Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Jum‘at Di Penjara

Soalan: Jaksa pelawat yang telah melawat rumah penjara Jerudong telah mencadangkan supaya sembahyang Jum‘at bagi banduan akan dapat diadakan di penjara Jerudong. Oleh kerana perkara ini melibatkan hukum, maka sukacita pihak Majlis Agama Islam memohon pandangan atau nasihat serta fatwa terhadap perkara tersebut.

Jawapan: Ibnu Hajar Al-Haitami (919-1003) dalam kitabnya: Al-Fatâwa Al-Kubra Al- Fiqhiyyah sewaktu disoal mengenai: Adakah orang-orang (banduan) mesti mendirikan sembahyang Jum‘at dalam penjara? Jawabnya secara qiyas mesti mereka itu melakukan yang demikian apabila terdapat syarat wajib Jum‘at dan syarat sahnya, dan tidak ditakuti timbul fitnah akibat mendirikan Jum‘at itu dalam penjara.

Imam Buwaithi, semasa dalam tahanan, dia pernah mandi dan memakai pakaiannya yang paling bersih, kemudian dia pergi ke pintu penjara meminta kebenaran kepada penjaga supaya dia dibenarkan pergi menunaikan sembahyang Jum‘at. Akan tetapi penjaga pintu penjara melarangnya. Buwaithi pun kembali ke tempatnya sambil berkata: “Kini telah gugurlah kewajipan Jum‘at ke atasku.”

Hal ini jelas membayangkan betapa Imam Buwaithi ini senantiasa memelihara akan Jum‘at. Imam Buwaithi ialah sahabat Syafi‘e yang paling agung dan oleh sebab itu, Imam Syafi‘e pernah mewakilkan Buwaithi mengajar di majlis pelajarannya dan dia pernah pula memberitahunya dengan katanya: “Engkau akan mati dalam belenggumu di atas sembahyang Jum‘at berserta apa yang engkau dapati bersamanya.” Perkara ini seakan-akan satu penjelasan bahawa jikalau Imam Buwaithi berupaya mendirikan Jum‘at dalam penjara, dia sudah pasti akan mendirikannya dalam penjara.

Adapun syarat-syarat wajib Jum‘at itu ialah lelaki, Islam, baligh, berakal, merdeka (bukan hamba), sihat, bermukim di tempat atau mendengar suara azan Jum‘at itu dan tiada mempunyai uzur jemaah.

Telah disebutkan oleh Rafi‘e dalam sembahyang Jemaah, bahawa ditahan (dipenjara) itu adalah keuzuran.

Dan mengikut Ghazali jika pemerintah melihat kepada maslahat bahawa banduan perlu ditegah daripada keluar penjara untuk menunaikan Jum‘at maka hendaklah ditegah mereka daripada menunaikan Jum‘at dan jika sebaliknya tidaklah perlu dia ditegah.

Syarat-syarat sah Jum‘at itu ada lima perkara:

(i) Masuk waktu Zhuhur, didirikan sembahyang dan membaca kedua-dua khutbah Jum‘at itu dalam waktu Zhuhur.

(ii) Didirikan Jum‘at itu pada bangunan yang terletak dalam negeri atau kampung tempat tinggal.

(iii) Tiada didahului atau tiada disertai Jum‘at itu oleh Jum‘at yang lain kerana tiada harus berbilang Jum‘at pada satu tempat (Bandar/Pekan/Qaryah/Kawasan) melainkan jika sukar berhimpun mereka itu pada satu tempat. Maka ketika itu harus berbilang Jum‘at.

(iv) Dikerjakan Jum‘at itu dengan berjemaah dan disyaratkan ianya didirikan oleh tidak kurang empat puluh orang termasuk imam dan disyaratkan mereka itu lelaki, ‘aqil, baligh, merdeka, dan mastautin pada tempat Jum‘at. Erti mastautin itu ialah orang yang tetap pada tempat kediamannya tiada berpindah dia daripadanya pada musim sejuk dan tiada musim panas kecuali kerana hajat berniaga dan seumpamanya.

(v) Disyaratkan sembahyang itu selepas dibacakan dua khutbah.

Dari apa yang telah diterangkan di atas apabila terhimpun bagi banduan-banduan di penjara itu syarat-syarat wajib Jum‘at iaitu Islam, lelaki, baligh, berakal, merdeka, sihat, mukim dan syarat-syarat sah Jum‘at iaitu masuk waktu Zhuhur, ada bangunan untuk mendirikan Jum‘at, tiada berhimpun dua Jum‘at pada satu tempat, cukup empat puluh orang Islam dengan syarat lelaki, ‘aqil, baligh, merdeka dan mastautin pada tempat Jum‘at itu dan dibaca dua khutbah sebelum mendirikan sembahyang Jum‘at, maka dengan sempurnanya syarat wajib dan syarat-syarat sah Jum‘at di atas, barulah wajib didirikan Jum‘at itu. Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab pihak yang berkuasa di penjara menghadapkannya kepada pihak pemerintah kebenaran untuk mendirikan sembahyang Jum‘at dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Tetapi jika syarat-syarat wajib Jum‘at dan syarat-syarat sah Jum‘at itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak dapat dipenuhi maka tiada wajib mendirikan Jum‘at di penjara berkenaan.

Walau bagaimanapun jika sekiranya terdapat pada penjara itu sama ada pengawas penjara atau pekerja atau banduan yang mereka adalah ahli Jum‘at yang bermastautin di kampung atau mukim berkenaan yang kurang empat puluh orang, maka lebih baik didirikan sembahyang Jum‘at itu disertai oleh banduan dalam penjara berkenaan. Kemudian diikuti dengan sembahyang fardhu Zhuhur selepasnya.

Selain daripada itu jika sekiranya tidak ada juga ahli Jum‘at yang bermastautin, maka demi mengambil faedah hari Jumaat itu maka boleh diadakan perhimpunan dengan sembahyang Zhuhur berjemaah kemudian dibacakan khutbah pertama dari khutbah yang dibaca di masjid-masjid sebagai irsyâd (maklumat dan panduan) kepada mereka. Pembaca khutbah berkenaan sama ada terdiri daripada pegawai-pegawai penjara atau daripada banduan-banduan itu sendiri (yang berkebolehan).

Maka dengan hal yang demikian tidaklah luput hari Jumaat yang dianggap sebagai penghulu segala hari itu begitu sahaja dan dapat pula pahala berjemaah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7672