mengaku nasabnya atau hambanya atau dia mendakwa atau berkata akan sesuatu nasab atau dia mendakwa sesuatu yang tiada kenal padanya.” (Hadits riwayat Thabarani)
Dari hadits-hadits di atas dapat difahami bahawa Islam melarang dan haram hukumnya menasabkan diri kepada orang yang bukan keturunannya (nasabnya) seperti menasabkan anak kepada bapa angkatnya kerana bapa angkat itu bukan bapanya yang sebenar. Nasab itu ditsabitkan dengan adanya hubungan suami isteri yang sah melalui pernikahan atau terjadi wathi syubhah.
Jika terjadi pernikahan mengikut adat yang terpakai di antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam, maka pernikahan mereka itu adalah dikira suami isteri. Dan jika masuk Islam salah seorang daripadanya terfasakhlah nikah mereka mengikut agama Islam kerana berlainan agama, namun demikian jika isteri yang memeluk agama Islam, maka suami diberi peluang memilih untuk meneruskan kehidupan suami isteri dengan ikut memeluk agama Islam dalam masa isterinya itu masih menjalani tempoh ‘iddah dengannya seperti ‘iddah dalam perceraian. Jika ketika isteri memeluk agama Islam itu, dia dalam keadaan mengandung dari hasil hubungan suami isteri ketika sebelum Islam, maka anak tersebut adalah berhubung nasab kepada bapanya. Dan anak tersebut adalah dinisbahkan agamanya kepada agama Islam iaitu mengikut agama ibunya kerana Islam itu adalah semulia-mulia agama.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang terlebih tinggi daripadanya.” (Hadits riwayat Bukhari)
Demikian juga kanak-kanak kafir yang belum baligh, apabila ibu bapanya atau salah seorang daripada ibu bapanya memeluk agama Islam, maka anak kafir yang belum baligh itu dengan sendirinya menjadi Islam.
Mengenai penukaran nama setelah seorang kafir itu memeluk agama Islam, maka pada hukum syara‘ bolehlah dia menukar nama ketika kafirnya kepada nama yang lebih baik dalam Islam dan boleh membinkan atau membintikan dirinya kepada Abdullah atau lain-lain dari Al-Asmâ’ Al-Husnâ sebagai ganti nama bapanya yang masih kafir.
Menurut kata Imam Ibnu Hajar dalam Tuhfah Al-Muhtâj: “Adalah nama Muhammad afdhal yakni lebih banyak pahala selepas nama Abdullah dan Abdul Rahman.”
Dan menurutnya juga di dalam Syarah Ba Fadhl: “Sunat diberi nama kanak-kanak dengan nama yang baik dan lebih afdhal yakni lebih banyak pahala ialah Abdullah dan Abdul Rahman dan sebenar-benar nama ialah Hârits dan Humâm dan seburuk-buruk nama ialah Harb dan Murrah.”
Perbuatan menukar nama kafir kepada nama Islam itu juga lebih menzahirkan penukaran agamanya daripada kafir kepada Islam di samping dia taat mengikut dan melakukan kewajipan-kewajipan seorang muslim.
Jika terjadi pada seorang kafir yang telah memeluk agama Islam dan belum ada kesempatan menukar namanya atau nama bapanya kerana perkara-perkara tertentu seperti urusan keduniaannya, maka tidaklah dia berdosa atau salah pada hukum syara‘. Tetapi setelah ada kesempatan dan tiada menyusahkannya untuk menukar nama kafir itu kepada nama Islam, maka adalah dia dituntut, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga telah menukarkan nama sahabat yang dianggap tidak elok kepada yang elok. Dan adalah anak-anak Adam itu pada Hari Kiamat akan diseru dengan nama masing-masing sebagaimana menurut hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Bahawa kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa-bapa kamu, dari itu maka elokkanlah nama-nama kamu.” (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Begitulah juga halnya jika penukaran nama tersebut akan menjejaskan urusan keduniaannya seperti terpaksa mengubah segala keterangan-keterangan yang telah tercatat dengan nama sebelum Islamnya, maka dalam hal ini ada baiknya dia meletakkan nama Islamnya sebagai nama utamanya dan harus nama sebelum Islamnya sebagai nama keduanya agar dikenali di kemudian hari terutama bagi tujuan mengenali keturunannya.
Sehubungan dengan ini bagi menjelaskan permasalahan yang dihadapi oleh Dayang..... seperti mana suratnya bertarikh 24 Ogos, 1995 tidaklah terdapat larangan dalam agama Islam sehingga tidak boleh anaknya yang bernama Dayang..... itu berbintikan dengan nama Ibrahim seperti tercatat dalam surat beranak anaknya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7676
