Bertugas Pada Hari Jumaat
Soalan: Dengan hormat dan sukacita dihadapkan satu masalah pegawai-pegawai yang beragama Islam yang diarahkan untuk bertugas pada hari Jumaat.
Adalah dimaklumkan jabatan ini mempunyai kapal yang baru, kapal tersebut berharga $5.5 juta dan mempunyai peralatan yang terkini, yang perlu penjagaan oleh pegawai-pegawai di jabatan ini setiap hari termasuklah pada hari Jumaat. Dengan adanya penjagaan ke atas kapal tersebut ianya dijangka dapat mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, insya Allah.
Sehubungan dengan itu sukacita jabatan ini memohon kerjasama yang Dimuliakan Pehin untuk memberikan penerangan mengenai dengan masalah yang tersebut di atas.
Jawapan: Sembahyang fardhu Jumaat adalah fardhu ‘ain ke atas orang lelaki yang mukallaf, merdeka, muqîm dan yang tiada berkeuzuran. Maka tiada wajib Jumaat itu ke atas mereka yang berkeuzuran.
Keuzuran pada sembahyang Jumaat itu adalah sama dengan keuzuran yang dibolehkan bagi seseorang itu meninggalkan sembahyang berjemaah di masjid yang hukumnya fardhu kifayah. Ini dapat difahami daripada apa yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas bahawa: “Sembahyang Jumaat itu adalah seperti sembahyang berjemaah.”
Di antara keuzuran-keuzuran yang boleh seseorang itu meninggalkan sembahyang Jumaat ialah sibuk kerana menguruskan jenazah yang dikhuwatiri jika dilambatkan akan menyebabkan mayat busuk dan orang yang mengidap penyakit cirit-birit dan takut akan mencemarkan kebersihan masjid. Imam ar-Rafi‘e juga menyebut dalam at- Tatimmah mengenai sembahyang berjemaah bahawa orang yang dipenjara (dikurung) itu juga adalah dianggap sebagai berkeuzuran.
Asy-Syirazi telah menyebut dalam Kitab al-Muhadzdzab bahawa sembahyang berjemaah itu terlepas dengan adanya keuzuran dan keuzuran itu bermacam-macam. Di antaranya ialah orang yang khuwatir akan berlaku sesuatu yang tidak baik (mudharat) pada dirinya atau hartanya atau dia sakit. Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang mendengar seruan azan dan dia tidak pergi kepadanya untuk bersembahyang (menyebabkan tiada sembahyang berjemaah), maka tidak sempurna sembahyang baginya kecuali orang yang ada keuzuran”. Mereka bertanya: “Ya Rasulullah, apakah keuzuran itu?” Baginda bersaba: “Takut atau sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud dan lainnya)
Imam an-Nawawi telah menyebutkan bahawa di antara yang dikatakan keuzuran itu ialah apabila takut dia daripada orang yang akan membuat zalim ke atas dirinya atau terhadap hartanya atau dia wajib mempertahankan dirinya daripada sultan atau orang lainnya yang akan menzaliminya dan termasuk takut tentang sesuatu yang mengenai harta itu ialah jika sekiranya rotinya sudah dibakar di dapur dan periuknya sudah di atas api sedang tidak ada orang menjaga di sana (tempat itu). (Al-Majmû‘: 4/50)
Maka daripada apa yang telah dijelaskan di atas, pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kapal yang berharga $5.5 juta itu adalah termasuk dalam uzur yang dibolehkan meninggalkan Jumaat kerana dia ditugaskan menjaga harta daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
Hendaklah diingat, pegawai yang ditugaskan itu janganlah dia mengharap-harapkan atau bercita-cita yang sedemikian itu supaya dia terlepas daripada pergi menunaikan sembahyang Jumaat. Kepada ketua jabatan yang akan mengatur jadual anak buahnya untuk menjaga kapal tersebut pula, hendaklah memastikan supaya pegawai yang ditugaskan itu akan bersembahyang pada Jumaat berikutnya atau pegawai yang sama tidak akan meninggalkan sembahyang Jumaat berterusan atau berturut-turut kerana meninggalkan Jumaat itu amat besar dosanya. Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang Jumaat dengan memudah-mudahkannya dimeterikan oleh Allah akan hatinya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan lainnya)
Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia telah meletakkan Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7700
