Ayat Al-Qur’an: Adakah Yang Masih Tertinggal?
Soalan: Apakah reaksi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang al-Qur’an, adakah Nabi mengikutinya seratus peratus atau mempertimbangkan sebelum menyampaikan kepada sahabat-sahabat dan seterusnya kepada umat Islam amnya? Harap dapat penjelasan daripada Pehin.
Jawapan: Di antara aqidah orang yang beriman itu ialah percaya kepada rasul-rasul Allah. Ini jelas difirmankan Allah:
Tafsirnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seseorang dengan yang lain daripada rasul-rasulNya”. Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami taat”. (Kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali.” (Surah al-Baqarah: 285)
Perintah beriman kepada rasul-rasul ini, telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan seterusnya kepada umat Islam seluruhnya, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang diturunkan kepada nabi-nabi: Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Ya‘kub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi: Musa, ‘Isa, dan sekalian nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam).” (Surah Âli ‘Imran: 84)
Begitu juga wajib kita beriman bahawa rasul-rasul Allah itu bersifat dengan empat sifat iaitu:
i. Amanah (al-amânah) ii. Benar (ash-shidq) iii. Bijaksana (al-fathânah) iv. Menyampaikan (at-tablîgh)
Apabila wajib bagi rasul-rasul itu bersifat dengan empat sifat yang tersebut, maka dengan sendirinya mustahil bagi mereka itu bersifat dengan lawan bagi sifat-sifat yang tersebut di bawah ini iaitu:
i. Khianat (al-khiyânah) ii. Bohong (al-kadzib) iii. Lalai (al-ghaflah) iv. Menyembunyikan (al-kitmân)
Maka adalah mustahil bagi para rasul itu bersifat dengan empat sifat ini kerana berlawanan dengan tugas mereka sebagai penyampai risalah terutama bagi sifat menyembunyikan (al-kitmân) apatah lagi untuk mengubah atau menukar ayat-ayat yang diwahyukan kepada mereka. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh harapan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah al-Qur’an yang lain daripada ini, atau tukarkanlah dia.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja.
Sesungguhnya aku takut, jika aku menderhaka kepada Tuhanku, akan azab hari yang besar (soal jawabnya).” (Surah Yunus: 15)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Wahai Rasulullah! Sampaikanlah apa jua yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu, dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tidaklah engkau menyampaikan perutusanNya.” (Surah al-Mâ’idah: 67)
Menurut sebuah riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Barang siapa mengatakan kepada engkau bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyembunyikan sesuatu wahyu, janganlah engkau percaya, bahawasanya Tuhan berfirman: “Wahai Rasulullah! Sampaikanlah apa jua yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu, dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Maka daripada keterangan yang di atas, jelas bahawa Nabi Muhammad dan juga semua para rasul Allah itu tidak bersifat menyembunyikan yang boleh mencacatkan tugas mereka sebagai pesuruh Allah.
Daripada Anas bin Malik berkata:
Maksudnya: “Telah datang Zaid bin Haritsah (kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) mengadu (akan hal isterinya Zainab binti Jahsy). Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan pegang teguhlah isterimu (jangan ceraikan isterimu)”. Berkata ‘Aisyah: “Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu menyembunyikan sesuatu (daripada ayat-ayat al-Qur’an) nescaya Baginda akan menyembunyikan (ayat) ini.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ayat itu ialah firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah menyatakannya, dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” (Surah al-Ahzâb: 37)
Menurut riwayat daripada Ali bin Husain mengenai ta’wîl firman Allah ( َ ِفَ نَفسَك َ و َُتُفَى
مَا اللهـه ُ مُبدَيه) yang bermaksud: “... engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah menyatakannya...” yang dikeluarkan oleh al-Hakim, at-Tirmidzi, Ibnu Jarir, Ibnu Abu Hatim dan al-Baihaqi bahawa Allah telah mewahyukan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (sebelum dia mengahwini Zainab binti Jahsy) sesungguhnya Zainab Radhiallahu ‘anha akan menjadi salah seorang isterinya. Maka tatkala datang Zaid bin Haritsah (suami Zainab) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengadu (akan hal isterinya yang tidak mentaatinya), Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya (Zaid): “Bertaqwalah engkau dan peganglah isterimu (jangan ceraikan dia)”. Maka Allah menegur Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan wahyuNya: “Sesungguhnya Kami telah memberitahu kepadamu (Muhammad) bahawa Kami akan mengkahwinkan engkau dengannya (Zainab), sedang engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah menyatakannya”. (Ad-Durr al-Mantsûr fî at-Tafsîr bi al-Ma’tsûr 5/203 dan Tafsîr Ibnu Katsir 3/540)
Maka, jika Nabi itu ada menyembunyikan sesuatu daripada ayat al-Qur’an, nescaya sudah tentu ayat ini yang akan disembunyikannya.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan sahaja menyampaikan apa yang diwahyukan kepada sahabat-sahabatnya di dalam ayat ini, bahkan mengikuti segala perintah dan larangan di dalam ayat ini dan seluruh isi al-Qur’an. Firman Allah:
Tafsirnya: “Dan Apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat al-Qur’an (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): “Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku daripada Tuhanku.” (Surah al-A‘râf: 203)
Begitulah juga para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meyampaikan isi al- Qur’an kepada generasi-generasi seterusnya iaitu para tâbi‘în dan tâbi‘ at-Tâbi‘în hinggalah sampai kepada kita dengan tidak ada satu ayat pun disembunyikan, diubah dan sebagainya, sesuai dengan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr: 9)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7691
