Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Wukuf Dan Melontar Bagi Orang Sakit

Soalan: Jemaah haji jatuh sakit di Makkah, pada hari wuquf di ‘Arafah, pesakit itu terpaksa jua menerima rawatan dan hanya wuquf di ‘Arafah cuma satu jam dua sahaja dan terus dibawa balik ke Makkah. Begitu juga keadaannya pegawai-pegawai perubatan yang bertugas, mereka pun berada wuquf di ‘Arafah seperti itu juga, dan tidak bermalam di Muzdalifah dan Mina, mereka juga tidak melontar seperti yang ditunaikan oleh jemaah-jemaah haji yang lain.

Bagaimana caranya melanjutkan pekerjaan haji orang yang sakit seperti ini, seperti bermalam di Muzdalifah, di Mina melontar pada hari 10hb. Dzulhijjah dan melontar hari-hari Tasyriq yang ketiga itu?

Dan bagaimana pula cara-cara pegawai-pegawai perubatan menunaikan pekerjaan haji selanjutnya sedangkan mereka bertugas untuk menemani pesakit di Makkah itu?

Adakah boleh dilontarkan oleh kawan-kawan seperti hari 10hb. Dzulhijjah dan hari-hari Tasyriq yang lainnya?

Jawapan: Memadai wuquf di mana-mana bahagian daripada bumi ‘Arafah walaupun tanpa berhenti, dengan syarat iaitu:

(i) Waktunya ialah daripada gelincir matahari pada hari kesembilan Dzulhijjah sehingga naik fajar pagi kesepuluh.

(ii) Berpakaian ihram dengan niat haji.

(iii) Bagi mereka yang sah niat ihram hajinya dengan sendiri disyaratkan hendaklah dia mempunyai kelayakan beribadat iaitu tidak pitam, tidak mabuk atau tidak gila sepanjang masa wuqufnya, sekalipun sengaja. Mereka ini hanya sah haji mereka sebagai haji sunat sama seperti kanak-kanak, dan tidak memadai sebagai haji fardhu.Walau bagaimanapun lena tidak membatalkan wuqufnya, sekalipun dia lena sepanjang masa wuqufnya dan tidak disyaratkan berkekalan niat wuquf sepanjang masa wuqufnya dan juga tidak disyaratkan dia mengetahui tentang hari itu sama ada hari wuquf dan tidak disyaratkan mengetahui di mana dia berada (selama mana dia memang berada di bumi ‘Arafah).

Adapun cara-cara bagi pegawai-pegawai perubatan menunaikan pekerjaan haji selanjutnya pula ialah seperti berikut:

(i) Dibawa dari Makkah ke ‘Arafah lewat petang dan bertolak dari ‘Arafah selepas masuk waktu ‘Isya’, supaya dapat melintasi Muzdalifah di waktu lepas tengah malam.

Atau daripada ‘Arafah dibawa terus ke Makkah walaupun melintasi Muzdalifah sebelum lepas tengah malam tanpa dam kerana keuzuran.

(ii) Setiba di Makkah terus dibawa thawaf, sa‘i dan tahallul apabila waktu thawaf sudah bermula iaitu daripada waktu tengah malam, malam kesepuluh Dzulhijjah itu. Thawaf dan sa‘i melalui upah pengusung seperti yang biasa dilakukan bagi mengatasi masalah orang sakit dan sebagainya.

(iii) Melontar Jamrah ‘Aqabah dan lain-lainnya boleh dilakukan melalui wakil atau upah.

(iv) Bermalam di Mina boleh ditinggalkan keseluruhannya dengan membayar dam (seekor kambing).

(v) Sekiranya mampu dibawa ke Mina untuk bermalam pada dua malam hari-hari Tasyriq, maka bolehlah dibawa pada waktu petang sebelum jatuh matahari dan berada di Mina sehingga lepas separuh malam kemudian dikembalikan ke wad di hospital atau klinik dengan tiada dam.

Perhatian Penting

(i) Jika melontar melalui wakil yang juga mengerjakan haji pada tahun yang sama, hendaklah wakil itu melontar untuk dirinya terlebih dahulu dengan sempurna pada setiap hari, kemudian baru melontarkan bagi pihak yang diwakilinya. Sebagai contohnya, diselesaikan melontar Jamrah ‘Aqabah pada hari atau malam sepuluh Dzulhijjah terlebih dahulu untuk dirinya kemudian dilakukan pula untuk pihak yang diwakilinya, manakala melontar hari kesebelas diselesaikan ketiga-tiga jamrah (Ula, Wustha dan ‘Aqabah) terlebih dahulu untuk dirinya, kemudian barulah dilakukan bagi pihak yang diwakilinya. Demikianlah pada hari kedua belas (Tasyriq kedua) yang perlu dilakukan mulai dari lepas gelincir matahari dan sebelum jatuh matahari serta bertolak keluar (Nafar Awwal) daripada Mina sebelum jatuh matahari. Dengan ini selesailah segala rukun dan wajib hajinya tanpa dam kerana meninggalkan bermalam di Mina. Mengenai wuquf, sekiranya dibawa keluar daripada ‘Arafah sebelum jatuh matahari disunatkan membayar dam (seekor kambing) kerana ada pendapat yang mengatakan wajib dicantumkan atau disatukan wuquf di antara siang dan malam (siang hari sembilan dan malam sepuluh Dzulhijjah).

(ii) Cara doktor dan pembantu menunaikan kerja-kerja haji dalam masa bertugas sebagai pengiring pesakit daripada ‘Arafah ke Makkah ialah sama dengan para pesakit dari segi hukum bertolak daripada ‘Arafah sebelum jatuh matahari hari wuquf atau selepas jatuh matahari dan juga dari segi bermalam di Muzdalifah, di Mina dan melontar.

(iii) Melontar boleh dilakukan oleh kawan-kawan secara wakil atau upah dengan syarat yang tersebut di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7684